1. Palestin merupakan hak milik bangsa Arab dan mereka tidak dapat menerima sekiranya golongan pendatang berhasrat merampas tanah air mereka.
2. Palestin adalah kesucian bagi bangsa Arab dan mereka tidak akan melupakan ancaman dan bahaya yang wujud di sekelilingnya.
3. Bahaya Zionis yang mengancam Palestin pada masa ini akan menjadi barah kepada mereka dan bangsa Arab secara keseluruhannya.
4. Demonstrasi di peringkat kebangsaan yang membawa kepada bantahan yang kuat dan berterusan daripada penduduk di seluruh tanah air kepada British dan kuasa Eropah yang lain yang menunjukkan penolakan mereka ke atas imigrasi Zionis dan tidak mahu Palestin menjadi mangsa ketamakan dan menekankan kesediaan mereka untuk mempertahankan kesucian tanah air yang menjadi warisan mereka (Ingrams, 1972:93).
Reaksi Awal Masyarakat Arab Palestin
Sejak tahun 1917, bangsa Palestin lantang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap usaha Zionis dan juga pentadbiran British di wilayah tersebut. Serentak dengan kemasukan pendatang Yahudi di Palestin pada 1919, masyarakat Arab tempatan yang terdiri daripada komuniti Islam dan Kristian mengadakan First Palestinian Arab Congress pada awal 1919 di Jerusalem bagi membincangkan persoalan Zionisme dan masa depan politik Palestin. Kesatuan antara dua agama dan komuniti ini menunjukkan wujudnya kesepakatan dalam kalangan penduduk tempatan bagi membantah kemasukan pendatang Yahudi. Persidangan mencapai kata sepakat untuk melihat penyatuan dan kemerdekaan Palestin sebagai Syria Selatan (Con Sherbok & El-Alami, 2001: 106).
Pada Ogos 1921, kesatuan Muslim dan Kristian Arab, termasuklah Dato’ Bandar Jerusalem, Musa al-Husayni (1850-1934) membawa isu tersebut ke London. Wakil kedua-dua pihak tersebut membantah usaha Israel dan pemberontakan yang berlaku pada bulan Mei 1917 membawa dua langkah penting dalam pentadbiran di Palestin, iaitu penubuhan Majlis perwakilan pada 24 Julai 1922 dan juga pengisytiharan kuasa mandat ke atas Palestin oleh Pertubuhan Liga- Liga Bangsa (Rhett, 2008: 229 ).
Sesuatu yang menarik untuk dinilai semula di sini ialah sistem mandat yang diperkenalkan selepas berakhirnya Perang Dunia Pertama ini dilaksanakan dengan bersandarkan Artikel 22 Persetujuan oleh Pertubuhan Liga Bangsa dalam Persidangan Paris 1919. Di bawah artikel ini menjelaskan bahawa wilayah yang didiami oleh penduduk yang tidak mampu untuk mengadakan pentadbiran sendiri akan diberikan kepada bangsa yang maju sehingga sampai satu tempoh mereka berupaya untuk menguruskan sendiri urusan pentadbiran. Sebagaimana deklarasi Balfour, kuasa mandat ini mengakui ‘hubungan sejarah antara bangsa Yahudi dan Palestin dan memastikan pengiktirafan ‘national home’ kepada bangsa Yahudi.
Di samping itu, agensi-agensi Yahudi yang bersesuaian akan dibentuk untuk memberikan nasihat dan kerjasama. The World Zionist Organization dikenal pasti sebagai medium yang sesuai untuk menubuhkan Agensi Yahudi secara rasmi pada 1929. Imigrasi Yahudi akan diselaraskan di samping memastikan hak dan kedudukan bangsa lain tidak diabaikan (www.palestinefacts.org). Di antara tahun 1919-1920, terdapat lebih daripada 10,000 imigran Yahudi memasuki Palestin. Sebahagian besar daripada mereka adalah golongan pekerja dan lebih kurang 8,294 memasuki Palestin pada tahun 1921. Persaingan pelbagai puak di antara
golongan pekerja ini membawa kepada pertelingkahan di antara Arab-Yahudi (Smith, 1992: 72).
Bagi kedua-dua bangsa Arab dan Yahudi, isu tanah dan pemilikannya merupakan satu perkara yang serius yang berkait rapat dengan semangat kebangsaan mereka. Masyarakat Arab Palestin, terutamanya yang beragama Islam, 90 peratus daripada mereka terlibat dengan pertanian berbanding peratusan yang kecil dalam kalangan bangsa Yahudi. Pemilikan tanah kemudiannya menjadi isu yang penting dan utama sebagai asas menubuhkan negara Israel.
Zionis telah pun mengenal pasti isu ini sejak awal lagi. Dana Kebangsaan Zionis ditubuhkan pada Kongres Zionis yang ke-5, pada 1901 untuk menyelaraskan dan mengkoordinasikan usaha pemilikan dan pembelian tanah dan memastikan tanah yang telah dimiliki tidak boleh dijual (Smith, 1992: 82-83).
Perjuangan bangsa Arab di Palestin tiada kaitan dengan anti-semitik, malahan dunia Arab juga merupakan tumpuan bagi pelarian Yahudi sehingga pengisytiharan deklarasi Balfour yang dilihat sebagai api dalam sekam yang merosakkan hubungan kejiranan antara dua buah komuniti tersebut. Tuntutan Zionis terhadap Palestin adalah tidak sah dan tidak bermoral. Isu ini dikaitkan dengan hubungan Yahudi dengan Palestin sejak 2000 tahun yang lampau. Berdasarkan asas ini juga, orang Arab juga lebih layak menuntut wilayah-wilayah di Sepanyol, Perancis, Turki, Rusia dan Afghanistan yang merupakan penempatan mereka pada masa lampau (Fraser, 1980 : 50). Sejak musim panas 1919, kempen politik yang agak rancak ditonjolkan masyarakat Arab sama ada golongan senior dan muda. Kedua-dua kumpulan ini berusaha untuk
mempromosikan pandangan mereka dalam Suruhanjaya King-Crane bagi menentukan masa depan Palestin, iaitu sama ada berada di bawah pemerintahan Raja Faisal di Syria dan juga menerima kuasa mandat ke atas mereka (Muhammad Y. Muslih, 1988: 193).
Pada masa yang sama, Howard Bliss yang merupakan Presiden American University of Beirut, mengutuskan sepucuk surat kepada Presiden Amerika Syarikat Woodrow Wilson, dan menyatakan bahawa rakyat Syria bergantung kepada konsep pemerintahan sendiri. Bliss mencadangkan bahawa Pesuruhjaya Amerika perlu dihantar ke Syria bagi meneruskan agenda tersebut. Walau bagaimana pun, Wilson memanjangkan cadangan tersebut kepada Majlis Pertubuhan Liga Bangsa pada 20 Mac 1919. Namun cadangan ini menyebabkan British dan Perancis keluar dari perbincangan. Sikap dan reaksi kedua-dua kuasa besar ini menunjukkan mereka begitu komited dan konsisten dalam mempertahankan mandat dan deklarasi Balfour. Namun begitu, Suruhanjaya King-Crane tetap dilantik dan menghabiskan enam minggu di Palestin dan Syria atas tujuan menemu bual para delegasi daripada empat puluh bandar dan perkampungan. Berasaskan ribuan petisyen yang diterima, pihak Suruhanjaya merumuskan bahawa Syria secara keseluruhannya perlu diletakkan di bawah pihak Amerika Syarikat atau mandat British dengan pemerintahan monarki oleh Raja Faisal.
Rancangan ini dilihat sebagai helah gerakan Zionis untuk menggantikan populasi penduduk Palestin dengan Yahudi. Cadangan Suruhanjaya King-Crane walau bagaimanapun menemui kebuntuan. Bahkan Presiden Wilson kemudiannya memberi sokongan penuh terhadap deklarasi Balfour dan mandat British di Palestin. Perkembangan ini nyata mengecewakan rakyat Palestin yang akhirnya membawa kepada gerakan kebangkitan dan pembebasan. Demonstrasi awam anti British dan Yahudi yang pertama tercetus pada musim bunga 1920, ketika berlangsungnya festival Nabi Musa yang disambut secara bersama antara komuniti Islam dan Kristian.
Persidangan seterusnya berlangsung di Haifa pada tahun yang sama diketuai oleh Musa Kazem al-Husseini. Pada persidangan ini jawatankuasa eksekutif telah dilantik bagi mengawasi perkembangan dan memberi nasihat jika perlu. Perjumpaan dengan Perdana Menteri Britain, William Churchill berjaya diatur di Kaherah sebagai usaha akhir bagi mengubah polisi British. Seperti yang dijangka perbincangan menemui kegagalan yang mengakibatkan berlakunya lebih dua ratus kematian dalam rusuhan di Jaffa (Con Sherbok & El-Alami, 2001: 108). British terus bergerak pantas bagi merintis asas-asas negara Israel. Usaha tersebut direalisasikan dengan penubuhan jawatankuasa Haycroft yang mengambil sempena nama Ketua Hakim Palestin, Thomas Haycroft bagi melancarkan gerakan penempatan Yahudi di Palestin. Penubuhan ini bagaikan mempromosi dan melaksanakan deklarasi Balfour serta memprovokasikan gerakan kebangkitan rakyat Palestin. Pada 1920 juga, persidangan keempat berlangsung di Jerusalem yang diketuai Musa Kazem al-Husseini dan dihadiri oleh ratusan delegasi dari segenap ceruk dan tempat di Palestin.
Persidangan mengambil resolusi untuk menghantar delegasi yang diketuai oleh Musa Kazem al-Husseini dan dianggotai oleh Tawfiq Hammad, Amin al-Tamimi, Mu’in al-Madi, Shibli al-Jamal dan Ibrahim Shammas ke Eropah bagi menerangkan masalah rakyat Palestin. Pesuruhjaya Tinggi British di Palestin Herbert Samuel tidak mengiktiraf pemergian mereka ke Eropah. Delegasi ini menjelajah dari satu negara ke satu negara yang lain. Bermula dari Kaherah kemudian ke Rom bertemu Pope Kristian. Seterusnya ke London dan kemudiannya Geneva. Di London, delegasi berjaya bertemu pemimpin Zionis, Chaim Weizmann di Bahagian Timur Tengah, Pejabat Kolonial British. Namun segala usaha itu menemui kegagalan apabila British enggan mengubah polisinya dalam deklarasi Balfour (Con Sherbok & El-Alami, 2001: 108-110).
Gerakan Kebangkitan Rakyat Palestin
Sejak berlangsungnya First Palestinian Arab Congress pada awal 1919, gerakan kebangkitan rakyat Palestin mulai memuncak. Kempen mendapat sokongan padu daripada kalangan ahli politik dan golongan muda Palestin. Kedua-dua kumpulan ini berusaha untuk mempromosikan pandangan mereka dalam Suruhanjaya King-Crane bagi menentukan masa depan Palestin, iaitu sama ada berada di bawah pemerintahan Raja Faisal di Syria atau menerima kuasa mandat ke atas mereka. (Muhammad Y. Muslih, 1988: 193). Golongan politikus senior diwakili oleh Muslim- Christian Association (MCA) yang muncul di Jaffa pada November 1918 dan kemudiannya tersebar di Jerusalem. Perbandingan yang jelas semasa era pemerintahan dawlah Uthmaniyah, iaitu satu ciri penting dalam senario politik ketika ini adalah peranan yang dimainkan oleh masyarakat Kristian. Jawatankuasa pertubuhan ini yang dibentuk di Jerusalem yang diwakili oleh 28 orang Muslim dan 10 orang Kristian.
Antara barisan ahli jawatankuasa tersebut ialah ‘Arif Pasha al-Dajani selaku Presiden, al- Shaykh Tahir Abu Su’ud, al-Shaykh Musa al-Budayri, Badr Yunis, Ya’qub Farraj (wakil Kristian Greek Ortodoks), Salim Ayyub (wakil Roman Katolik). Walaupun MCA tidak mengisytiharkan mereka sebagai parti politik secara umum, pertubuhan ini jelas mendukung tuntutan politik bangsa Arab Palestin. Isu pemilikan tanah di Palestin menjadi keutamaan pemimpin MCA. Disamping itu, mereka dengan tegasnya menentang agenda ‘Jewish national home’ dan masalah imigrasi Yahudi. Barisan pemimpin ini juga menjunjung prinsip kemerdekaan Palestin dalam hubungan dalam negeri dan mereka juga dilihat antara perintis gerakan nasionalisme Palestin (Muhammad Y. Muslih, 1988: 158-162).
Jika dilihat percaturan politik golongan muda pula ialah berusaha merealisasikan cita-cita perpaduan mereka menerusi beberapa institusi yang dijadikan instrumen, iaitu Nadi al Arabi, al- Muntada al-‘Adabi dan al-Fatat. Rakyat Palestin yang menjadi ahli Nadi al-Arabi dan al-Fatat aktif menghantar utusan kepada pelbagai bandar dan kampung untuk menyebarkan permintaan yang ingin disampaikan kepada Suruhanjaya King-Crane. Antara permintaan mereka ialah :-
1. Penyatuan Palestin dan juga Syria.
2. Kemerdekaan yang menyeluruh bagi Syria dalam konteks kesatuan Arab.
3. Penolakan kepada deklarasi Balfour dan juga imigran bangsa Yahudi.
4. Penolakan terhadap apa sahaja bentuk naungan ataupun mandat.
Kebanyakan politikus muda begitu bersemangat, antaranya Rafiq al-Tamimi seorang nasionalis dari Nablus yang mempunyai kaitan dengan Pejabat Perhubungan di Beirut menyatakan bahawa ‘negara kita Palestin dipenuhi dengan semangat patrionisme Arab’. Manakala Darwaza dan Kan’an, iaitu dua orang ahli al-Fatat yang penting meneruskan usaha untuk melobi idea penyatuan Syria dan Palestin dan menuntut kemerdekaan yang sepenuhnya (Muhammad Y. Muslih, 1988: 193-194). Sebelum Suruhanjaya King-Crane tiba di Jaffa pada 10 Jun 1919, kedua-duanya pergi ke Jerusalem dan memujuk pemimpin politik di sana agar mematuhi resolusi First Palestian Arab Congress.
Manakala di Beersheeba, golongan politikus muda ini mendekati al-Shaykh al-Sufi, pemimpin Badwi yang begitu berpengaruh di daerah tersebut dan meyakinkannya mengenai bahaya ancaman daripada British dan Zionis. Oleh itu, salah satu cara yang paling berkesan untuk mengelakkan daripada bahaya tersebut ialah memperjuangkan idea penyatuan Syria di bawah Raja Faisal. Hasilnya al-Shaykh al-Sufi menaja program nasionalis Arab dalam kalangan Badwi di Beersheeba dan menghantar utusan kepada Raja Faisal di Damsyik.
Di Gaza, Shukri al Shawwa, iaitu anak sulung kepada al-Hajj Sa’id al-Shawwa merupakan seorang daripada delegasi Gaza ke First Palestian Arab Congress, mempunyai hubungan yang rapat dengan nasionalis Arab di Damsyik. Shukri menggalakkan penduduk di Gaza bangkit menentang Zionis dan British dalam usaha membebaskan Palestin. Beliau juga menyebarkan idea bahawa hanya menerusi nasionalisme Arab juga dibantu oleh Raja Faisal diharap dapat mengekang kekejaman Zionis dan berhasil membebaskan Palestin sebagaimana hasrat mereka. Tokoh-tokoh politik muda yang lain turut aktif di Gaza ialah saudara Shukri, iaitu Rushdi dan Hafiz al-‘Alami. Pertubuhan Muntada al-Adabi juga sering mengadakan mesyuarat di Selatan Gaza dan menganjurkan penentangan terhadap Zionis dan British. Para petani turut diingatkan bahawa pihak Zionis bercita-cita merampas tanah mereka. Di Tiberia, Datuk Bandar Qadri Efendi mempunyai hubungan yang rapat dengan pemimpin Gerakan Nasionalis Arab di Damsyik (Muhammad Y. Muslih, 1988: 198-199).
Selain itu, Gerakan Nasionalisme Arab (Harakat al-Qaumiyyah al-‘Arab) diasaskan secara rasminya pada awal tahun 1950-an digerakkan oleh graduan Palestin dan Arab dari American University of Beirut. Golongan ini memulakan aktiviti-aktiviti politik mereka selepas peperangan 1948. George Habash pelajar jurusan perubatan mengasaskan gerakan ini (Baumgarten, 2005: 27). Keahlian gerakan ini juga terdiri dari kalangan lapisan masyarakat dan mendapat sambutan hangat di kem-kem pelarian di Lubnan dan juga Jordan. Gerakan Nasionalisme Arab ini turut menerima keahlian daripada kalangan pelajar menengah dan juga universiti. Golongan pendidik dan pelajar memainkan peranan penting dalam gerakan ini dan ahlinya datang dari Syria, Arab dan Jordan yang kebanyakannya berbangsa Palestin. Antara strategi yang digunakan oleh gerakan ini ialah memberikan serangan balas ke atas keganasan yang dilakukan oleh Yahudi. Mereka juga berpandangan hanya dengan serangan balas sahaja dapat menyelesaikan isu Palestin dan juga untuk kembali semula ke tanah air mereka (Baumgarten, 2005: 28)
Revolusi Arab yang berlaku pada tahun 1936 menjadi pendorong kepada usaha untuk menentukan garis sempadan di Palestin. Pihak British menubuhkan Suruhanjaya Peel untuk menyiasat kedudukan Palestin. Suruhanjaya ini mencadangkan pembentukan dua buah negara yang berasingan, iaitu untuk bangsa Yahudi dan juga Arab. Cadangan juga dikemukakan supaya British mengekalkan penguasaan mereka ke atas Jerusalem dan membentuk koridor ke Laut Mediteranean. Pada tahun 1937, suruhanjaya tersebut tiba di Palestin, rancangan rasmi Zionis dikemukakan oleh pemimpinnya, iaitu David Ben Gurion. Beliau mencadangkan sebuah negara Yahudi yang terdiri daripada lapan buah wilayah. Pada tahun 1936, penduduk Yahudi seramai 313,000 menduduki Jaffa, Ramla, Tul-karem, Haifa, Nazareth, Tiberias, Baisan dan Safed (Gideon, 2004: 197-198).
Suruhanjaya Diraja Peel mencadangkan agar diadakan pembahagian di antara wilayah Arab dan Yahudi dan percaya cadangan ini akan diterima. Namun sebaliknya berlaku apabila kedua-dua pihak Yahudi dan Arab menolak cadangan tersebut (Apter, 2008: 51). Antara sebab penolakan laporan Suruhanjaya Peel, yang pertama ialah Palestin merupakan tanah air bagi bangsa Palestin dan umat Islam, oleh itu mereka menolak sebarang idea daripada bangsa asing yang berminat dengan Palestin. Yang kedua bangsa Arab Palestin dan nenek-moyang mereka telah tinggal di tanah air tersebut selama lebih kurang 2000 tahun lamanya dan faktor yang paling asas ialah penentangan sebarang usaha untuk menubuhkan sebuah negara lain di atas tanah tumpah darah mereka ( Mkhaimar S.Abu Sada, 1996: 46)
Dalam usaha untuk mengekalkan majoriti Yahudi di wilayah tersebut yang turut diduduki oleh 394,000 orang penduduk Arab, Gurion mencadangkan supaya Jaffa, Ramla dan Tul-karem diserah kepada negara Arab termasuk Nazareth. Manakala Acre dan Gaza tidak termasuk dalam negara Yahudi kerana mempunyai penduduk Yahudi yang sedikit dan kekal sebagai kawasan yang mempunyai autonomi sendiri dan tidak dikuasai oleh Yahudi mahupun Arab. Situasi ini memungkinkan Yahudi membina penempatan di sana. Secara keseluruhannya dapat dilihat bahawa kesemua keluasan Palestin berjumlah 27,000km2 dibahagikan kepada 10,000 km2 untuk diserahkan kepada negara Yahudi, 14,500km2 kepada negara Arab dan 2,000km2 kekal sebagai wilayah autonomi. Manakala 500km2 masih dikuasai oleh British yang terdiri daripada Jerusalem dan Bethelem. Konsep yang dibentangkan oleh Gurion ini berdasarkan kepada kewujudan penempatan Arab dan Yahudi dan dilihat merancang penempatan Yahudi pada masa akan datang (Mkhaimar S.Abu Sada, 1996: 146).
Seterusnya dilihat pertambahan yang ketara bagi pendatang Yahudi dilihat berlaku pada tahun 1946, iaitu seramai 608,800 berbanding 1.269 juta orang Arab. Dengan nisbah 1 : 2, bangsa Yahudi memiliki aset lebih kurang 1.6 juta dunam, iaitu sebanyak 20% tanah pertanian. Kadar pemilikan tanah tersebut adalah sebanyak 6% daripada jumlah keseluruhan tanah di bumi
Palestin. Pertubuhan Liga Bangsa menubuhkan jawatankuasa khas, iaitu The United Nations Special Committee on Palestin (UNSCOP) yang ahlinya terdiri daripada wakil negara Sweden, Belanda, Czechoslavakia, Yugoslavia, Australia, Kanada, India, Iran, Guatemala, Mexico dan Peru. Berdasarkan laporan UNSCOP pada Ogos 1947 menunjukkan bahawa majoriti daripada ahlinya, iaitu lapan daripada tiga negara mencadangkan agar kuasa autonomi kepada Yahudi dan Arab dan Jerusalem diletakkan kepada pentadbiran antarabangsa (Smith, 1992:137).
Resolusi Pertubuhan Liga Bangsa pada 29 November 1947, melihat dengan progresif perpindahan kuasa daripada pentadbiran mandat British kepada Suruhanjaya Palestin yang akan menetapkan wilayah negara untuk bangsa Arab, Yahudi dan juga kedudukan Kota Jerusalem. Berikutan daripada penentangan daripada bangsa Arab terhadap usaha pembahagian tersebut dan ditambah lagi dengan keengganan British memberikan kerjasama, suruhanjaya tersebut gagal. Ketiadaan mekanisme untuk memastikan proses penyelesaian, situasi di Palestin semakin memburuk dengan konflik Arab-Israel, terutamanya dalam usaha menguasai wilayah yang strategik. Ini dibuktikan dengan pembunuhan beramai-ramai orang Arab oleh Irgun dan Stern di perkampungan Dir Yassin dan juga pembunuhan 77 orang ahli konvoi pasukan perubatan Yahudi pada 12 April 1948 (Fraser, 1980: 41).
Bermula pertengahan Mei hingga 11 Jun, Israel berjaya menyekat kebangkitan Arab selepas pasukan Arab melalui wilayah Israel. Manakala pada 6 hingga 19 Julai mereka berjaya menguasai Timur Galilee dan pada bulan Oktober berjaya merampas Negev dari Mesir. Di penghujung 1948, Israel berjaya sampai ke Timur pantai Teluk Aqaba, menghalau pasukan Jordan dan berjaya menguasai laluan ke Laut Merah. Situasi pada masa ini semakin gawat dan pemimpin Israel bercita-cita meluaskan pengaruh mereka sebanyak yang mungkin dan mengambil kesempatan di atas kelemahan penduduk Arab. Bagi bangsa Arab pula peperangan yang berlaku sepanjang tahun 1948 begitu mengecewakan dan memusnahkan harapan mereka untuk merdeka dan bebas ditambah lagi dengan pendekatan kejam Israel yang menghalau penduduk Arab yang tinggal di wilayah yang mereka kuasai. Lebih kurang 400,000 hingga 450,000 orang telah dihalau.
Di samping itu, dengan anggaran 860,000 orang penduduk Arab yang tinggal di wilayah Palestin yang dikuasai Israel telah menyusut sehingga 133,000 orang. Manakala 470,000 orang tinggal di kem-kem pelarian yang diuruskan oleh Jordan dan juga di Semenanjung Gaza di bawah kerajaan Mesir (Smith, 1992: 146).
Kebangkitan demi kebangkitan rakyat Palestin masih belum berjaya menghalau golongan Yahudi dan Zionis keluar dari Palestin. Peperangan yang berlaku adalah dalam bentuk yang tidak seimbang antara kedua belah pihak. Kelebihan dilihat memihak kepada Zionis yang disokong kuasa besar dunia. Selepas kelemahan British dalam perang dunia kedua, gerakan Zionis beralih kepada Amerika Syarikat sebagai kuasa besar baru yang menjadi sekutu rapat mereka. Perkembangan ini makin menyulitkan perjuangan rakyat Palestin. Mereka ditindas dalam segenap aspek dan ketinggalan dalam arus globalisasi dan kemodenan dunia. Tidak syak lagi, rakyat Palestin menjadi bangsa yang melarat di tanah air sendiri bahkan ada yang menyeberang ke negara Arab yang berjiran seperti Jordan, Syria dan Mesir bagi menagih simpati. Kesan kekalahan rakyat Palestin dalam perang 1948 menyaksikan tertubuhnya negara Israel. Seterusnya dunia menyaksikan pelbagai siri utama sejarah hitam bagi Palestin seperti Perang enam hari 1967, perjanjian Oslo, Kem David dan gerakan intifada. Namun kesemua episod hitam ini dilalui dengan tabah oleh rakyat Palestin. Kemunculan pelbagai gerakan politik seperti PLO, Fatah, Briged al-Aqsa, Ikhwan al-Muslimin dan Hamas adalah merupakan manifestasi dan jawapan kepada keinginan rakyat Palestin untuk bebas dan merdeka di tanah air mereka sendiri.
Penutup
Konflik di Palestin merupakan isu yang tidak berkesudahan dan bertambah serius. Perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan kembali tanah air mereka dan maruah yang tergadai seolah-olah tiada penghujungnya. Simpati dan bantuan diberikan sama ada oleh dunia Islam dan masyarakat dunia amnya. Namun begitu, di sebalik konflik ini sejarah menunjukkan bahawa isu ini berkait rapat dengan Perang Dunia Pertama dan juga penglibatan kuasa Islam ketika itu, iaitu dawlah Uthmaniyah. Kekalahan dawlah Uthmaniyah yang menaungi dunia Arab ketika itu serta pengisytiharan deklarasi Balfour pada tahun 1917 oleh British, merupakan pemacu kepada hasrat Zionis untuk membina sebuah negara bagi bangsa Yahudi. Pengurniaan ‘national home’ kepada bangsa Yahudi di bumi Palestin merupakan antara faktor yang membawa kepada penubuhan negara Israel pada 1948. Kesannya hak serta tanah air rakyat Palestin dirampas dan kezaliman dikenakan ke atas mereka hingga ke hari ini.
(Sumber - International Journal of West Asian Studies EISSN : 2180-4788 Vo. 3 No 2 (pp 19-39))