Monday, May 25, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 9)

"Yang Maha Memelihara"

Nama Allah yang kelapan ialah Al-Muhaymin, Ia bermaksud "Yang Maha Memelihara". Allah S.W.T adalah yang mengatur, menjaga dan memelihara serta menentukan rezeki, kehidupan dan umur MakhlukhNya. Dia juga yang mengawasi dan melindungi segala sesuatu. Dia juga Maha Memerhati, Menjaga serta menaungi hamba-hambaNya dalam semua keadaan. Dia yang memerhati segala sesuatu dan tiada sesuatupun yang terlepas daripada pengawasanNya. Dialah yang mentadbir dan mengurus segala sesuatu daripada yang mikro sehinggalah yang makro.

Perhatikan pada alam yang luas ini, renungi pada pertukaran siang dan malam, perhatikan pada diri sendiri kita sendiri, perjalanan degupan jantung yang mengedarkan darah ke seluruh anggota tubuh, lihat pada bulan dan kaitannya dengan pasang surut lautan, peredaran bulan dan matahari, segalanya berjalan mengikut hukum alam yang telah ditetapkan Allah. Semuanya dibawah pengawasan, peliharaan dan pentadbiranNya.

Bagaimana menerapkan sifat Allah Al-Muhaimin ini ke dalam diri, meresapinya ke hati dan menjadi budaya melalui tindakan kita? Menjawab persoalan ini, mari kita lihat pada kehidupan harian kita, bermula daripada subuh sehingga ke subuh pada hari berikutnya, bermula dari hari ke hari yang berikutnya pada minggu hadapan, bermula dari bulan sehingga ke bulan yang sama pada tahun hadapan dan seterusnya.

Sepanjang melalui hari-hari yang mendatang, sewajarnya kita memelihara kejujuran kita bila melaksanakan sesuatu, menjaga tanggungjawab kita dalam melaksanakan tugas, kita memelihara displin semasa melaksanakan sesuatu tugasan, memelihara kerjasama dengan rakan sejawat, memelihara wawasan dan halatuju kita, menjaga keadilan kita terhadap diri sendiri dan orang lain, menjaga rasa prihatin kita terhadap orang dipersekitaran kita yang sama-sama membantu kita. Jika kita berzikir 100 kali dengan menyebut Al-Muhaimin, Insyaallah Allah akan memelihara kita zahir dan batin dimana hati menjadi bersih dan terang.

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 8)

"Yang Mengutamakan Keamanan"

Nama Allah yang ketujuh ialah Al-Mukmin, yang bermaksud "Yang Mengutamakan Keamanan" ada juga yang mentafsirkan sebagai "Yang Mengurniakan Keamanan". Ada juga ulamak menafsirkan Al-Mukmin sebagai "Yang Maha Membenarkan", ada juga yang mentafsir Al-Mukmin sebagai "Yang Maha Melindungi". Samada "Yang Mengutamakan Keamanan", "Yang Mengurniakan Keamanan" , "Yang Maha Membenarkan" atau "Yang Maha Melindungi" prinsipnya adalah sama, iaitu Dia adalah Dzat yang Maha Membenarkan, Dia membenarkan DiriNya, Malaikat-MalaikatNya, Rasul-RasulNya, Kitab-KitabNya, Membenarkan Qada dan QadarNya dan membenarkan Hari Kemudian (Hari Pembalasan). Apabila Dia membenarkan segala janji-janjiNya kepada hambaNya dan hamba-hambaNya mengakui kebenaran akan janji-janjiNya itu, maka secara automatik, Dia juga mengurniakan keamanan kepada hamba-hambaNya dan secara langsung Dia (Allah) juga mengutamakan keamanan dan menjadi pelindung kepada hamba-hambaNya.

Pokok dan syaratNya yang utama dalam perhubungan ini , ialah hamba-hambaNya perlu mengakui dahulu kebenaran rukun iman, kemudian barulah Allah mengurniakan keamanan dan mengutamakan keamanan kepada hamba-hambaNya yang mengimaniNya. Kemudian akan lahir rasa aman pada hati hamba-hambaNya yang mengakui kebenaran Allah S.W.T. Menikmati perlindungan dan keamanan dariNya kerana kepatuhan mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Keamanan zahir dan keamanan batin, perlindungan zahir dan perlindungan batin daripadaNya (Allah). Secara fitrahnya semua manusia mencintai keamanan, semua manusia membenci peperangan. Peperangan hanya akan berlaku bila manusia tidak berpegang kepada tali Allah yang terangkum dalam sifat "Al-Mukmin" Allah S.W.T itu.

Bagaimana kita menerapkan sifat Al-Mukmin ini didalam jiwa, pemikiran dan tindakan kita? Jawabannya mudah, kita mulai dengan membenarkan 6 rukun iman sebagai prinsip hidup dan melaksanakan 5 rukun islam berdasarkan hati kita yang ikhlas seperti Allah melihat kita walaupun kita tidak melihat Allah. Maka jadilah kita muslim yang mukmin. Segala tindakan dan perbuatan kita meletakan Allah dihadapan sebagai benteng keamanan, kepercayaan dan perlindungan. Insyaallah kita sentiasa dalam peliharaan dan perlindungan Allah. Dengan berzikir "Ya Mukmin" sebanyak 136 kali dengan memahami maksudnya akan menyebabkan anda, keluarga anda sentiasa dilindungi Allah dan harta benda anda dilindungi daripada dicuri orang.

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 7)

" Yang Maha Sejahtera"

Nama Allah yang ke-enam ialah As-Salam, yang bermaksud Yang Memiliki Kesejahteraan dan Keselamatan, Allah S.W.T adalah dzat yang memiliki segala kesejahteraan dan keselamatan, Allah Maha Sejahtera ke atas diriNya, Ia sentiasa sihat, sentiasa sejahtera dan sentiasa selamat. Allah bebas daripada sebarang penyakit, masalah kesihatan, malapetaka dan lain-lain kekurangan yang berkaitan kesejahteraan atau keselamatan sebagaimana manusia. Maha Sejahtera Allah daripada awal yang tiada permulaan sehingga akhir yang tiada bernoktah. Allah tidak memerlukan pengawal peribadi untuk memastikan Ia selamat. Allah tidak memerlukan doktor untuk memastikan Ia sentiasa sihat sejahtera. Allah adalah Dzat yang maha sempurna, yang berdiri dengan sendiriNya dengan penuh kesejahteraan dan keselamatan.

Dzat dan Sifat Maha Sejahtera Allah itu terpancar pada di alam ini melalui kejadian langit dan bumi, pada penciptaan manusia dan segala makhlukNya, lihat dan renungkan, betapa sejahteranya peredaran bulan, bumi, matahari dan planet-planet yang lainnya sehingga mereka tidak berlanggaran antara satu sama lain, lihat dan renungkan pada api, air, tanah dan angin, betapa api memberikan kesejahteraan untuk kita memasak masakan, betapa air memberikan kesejahteraan ketika kita meminumnya ketika kehausan, betapa tanah memberikan kesejahteraan kepada kita dengan menumbuhkan tanaman yang kita tanam diatasnya , betapa angin memberikan kesejahteraan ketika kita bernafas.

Bagaimana kita menerapkan sifat Maha Sejahtera Allah ini ke dalam diri kita? Kesejahteraan sering dikaitan dengan selamat, sihat wal afiat, kebahagiaan dan ketenangan jiwa. Apabila kita memberikan salam "Asalamualaikum" kepada seseorang, ia bermaksud kita memohon kepada Allah supaya memberikan kesejahteraan yang berupa kesihatan yang baik, selamat dari malapetaka, diberikan ketenangan jiwa dan kebahagiaan kepada orang tersebut. Apabila salam kita dijawab dengan "Waalaikumusalam" , bermaksud orang yang menerima salam daripada kita tadi, memohon kepada Allah supaya kita dikurniakan perkara yang sama, justeru itu, berikanlah salam kepada sesama muslim ketika kita bertemu. Jadikan ia satu budaya dalam hidup kita. Insya-Allah jika demikian budaya anda, maka anda sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, bebas daripada kemalangan dan malapetaka, sentiasa bahagia dan dikurniakan ketenangan jiwa oleh Allah S.W.T Berzikir sebanyak 136 kali dengan menyebut 'Ya Salam' akan menyembuhkan penyakit yang kita alami, demikian juga, ia boleh menyembuhkan penyakit orang lain.