Monday, June 11, 2012

Khalid Ismath mahu cabar hukuman UiTM



Khalid Ismath mahu cabar hukuman UiTM
Khalid Ismath
SHAH ALAM - Penuntut jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khalid Mohd Ismath, yang kelmarin digantung tiga semester, mahu mencabar keputusan pusat pengajian tinggi itu di mahkamah.

Khalid berkata, beliau mahu mencabar penggunaan peruntukan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 oleh UiTM dalam mengenakan tuduhan ke atasnya.

Khalid, 22, dibicarakan Jumaat lalu oleh Lembaga Tatatertib UiTM dan dijatuhkan hukuman digantung pengajian selama tiga semester bermula sesi akademik September ini.



Sebahagian tuduhan ke atas itu berkait dengan tindakannya ketika demonstrasi menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Saya akan teruskan perjuangan saya di mahkamah agar Akta 174 ini (Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976) dimansuhkan. Sama seperti perjuangan mahasiswa untuk hapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) satu ketika dulu,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Dua tahun lalu, empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membawa kes mereka ke mahkamah dengan mencabar Seksyen 15 Auku.

Keputusan mahkamah memihak kepada keempat-empat penuntut itu dan kerajaan sedang membuat rayuan.

Malah keputusan itu juga telah menjadi titik tolak kepada pindaan Auku baru-baru ini, sekali gus membolehkan pelajar-pelajar aktif berpolitik.

Pindaan itu dituntut oleh kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang.

Sehubungan itu Khalid berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) pada Selasa ini.

“Saya mempunyai rancangan saya sendiri. Bagaimanapun segala keputusan akan dibuat sebulat suara bersama SMM terlebih dahulu. Saya perlu bincang dan keputusan akan dibuat bersama ahli SMM,” katanya.

Beliau juga merasakan keputusan Jumaat lalu berat sebelah kerana percaya masih ramai lagi mahasiswa UiTM lain yang aktif berpolitik tetapi tidak dikenakan sebarang tindakan.

Khalid, mengikut tuduhan pertama, didakwa tidak hadir kelas selama dua minggu berturut-turut dan dikenakan hukuman tidak dibenarkan mengambil peperiksaan dalaman semester ini manakala di bawah tuduhan kedua pula, Khalid didakwa menerbitkan unsur-unsur ugutan menerusi Facebook. Selain itu, Khalid juga dituduh menghina isteri Perdana Menteri.

Di bawah tuduhan kedua dan ketiga, Khalid dikenakan hukuman masing-masing membawa hubung digantung pengajian satu dan tiga semester. Hukuman itu berjalan serentak.