Wednesday, October 9, 2019

Penjajahan dan Pemecahan Alam Melayu


Seperti kita lihat dalam sejarah, beberapa rumpun bangsa di dunia sering dikaitkan dengan kawasan geografi tertentu, misalnya, bangsa Arab dengan Semenanjung Arab, bangsa China dengan benua kecil China, dan bangsa Anglo-Saxon dengan benua Eropah.

Demikian juga kita dapati bangsa Melayu dikaitkan dengan sebahagian rantau Asia Tenggara, khususnya alam Melayu ataupun Nusantara. Secara umum, Nusantara merujuk kepada habitat rumpun Melayu dan menjadi dunia Melayu yang terbentuk dalam sejarah di Asia Tenggara.

Dari segi geografi, Nusantara terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian utara atau daratan yang meliputi rantau luas yang memanjang dari Indochina (selatan Vietnam dan Kemboja), menurun melalui Segenting Kra hinggalah ke selatan Burma dan Semenanjung Tanah Melayu, termasuk Tamasik (kini Singapura).

Kedua ialah bahagian selatan, iaitu wilayah kepulauan yang dipisahkan oleh laut dan perairan selat. Bahagian ini terdiri daripada Pulau Kalimantan dan Kepulauan Filipina di Laut China Selatan ke arah tenggara di bahagian selatan, manakala di barat daya dan selatan merentasi Selat Melaka pula ialah gugusan Kepulauan Indonesia (Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Jilid 1,1994).

Hari ini, Nusantara terdiri daripada beberapa buah negara moden di Asia Tenggara yang menjadi kelompok utama negara-negara Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina, yakni negara-negara yang asasnya Melayu. Terdapat dua teori tentang asal usul rumpun Melayu. Teori pertama ialah 'teori penghijrahan' yang menganjurkan bahawa rumpun Melayu berhijrah secara gelombang demi gelombang dari China Selatan ke Asia Tenggara sejak lebih 5000 tahun dahulu.

Teori ini dianjurkan lebih seratus tahun yang lalu oleh sarjana Barat yang dipelopori oleh Sarasin bersaudara pada 1892 dan 1893, kemudian dikembangkan lagi oleh Heine-Geldern pada tahun 1932 dan pengikut-pengikutnya seperti M.W.F. Tweedie, G. de G. Sieveking dan beberapa orang sarjana lagi pada 1950-an dan 1960-an (Nik Hassan Shuhaimi 1999: 11-12). Teori ini mempunyai pengaruh yang kuat untuk satu masa yang lama dan diterima pakai dalam pelbagai teks sejarah untuk pendidikan menengah dan tinggi di Malaysia.

Kesan daripada teori ini ialah ada pihak menghujahkan bahawa orang Melayu juga ialah 'pendatang' di rantau ini, satu hujah yang digunakan khususnya dalam proses tawar-menawar mengenai kedudukan masing-masing kaum dalam negara Malaya (kemudian Malaysia) yang merdeka pada 1957.

Namun, teori penghijrahan ini mula dipertikaikan sejak tahun 1970-an oleh teori kedua yang memanfaatkan bukti-bukti arkeologi di Semenanjung Malaysia. Teori ini menghujahkan bahawa orang Melayu adalah peribumi rantau ini jauh sebelum zaman prasejarah lagi dan mereka berkembang secara evolusi, bukannya migrasi.

Beberapa penemuan terbaru di bidang arkeologi dilakukan oleh sarjana tempatan, Profesor Nik Hassan Shuhaimi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang menjalankan penelitian arkeologi di beberapa tapak sejarah pra-Islam yang penting di pesisir Selat Melaka.

Berdasarkan penemuan-penemuan baru ini, teori ini menghujahkan bahawa orang Melayu berasal dari rantau ini dan mempunyai sejarah yang lama melebihi 35,000 tahun di sini (Nik Hassan Shuhaimi 1999:49).

Implikasi daripada teori kedua ini ialah bahawa sejarah awal Tanah Melayu dan Nusantara perlu ditulis semula dan kedudukan sejarah pelbagai kaum di sini perlu diletakkan menurut perspektif sejarah yang baru yang lebih kukuh. Walau bagaimanapun, tidak kira teori mana yang dipakai, satu fakta sejarah pokok ialah sejak Zaman Batu lagi (yakni zaman prasejarah), orang Melayu telah meneroka Nusantara dan telah membina tamadun rantau ini.

Hal ini bererti mereka adalah pengasas masyarakat bertamadun dan pembina peradaban Nusantara sejak ribuan tahun serta adalah pendiri beberapa buah kerajaan Melayu yang besar dan kuat pada zaman yang panjang selama lebih 1,500 tahun sebelum ketibaan penjajahan Barat.

Soalnya ialah mengapa rantau alam Melayu tidak mempunyai negara kesatuan Melayu yang besar dan kuat pada hari ini, berlainan dengan apa yang berlaku di beberapa rantau lain, misalnya, negara China di mana bangsa China mempunyai negara kesatuan yang besar dan kuat sejak 2,000 tahun lebih yang lalu?

Mengapa orang Melayu tidak dapat mendirikan negara-bangsa Melayu? Untuk menjawab soalan-soalan ini, beberapa faktor seperti geografi, penjajahan, demografi dan perkembangan sejarah yang berbeza-beza perlu diambil kira. Misalnya, dari segi geografi, wilayah Nusantara amat luas dan sebahagiannya terdiri daripada puluhan ribu pulau yang dipisahkan oleh laut yang luas yang menyulitkan perhubungan, lebih-lebih lagi pada zaman pra-moden.

Selain itu, sejarah penjajahan yang lama sejak awal abad ke-16 hingga pertengahan abad ke-20 menjadi faktor penghalang terpenting. Oleh sebab faktor penjajahan, demografi rantau ini juga turut berubah dengan ketara dengan kedatangan para migran khususnya dari China dan India yang turut mencorakkan sejarah perkembangan politik negara-bangsa.

Akan tetapi, sekalipun negara kesatuan Melayu tidak dapat berdiri pada zaman moden, kita perlu akui bahawa terdapat beberapa usaha penyatuan Nusantara seperti terbukti dalam sejarah. Usaha penyatuan ini telah dilakukan sekurang-kurangnya pada zaman empat buah kerajaan Melayu yang besar dan masyhur dalam sejarah, iaitu Kerajaan Funan yang berpusat di Kemboja mulai awal abad Masihi hingga abad ke-7 Masihi.

Selepas itu terdapat Kerajaan Sriwijaya (600-1294) yang berpusat di Palembang dengan penguasaannya meliputi Sumatera, sebahagian daripada Pulau Jawa, Semenanjung Tanah Melayu sehingga ke beberapa bahagian di Segenting Kra.

Kerajaan Sriwijaya digantikan oleh Kerajaan Majapahit (1293-1400) yang berpusat di Jawa dan mempunyai kekuasaan meliputi Pulau Jawa, Sumatera, serta sebahagian daripada Kalimantan dan Semenanjung Tanah Melayu.

Kerajaan Melaka (1400-1511) ialah kerajaan tua Melayu yang besar dan terakhir dengan kedudukannya yang strategik di Selat Melaka dan kekuasaannya pula meliputi Semenanjung
Tanah Melayu, Kepulauan Bentan dan Lingga di selatan semenanjung serta Rokan, Siak, Inderagiri dan Jambi di Sumatera.

Dalam zaman pelbagai kerajaan Melayu ini, usaha penyatuan terpenting dan mempunyai kesan menjangkau jauh berlaku khususnya pada zaman Majapahit semasa Patih Gadjah Mada menjadi Perdana Menterinya dari tahun 1334 hingga 1364. Dalam 'Sumpah Palapa' (atau Sumpah Gagasan Nusantara) yang dilafazkan pada tahun 1336, Gadjah Mada berikrar: "Jika telah menundukkan Nusantara, saya baru akan berisytirehat. Jika Guran, Seram, Tanjung Pura, Haru, Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Tamasik telah tunduk saya baru akan berisytirehat" (Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu 1999 Jilid 3: 1643-46).

Pada zaman Kerajaan Melaka pula, tokoh pemersatu terpenting ialah Bendahara Tun Perak yang berkhidmat di bawah empat orang sultan selama kira-kira 50 tahun sehingga ke akhir abad ke-15. Beliau telah berusaha menyatukan sebahagian daripada wilayah alam Melayu di sebelah menyebelah Selat Melaka.

Oleh yang demikian, ketika penjajah menakluki pelbagai wilayah alam Melayu bermula dengan penjajahan ke atas Melaka pada 1511, negara dan peradaban Melayu sudah lama terbentuk dan berkembang serta terkenal di merata dunia Timur dan Barat. Akan tetapi, perjalanan sejarah tidak sentiasa lurus. Penjajahan yang lama di alam Melayu telah mengubah perkembangan trajektori sejarah rantau ini, menyebabkan negara Melayu kehilangan kemerdekaan dan kuasa untuk berkembang menurut kemahuan mereka sendiri manakala asas-asas penyatuan yang sudah terbentuk pada zaman pra-penjajahan telah dicerai-beraikan.

Misalnya, di Tanah Melayu penjajahan Barat telah bertapak selama 450 tahun lebih bermula dengan penjajah Portugis pada 1511 hingga 1641, diikuti oleh Belanda dari 1641 hingga 1824, dan penjajah lnggeris mulai 1786 hingga 1957 (pentadbiran penjajahan Inggeris terputus selama tiga tahun lapan bulan iaitu antara Disember 1951 hingga Ogos 1945 semasa Jepun menduduki Tanah Melayu). Di Indonesia pula, pengaruh penjajah Belanda bermula pada 1596 apabila angkatan kapal pimpinan de Houtman muncul di Banten, Jawa Barat. Pengaruh Belanda menjadi lebih mendalam apabila pada 1605, mereka bertapak di Ambon, dan pada 1619, mereka mendirikan kota Batavia (Rickers 1993). Sejak itu, Belanda meneruskan penjajahannya ke atas Indonesia selama kira-kira 350 tahun lebih sehingga 1945.

Sementara itu, Filipina pula mengalami penjajahan Sepanyol, yang kemudian digantikan oleh Amerika Syarikat. Ahli pelayaran Magellan telah tiba di Filipina pada 6 September 1522, dan pada 1529, Perjanjian Zaragoza antara Sepanyol dan Portugis ditandatangani untuk menentukan pembahagian pengaruh di antara dua kuasa penjajah ini dan mengakibatkan Filipina berada secara langsung di bawah penjajahan Sepanyol. Pada 1565, angkatan Sepanyol tiba di Cebu dan memaksakan perjanjian berat sebelah ke atas Raja Tupas, akhimya petempatan Sepanyol yang pertama didirikan di Filipina. Walaupun Filipina mendirikan republik dan mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Sepanyol pada 1898, akan tetapi, pada 1899, Amerika Syarikat pula menguasai Filipina sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua apabila Filipina mengisytiharkan
kemerdekaannya bagi kali kedua pada 1945 (Agoncillo & Guerrero 1977).

Perlu dinyatakan bahawa pelbagai kuasa penjajah tersebut meninggalkan kesan yang mendalam ke atas alam Melayu dan mencetuskan kesedaran bangsa yang tidak seragam di rantau alam Melayu. Alam Melayu dipecah secara umumnya menjadi tiga entiti politik yang besar yang akhirnya menjadi Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Walaupun ketiga-tiga negara ini mempunyai bangsa Melayu sebagai bangsa utamanya, dengan sejarah yang lama di sini, akan tetapi, tidak ada satupun negara-bangsa Melayu yang muncul di rantau ini. Sebaliknya, negara-negara moden yang disebut tadi menggunakan nama yang diberikan penjajah, bukannya nama Melayu. Negara itu juga tidak menurut sempadan bangsa yang berkembang dalam sejarah tersebut.

Sebagai contoh, Indonesia ialah gabungan dua perkataan Greek 'Indo' dan 'Nesos' yang bermaksud 'Pulau-pulau Hindi' dan wilayahnya ditentukan mengikut garis sempadan berdasarkan Perjanjian Inggeris-Belanda pada 1824.

Filipina pula mendapat namanya daripada nama ratu Sepanyol (Phillipe) dan wilayah Filipina ditentukan mengikut perjanjian antara kuasa-kuasa penjajah Barat, yang bermula dengan Perjanjian Zaragoza pada 1529.

Tanah Melayu pula dinamai 'British Malaya' pada mulanya oleh Inggeris dan hanya mendapat nama Federation of Malaya' atau 'Persekutuan Tanah Melayu' pada 1948. Sungguhpun nama 'Malaysia' tidak begitu jelas asal usulnya, tetapi ia juga bukan nama yang diberikan oleh bangsa Melayu sendiri kepada wilayah yang pada hari ini membentuk negara moden Malaysia melalui Perjanjian Malaysia pada 1963.

Kuasa-kuasa penjajah tadi meninggalkan kesan yang tidak seragam ke atas alam Melayu. Di Tanah Melayu, walaupun Inggeris melucutkan kuasa sultan tetapi sistem kesultanan dikekalkan dan para sultan diberi kuasa atas urusan agama Islam. Akan tetapi, cara Inggeris melaksanakan pentadbirannya di Tanah Melayu, iaitu dengan membahagikannya kepada tiga unit pentadbiran yang berlainan - Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, dan akhirnya ketiga-tiga unit itu digabungkan di dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 - mempunyai kesan tertentu yang melambatkan pertumbuhan kesedaran nasional dan pembinaan negara-bangsa.

Pengaruh bahasa dan kebudayaan Inggeris amat mendalam di Malaysia, terutamanya di kalangan elit berpendidikan Inggeris, sungguhpun bahasa Melayu, khususnya bahasa Melayu Johor-Riau, menjadi lingua franca.

Berlainan dengan dasar Inggeris, Belanda di Indonesia menggunakan cara yang lebih keras, menghapuskan institusi kesultanan dan mewujudkan kesatuan negara kepulauan. Walaupun pengaruh bahasa Belanda memang mendalam, tetapi bahasa Melayu dapat berkembang dan diterima menjadi bahasa penyatuan Indonesia dalam Sumpah Pemuda 1928 dan bahasa ini berjaya membina bangsa Indonesia.

Di Filipina, penjajah Sepanyol juga menghapuskan sistem kesultanan di sana, mengenakan pengarah bahasa Sepanyol dan agama Kristian (kebanyakan Katolik), kecuali di Filipina Selatan. Apabila Amerika Syarikat pula menjajah Filipina, bermulalah proses Amerikanisasi sejak akhir tahun 1890-an dan bahasa Inggeris Amerika dan budaya Amerika mempunyai pengaruh yang kuat di sana.

Kesemua ini menunjukkan bahawa proses berdirinya negara moden dan pembinaan negara-bangsa yang baru di Asia Tenggara, khususnya di Indonesia, Filipina dan Malaysia, amat dipengaruhi oleh pengalaman penjajahan tersebut.