Showing posts with label Motivasi Asma' Ul-Husna. Show all posts
Showing posts with label Motivasi Asma' Ul-Husna. Show all posts

Wednesday, July 7, 2010

Team Building - Pendekatan Pengurusan Pejabat Pembangunan Memantapkan Budaya Kerja Perdana UiTM

Pada hari ini sehingga jumaat ini saya berada di Kampung Gajah, Perak kerana terpaksa menghadiri program team building yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Latihan, Pejabat Pembangunan, UiTM. Dalam taklimat yang disampaikan oleh En. Irwan objektif utama program ini adalah untuk mewujudkan keserasian frekuensi dalam berkerja di Pejabat Pembangunan. Justeru ia akan memantapkan budaya kerja perdana di Pejabat Pembangunan.

Sesi ice breaking dikendalikan oleh Prof. Dr. Ahmad Lotfi Ibrahim, Pengasas syarikat PYRACOSMIC dan juga modul khas 'You 'R' Special' yang telah diperkenalkan pada awal tahun 2006. Beliau juga adalah pakar motivasi dan sering dijemput sebagai tetamu khas di TV1, TV2,TV3 dan Radio 24. Diantara client beliau ialah Angkasa, Kolej Komuniti, TNB, STMB, Felda, Sekolah dan banyak lagi. Beliau juga pengamal perubatan alternatif.

Ujar beliau memulakan ice breaking "kita sebenarnya rapuh. Bila-bila masa kita boleh pergi  berjumpa Ilahi, sesungguhnya ujar beliau lagi "jodoh, ajal maut dan pertemuan berada ditangan Tuhan." Ada rahsia disebalik segala kejadian yang berlaku kepada kita.

Berikut adalah cerita beliau semasa mengendalikan sesi ice breaking. 

Pecahkan benteng M - Merajuk, Malas, Main, Manja,Malu hancurkan tembok L- Lemah, Lambat, Liat, Lesu. Kita disini hanyalah untuk berkongsi pengalaman, bukan untuk belajar. Kita belajar sama-sama. Saling berkongsi pengalaman. Manusia tetap manusia, dimanapun kita berada sifat kemanusiaan tetap sama, cuma jawatan sahaja yang berbeza tetapi tanggungjawab kepada Tuhan tetap sama.

Setiap individu dalam sesuatu organisasi bertanggungjawab dan berperanan mengikut tugas masing-masing. Makin besar gaji makin besar tanggungjawab, kadang-kadang kerana gaji terlalu besar dan tugas di pejabat juga besar, sekejap di US, kemudian ke UK, lepas itu ke Jepun, masa untuk keluarga tiada, kesannya perhubungan keluarga jadi rengang, anak-anak terabai kerana mengejar wang. Justeru janganlah meletakan wang per se dalam hidup.

Diakui, hidup dibandar semuanya pakai wang, bermula start kereta, turun kereta dan parking sehingga buang air pun kena pakai wang, insuran pun pakai wang, jika berlaku kemalangan langgar belakang kena bayar dan guna wang lagi. Kesimpulannya dibandar semua kena bayar dan memerlukan wang. Tapi janganlah meletakan wang sebagai matlamat utama hidup.

Friday, May 29, 2009

Sifat Rahman dan Rahim ALLAH Melahirkan Rahmat dan Nikmat ILAHI - Petikan daripada Tafsir Al-Azhar (Part A)

(1). Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang (2). Segala Puji-Pujian untuk Allah, Pemelihara semesta alam (3). Yang Mempunyai Hari Pembalasan (4). Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan (5). Tunjuki kami jalan yang lurus (6). Jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat atas mereka; bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah dimurkai atas mereka dan bukan jalan orang-orang yang sesat.

Al-Fatihah artinya ialah pembukaan. Ia juga dinamai Fatihatul Kitab yang bererti pembukaan kitab, surah 7 yang diulang-ulang, dia adalah ibu Al-Quran, minimum 17 kali dibaca semasa pertemuan fardhu antara hamba dan Tuhan sekalian alam dalam satu hari.

Surah ini dimulai dengan (1). Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang Allah memulakan seruan dengan namaNya Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Nama Allah Ar-Rahman mengambarkan sifatNya Yang Maha Pemurah dan PerlakuanNya yang diselaputi kepemurahanNya. Dzat Yang Maha Pemurah kepada semua makhlukNya termasuk kita manusia.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang ertinya, aku mulai perkerjaanku ini, menyiarkan wahyu Ilahi kepada insan, di atas nama Allah itu sendiri, yang memerintahkan daku menyampaikannya, ini adalah contoh teladan yang diberikan kepada kita , supaya memulakan sesuatu pekerjaan penting dengan memulakannya dengan nama Allah.

Laksana yang teradat bagi sesuatu kerajaan bila menurunkan sesuatu perintah, menjadi kuatlah dia jika disampaikan di atas nama pemerintah yang tertinggi, umpamanya Perdana Menteri. Surat arahan yang memakai nama Perdana Menteri bukan sahaja mengandungi arahan tetapi juga pertanggungjawaban dari penerimanya.


Nabi Muhammad S.A.W disuruh menyampaikan wahyu itu kepada manusia dengan menyebut nama Allah. Dia, Rasulullah tidak lebih daripada manusia biasa, tetapi ucapan yang keluar daripada mulutnya bukanlah keluar semena-mena diatas kehendaknya sendiri tetapi Allah lah yang memerintahkan. Dari empunya nama itu, iaitu Allah, Nabi Muhammad mengambil kekuatan didalam menyampaikan wahyuNya.Allah adalah dzat Yang Paling Tinggi, Maha Mulia, Maha Kuasa. Dzat Pencipta seluruh alam, langit dan bumi, bulan dan matahari, dan seluruh yang ada.

Dengan nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim iaitu Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Yang kedua sifat nama itu datang dari satu rumpun iaitu RAHMAT, yang bererti murah, kasih, sayang, cinta, santun, perlindungan dan sebagainya. Allah bukanlah Tuhan yang bengis, kejam, haus darah, pendendam dan pembenci. Maka apabila bacaan dimulai dengan menyebut nama Allah, dengan kedua-dua sifatNya Ar-Rahman dan Ar-Rahim, mulailah Nabi Muhammad menentukan perumusan baru yang benar mengenai Tuhan. Sifat utama Tuhan yang diketahui dan dirasai oleh manusia ialah Allah itu, DIA ialah Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

"Segala puji-pujian untuk Allah" (pangkal ayat 2) Hamdan, ertinya pujian, sanjungan. Alhamdu bermaksud mencakupi segala jenis pujian, pujian besar, pujian kecil, ucapan terima kasih, tahniah, atau puja-pujaan. ALHAMDULILLAHI bererti segala puji-pujian hanya untuk ALLAH. Tidak ada yang lain yang berhak mendapat pujian itu.

Meskipun misalnya ada seseorang yang berjasa baik kepada kita, meskipun kita memujinya, namum hakikat puji hanya kepada Allah. Sebab orang itu tidak akan dapat berbuat apa-apa kalau tidak kerana Tuhan Yang Maha Murah dan Penyayang tadi. Kita puji seorang engineer mekanikal kerana ilhamnya membina sebuah kapal terbang berkuasa tinggi yang laju dan hebat, tetapi kalau kita selidiki lebih dalam, dari mana dia mendapat ilham untuk membina kapal terbang tersebut kalau bukan bersumberkan ilham daripada Tuhan. Oleh sebab itu, jika kita dipuji oleh seseorang maka janganlah kita lupa bahawa yang empunya puji itu ialah Allah, bukan kita.

Nabi kitaMuhammad S.A.W. ketika dengan sangat jayanya menakluki negeri Mekah, baginda masuk ke ibu kota itu dengan menunggang untanya yang terkenal, al-Qashwa', sahabat-sahabat baginda gembira dan bersyukur disebabkan impian nabi telah menjadi kenyataan, namun baginda tidak mengangkat muka dengan angkuh kerana kemenangan tersebut, tetapi baginda merundukan wajahnya ke bawah, lekat dekat leher unta kesayangan baginda, mensyukuri nikmat Tuhan dan mengucapkan puji-pujian kepada Allah S.W.T

"Pemelihara semesta alam" ujung ayat 2. Atau Tuhan dari sekelian makhluk, atau Tuhan sarwa sekalian alam. Umumnya erti alam ialah segala yang ada ini selain dari Allah, kalimat 'alamin bererti segala yang ada, termasuk di alam jin,di alam malaikat dan di alam syaitan. Setelah terlebih dahulu kita dikenal kepada Allah yang Tunggal, sekarang kita dikenalkan kepada tuhan yang Rabbun.

Kata Rabbun meliputi segala macam pemeliharaan,penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Allah itu bukan sahaja pencipta tetapi juga pemelihara, bukan sahaja menjadikan tetapi juga mengatur, seumpama matahari, bulan,langit,bumi, bintang dan sebagainya,sesudah semuanya dijadikan, tidaklah dibiarkan begitu sahaja, melainkan dipelihara dan dikuasai terus menerus.

Betapa matahari, bulan, bintang dan bumi beredar begitu teratur dari tahun ke tahun, bulan ke bulan, hari ke hari, jam ke jam, minit ke minit dan detik ke detik, berjalan teratur telah berjuta-juta tahun, kalau bukan pemeliharaan daripada Allah sebagai Rabbun?

Manusia pun begitu, Dia bukan semata-mata dijadikan, bahkan sejak masih dalam nuthfah, sampai ke alaqah dan mudhghah , sampai muncul ke dunia, sampai menjadi manusia yang berakal, dan sampai meninggal kelak, tidaklah lepas daripada tilikan Allah sebagai Pencipta dan Pemelihara. Untuk semua pemeliharaan, penjagaan, pendidikan dan perlindungan itulah kita diajar untuk mengucapkan pujian kepada Nya "Rabbul Alamin".

Sifat Rahman dan Rahim ALLAH Melahirkan Rahmat dan Nikmat ILAHI - Petikan daripada Tafsir Al-Azhar (Part B)

"Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang"( ayat 3) atau boleh diertikan sebagai yang pengasih lagi penyayang. Ayat ini menyempurnakan maksud dari ayat sebelumnya. Jika Allah sebagai Rabb, sebagai Pemelihara dan Pendidik bagi seluruh alam, tidak lain, maksud dan isi pendidikan itu , melainkan kerana kasih sayangNya semata dan kerana murahNya belaka. Tidaklah dalam memberikan pemeliharaan dan pendidikan itu, menuntut keuntungan bagi diriNya sendiri. Pemeliharaan yang Dia berikan adalah pertama kerana Ar-Rahman maksudnya ialah bila sifat Allah Yang Ar-Rahman itu telah membekas dan berjalan ke atas hambaNya, bertambah tinggi kecerdasan hambanya itu, bertambah terasa olehnya betapa Ar-Rahman Allah terhadap dirinya, dan sifat Ar-Rahim ialah sifat yang tetap kepada Allah. Maka Ar-Rahman ialah setelah sifat itu terpaksa pada hamba, dan Ar-Rahim ialah pada keadaannya yang tetap dan tidak pernah padam-padamnya pada Tuhan. Dan keduanya itu adalah sama mengandung akan sumber kata yaitu Rahmat.

Bagaimana jadinya hidup kita didunia jika 2 hari matahari tidak terbit? Kita manusia kadang-kadang mudah lupa akan Rahmat Tuhan, kerana kita tidak pernah dipisahkan daripada RahmatNya, seumpamanya, bila terjadi 'blackout' sehingga seluruh UiTM tidak menerima bekalan elektrik kerana kerosakan berlaku pada intake 33kV Tenaga Nasional Berhad (TNB), pada ketika itu, baru kita sedar, bahawa tenaga elektrik adalah tulang belakang yang mengerakkan operasi UiTM. Diwaktu biasa semua beres, kerap kita lupa, tetapi setelah terganggu baru kita teringat. Demikian juga halnya apabila bekalan air dirumah kita terganggu kerana kerosakan paib yang menyalurkan air ke rumah kita telah pecah, maka ketika itu baru kita terasa betapa air itu penting dalam kehidupan kita.

Rahmat Ilahi, pancaran daripada sifatNya Yang Rahman dan Yang Rahim, yang Murah dan Kasih Sayang dapat kita rasai apabila melihat seekor ibu ayam sedang mengkais-kais makanan untuk anak-anaknya, dipecah-pecahkannya rimah nasi, dipanggil anak-anaknya untuk memakan makanan tersebut. Tiba-tiba datang seekor anjing, cuba menganggu anak-anaknya yang sedang memakan makanan tadi, si ibu ayam dengan garangnya menyerang anjing itu demi untuk mempertahankan anak-anaknya, sehinggakan ibu ayam itu tidak takut kepada anjing tersebut, walhal anjing itu lebih besar saiznya daripada ibu ayam, sehingga anjing itu ketakutan dan melarikan diri. Dikala kesejukan dimalam hari, si ibu ayam melindungi anak-anaknya dibawah naungan sayapnya, dan ada kalanya, anak-anak ayam itu memanjat ke atas punggungnya, namum dibiarkannya demi kasih dan sayangnya pada anak-anaknya itu. Itulah Rahmat Ilahi.

Demikianlah halnya ketika kita dilahirkan oleh ibu kita, beratnya penderitaan mengandung dan melahirkan tidak terperi payahnya, bidan telah sedia menolong, dan setelah ditunggu dengan harap dan cemas, lahirlah kita, apabila ibu kita mendengar tangisan kita, maka dengan kedengaran tagisan kita itu, wajah ibu jadi lega, hilang kepayahannya, kadang-kadang matanya tertidur sejenak, diliputi Rahmat Ilahi. Demikian juga sang ayah, yang tadinya menunggu penuh debaran, dipengaruhi rasa cemas dan harap, cemas kalau-kalau isteri yang disayangi ditimpa bahaya sehingga maut kerana melahirkan, dan harap moga-moga anak dan isteri selamat dalam melalui detik-detik kritikal itu. Bila mengetahui isterinya telah selamat melahirkan, maka rasa lega dihatinya. Demikianlah Rahmat Tuhan telah dimasukan ke dalam jiwa kita semua.

Dengan melihat kasih sayang diantara suami isteri, ayah terhadap anaknya, dengan melihat kasih sayang diantara binatang, burung-burung dengan pelbagai jenisnya, dapatlah kita ketahui bahawa betapa besarnya Rahman dan Rahim Allah ke atas makhluknya, dan akan sirnalah rasa dengki, hasad, benci dan dendam daripada diri kita. Sampai kepada masyarakat, pergaulan hidup yang adil dan makmur di atas dunia, Rahmat Allah melalui sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim memancarkan MARHAMAH, iaitu kasih mengasihi, cinta-mencintai, bantu-membantu yang timbul daripada kemurahan dan kasihsayang Nya.

"Yang menguasai hari pembalasan" (ayat 4) Kita ertikan yang menguasai atau mempunyai hari pembalasan, disini dapatlah kita memahami bahawa ad-din yang selalu kita ertikan sebagai agama juga bermaksud pembalasan, menurut islam, segala gerak geri hidup kita yang kita lalui sehingga hari ini, tidak lepas daripada lingkungan agama, iaitu wajib, sunat, makruh, jaiz dan haram. Dan semuanya kelak akan diperhitungkan dihadapan Allah S.W.T di akhirat. Baik akan dibalasi dengan kebaikan dan buruk akan dibalasi dengan keburukan. Yang memberikan pembalasan itu adalah Allah sendiri dengan jalan yang seadil-adilnya.

Didunia ini yang ada hanya penilaian, tetapi tidak ada pembalasan manusia. Banyak orang tercengang melihat orang yang zalim dan curang tetapi kerana pandainya main maka tidak terkesan miskipun orang tahu juga, dan banyak juga orang yang jujur, berbuat baik, namun penghargaan tidak ada, atau sengaja tidak dihargai kerana kepentingan-kepentingan politik. Di dunia tidak ada pembalasan yang sebenar dan disini tidak ada perhitungan yang adil.

Bila sampai disini, kalbu kita mula bertanya, jika tadi seluruh jiwa kita diselaputi oleh rasa Rahmat yang terpancar daripada Rahman dan rahim Allah, ia harus dibatasi oleh KEINSAFAN, bahawa betapa un Rahmat dan Rahim Allah itu, Dia adalah adil juga. Rahman dan Rahim tidak sempurna jika ia tidak dilengkapi dengan Adil. Memang ada manusia, yang jiwanya telah dipenuhi dengan sifat Rahman dan Rahim itu, maka dia berbalas balas kasih sayang dengan Tuhannya, memberi dan menerima, lalu dia pun beribadat kepada Tuhannya dengan seikhlas hati dan berbuat bakti. Tetapi ada juga manusia yang tidak peduli Rahman dan Rahim Tuhan, jiwanya diselimuti oleh perasaan benci, dendam, hasad, dengki dan kianat. Tidak ada rasa syukur, tidak ada terima kasih. Jahatnya lebih banyak daripada baiknya. Kadang-kadang pandai dia menyembunyikan keadaan yang sebenarnya, sampai dia mati keadaan tetap demikian. Tentu sekali orang ini akan menerima pembalasan dihari kemudian kelak.

Maka apabila, Ar-Rahman dan Ar-Rahim disambungkan dengan maliki yaumiddin maka barulah seimbang pengabdian dan pemujaan kita kepada Tuhan. Hidup tidak terhenti setakat dialam ini sahaja, akan ada sambungannya lagi, iaitu dihari pembalasan. Kalau kita telah rasai dan kita percaya bahawa Dia Maha Murah dan Penyayang, tetapi kita masih melanggar segala yang diperintahkanNya, melakukan segala macam maksiat dan pelbagai kekufuran, maka ingatlah bahawa Dia mempunyai hari pembalasan, lantas kemana lagi kita mahu lari? Kita mengharapkan kasih sayang dan kemurahanNya, dan kita pun takut akan pembalasanNya, jiwa kita terombang diantara Khauf, artinya takut dan Raja' ertinya harap.

Maka lanjutan bunyi ayat "Engkaulah yang kami sembah, dan Engkaulah tempat kami memohon pertolongan" (ayat 5) Kalimah Iyyaka bererti Engkaulah, disini Iyyaka disebutkan dua kali, jadi maksudnya, hanya kepada Engkaulah kami sembah dan hanya kepada Engkau kami meminta pertolongan. Kata na'budu kita ertikan sebagai kami sembah dan nasta'inu sebagai tempat meminta pertolongan. Dalam lain perkataan, kita boleh ertikan bahawa hanya kepada Engkau kami beribadat dan kami memohon bantuan dikala senang mahupun susah, dengan ayat ini kita menyatakan pengakuan kita bahawa Allah adalah Tuhan Yang Mencipta dan Memelihara, Dia adalah Rabbun, sebab itu Dia adalah Ilahi. Tidak ada Ilah yang lain, melainkan Dia, oleh kerana Dia Yang Mencipta dan Memelihara maka hanya kepada Dia yang patut disembah. Adalah hal yang tidak wajar, kalau Dia Yang Memelihara dan Menjadikan, lalu kita menyembah selain daripada Nya. Itu namanya musyrik. Menerima nikmat dari Allah, berterima kasih kepada berhala.

Maka mengakui bahawa yang patut disembah sebagai Ilah hanya Allah, dinamainya sebagai Tauhid Uluhiyah, manakala, mengakui yang patut untuk memohon pertolongan sebagai Rabbun hanya Allah, dinamai Tauhid Rubudiyah.

Sekarang kita teruskan kepada erti ibadat. Erti yang luas tentang IBADAT ialah memperhambakan diri dengan penuh keinsafan dan kerendahan. Dan dipatrikan lagi oleh cinta.Kita mengakui bahawa kita hambaNya, budakNya. kita tidak akan terjadi kalau bukan dia yang menjadikan. Kita beribadat kepadaNya disertai raja', iaitu pengharapan terhadap kasih sayangNya, cinta yang hakiki, tidak terbahagi dengan yang lain, sehingga jikapun kita cinta kepada yang lain, hanya lah kerana yang lain itu nikmat daripada Dia. Contohnya kita mencintai isteri, anak, harta dan benda atau tanah air atau yang lain-lain, semuanya itu adalah nikmat daripadaNya jua. Tidak dapat kita mencintai yang lain langsung, disamping mencintai Dia, kerana kalau ada cinta lain selain daripada cinta kepada Nya, itulah cinta yang terbahagi. Apabila telah terbahagi itulah pangkal kepada syirik.

Selanjutnya kita huraikan tentang 'meminta pertolongan'. Setiap orang berusaha mengikut bakatnya, Doktor menolong orang sakit. Guru menolong muridnya belajar membaca, mengira dan menulis, dalam perhubungan sesama manusia, sewajarnya yang kuat menolong yang lemah, yang kaya menolong yang miskin, dan semua itu adalah dalam rangka meminta tolong kepada Allah jua. Maka tolong menolong dalam urusan kehidupan harian semacam ini tidaklah dilarang kerana itu bukan dalam rangka memandang bahawa tempat manusia minta tolong itu sebagai tempat ibadat. Diatas manusia yang bertolong-tolongan itu ada lagi kekuasaan yang tertinggi yang memutuskan dengan mutlak samada berakhir dengan kejayaan atau kegagalan. Itulah kekuasaan Tuhan, yang kekuasaanNya meliputi akan seluruhnya.

Memohon pertolongan daripada Tuhan supaya diberikan kekuatan meneruskan perjuangan, memohon petunjuk, dihasilkan yang dicita-cita, dituntun sebaik-baiknya kejalan yang baik dan benar akan memberikan kita kekuatan pada diri sendiri kerana kita memohon pertolongan langsung dengan Tuhan, terus kepada Allah, yang menjadi sumber dari segala kekuatan. Memohon pertolongan kepada Tuhan bukanlah kelemahan tetapi disanalah terletaknya kekuatan. Hanya manusia yang bodoh dan tolol sahaja yang mengaku bahawa dirinya sanggup berbuat segala yang dia kehendaki. Adapun bagi orang-orang yang berilmu, maka ilmunyalah yang menunjukan kepada nya bahawa dia tidak mengetahui semua hal.

Memohon pertolongan berdasarkan konsep Tauhid Uluhiyah dan Rubudiyah itulah yang masuk akal, sebab itu kita tidak meminta pertolongan misalnya kepada kuburan seorang guru atau orang alim yang dikenal keramat, atau meminta pertolongan kepada berhala, meminta bantuan kepada keris pusaka untuk menarik duit, dengan kalimat Iyyaka nasta'inu tadi, yang bererti "Hanya kepada Engkau saja aku meminta pertolongan", jelaslah bahawa kita tidak akan meminta pertolongan kepada yang lain dengan cara demikian, sebab yang lain itu tidak masuk akal bahawa dia dapat menolong.

Tuesday, May 26, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 10)

" Yang Maha Perkasa"

Nama Allah yang ke-sembilan ialah Al-Aziz, yang bermaksud Maha Perkasa, Maha Kuat, tidak dapat dikalahkan oleh sesuatu apa pun. Dialah yang mengalahkan, yang tidak dapat dikalahkan, yang menang dan tidak dapat ditakluki. Allah S.W.T mempunyai kudrat Yang Maha kuat dan Maha Perkasa.Tiada sesuatu yang dapat menewaskanNya kerana Dia Maha Perkasa. KeperkasaanNya merangkumi seluruh alam, dilangit dan dibumi. Dia Maha Perkasa daripada awal yang tiada permulaan sehingga akhir yang tiada penghujung. Keperkasaan Allah ini dapat dilihat pada sekalian alam, termasuk pada segala yang ada dibumi dan dilangit, pada segala kejadian dan penciptaan makhlukNya, pada air, pada tanah, pada angin dan pada api.

Sebagai contoh kita ambil kekuatan air lautan, semasa berlaku tsunami di Aceh pada 2004, kita melihat melalui kaca tv bagaimana bangunan yang besar dan kukuh dibawa oleh arus tsunami, ribuan manusia mati, rumah musnah dan sebahagian daripada Aceh menjadi seperti padang jarak, padang terkukur.

Betapa kekuatan air boleh memusnahkan seluruh kehidupan. Kekuatan api yang bisa membakar ratusan hektar hutan semasa kebakaran sebagaimana yang berlaku di Australia, kekuatan angin yang bisa menerbangkan rumah dan bangunan semasa puting beliung. Kekuatan kilat semasa percikan cahaya menyambar, Ia dipanggil malapetaka. Tiada kekuatan yang dapat menghalangNya. Itu adalah sebahagian keperkasaan Allah yang Ia tunjukan kepada kita. Hakikatnya, Keperkasaan Allah tidak terbanding kekuatanNya kerana terlalu dan teramat hebat adaNya.

Bagaimana kita menumbuhkan sifat Al-Aziz ini didalam diri kita sehingga seluruh tubuh, pemikiran dan jiwa kita diselumbungi sifat perkasa tersebut? Bagi menjawab persoalan ini, kita sewajarnya melihat kepada diri kita sendiri, dimana kekuatan kita dan menilai diri dimanakah kelemahan kita, kita perlu melatih diri untuk menjadi lebih baik dan terus lebih baik, kekuatan yang kita miliki kita mantapkan, kelemahan yang kita miliki kita atasi, supaya hari ini kita kuat dan hari esok kita menjadi bertambah kuat. Proses ini kita lakukan setiap hari, akhirnya diri kita akan menjadi bertambah baik, bertambah kuat dan semakin perkasa. Kekuatan dalam aspek jasmani dan rohani.

Monday, May 25, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 9)

"Yang Maha Memelihara"

Nama Allah yang kelapan ialah Al-Muhaymin, Ia bermaksud "Yang Maha Memelihara". Allah S.W.T adalah yang mengatur, menjaga dan memelihara serta menentukan rezeki, kehidupan dan umur MakhlukhNya. Dia juga yang mengawasi dan melindungi segala sesuatu. Dia juga Maha Memerhati, Menjaga serta menaungi hamba-hambaNya dalam semua keadaan. Dia yang memerhati segala sesuatu dan tiada sesuatupun yang terlepas daripada pengawasanNya. Dialah yang mentadbir dan mengurus segala sesuatu daripada yang mikro sehinggalah yang makro.

Perhatikan pada alam yang luas ini, renungi pada pertukaran siang dan malam, perhatikan pada diri sendiri kita sendiri, perjalanan degupan jantung yang mengedarkan darah ke seluruh anggota tubuh, lihat pada bulan dan kaitannya dengan pasang surut lautan, peredaran bulan dan matahari, segalanya berjalan mengikut hukum alam yang telah ditetapkan Allah. Semuanya dibawah pengawasan, peliharaan dan pentadbiranNya.

Bagaimana menerapkan sifat Allah Al-Muhaimin ini ke dalam diri, meresapinya ke hati dan menjadi budaya melalui tindakan kita? Menjawab persoalan ini, mari kita lihat pada kehidupan harian kita, bermula daripada subuh sehingga ke subuh pada hari berikutnya, bermula dari hari ke hari yang berikutnya pada minggu hadapan, bermula dari bulan sehingga ke bulan yang sama pada tahun hadapan dan seterusnya.

Sepanjang melalui hari-hari yang mendatang, sewajarnya kita memelihara kejujuran kita bila melaksanakan sesuatu, menjaga tanggungjawab kita dalam melaksanakan tugas, kita memelihara displin semasa melaksanakan sesuatu tugasan, memelihara kerjasama dengan rakan sejawat, memelihara wawasan dan halatuju kita, menjaga keadilan kita terhadap diri sendiri dan orang lain, menjaga rasa prihatin kita terhadap orang dipersekitaran kita yang sama-sama membantu kita. Jika kita berzikir 100 kali dengan menyebut Al-Muhaimin, Insyaallah Allah akan memelihara kita zahir dan batin dimana hati menjadi bersih dan terang.

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 8)

"Yang Mengutamakan Keamanan"

Nama Allah yang ketujuh ialah Al-Mukmin, yang bermaksud "Yang Mengutamakan Keamanan" ada juga yang mentafsirkan sebagai "Yang Mengurniakan Keamanan". Ada juga ulamak menafsirkan Al-Mukmin sebagai "Yang Maha Membenarkan", ada juga yang mentafsir Al-Mukmin sebagai "Yang Maha Melindungi". Samada "Yang Mengutamakan Keamanan", "Yang Mengurniakan Keamanan" , "Yang Maha Membenarkan" atau "Yang Maha Melindungi" prinsipnya adalah sama, iaitu Dia adalah Dzat yang Maha Membenarkan, Dia membenarkan DiriNya, Malaikat-MalaikatNya, Rasul-RasulNya, Kitab-KitabNya, Membenarkan Qada dan QadarNya dan membenarkan Hari Kemudian (Hari Pembalasan). Apabila Dia membenarkan segala janji-janjiNya kepada hambaNya dan hamba-hambaNya mengakui kebenaran akan janji-janjiNya itu, maka secara automatik, Dia juga mengurniakan keamanan kepada hamba-hambaNya dan secara langsung Dia (Allah) juga mengutamakan keamanan dan menjadi pelindung kepada hamba-hambaNya.

Pokok dan syaratNya yang utama dalam perhubungan ini , ialah hamba-hambaNya perlu mengakui dahulu kebenaran rukun iman, kemudian barulah Allah mengurniakan keamanan dan mengutamakan keamanan kepada hamba-hambaNya yang mengimaniNya. Kemudian akan lahir rasa aman pada hati hamba-hambaNya yang mengakui kebenaran Allah S.W.T. Menikmati perlindungan dan keamanan dariNya kerana kepatuhan mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Keamanan zahir dan keamanan batin, perlindungan zahir dan perlindungan batin daripadaNya (Allah). Secara fitrahnya semua manusia mencintai keamanan, semua manusia membenci peperangan. Peperangan hanya akan berlaku bila manusia tidak berpegang kepada tali Allah yang terangkum dalam sifat "Al-Mukmin" Allah S.W.T itu.

Bagaimana kita menerapkan sifat Al-Mukmin ini didalam jiwa, pemikiran dan tindakan kita? Jawabannya mudah, kita mulai dengan membenarkan 6 rukun iman sebagai prinsip hidup dan melaksanakan 5 rukun islam berdasarkan hati kita yang ikhlas seperti Allah melihat kita walaupun kita tidak melihat Allah. Maka jadilah kita muslim yang mukmin. Segala tindakan dan perbuatan kita meletakan Allah dihadapan sebagai benteng keamanan, kepercayaan dan perlindungan. Insyaallah kita sentiasa dalam peliharaan dan perlindungan Allah. Dengan berzikir "Ya Mukmin" sebanyak 136 kali dengan memahami maksudnya akan menyebabkan anda, keluarga anda sentiasa dilindungi Allah dan harta benda anda dilindungi daripada dicuri orang.

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 7)

" Yang Maha Sejahtera"

Nama Allah yang ke-enam ialah As-Salam, yang bermaksud Yang Memiliki Kesejahteraan dan Keselamatan, Allah S.W.T adalah dzat yang memiliki segala kesejahteraan dan keselamatan, Allah Maha Sejahtera ke atas diriNya, Ia sentiasa sihat, sentiasa sejahtera dan sentiasa selamat. Allah bebas daripada sebarang penyakit, masalah kesihatan, malapetaka dan lain-lain kekurangan yang berkaitan kesejahteraan atau keselamatan sebagaimana manusia. Maha Sejahtera Allah daripada awal yang tiada permulaan sehingga akhir yang tiada bernoktah. Allah tidak memerlukan pengawal peribadi untuk memastikan Ia selamat. Allah tidak memerlukan doktor untuk memastikan Ia sentiasa sihat sejahtera. Allah adalah Dzat yang maha sempurna, yang berdiri dengan sendiriNya dengan penuh kesejahteraan dan keselamatan.

Dzat dan Sifat Maha Sejahtera Allah itu terpancar pada di alam ini melalui kejadian langit dan bumi, pada penciptaan manusia dan segala makhlukNya, lihat dan renungkan, betapa sejahteranya peredaran bulan, bumi, matahari dan planet-planet yang lainnya sehingga mereka tidak berlanggaran antara satu sama lain, lihat dan renungkan pada api, air, tanah dan angin, betapa api memberikan kesejahteraan untuk kita memasak masakan, betapa air memberikan kesejahteraan ketika kita meminumnya ketika kehausan, betapa tanah memberikan kesejahteraan kepada kita dengan menumbuhkan tanaman yang kita tanam diatasnya , betapa angin memberikan kesejahteraan ketika kita bernafas.

Bagaimana kita menerapkan sifat Maha Sejahtera Allah ini ke dalam diri kita? Kesejahteraan sering dikaitan dengan selamat, sihat wal afiat, kebahagiaan dan ketenangan jiwa. Apabila kita memberikan salam "Asalamualaikum" kepada seseorang, ia bermaksud kita memohon kepada Allah supaya memberikan kesejahteraan yang berupa kesihatan yang baik, selamat dari malapetaka, diberikan ketenangan jiwa dan kebahagiaan kepada orang tersebut. Apabila salam kita dijawab dengan "Waalaikumusalam" , bermaksud orang yang menerima salam daripada kita tadi, memohon kepada Allah supaya kita dikurniakan perkara yang sama, justeru itu, berikanlah salam kepada sesama muslim ketika kita bertemu. Jadikan ia satu budaya dalam hidup kita. Insya-Allah jika demikian budaya anda, maka anda sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, bebas daripada kemalangan dan malapetaka, sentiasa bahagia dan dikurniakan ketenangan jiwa oleh Allah S.W.T Berzikir sebanyak 136 kali dengan menyebut 'Ya Salam' akan menyembuhkan penyakit yang kita alami, demikian juga, ia boleh menyembuhkan penyakit orang lain.

Thursday, May 21, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 6)

" Yang Maha Suci"

Al-Qudus adalah nama Allah yang kelima. Al-Qudus bermaksud Allah Yang Maha Suci, Allah suci daripada segala sifat kerendahan, sifat kekurangan, sifat keburukan, sifat baru sebagaimana makhlukNya dan sifat kerosakan. Allah Maha Bersih daripada sifat-sifat tersebut. Allah S.W.T adalah Zat Maha Sempurna yang suci, murni dan bersih, pada zahir dan batin, daripada awal sehingga akhir dari sifat-sifat kelemahan, kekurangan, kenegatifan dan keburukan. Allah S.W.T itu bersifat Maha Agung dan Maha Tinggi. KesucianNya itu menjadikan Dia Maha Bersih, Maha Cantik, Maha Kemas, Maha Tersusun dan Maha Menginspirasikan. Dia ialah Dzat yang mengilhamkan inspirasi melalui sifatNya Yang Maha Suci dan Yang Maha Bersih.

Bagaimana kita menumbuhkan sifat Maha Suci Allah S.W.T itu didalam diri kita? perkara ini dapat kita fahami apabila kita kembali kepada fitrah semulajadi manusia, secara fitrahnya semua manusia suka dan ingin kepada kesucian dan kebersihan, apabila kita memandang sesuatu yang suci dan bersih, hati kita akan suka, gembira, rasa terhibur dan rasa seronok , menyebabkan kita terus ingin memandang sesuatu yang suci dan bersih itu, mahu terus duduk disitu , kerana pada sesuatu yang suci dan bersih ada kelembutan, ketenangan dan sumber inspirasi.

Justeru itu maka sewajarnya kita menyerap sifat suci Allah ini dengan sentiasa menjaga kebersihan pada diri sendiri, menjaga kebersihan tempat kita tinggal, sentiasa kemas, sentiasa cantik dan sentiasa teratur. Harta yang kita perolehi daripada kurniaan Allah juga perlu kita bersihkan dengan mengeluarkan zakat.

Hati yang suci adalah hati yang bebas daripada sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, dendam, benci dan sakit hati. Hati yang suci, murni dan bersih adalah hati yang bebas daripada prasangka buruk, memegang prinsip hidup yang salah, membuat kesimpulan berdasar pengalaman yang negatif, mempunyai kepentingan peribadi bila melakukan sesuatu, melihat pada sudut pandang yang salah, suka membanding-banding dan bersikap fanatik terhadap sesuatu. Itulah sifat Allah Yang Maha Suci yang perlu kita terapkan didalam hati kita, kelak pemikiran kita dan tindakan kita akan berdasarkan suara hati yang meletakan Allah S.W.T dihadapan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan. Kesucian juga sering dikaitankan dengan putih, jernih, asli dan bening, ia juga adalah simbul bersih daripada noda dan dosa serta tidak mengikut kehendak nafsu haiwani.

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 5)

"Yang Maha Kuasa"

Nama Allah yang ke-empat ialah Al-Malik iaitu Yang Maha Kuasa. Dalam Al-Quran ada disebut Al-Azizul Malik yang bermaksud Yang Maha Perkasa dan Maha Kuasa, Maalikul Mulk bererti Yang Maha Memiliki segala kekuasaan, Al-Malik bererti Raja Yang Maha Kuasa, ada juga yang mentafsirkan Al-Malik dengan maksud Maha Merajai atau Maha Memerintah. Apapun tafsiran tersebut, prinsipnya ialah Allah S.W.T adalah Zat Yang Maha Berkuasa, Maha Pencipta dan Menjaga hukum-hukamNya atas alam semesta yang dipanggil hukum alam, hukum sebab dan akibat. Allah Yang Maha Kuasa bererti KemampuanNya, KeupayaanNya, KebolehanNya, kudratNya, tenagaNya, pengaruhNya, kerajaanNya dan pemerintahNya Maha Tinggi, Maha Sempurna dan Maha Agong terhadap segala sesuatu.

Kuasa Allah itu wujud pada sekalian makhlukhNya samada dilangit dan dibumi dalam pelbagai bentuk. Daripada pelbagai kuasaNya itu wujud kerajaanNya di langit dan di bumi. KuasaNyalah yang memberi tenaga pada elektron yang mengelilingi inti atom, mengerakkan bumi beredar mengikut orbitnya mengelilingi matahari, menghidupkan sel-sel didalam tubuh manusia dan pelbagai lagi.

Dalam konteks politik, KUASA selalu dikaitkan dengan pemerintahan dan kerajaan, dalam demokrasi, kuasa pemerintahan diberikan kepada rakyat yang terbanyak melalui pemilihan, contohnya, Barrack Obama dilantik menjadi President Amerika Syarikat setelah mendapat undian terbanyak daripada rakyat Amerika melalui pilihanraya. Dalam bidang mekanikal KUASA selalu dikaitkan dengan keupayaan dan kekuatan sesuatu enjin yang dipanggil kuasa kuda, semakin besar kuasa kuda enjin tersebut semakin kuatlah keupayaan enjin tersebut, dalam bidang elektrik kuasa, ia diertikan sebagai hasil darab beza upaya dan arus elektrik yang diukur dalam kilowatt. Semakin besar kuasa sesuatu peralatan elektrik maka semakin besarlah tenaga elektrik diperlukan untuk menggunakan alat tersebut. Kesimpulannya, kuasa melambangkan pengaruh, kekuatan, hak, prestaj dan kerajaan. Ada orang yang dipanggil gila kuasa kerana sifatnya yang terlalu rakus dengan kuasa.

Bagaimana sifat Allah Yang Maha Kuasa ini ditumbuhkan dalam diri, jiwa dan tindakan kita? Perkara ini dapat difahami dengan mengambarkan diri kita sebagai Raja kepada anggota-anggota komponen tubuh yang lain, tubuh kita yang satu ini terbina daripada anggota-anggota yang lain seperti kepala, dahi, mata, telinga, tangan, dada, perut, kaki dan lain-lain lagi. Dalam tubuh kita ada jantung, hati, urat, tulang dan sebagainya. Dalam kepala kita ada otak, saraf dan pelbagai lagi. Tiga komponen utama iaitu body, mind and soul ini membentuk diri kita yang satu ini.

Justeru itu, diri kita yang satu ini perlu menjadi Raja kepada body, mind and soul. Kita perlu berkuasa untuk menguasai pemikiran supaya dekat dengan Allah, mempengaruhi anggota tubuh untuk melakukan perlakuan yang diredhai Allah, mengarahkan jiwa supaya tunduk kepada Allah dengan kuasa ihsan, cahaya iman dan sinar islam. Contohnya, semasa solat, kita berkuasa untuk membersihkan jiwa daripada sifat-sifat mazmumah , berkuasa mengarahkan anggota tubuh untuk melaksanakan 13 rukun sembahyang dengan baik, tertib dan sempurna, berkuasa merajai pemikiran khusyuk kepada Allah. Contoh yang lain, semasa melaksanakan tugas harian kita dipejabat kita berkuasa melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan kemampuan, keupayaan, kebolehan, kudrat, tenaga, pengaruh, kerajaan tubuh dan pemerintah diri ke tahap terbaik, cemerlang dan sempurna. Dengan demikian hasil daripada pekerjaan kita akan menjadi terbaik dan sempurna.

Dengan berzikir " Ya Malik" sebanyak 121 kali setiap pagi atau setelah gelincir matahari , maka dengan izin Alah kita akan sentiasa dihargai orang secara sewajarnya dan hidup dalam kecukupan.

Wednesday, May 20, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 4)

" Yang Maha Pengasih"

Ar-Rahim adalah nama Allah yang ke-tiga, maksudnya Allah itu Maha Pengasih, Dia mengasihi semua hambaNya yang beriman kepadaNya. Ada juga yang mentafsir Ar-Rahim sebagai Yang Maha Penyayang, samada pengasih atau penyayang ia daripada satu rumpun, iaitu Rahmat, yang bererti murah, kasih, sayang, cinta dan rindu. Allah mengasihi, menyayangi, mencintai dan merindui hambaNya yang beriman kepada Nya, beriman kepada kalimah tauhid, "Tiada Tuhan yang disembah, melainkan Allah". Itulah sifat Allah Yang Maha Pengasih.

Apakah sebab kedua sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim dijelaskan dahulu daripada nama-namaNya yang lain? Perkara ini dapat difahami jika kita bayangkan orang yang masih primitif kepercayaannya terhadap Tuhan, kita telah mengetahui bahawa kepercayaan adanya Zat Yang Maha Kuasa, adalah sama tumbuhnya dengan akal manusia. Tetapi sebahagian daripada mereka mengambarkan tuhan itu sebagai sesuatu yang amat ditakuti, amat menakutkan, seram, kejam dan ganas yang memaksa orang memujanya. Lalu disediakan sembelihan kurban sebab Tuhan itu dahaga darah kurban, lantas didirikan orang berhala yang bentuknya sangat seram, matanya terbeliak, giginya bersiong yang keluar di kiri dan kanan dari mulutnya, yang tidak hilang murkanya kalau tidak diberikan korban.

Justeru, sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim mengambarkan sifat utama Tuhan, iaitu Allah, yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, Allah itu bukan pembenci dan pendendam, bukan haus darah kurban. Bukan kejam, ganas, menyeramkan dan menakutkan. Allah itu sebagaimana namaNya yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Bagaimana kita menumbuhkan sifat Ar-Rahim Allah itu ke dalam jiwa, pada pemikiran dan tindakan kita? Perkara ini dapat dilakukan dengan menyemai perasaan cinta, kasih dan sayang secara tulus ikhlas kerana Allah kepada sesama muslim, bermula daripada ibubapa, ahli keluarga terdekat, sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai, rakan seperjuangan, orang dipersekitaran kita dan sebagainya. Bila sifat Ar-Rahim ini tumbuh dalam hati kita maka kita tidak akan menyakiti hati dan mengecewakan orang yang kita cinta, kasih dan sayang itu kerana cinta, kasih dan sayang kita itu kepada mereka adalah kerana Allah. Dengan berwirid 100 kali sehari menyebut YA-RAHIM akan melembutkan hati orang lain untuk menyayangi anda dan anda menyayangi orang lain, menyebabkan urusan anda dengan orang lain akan menjadi mudah dan senang.

Tuesday, May 19, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 3)

"Yang Maha Pemurah"

Ar-Rahman adalah nama Allah S.W.T yang kedua. Maksudnya Yang Maha Pemurah. Allah itu Maha Pemurah kepada semua makhlukNya, melalui sifat RahmanNya, semua makhlukNya, dari golongan malaikat, jin, syaitan, manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, langit dan bumi, matahari dan bulan, bintang dan segala galaksi diangkasa lepas, dan seluruh makhluknya dibumi dan dilangit mendapat kemakmuran yang tidak dapat diperhitungkan lagi banyaknya kerana sifat RahmanNya itu.

Ada juga yang mentafsirkan Ar-Rahman sebagai Yang Maha Pengasih, samada Yang Maha Pengasih atau Yang Maha Pemurah, prinsipnya sama, iaitu bersifat 'memberi' atau 'mengurniakan', selaras dengan firmannya dalam hadist kursi "Aku perbendaharaan yang tersembunyi".

Pada malaikat dikurniakanNya ketaatan dan kebaikan, pada syaitan dikurniakanNya kemungkaran dan kejahatan, yang daripada kemungkaran dan kejahatan itu, manusia mengenal ketaatan dan kebaikan, pada Jin dikurniakan-Nya umur yang panjang, pada manusia dikurniakan akal dan fikiran, pada haiwan dikurniakanNya nafsu, pada tumbuh-tumbuhan dikurniakanNya klorofil hijau, pada matahari dikurniakanNya cahaya, pada bulan dikurniakan-Nya sinar, pada bintang dikurniakanNya petunjuk dan begitulah seterusnya.

Itulah Allah yang bersifat Ar-Rahman. Pada manusia dikurniakanNya tanah, air, angin dan api untuk manfaat seluruh manusia, samada manusia itu mungkar atau taat kepadaNya, mereka tetap menerima manfaat kurniaan daripada sifat Ar-RahmanNya. Samada Yahudi, Nasrani, Islam, Hindu, Buddha hatta orang aties sekalipun (tidak percaya kepada Tuhan) menerima manfaat daripada sifat Ar-RahmanNya itu.

Bagaimana kita menyerapkan sifat Rahman di dalam jiwa, pemikiran dan tindakan kita? tindakan pertama yang kita perlu lakukan ialah membebaskan hati kita daripada buruk sangka, prejudis dan niat buruk kepada sesiapapun, samada muslim atau non-muslim, islamik atau non-islamik. Bebaskan hati daripada belenggu prasangka buruk kepada sesiapapun. Bila hati telah jernih, bening dan bersih, maka sifat Rahman itu akan subur dan mekar dalam diri.

Hasilnya ialah jika Lim Kit Siang yang beragama Buddha dalam kesusahan kita hulurkan bantuan membantu beliau, jika Murugiah yang beragama Hindu dalam kepayahan kita berikan pertolongan menolong beliau, jika Mahadir yang beragama islam dalam kesukaran kita redakan kesukaran beliau, begitulah seterusnya. Kita bersifat suka 'memberi', suka 'menolong' dan suka 'membantu', itulah caranya kita memasukan sifat Ar-Rahman Allah itu ke dalam diri kita. Sehingga diri kita menjadi sebati dengan sifat pemurah, suka menderma, suka membantu, suka memberi, suka menolong dan suka menasihat.

Jika kita berzikir "Ya Rahman" sebanyak 500 kali selepas selesai solat 5 waktu, serta memahami dan menghayati makna AsmaNya itu akan menjadikan kita bersifat kasih sayang, pemurah dan pengasih. Insyaallah dengan demikian atas izin Allah, hati akan menjadi terang dan tidak mudah lupa.

Monday, May 18, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 2)

99 Nama Allah S.W.T ialah 1. Allah 2. Al-Rahman 3. Al-Rahim 4. Al-Malik 5. Al Qudus 6. As-Salam 7. Al-Mukmin 8. Al-Muhaymin 9. Al-Aziz 10. Al-Jabbar 11. Al-Mutakabir 12. Al-Khaliq 13. Al-Baari' 14. Al-Musawwir 15. Al-Ghaffar 16. Al-Qahhar 17. Al-Wahhab 18. Ar-Razzaq 19. Al-Fattah 20. Al-Alim 21. Al-Qaabid 22. Al Baasit 23. Al-Khaafid 24. Ar-Raafi' 25. Al Mu'izz 26. Al-Muzil 27. As-Sami' 28. Al-Basir 29.Al-Hakam 30. Al-'Adlu 31. Al-Khabir 32. Al-Halim 33. Al-'Azim 34. Al-Ghafur 35. Asy-Syakur 36. Al-'Aliyu 37. Al-Kabir 38. Al-Hafiz 39. Al-Muqit 40. Al-Hasib 41. Al-Jalil 42. Al-Karim 43. Ar-Raqib 44. Al-Mujib 45. Al-Waasi' 46. Al-Hakim 47. Al-Wadud 48. Al-Majid 49. Al-Baa'its 50. Asy-Syahid 51. Al-Haqqu 52. Al-Wakil 53. Al-Qawiyu 54. AL-Matin 55. AL-Waliyu 56. Al-Hamid 57. Al-Muhsi 58. Al-Mubdi'u 59. Al-Mu'idu 60. Al-Muhyi 61. Al-Mumit 62.Al-Hayyu 63. Al-Qayyum 64. Al-Waajid 65. Al-Maajid 66. Al-Waahid 67. Al-Ahad 68. As-Samad 69. AL-Qaabir 70. Al-Muqtadir 71. Al-Muqaddim 72. Al-Muakhir 73. Al-Awwal 74. Al-Akhir 75. Az-Zahir 76. Al-Baatin 77. Al-Waali 78. Al-Muta'ali 79. Al-Barru 80. At-Tawwabu 81. Al-Muntaqim 82. Al-Al-'Afuwu 83. Ar-Ra'ufu 84. Maalikul-Mulki 85. Dzul-Jalaali Wal-Ikram 86.Al-Muqsith 87. Al-Jaami'u 88. Al-Ghaniyu 89. Al-Mughni 90. Al-Maani'u 91. Adh-Dharru 92. An-Naafi'u 93. An-Nuur 94. Al-Haadi 95. Al-Badi'u 96. Al-Baaqi 97. Al-Waarits 98. Ar-Rasyid dan 99. As-Sabbur. Inilah yang dinamakan Asma Ul Husna. Inilah nama Allah dan mencerminkan sifatNya melalui nama tersebut yang Maha Agung, Yang Maha Tinggi dan Yang Maha Sempurna. 99 nama ini wajar kita tanam dan suburkan dalam diri, jiwa dan pemikiran kita sehingga ia subur menghijau dan segar mekar sehingga semua tindakan kita adalah cerminan daripada 99 nama tersebut.

Dalam post ini kita mulakan dengan nama Allah S.W.T yang pertama iaitu ALLAH. ALLAH adalah Zat Yang Maha Tinggi, Maha Mulia dan Maha Kuasa. Zat Pencipta Seluruh Alam, langit dan bumi, matahari dan bulan, dan seluruh yang ada. DIA adalah yang wajibul wujud, yang sudah pasti ADA, yang mustahil tiada. Dalam bahasa melayu kuno dapat diertikan sebagai Dewa atau Tuhan. Segala sesuatu yang dianggap sakti dan dipuja. Pada batu bersurat Terengganu yang ditulis dengan huruf arab, kira-kira tahun 1303 Masehi, kalimat Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah diertikan dengan Dewata Mulia Raya. Lama kelamaan, perkembangan bahasa melayu dan indonesia semakin maju, kata-kata dewa tidak dipakai lagi bagi mengungkap Tuhan. Tuhan dalam konteks bahasa melayu dan indonesia adalah merujuk kepada ALLAH. Dalam perkembangan bahasa masa kini, sayugia diperingatkan bahawa istilah Tuhan antara orang islam dan kristian adalah berbeza.

Kita orang islam apabila menyebut Tuhan ia merujuk kepada ALLAH, Zat Yang Berdiri Dengan sendiri Nya, kepada Nya kita memohon segala sesuatu, tidak beranak dan diperanakan, dan tidak ada yang menandingiNya sesuatu jua pun, berbeza dengan orang kristian apabila menyebut Tuhan ia merujuk kepada Yesus Kristus, kadang-kadang bercampur baur, sebab menurut ajaran mereka tuhan adalah 'Triniti", atau Tri-Tunggal, yang tiga tetapi satu, dia yang satu tetapi tiga. Dia yang tiga tetapi satu itu ialah Tuhan bapa, Tuhan anak(Isa Al Masih) dan Tuhan ibu (Rohul Kudus). Mereka menyebutnya "Tuhan Yesus". Jadi Tuhan dalam kacamata Islam dan kristian adalah berbeza. Allah tidak dapat digambarkan oleh imiginasi pemikiran manusia, jika Ia dapat digambarkan maka ia bukan Allah.

Bagaimana kita menanam nama ALLAH di dalam jiwa, tubuh dan pemikiran kita sehingga ia subur, mekar dan sebati? Jawaban nya ialah kita mulakan segala aktiviti rutin dalam kehidupan dengan memulakannya dengan nama ALLAH seperti membaca Bismillah, sebaik sahaja tersedar daripada tidur disubuh hari, semasa bangun kita ucapkan Alhamdulilah kerana Allah masih memberikan nafas untuk kita hidup, gosok gigi kita mulakan dengan Bismillah, bila mandi kita baca bismillah, mendirikan solat subuh kita mulakan dengan niat kepada Allah, kita masuk kenderaan untuk ke pejabat kita mulakan dengan nama Allah, melangkah kaki turun dari kenderaan ke pejabat kita sebutkan Allah, mengadap komputer untuk memulakan kerja kita mulai dengan Bismillah, masa sarapan pagi kita mulai dengan Bismillah, kita sambung kerja lagi selepas sarapan kita mulai dengan Bismillah, bila tiba masa rehat tengah hari kita ucapan nama Allah, semasa menyambung kerja semula kita ucapkan Allah.

Malahan semasa nafas naik zikirkan Ya Allah dan semasa nafas turun zikirkan Ya Allah. Zikir ini dinamakan zikir Ismudz Zat, yang terkumpul seluruh fadhilat zikir Al Asma ul Husna. Mereka yang mengamalkannya dengan hati yang khusyuk dan memenuhi segala tertib, rukun dan syaratnya semata-mata mengharapkan keredaan Allah S.W.T, Insyallah akan mendapat manfaat yang tidak terhingga nilainya. Berzikir Ismudz Zat sebanyak 5000 kali setiap hari dengan mengikut kaedah-kaedahnya yang benar akan memberikan fadilah kebersihan rohani dan merupakan syarat mutlak untuk dapat menghubungkan diri dengan Zat Yang Mahasuci Isyaallah.

Zikir Ya Allah itu boleh disebutkan secara jahar(kuat) atau secara sirr(perlahan dalam hati). Digalakkan secara sirr supaya tidak menimbulkan fitnah. Zikirkan Allah, Allah, Allah Ya Allah sepanjang masa, setiap ketika dan setiap masa di dalam hati kita. Lakukan sehingga zikir itu meresap ke dalam pemikiran separa sedar (subconscious mind) kita. Insyaallah, Anda akan bertemu suatu kenikmatan jiwa berupa kelapangan dada, ketenangan fikiran dan kejernihbeningan jiwa yang tidak terungkap dengan kata-kata tapi dirasai didasar hati.

Saturday, May 9, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 1)

"Kepunyaan Allah nama-nama yang indah"
- (Al-A'raf 7:180).

Nama-nama itu disifatkan indah kerana ia berupa sifat-sifat ketinggian, keagungan dan keluhuran yang dimiliki oleh Allah S.W.T. , 99 nama-nama itu mencerminkan 99 sifatNya Yang Maha Tinggi, Yang Maha Agung dan Yang Maha Sempurna. Kita sebagai hambaNya yang dikurniakan oleh Nya akal, boleh membaca, mengira, menulis, boleh memahami dan boleh menghayati erti 99 nama tersebut sewajarnya menerapkan 99 sifat-sifat tersebut ke dalam diri kita ketahap yang terbaik dan sesempurna mungkin di atas kapasiti kita sebagai hamba. Dengan demikian, barulah sempurna pengabdian dan penghambaan kita itu kepada Nya.

Sesiapa yang menyebut satu nama daripada nama-namaNya, serta memuja dan memuji dengan satu sifat daripada sifat-sifatNya (berzikir), maka sebutan itu pun menuntutnya supaya menumbuhkan sifat ke dalam diri nya sesuai dengan apa yang disebutnya dalam zikir tersebut. Contohnya, Al-Rahman adalah salah satu nama Allah yang bermaksud Maha Pemurah kepada segala makhluk-Nya dimana kemakmuran yang diperolehi daripada sifat Al-RahmanNya itu kepada kita itu tidak terhitung lagi, samada kepada orang muslim ataupun non muslim, binatang liar atau tumbuh-tumbuhan di dalam hutan khatulistiwa. Semua makhlukNya merasai, menikmati dan mendapat kemakmuran kerana sifatNya Yang Maha Pemurah.

Contohnya, udara yang mengandungi oksigen untuk kita bernafas, air dari gunung ganang dan mata air untuk kita minum, lautan sebagai media pengangkutan, hujan yang menyirami tanaman, tanah untuk kita bercucuk tanam, api yang kita gunakan untuk memasak dan sebagainya. Allah S.W.T melalui sifat RahmanNya mengurniakan udara, air, api dan tanah kepada semua makhlukNya samada yang baik atau yang jahat, yang mentaatiNya atau yang memungkiriNya. Semuanya mendapat faedah daripada sifat RahmanNya. Itulah maksud Allah S.W.T Yang Maha Pemurah.

Sifat Al-Rahman itu sewajarnya kita serapkan kedalam diri, jiwa dan pemikiran kita sehingga hati kita menjadi subur dengan sifat Al-Rahman. Bila sifat Al-Rahman itu menyubur dalam jiwa kita , maka, jika kita melihat Sami Vellu yang beragama Hindu di dalam kesusahan kita hulurkan tangan untuk membantu, jika kita bertemu, Ong Ka Ting yang beragama Buddha di dalam kepayahan, kita hulurkan tangan untuk menolong dan begitulah seterusnya. Jika kita melihat kucing dalam kelaparan, kita berikan makanan untuk kucing itu makan, jika kita melihat tanaman kekeringan, kita serami air supaya ia segar dan begitulah seterusnya.

Sesiapa yang telah mengenali nama Tuhannya, maka dia akan merasai kenikmatan jiwa yang tenang, menyenangiNya dan meningkatkan martabatnya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang membesarkan nilai penghargaannya kepada Allah maka Allah akan juga akan membesarkan nilai diri hambanya itu.