Wednesday, February 15, 2012

Temubual Radio UFM bersama Presiden CUEPACS

Dimaklumkan Radio UFM bakal mengadakan temubual bersama Y. Bhg. Dato’ Hj. Omar Hj. Osman, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam CUEPACS berkenaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Turut sama hadir di dalam temubual berkenaan adalah wakil daripada Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi MARA (UTiMAS). Berikut adalah maklumat program:

Isu : Pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)

Tarikh : 15 Februari 2012 (RABU)

Masa : 10.00 pagi – 11.00 pagi


Program temubual berkenaan boleh diikuti secara langsung menerusi Frekuensi 93.6 (Sekitar Lembah Kelang Sahaja) dan juga menerusi Internet di laman sesawang www.ufm.uitm.edu.my/ .

Bagi para pendengar yang ingin mengemukakan soalan atau memberikan pendapat, ianya boleh disalurkan melalui panggilan telefon di talian 03-55443687 dan juga menerusi laman Facebook iaitu www.facebook.com/pages/UFM-Radio/69950746934.

Menerusi temubual berkenaan diharapkan akan dapat memberikan input-input terkini dan menjawab persoalan berkaitan dengan SBPA.

Pensyarah dan pelajar UiTM di Pentas Baca Puisi PENA


  • Foto

    PERSEMBAHAN Kimi, Fatin Izzati dan Pangeran Ikram.

  • Foto

    Dr Wan Hashim Wan Teh


PENSYARAH dan pelajar Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Puncak Perdana, menunjukkan 'taring' mereka ketika beraksi di pentas Baca Puisi PENA untuk slot Februari.
Kehadiran lebih 100 peminat puisi pada acara anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu, memberi petanda sokongan padu dalam merancakkan dunia sastera tanah air.
Tirai persembahan pada malam itu dibuka dengan alunan puisi indah Setiausaha Agung PENA, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau SM Zakir, Ketika Aku Lepaskan Cinta, sarat mesej mengenai cinta dan kehidupan bersifat sementara, tetapi terus dikejar manusia.

Aku telah melepaskan semua cinta di dadaku
Untuk aku bangkitkan matahari dalam tubuhku
Melawan segala keinginan yang tidak pernah berhenti mengalir
Di dunia yang memberikan kita
Sepasang sepatu atau sepasang sayap untuk kita pilih.

Penampilan khas bekas Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang kini dikenali sebagai ITBM, Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, dengan lagu puisi, Alam Tanah Air, disampaikan secara solo sambil memetik gitar berjaya memanaskan acara pada malam itu.

Pantainya tempat berteduh tiap hati
Di hujung alis gigi air membelai lembut
Salam dari gelombang membawa suaranya
Laut melambai memberi rezeki hidup.


Acara bertambah meriah dengan persembahan makyong oleh Persatuan Penggiat Seni Budaya Kelantan (PESIBAN) sebelum pentas diambil alih pelajar bimbingan Abdul Ghafar Ibrahim (AGI), Muhd Amirul Syakir Muhd Shahir dengan tarian artistik dan lagu puisi, Terimalah Aku, bertema ketuhanan.

Saat angin malam menghembus
Menyapa kesedaran rohani
Lalu aku bertanya pada diri
Sampai bila aku mahu jadi begini
Syurga atau nerakakah
Terimalah aku ya rabbi.


Persembahan Baca Puisi PENA menjadi lebih istimewa pada kali ini apabila pensyarah UiTM, Aidi Rahimi Ibrahim, menjadikan alunan puisi sebagai pencetus ideanya menghasilkan lukisan spontan sepanjang berlangsungnya acara.

Trio pelajar yang muncul dengan gesekan biola dan gitar, Kimi, Fatin Izzati dan Pangeran Akram, mencuri tumpuan sehingga menarik perhatian khalayak yang bertepuk tangan sambil menghayati lagu nyanyian mereka berjudul Sang Pencinta.

Akulah sang pencinta
Mencari cinta yang sejati
Bingkas ku berlari mengejarmu
Dalam hanyut ku berkhayal
Padamu aku menanti
Sebuah cinta yang hakiki
Ku perlukan kamu dalam ikhlasku
Dalam madah ku bermadah


Malam yang semakin lewat itu ditutup dengan persembahan pelajar wanita, Athina Marzuki, bersuara lantang dan penuh semangat menyampaikan puisi, Manusia Kabur yang bercerita mengenai pergolakan hidup manusia tanpa hala tuju.

Dia pun berjalan
Berjalan tanpa tuju
Berjalan tanpa arah,
Berjalan tanpa realisasi.
Hidup tiada pengakhiran buatnya.
Apabila sengsara itu digalas tanpa rela, tiada penghujung kepada Manusia Kabur itu.
Namun akan tiba satu hari, nafas panjang dihela
Akan dia jatuh. Bangunnya? Hanya realisasi bisa menduga.


Antara penyair lain yang turut beraksi pada acara lebih dua jam itu ialah AGI, Wan A Rafar, Ahmad Sarju, Yasin Saleh, Sani Sudin, Widi Adi, Arif Fadilah, Kumpulan Kawan dan Pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik UiTM, antaranya Siti Hajar, Mazlan Tahir dan Umi Kalsom Ahmad.