Sunday, September 19, 2010

Dialog Antara Kepala Burung Dengan Temenggong Tentang Kehijauan Alam

Kepala segala burung mengusulkan agar kehijauan alam dipelihara kepada Temenggong,
Temenggong berjanji usul itu akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Granite Segunung,
Tapi realitinya kata cicit Kepala Burung "Semua pokok hijau telah ditebang sehingga kami tidak ada tempat untuk singgah ketika terbang",
"Cakap tidak serupa bikin" kata anak Kepala Burung,

"Pokok dan kehijauan itu perlu dimusnahkan di atas nama PEMBANGUNAN" Jawab anak Temenggong,
"Kita perlu gabungkan unsur-unsur air,angin,api,tanah dan alam hijau dalam PEMBANGUNAN" Kata rakyat Negeri Granite Segunung,
"Kita perlu gabungkan unsur-unsur utara,selatan,timur dan barat dengan alam semulajadi dalam PEMBANGUNAN" Kata rakyat tua Negeri Granite Segunung,
"Kita perlu gabungkan unsur-unsur matahari,bumi,bulan dan bintang dengan alam semulajadi dalam PEMBANGUNAN" Kata rakyat muda Negeri Granite Segunung,

Sudah! cukup! balas Temenggung murka,
Negeri Granite Segunung ini milik siapa? soal banginda,
Ini negeri milik beta! katanya,
Ikut sahaja samada suka atau tidak suka!
Jangan banyak cerita,
Kata tidak perlu dikota,
Janji hanya dibibir sahaja,
Dialog ini berhenti disini sahaja.

Kejatuhan Melaka ke Tangan Portugis - Angkara Perempuan, Fitnah dan Kianat.

Melaka sangat terkenal pada penghujung abad ke 15, ia adalah negeri yang mempunyai nama besar, termansyur seanterio dunia. Selat Melaka dilayari oleh kapal-kapal dagang yang menghubungkan Cina dan India, pelabuhan Melaka adalah tempat persinggahan pedagang-pedagang tersebut. Pedagang Arab menamakan Melaka sebagai Malaqat, yang bermaksud tempat pertemuan segala pedagang. Melaka menjadi pusat perdagangan Nusantara dan hub import eksport pelbagai barangan yang datang dari timur dan barat.

Sultan yang memerintah Melaka pada masa itu ialah Sultan Mahmud Shah. Baginda mempunyai satu kelemahan utama iaitu perempuan, terkenal dengan wataknya yang suka kepada perempuan yang cantik dan seksi, sehinggakan para pembesar negara yang mempunyai maksud tertentu untuk berurusan dengan baginda menggunakan perempuan sebagai rasuah sex untuk melunakkan hati baginda ketika berurusan. Kadang-kadang baginda merayap-rayap keluar dimalam hari untuk melempias nafsunya sehingga baginda terlupa maruahnya sebagai Sultan.

Suatu ketika, baginda terdengar cerita tentang kecantikan seorang puteri di Gunung Ledang. Puteri itu bersemayam di puncak Gunung Ledang. Gunung Ledang terkenal dengan kesah mistik dikalangan rakyat negeri Melaka. Puteri Gunung Ledang ini sebenarnya bukan manusia biasa tetapi dia adalah orang bunian. Namun baginda Sultan tidak peduli dan mahu memiliki Puteri Gunung Ledang. Lantas diutuskannya Hang Tuah sebagai wakil beliau untuk menyampaikan hasrat baginda melamar puteri tersebut. Malangnya, syarat-syarat yang diberikan oleh Puteri Gunung Ledang untuk menerima lamaran Sultan tersebut amat berat sekali, iaitu (a) meminta hati tungau (b) meminta jabatan emas dan (c) semangkun darah baginda sultan.

Walaupun demikian watak Sultan Melaka pada ketika itu, kemansyuran Melaka masih utuh dan bertahan kerana Melaka mempunyai orang kedua iaitu Bendahara Sri Maharaja. Semua urusan eksekutif diuruskan oleh Bendahara Sri Maharaja, Melaka mempunyai Bendahara yang pintar dan pandai mengurus. Kemegahan negeri Melaka tetap dipelihara Bendahara, maruah Sultan tetap dijaga dan aib Sultan sentiasa ditutupnya demi taat setianya kepada Sultan, kerana kepintaran dan kepandaian Bendahara maka nama Bendahara Sri Maharaja terkenal diseluruh dunia dan Bendahara lebih popular daripada Sultan.

Pada tahun 1509, berlabuhlah armada portugis ke pelabuhan Melaka, kononnya mereka membawa perutusan persahabatan daripada Kerajaan Portugis tetapi sebenarnya tujuan mereka ialah menyelidiki kekuatan pertahanan Melaka. Rombongan armada Portugis ini bertemu dengan Bendahara Sri Maharaja, sebagai tanda penghargaan kesudian Bendahara menerima mereka, maka rombongan Portugis ini memberikan rantai emas yang panjangnya sampai ke pusat kepada Bendahara, ketua rombongan portugis ini mengkalungkan sendiri rantai emas ini pada leher bendahara. Setelah beberapa hari penyerahan kalong tersebut maka berangkatlah mereka meninggalkan pelabuhan Melaka. Rombongan Portugis tidak bertemu dengan Sultan selaku ketua negeri.

Berita ini akhirnya sampai kepada Sultan, didalam Istana Melaka pada ketika itu, ada pembesar negara lain yang iri hati dan dengki dengan Bendahara Sri Maharaja, insiden ini, digunakan sepenuhnya oleh mereka untuk memburuk-burukan Bendahara Sri Maharaja dimata Sultan, isu yang dimainkan ialah Bendahara mahu berkomplot dengan Portugis untuk menjatuhkan Sultan Mahmud Shah, segala cerita direka-reka oleh mereka untuk meyakinkan Sultan supaya Sultan menghukum bunuh Bendahara Sri Maharaja kerana tidak taat dan tidak setia kepada Sultan. Tambahan, Sultan murka kepada Bendahara kerana tidak mengizinkan anaknya yang cantik dan manis iaitu Tun Fatimah berkahwin dengan Sultan sebab Tun Fatimah telah bertunang dengan Tun Ali.

Akhirnya, Sultan sebagai pemerintah tertinggi dan ketua negeri tanpa usul periksa lebih dalam membuat keputusan menjatuhkan hukuman bunuh kepada Bendahara Sri Maharaja kerana beliau menderhakai Sultan dan ingin menjatuhkan Kerajaan Melaka. Bendahara dibunuh dirumahnya sendiri dengan keris Raja. Maka muramlah Kerajaan Melaka selepas itu, kerana orang yang jujur dan berhati mulia memelihara kemakmuran dan kemajuan negeri Melaka dibunuh oleh Raja. Akhirnya, Sultan dikelilingi oleh pembesar negara yang suka mengampu dan korupsi, tiada lagi pembesar negara yang jujur dan sanggup berkorban demi negeri Melaka. Yang tinggal hanya orang umpama buih-buih dilautan ketika ombak besar dan orang yang menyembah " Ampun Tuanku, segala titah tuanku, patik junjung". Berita kematian Bendahara Sri Maharaja tersebar ke seluruh dunia. Di Istana Melaka, berlaku perpecahan, dimana anakanda sulung Sultan Mahmud Shah iaitu Sultan Ahmad Shah lebih popular dan lebih aggresif berbanding ayahandanya.

Setahun kemudian selepas kematian Bendahara Sri Maharaja, iaitu pada 1511 datanglah armada portugis ke Pelabuhan Melaka untuk menyerang Melaka. Pada hari pertama Melaka bertahan dengan gagah berani dibawah pimpinan putera Sultan iaitu Sultan Ahmad Shah dibantu oleh Bendahara Tikam Batu yang telah tua dan pikun. Tetapi pada hari kedua pertahanan Melaka mula roboh kerana berlaku perpecahan dalam negeri. Bendahara Tikam Batu yang tua dan pikun itu, apabila melihat armada Portugis telah mendarat di pantai pelabuhan Melaka, beliau dengan sengaja, menghalau gajah-gajah yang telah bersiap sedia untuk melawan armada portugis tersebut. Tindakan beliau tidak dipersetujui oleh anak-anak buahnya, tetapi dengan marah beliau berkata "Biarkan Daku, Biarkan Daku hancur dengan negeri Malaka ini".Melaka diduduki musuh, Sultan Mahmod Shah lari ke Kopak dan akhirnya ke Kampar. Baginda Sultan Mahmud Shah telah melanggar adat melayu kerana menurut adat melayu Raja perlu mati jika negerinya kalah dalam peperangan. Maka akhirnya, Portugis berjaya menakluk Melaka.

(Diadaptasi daripada Dari Perbendaharaan Lama oleh Prof. Dr. HAMKA)