Saturday, May 9, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 1)

"Kepunyaan Allah nama-nama yang indah"
- (Al-A'raf 7:180).

Nama-nama itu disifatkan indah kerana ia berupa sifat-sifat ketinggian, keagungan dan keluhuran yang dimiliki oleh Allah S.W.T. , 99 nama-nama itu mencerminkan 99 sifatNya Yang Maha Tinggi, Yang Maha Agung dan Yang Maha Sempurna. Kita sebagai hambaNya yang dikurniakan oleh Nya akal, boleh membaca, mengira, menulis, boleh memahami dan boleh menghayati erti 99 nama tersebut sewajarnya menerapkan 99 sifat-sifat tersebut ke dalam diri kita ketahap yang terbaik dan sesempurna mungkin di atas kapasiti kita sebagai hamba. Dengan demikian, barulah sempurna pengabdian dan penghambaan kita itu kepada Nya.

Sesiapa yang menyebut satu nama daripada nama-namaNya, serta memuja dan memuji dengan satu sifat daripada sifat-sifatNya (berzikir), maka sebutan itu pun menuntutnya supaya menumbuhkan sifat ke dalam diri nya sesuai dengan apa yang disebutnya dalam zikir tersebut. Contohnya, Al-Rahman adalah salah satu nama Allah yang bermaksud Maha Pemurah kepada segala makhluk-Nya dimana kemakmuran yang diperolehi daripada sifat Al-RahmanNya itu kepada kita itu tidak terhitung lagi, samada kepada orang muslim ataupun non muslim, binatang liar atau tumbuh-tumbuhan di dalam hutan khatulistiwa. Semua makhlukNya merasai, menikmati dan mendapat kemakmuran kerana sifatNya Yang Maha Pemurah.

Contohnya, udara yang mengandungi oksigen untuk kita bernafas, air dari gunung ganang dan mata air untuk kita minum, lautan sebagai media pengangkutan, hujan yang menyirami tanaman, tanah untuk kita bercucuk tanam, api yang kita gunakan untuk memasak dan sebagainya. Allah S.W.T melalui sifat RahmanNya mengurniakan udara, air, api dan tanah kepada semua makhlukNya samada yang baik atau yang jahat, yang mentaatiNya atau yang memungkiriNya. Semuanya mendapat faedah daripada sifat RahmanNya. Itulah maksud Allah S.W.T Yang Maha Pemurah.

Sifat Al-Rahman itu sewajarnya kita serapkan kedalam diri, jiwa dan pemikiran kita sehingga hati kita menjadi subur dengan sifat Al-Rahman. Bila sifat Al-Rahman itu menyubur dalam jiwa kita , maka, jika kita melihat Sami Vellu yang beragama Hindu di dalam kesusahan kita hulurkan tangan untuk membantu, jika kita bertemu, Ong Ka Ting yang beragama Buddha di dalam kepayahan, kita hulurkan tangan untuk menolong dan begitulah seterusnya. Jika kita melihat kucing dalam kelaparan, kita berikan makanan untuk kucing itu makan, jika kita melihat tanaman kekeringan, kita serami air supaya ia segar dan begitulah seterusnya.

Sesiapa yang telah mengenali nama Tuhannya, maka dia akan merasai kenikmatan jiwa yang tenang, menyenangiNya dan meningkatkan martabatnya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang membesarkan nilai penghargaannya kepada Allah maka Allah akan juga akan membesarkan nilai diri hambanya itu.

Pengurusan Hati - Kearah Pembinaan Peradaban Bangsa Melayu

Tubuh (body), pemikiran (mind) dan jiwa (soul) adalah unsur penting dalam diri seorang manusia. Jika 3 unsur ini dapat dipengaruhi, maka dapatlah individu itu dikuasai. Pada hari ini, dalam kacamata global, tubuh, pemikiran dan jiwa bangsa kita amat dipengaruhi oleh pemikiran barat. Malahan ramai dikalangan kita termasuklah saya sendiri terpengaruh tanpa disedari. Contohnya dengan menganggap bahawa solat, puasa, zakat, menunaikan haji dan lain-lain ibadah hanyalah aktiviti RITUAL dalam agama islam. Hakikatnya bukan demikian, ia menjangkau lebih jauh daripada itu.

Dalam konteks orang melayu, dari segi tubuh badan, kebanyakan kita tidak begitu menghiraukan kesihatan tubuh badan, terutamanya orang-orang melayu diluar bandar, selagi badan boleh berfungsi selagi itulah ia digunakan tanpa memikiran tentang penyelenggaraan tubuh. Bila darah tinggi, kencing manis datang menyerang dan saluran darah telah tersumbat oleh kolestrol maka pada ketika itu baru lah kita baru menyelenggara badan kita dengan bertemu doktor. Hakikatnya pemakanan dan minuman amat mempengaruhi kesihatan tubuh badan kita dalam jangka masa panjang.

Dari segi pemikiran bangsa melayu, bagi bangsa melayu kelas bawahan, kita hanya berfikir sekadar cukup makan, sekadar boleh hidup, manakala bagi orang melayu kelas menengah dan kelas atasan pula hanya memikirkan soal survival mereka sahaja tanpa memikirkan untuk membantu orang melayu kelas bawahan. Konsep tolong menolong antara satu sama lain, bantu membantu, sharing and caring tidak diamalkan diantara kita. Hasilnya jadilah kita sebagaimana keadaan sekarang, tewas dengan bangsa lain dari segi ekonomi dan perniagaan.

Dari segi jiwa bangsa melayu mempunyai kekuatan dan nilai-nilai yang baik, diantara kekuatan jiwa bangsa melayu ialah kita senang menerima tetamu terutama daripada bangsa lain, kita tidak memakan khinzir, jiwa bangsa kita lembut dan seni sifatnya, bangsa melayu jarang membunuh diri kerana kekecewaan atau masalah, tidak mengemari pertumpahan darah dan amat sabar. Mempercayai Tuhan dan memegang Islam sebagai agamanya. Hasilnya, semasa zaman penjajahan British, mereka berusaha keras untuk menukarkan agama kita kepada agama kristian melalui pendidikan dan mubaligh mereka tetapi mereka gagal melaksanakan agenda tersebut kerana kekuatan jiwa bangsa melayu.

Kesimpulannya, tubuh (body), pemikiran (mind) dan jiwa (soul) bangsa melayu memerlukan satu transformasi dan reformasi baru. Asasnya ialah agama, iaitu islam. Islam dalam erti kata sebenar, bukan islam yang memisah-misahkan antara kehidupan dunia dan akhirat. Hanya melalui cara ini bangsa melayu akan dapat membina tamadun bangsa Malaysia. Bangsa yang fizikalnya sihat, pemikirannya positif dan jiwanya merdeka daripada belenggu sesama makhluk. Tamadun baru yang bangsanya mengagungkan Allah S.W.T dalam pemikiran, tindakan dan perbuatan.