Showing posts with label Sultan. Show all posts
Showing posts with label Sultan. Show all posts

Saturday, September 27, 2014

Teks penuh titah ucapan Sultan Selangor


Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Bismillahir Rahmanir Rahim.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana  dengan  limpah  dan  kurnianya pada hari ini,  Beta  dapat  mengadakan Pelantikan  Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) pada petang ini.  

Seperti yang kita sedia maklum pelantikan Exco yang baru ini adalah disebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP) tiada mempunyai keyakinan kepada Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim yang menyandang Menteri Besar Selangor, yang dilantik selepas Pilihanraya Umum ke 13. Oleh itu seorang Menteri Besar yang baru dan Exco yang baru juga perlu dilantik untuk mentadbirkan Kerajaan Negeri Selangor ini.

Kemelut dan pergolakan dalam Parti Pakatan Rakyat ini bermula daripada Pakatan Rakyat membuat “Kajang Move”-Langkah Kajang dan bermulalah usaha mereka untuk menyingkirkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Dengan ini timbullah pelbagai hasutan dan tomahan untuk memburukkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim supaya dapat diturunkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor. Perkara  hasut  menghasut  dan  melempar tohmahan-tohmahan  terhadap  Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim berterusan walaupun semasa bulan suci Ramadhan, dimana umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal yang diredhai oleh Allah Subhanahu Wata’ala untuk membersihkan dosa dan maksiat. Beta telah menyeru dan mengingatkan beberapa kali, rakyat Melayu beragama Islam di Negeri Selangor ini supaya di bulan Ramadhan yang mulia ini hendaklah sentiasa bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan melakukan amal jariah kita supaya diterima Allah.

Tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap meneruskan agenda mereka  walaupun  dalam  bulan  suci  Ramadhan dengan terus  menghina  dan  mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat mereka untuk menjatuhkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Di sini Beta  ingin  mengucapkan  terima  kasih kepada Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim yang telah menjalankan tugas beliau dengan jaya dan sempurna sebagai Menteri Besar, yang mana hubungan Istana dengan beliau telah berjalan dengan baik dan lancar.

Krisis yang berlaku berkenaan dengan Menteri Besar Selangor ini telah membuka mata dan hati serta pandangan Beta terhadap politik di Negeri Selangor ini. Ahli-ahli politik datang dan pergi, mereka akan berkhidmat untuk selama 5 tahun dan mungkin akan diganti pada pilihanraya yang akan datang. Tetapi kedudukan Beta sebagai Sultan yang memerintah Negeri Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat Beta.

Sebagai Sultan yang memerintah, tugas-tugas Beta amatlah berat untuk memastikan rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini dapat menikmati hidup yang berkualiti dan pembangunan Negeri yang sempurna. Beta tidak campur tangan dalam pentadbiran Negeri yang dijalankan oleh Menteri Besar. Beta hanya menasihatkan Menteri Besar jika terdapat sesuatu perkara yang boleh menyusahkan rakyat.

Beta ingin mengingatkan bahawa Sultan itu bukanlah sahaja dalam istiadat dan majlis rasmi, tetapi kuasa Sultan adalah untuk melihat negeri dan rakyat Negeri Selangor ini hidup dalam keamanan dan maju jaya.

Oleh kerana rakyat tidak diberi kefahaman akan fungsi sebenar Sultan, rakyat beranggapan Institusi Raja itu adalah sebagai lambang sahaja tanpa mempunyai  apa-apa peranan dan kuasa yang diperuntukkan dibawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Beta dapati ada ahli politik yang tidak faham akan peranan dan kuasa Institusi Raja atau mereka sengaja tidak memahaminya kerana Beta yakin mereka mempunyai agenda yang lain.

Beta adalah Sultan yang memerintah Negeri Selangor sentiasa berpandukan pemerintahan Beta dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang telah di meterikan pada tahun 1959.

Rakyat Negeri Selangor yang berbilang kaum dan berbilang agama serta mempunyai pelbagai adat resam mahukan Negeri Selangor ini aman dan makmur, bebas mengamalkan  agama masing-masing serta dapat hidup dalam tenteram dan harmoni.

Seterusnya Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Negeri Selangor yang menyokong Beta dalam kemelut pelantikan Menteri Besar di Negeri Selangor ini dan mempercayai Beta dalam menyelesaikan kemelut ini. Beta sentiasa memikirkan ketenteraman, kemakmuran dan keharmonian rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini.

Tidak lupa juga Beta  mengucapkan terima kasih kepada pihak media arus perdana yang telah berkerjasama dengan pihak Istana dalam menyiarkan kenyataan-kenyataan akhbar dari Istana.

Disamping itu Beta mahukan orang Melayu Islam janganlah berpecah belah dan tidak extremis atau mengelirukan rakyat hingga mengikut ajaran agama sesat.

Beta tidak mahu orang Melayu Islam berpuak-puak, mencaci antara sesama sendiri, hingga meruntuhkan kemuafakatan orang Melayu yang mana Beta kuatiri suatu hari kelak jika perkara ini berterusan, orang Melayu akan menuju kehancuran.

Kemanakah hala tuju, dan kemanakah perginya orang Melayu nanti. Beta sentiasa berdoa agar Allah Subhanahu Wata’ala membuka hati mereka supaya dapat melihat kebenaran dan seterusnya bersatu padu didalam memelihara dan mempertahankan tanah air kita yang dikasihi ini. Janganlah mudah sangat orang Melayu diperdaya sehingga maruah tergadai demi untuk kepentingan sendiri.

Kepada Ahli-Ahli Exco yang baru, Beta menyeru supaya memberi sokongan yang padu kepada Yang Amat Berhormat Tuan Mohamed Azmin Bin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru. Lupakan segala sengketa yang lalu dan tumpukan segala tenaga, kepakaran dan pengalaman disertakan dengan keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat Negeri Selangor yang telah memberi mandat kepada tuan-tuan dan puan-puan sebagai wakil rakyat mereka. Rakyat tidak suka melihat Negeri Selangor ini didalam kucar kacir dan mereka tinggal didalam ketakutan dan kesengsaraan.

Beta berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga dengan pelantikan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru ini, parti-parti yang telah diberi mandat untuk memerintah Negeri Selangor  akan dapat berkerjasama untuk mentadbir Kerajaan Negeri dengan penuh jujur dan ikhlas demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Negeri Selangor. Rakyat  menaruh harapan supaya mereka dapat tinggal di Negeri Selangor yang kaya dan maju ini serta dapat menikmati segala kemakmuran yang ada di dalamnya.

Beta sentiasa berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala supaya Negeri Selangor yang kita kasihi ini dirahmatiNya dan dilindungi daripada segala malapetaka dan apa juga yang boleh menyusahkan rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini. Amin.

Sekian.

Wednesday, September 17, 2014

Hak dan Kuasa Sultan Selangor - Oleh Tun Maharezza




1.Undang-Undang tubuh negeri selangor perkara 51(1) 51(2) 5 (2)a 53(4) memperuntukan kuasa Sultan untuk melantik dan memperkenankan Menteri Besar.

2.Sultan tidak berkuasa memilih calon Menteri Besar kerana kuasa Sultan hanya untuk melantik Menteri Besar.

3.Kuasa memilih calon Menteri Besar adalah didalam kuasa ADUN-ADUN Selangor.

ADUN-ADUN Selangor berkuasa memilih 1 orang daripada kalangan mereka sebagai calon MB. Pun begitu , pilihan calon MB oleh ADUN-ADUN Selangor tidak bersifat mutlak dan ianya boleh ditolak Sultan walaupun orang itu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri.

4.Selain kuasa melantik MB yang dibawah kuasa Sultan , Sultan juga berhak untuk perkenan ataupun tidak perkenankan calon MB pilihan majoriti ADUN.

Kuasa perkenan dan kuasa melantik adalah kuasa mutlak Sultan yang tidak boleh dicabar oleh apa jua perundangan.

5.Walaupun sultan tidak berkuasa memilih calon MB , dan walaupun adun berkuasa memilih calon MB, namun Sultan berhak untuk tidak perkenan pilihan adun tersebut dan sultan berhak utk tdk melantik calon pilihan adun tersebut.

Adun adun tidka boleh memaksa sultan perkenan dan melantik calon pilihan mereka.

6.Sultan boleh menggunakan hak perkenan baginda untuk menolak calon pilihan adun adun tersebut untuk dilantik MB.

Kuasa pilihan adun adun tidak ditolak dan tidak dicabar oleh sultan , adun adun masih boleh memilih calon MB daripada kalangan majority mereka.

Sultan berhak tidak perkenankan calon tersebut , dan sultan harus maklumkan secara rasmi kepada adun adun majority dalam dun negeri bahawa beliau tidak perkenankan calon pilihan mereka dan ianya harus dipilih calon lain daripada kalangan majoriti adun adun tersebut.

7. Adun adun tidak perlu mencabar baginda sultan jika adun adun tersebut menghormati perlembagaan negara yang ditunjangi oleh sistem raja berperlembagaan.

Daulat Tuanku

Oleh

TMX

Tunmahani II

Saturday, September 18, 2010

Helah British Mengambil Singapura Dari Tangan Kesultanan Johor-Riau

Raffles berpendapat bahawa amat penting bagi British mengambil Pulau Singapura atau Pulau Karimun kerana kedudukannya yang sangat strategik disamping untuk menyaingi pengaruh Belanda yang semakin kuat di gugusan pulau-pulau melayu, tetapi akhirnya Raffles membuat keputusan untuk mengambil Pulau Singapura, maka bertolaklah Raffles dengan diiringi Mayor Farquhar ke Pulau Singapura daripada Pulau Pinang.

Pada tarikh 29 Januari 1819 mendaratlah Raffles ke Pulau Singapura. Temenggung Abdul Rahman memerintah Pulau Singapura diatas nama Sultan Johor-Riau-Lingga dan jajahan takluknya, aktiviti ekonomi utama rakyat singapura yang berjumlah lebih kurang 300 orang itu, hanya menangkap ikan dan memburu dihutan. Rumah yang paling cantik dan berupa macam rumah hanyalah rumah Temenggung Abdul Rahman, rumah-rumah lain hanyalah berdindingkan buluh dan beratapkan rumbia dan nipah. Kehidupan rakyat jelata hanyalah umpama 'kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang' Terdapat pukat-pukat dijemur dipersisiran pantai dan sampan-sampan nelayan.

Setibanya Raffles di Pulau Singapura, beliau bertemu dengan Temenggung Abdul Rahman. Raffles memujuk Temenggung untuk membenarkan Kompeni British mendirikan logi di Pulau Singapura, dengan pembinaan logi tersebut dijangkakan ia akan merancakkan aktiviti ekonomi di Pulau Singapura, tetapi, dengan syarat Temenggung Abdul Rahman perlu mengikat perjanjian dengan Kompeni Inggeris untuk tidak berkerjasama dan membenarkan kerajaan selain daripada Kompeni Inggeris bertapak di Pulau Singapura.

Raffles dengan bijaksana bertanya kepada Temenggung Abdul Rahman, perjanjian ini perlu ditandatangi oleh Sultan, Siapa Sultan? Raffles tahu bahawa di Istana Riau pada ketika itu, berlaku perselisihan keluarga. Sultan Johor-Riau-Langga baru ditabalkan dengan persetujuan Belanda, yaitu, Sultan Abdul Rahman Muazam Syah(1818). Justeru, mana mungkin Sultan Abdul Rahman Muazam Shah bersetuju berkerjasama dengan Kompeni Inggeris kerana baginda telah mengikat perjanjian berkerjasama dengan Belanda. Sambil mereka-reka draf perjanjian yang bakal ditandatangani maka Raffles mengambil kesempatan terhadap perselisihan keluarga yang berlaku dalam Istana Riau.

Sepatutnya yang menjadi Sultan Johor-Riau-Langga ialah Tengku Long (Sulung) kerana baginda ialah putera yang tertua (sulung), tetapi kerana sebab-sebab tertentu maka dilantik Abdul Rahman sebagai Sultan yang bergelar Sultan Abdul Rahman Muazam Shah oleh Belanda. Tengku Long akhirnya merempat dan hidup seperti rakyat biasa, malahan Tengku Long tidak diberikan elaun sara hidup untuk meneruskan kehidupan. Raffles menghantar wakil beliau bertemu dengan Tengku Long untuk melantik baginda menjadi Sultan Pulau Singapura dan menjemput Tengku Long datang ke Pulau Singapura.

Pada tanggal 2 Februari 1819 maka sampailah Tengku Long ke Pulau Singapura. Baginda disambut dengan hormat penuh istiadat oleh Raffles dan Temenggung Abdul Rahman. Pada tanggal 6 Februari 1819 maka diadakan upacara istiadat melantik baginda sebagai Sultan Pulau Singapura dengan panggilan Sultan Hussain Shah. Sebaik sahaja selesai pertabalan tersebut maka dibuatlah perjanjian dengan Sultan Hussain Shah dengan Inggeris. Inggeris mengakui bahawa Sultan berhak dalam menghukum rakyatnya, bangsa melayu, tetapi kuasa untuk menjaga keamanan di Pulau Singapura diberikan kepada Inggeris sepenuhnya. Sebagai imbuhan, Sultan diberikan elaun sebanyak 5,000 Dollar Sepanyol setahun dan Temenggung diberikan elaun sebanyak 3,000 Dollar setahun. Dalam masa yang sama Sultan diberikan gaji sebanyak 1,500.00 Dollar sebulan dan Temenggung diberikan sebanyak 800.00 Dollar sebulan. Sejak daripada tarikh itu, maka terpecah dualah kerajaan melayu yang besar, sebahagian dibawah Belanda iaitu kepulauan Riau Lingga, kepulauan Karimon dan Singkep, manakala satu lagi dibawah Inggeris iaitu Pulau Singapura dan Johor.

Agenda Kompeni Inggeris tidak mati setakat itu, matlamat akhir mereka ialah menakluk sepenuhnya Pulau Singapura dan menjadikan Singapura sebagai milik mereka sepenuhnya. Maka ketika resident Inggeris bernama John Crawfurd memerintah(1824), diaturkannya satu rancangan, dimana gaji Sultan dan gaji Temenggung tidak dibayar oleh Crawfurd. Maka terpaksalah Sultan dan Temenggung berhutang untuk meneruskan kehidupan. Semakin lama semakin banyak hutang Sultan dan Temenggung. Bila Sultan dan Temenggong meminta gaji mereka, Crawfurd berkata tunggu bulan depan, bila sampai bulan yang dijanjikan, Crawfurd menagguhkan lagi pemberian gaji tersebut kepada bulan hadapan, demikianlah seterusnya.

Setelah Sultan dan Temenggung benar-benar terhimpit oleh hutang, akhirnya Crawfurd mengusulkan kehendaknya yang baru kepada Sultan dan Temenggong, berikut ialah kehendak baru Kompeni Inggeris:-

(a) Serahkan sepenuhnya Pulau Singapura dan Pulau-Pulau sekelilingnya kepada inggeris.
(b) Inggeris membayar gantirugi sekaligus sebanyak 33,200 Ringgit kepada Sultan dan 26,800 Ringgit kepada Temenggung.
(c) Selama masih hidup Sultan dibayar gaji sebanyak 1,300.00 sebulan dan Temenggung dibayar 700.00 Ringgit sebulan.
(d) Kalau Sultan dan Temenggung meninggalkan Pulau Singapura, masing-masing akan dibayar sebanyak 20,000.00 Dollar Sepanyol.

Disebabkan desakan kewangan dan himpitan hutang, maka, Sultan dan Temenggung tidak berfikir panjang lagi, mereka menerima tawaran yang diberikan oleh Crawfurd tanpa banyak soal. Akhirnya Sultan Husain Shah berpindah ke Melaka dan di Melakalah baginda meninggal manakala Temenggung Abdul Rahman terus menetap di Pulau Singapura sehingga beliau meninggal. Maka, sejak dari itu, lepaslah Singapura kepada Inggeris dan menjadi milik Inggeris sepenuhnya.

Pada hari ini, dari Tembok Johor kita boleh melihat bangunan pencakar langit berceracakkan di Pulau tersebut, pada malam hari, ia diterangi dengan lampu neon yang berwarna-warni, ia telah menjadi Pusat Perdagangan Asia Tenggara,berkumpul disana segala bangsa dari seluruh dunia. Anak melayu masih ada tetapi terpencil dikaki-kaki bukit, diperkampungan dan persisiran sungai. Semua jawatan penting negara disandang oleh orang bukan melayu dan orang melayu seperti melukut di tepi gantang.

(Diadaptasi daripada Dari Perbendaharaan Lama oleh Prof. Dr. HAMKA)