Showing posts with label falsafah. Show all posts
Showing posts with label falsafah. Show all posts

Friday, January 3, 2014

Konsep, Falsafah dan Objektif Pendidikan

Dalam Kamus Dewan, pendidikan ialah kata nama terbitan daripada kata akar “didik” yang membawa maksud jaga, pelihara, dan ajar. Perkataan “pendidikan”  juga bersinonim dengan ajaran, latihan, tarbiah, pelajaran, bimbingan, asuhan, dan tunjuk ajar (DBP, 2007:350). 

Dalam Bahasa Inggeris, pendidikan disebut  sebagai education (Simpson & Weiner, 1989:74), yang dikatakan berasal daripada cantuman dua kalimah dalam bahasa Latin, iaitu e’ex dan ducereduc bererti “memimpin”; yang dapat diinterpretasikan pula sebagai mengumpul maklumat  ke dalam diri bagi membentuk bakat (Ishak, 1995:4-5). 

Dalam Bahasa Arab, terdapat beberapa kalimah yang merujuk kepada  pendidikan. Mengikut Syed Muhammad Naquib al-Attas (1979:2-4) dan  Rosnani Hashim (2006:6), antara kalimah yang selalu digunakan ialah seperti  berikut: 

Pertama, Tarbiyyah. Kalimah ini berasal daripada kata dasar rabba, bermaksud mengasuh, memelihara, atau memimpin. Ia juga merujuk kepada proses perkembangan potensi individu, mengasuh, atau mendidik untuk  menuju kepada satu keadaan yang selesa dan matang (Halsted, 2004:522). 

Kedua, Ta’lim. Kalimah ini berasal daripada konotasi ‘alima, bermaksud  mengetahui, memberitahu, melihat, mencerap, atau menanggap. Ia juga  merujuk kepada proses menyampaikan atau menerima ilmu pengetahuan  yang kebiasaannya didapati melalui latihan, arahan, tunjuk ajar, atau lain-lain  bentuk pengajaran (Halsted, 2004:522). 

Ketiga, Ta’dib. Kalimah ini berasal daripada aduba, bermaksud memperhalusi,  berdisiplin, dan berbudaya. Ia juga merujuk kepada proses pembinaan watak  dan pengajaran asas-asas penting untuk hidup bermasyarakat, ini termasuklah memahami dan menerima prinsip yang paling asas sekali, iaitu keadilan  (Naquib al-Attas, 1979:2-4; dan Halsted, 2004:522). 

Jelasnya, pendidikan Islam dijadikan sebagai satu proses mengasuh dan mendidik, membela, melatih, menyucikan, membaikkan, mengawal hawa nafsu,  membentuk ketaatan kepada Allah SWT (Subhanahu Wa-Ta’ala), membentuk  sikap sopan dan beradab (mempunyai akhlak yang baik), dan memadamkan semua sifat tercela yang ada dalam diri manusia. 

Semua definisi ini memberikan  kefahaman bahawa hampir keseluruhan pendidikan yang dikehendaki dalam  Islam ialah merujuk kepada pendidikan rohani manusia selaku hamba Allah  SWT di muka bumi ini bagi memancarkan kejernihan akhlak dan budi pekerti  yang tinggi, selain untuk perkembangan ilmu pengetahuan itu sendiri yang  merupakan medium yang amat penting dalam membangunkan ketamadunan manusia yang hidup di dunia ini.  

Sehubungan itu, ahli-ahli pendidikan umumnya telah memberikan pelbagai definisi berkaitan dengan konsep pendidikan. Menurut Omar Mohd Hashim, dalam ucapannya semasa Kongres Pendidikan Negara yang berlangsung pada 17 Mac 1988, beliau telah mendefinisikan “pendidikan” sebagai pemindahan sesuatu jenis atau kumpulan kemahiran atau pengetahuan daripada seorang  guru kepada murid-muridnya. 

Menurut Hamid Reza Alavi (2008:5), dengan memetik pandangan daripada Hills, “pendidikan” adalah satu proses pembelajaran yang bertujuan untuk memperlengkapkan manusia dengan pengetahuan dan kemahiran yang membolehkan mereka hidup dalam keselesaan. 

Selain itu, tokoh-tokoh falsafah Yunani juga tidak ketinggalan dalam membicarakan berkenaan dengan pendidikan. Menurut Aristotle, yang dipetik daripada Rosnani Hashim (2006), pendidikan ialah pemupukan tabiat-tabiat atau virtues terbaik yang apabila telah dihayati akan menjadikan seseorang itu  sentiasa melakukan yang terbaik. Tambahnya lagi, tabiat yang paling baik ialah  penggunaan akal untuk menaakul atau berfikir. Justeru, pendidikan merupakan satu usaha untuk merealisasikan seoptimum mungkin segala potensi kebaikan yang dimiliki oleh manusia (Hashim, 2006:7). 

Manakala menurut Plato, seorang ahli falsafah dan pendidikan Greek purba, telah mentakrifkan pendidikan  sebagai suatu latihan jasmani dan rohani bagi mencapai kecantikan dan kesempurnaan (dipetik oleh Ishak, 1995:9). 

Ahli-ahli pendidikan Barat pada zaman moden ini juga banyak memberikan  pandangan mereka mengenai konsep pendidikan. Antara mereka ialah Mouly yang mentakrifkan pendidikan sebagai satu proses yang dapat menyesuaikan individu dengan kehidupan sosial, undang-undang, kepercayaan, agama, dan  situasi masyarakat dari satu generasi kepada generasi berikutnya. Pendidikan  juga ditakrifkan sebagai seni atau proses memperoleh ilmu pengetahuan serta tabiat menerusi tunjuk ajar (dipetik oleh Ishak, 1995:9). 

Menurut John Dewey (1930:12) pula, seorang ahli falsafah dan pendidikan di Amerika Syarikat, telah mentakrifkan pendidikan sebagai proses bagi membentuk kecenderungan asasi yang berupa kepercayaan dan perasaan terhadap alam sejagat dan sesama  manusia. Beliau juga mentakrifkan pendidikan sebagai satu proses mengatur dan menambah ilmu pengetahuan yang dimiliki supaya dapat hidup dengan selamat. 

Menurut Stuart Mill, yang dipetik oleh Abdullah Ishak (1995:5), menyatakan bahawa pendidikan bukan sahaja mengandungi erti bagi sesuatu yang kita  lakukan untuk diri kita dan sesuatu yang dilakukan oleh orang lain terhadap kita, yang motifnya untuk memandu kita ke arah yang lebih hampir kepada kesempurnaan fitrah, bahkan untuk memahami daya usaha yang terdapat  pada bakat dan watak seseorang. 

Menurut Home pula, yang dipetik juga oleh  Abdullah Ishak (1995:5), menyatakan bahawa pendidikan ialah suatu proses yang abadi bagi menyesuaikan diri manusia dengan kehidupan, ketahanan, dan kematangan jasmani serta akal fikiran. Pendidikan juga merupakan proses pembelajaran sepanjang masa yang bermula ketika dilahirkan dan berakhir ketika kita mati. 

Ia bermaksud, setiap masa sedar yang digunakan seseorang memperolehi, menganalisis, dan menyerap pengetahuan. 

Menurut Hassan Langgulung: Bahawa pendidikan, sebagai pengembangan potensi, dapat diumpamakan seperti pertumbuhan dan perkembangan bunga-bunga, di mana potensi-potensi tersembunyi yang ada pada benih, berkembang menjadi bunga yang matang dan mekar. Sebagai bandingannya, kanak-kanak itu ialah benih di mana terdapat potensi-potensi yang masih tersembunyi dan tidak nampak; guru adalah tukang kebun yang menerusi kemesraan dan pemeliharaannya yang cermat dapat membuka potensi-potensi yang tersembunyi ini; dan pendidikan adalah proses mengajar-berkebun yang dengan itu kebolehan-kebolehan yang tidak nampak menjadi nampak, melalui pilihan dan penggunaan yang bijak terhadap baja yang sesuai (Langgulung, 2001:18-19). 

Dalam konteks Islam pula, pendidikan merupakan satu pelajaran atau pendidikan bagi kognitif, fizikal, dan roh untuk melahirkan insan yang berperikemanusiaan. Definisi falsafah ini menumpu kepada pembentukan individu seseorang hingga menjadi seorang manusia yang benar-benar sempurna, bukan sahaja dari segi pertambahan ilmu bahkan dari segi pembentukan akhlak dan rohani (Ahmad, 1975:6). 

Manakala menurut H.M Chabib Thoha (1996: 3), pendidikan Islam adalah pendidikan yang falsafah dan tujuan serta teori-teorinya dibangun untuk melaksanakan praktik pendidikan yang didasarkan kepada nilai-nilai Islam yang terkandung dalam Al-Qur’an dan  Hadis Nabi. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1992:xvi-xvii) pula memberikan pengertian bahawa pendidikan Islam adalah usaha yang dilakukan oleh pendidik terhadap anak didik untuk pengenalan dan pengakuan tempat-tempat yang benar dari segala sesuatu dari aturan penciptaan sehingga membimbing mereka ke arah kebaikan.

Berdasarkan penerangan di atas dapat disimpulkan bahawa pendidikan merupakan satu proses dan usaha yang praktikal untuk menghasilkan sesuatu, mengubah pandangan, atau cara berfikir, yang seterusnya membawa kepada paradigma atau perubahan dalam tingkah-laku seseorang. Pendidikan merupakan proses yang berlaku secara berterusan kerana ia bukan hanya boleh didapati di dalam kelas-kelas pengajian sahaja, bahkan boleh diperolehi daripada pengalaman, pemerhatian, penggunaan akal rasional, autoriti, dan ilham; manakala dalam konteks Islam, sumber yang paling asas untuk pendidikan adalah diperolehi daripada Al-Qur’an dan Al-Sunnah.

Walau bagaimanapun, Islam tidaklah melihat pendidikan dari skop yang sempit; ia tidak terbatas kepada pendidikan duniawi semata-mata, bahkan meliputi dua lapangan, iaitu di dunia dan di akhirat. Dalam konteks ini, Ibn Khaldun (2000: 549-551) telah membahagikan ilmu kepada dua bahagian yang utama. 

Pertama, ilmu yang berbentuk fardhu ‘ain yang dituntut ke atas setiap orang supaya mengetahui dan mempelajarinya dalam melaksanakan tuntutan agama seperti ilmu tauhid, fiqh, akhlak, akidah, dan sebagainya. 

Kedua, ilmu yang berbentuk fardhu kifayah iaitu ilmu yang mesti ada pada sekumpulan orang dalam masyarakat tanpa melihat kepada individu tertentu seperti ilmu pertukangan, kemahiran, perniagaan, kedoktoran, ekonomi, fizik, astronomi, dan sebagainya yang boleh mandatangkan manfaat kepada manusia. Ini membuktikan bahawa agama Islam tidak mementingkan pencapaian intelektual yang tinggi semata-mata, bahkan perlu dilengkapi dengan kefahaman yang jelas mengenai agama Islam itu sendiri bagi menghasilkan manusia yang cemerlang di dunia mahupun di akhirat.

Di sini juga dapat disimpulkan bahawa tiga perkara penting yang boleh digarap dari beberapa definisi pendidikan di atas ialah: pertama, pendidikan Islam menyangkut aspek jasmani dan rohani yang merupakan dua elemen penting yang tidak boleh dipisahkan. Oleh yang demikian, pembinaan terhadap kedua-dua aspek tersebut haruslah seimbang dan tidak boleh berat sebelah. Kedua, pendidikan Islam dinilai berdasarkan konsep yang wujud pada nilai-nilai agama. Ini bermaksud, pendidikan Islam tidak mengabaikan agama sebagai sumber ilmu itu sendiri, yakni ilmu yang berpaksikan kepada Allah SWT. Ketiga, dalam pendidikan Islam wujud unsur ketaqwaan sebagai matlamat yang harus dicapai. Seperti yang telah kita ketahui bahawa taqwa merupakan benteng yang dapat berfungsi sebagai daya tangkal terhadap pengaruh-pengaruh negatif yang datang dari luar dan boleh merosakkan nilai keagamaan yang ada pada diri seseorang ataupun masyarakat.

Thursday, July 4, 2013

Humanisme Dan Bahayanya Kepada Agenda Bangsa Malaysia.

Humanisme adalah satu agenda yang berasal dari Eropah. Ia mula berkembang pada  zaman Renaissance pada abad ke-15 dan 16 Masihi (Abdul Hadi 2009). Humanisme  adalah satu agenda yang berpusatkan kepada nilai manusia dalam membuat keputusan.

Menurut Harun Yahya dalam bukunya Ancaman Global Freemasonary, humanisme  merupakan satu ancaman dan serangan ke atas agama. Ini berikutan fahaman ini yang  menolak agama dan Tuhan yang mencipta mereka. Fahaman humanisme ini bukanlah  satu fahaman yang baru muncul. Fahaman humanisme ini berasal daripada doktrin  Kabbalah yang berasal daripada Mesir Kuno. Fahaman ini telah muncul lebih awal  daripada falsafah Yunani yang dibawa oleh Socrates, Plato dan Aristoteles (Abdul Hadi  2009). Humanisme memasuki Eropah melalui sumber Kabbalah. Keyakinan masyarakat Kristian  berdasarkan kepada kewujudan Tuhan. Manusia pula adalah hamba ciptaan Tuhan yang  bergantung kepada-Nya. Bagaimanapun, pengaruh pemikiran Kabbalah mula menguasai  masyarakat Barat. Pada abad ke-15, arus humanisme mula bertapak dalam pemikiran  Barat dan Eropah (Harun Yahya 2009).

Pemikiran humanisme meletakkan kehendak manusia sebagai matlamat dan pusat  kehidupan. Kebebasan kehendak dijadikan sembahan. Negara, kerajaan dan ritual agama  hanya timbul setelah berlaku pertembungan dalam kehendak-kehendak tersebut. Tetapi  dengan kemajuan teknologi, mereka mempromosikan globalisasi dan ianya menuju ke  arah mengecilkan kembali kuasa kerajaan dan fungsi agama untuk memberi ruang  kembali kepada kehendak manusia (Taha 2005). 

“Materialisme, sekularisme, komunisme, sosialisme, kapitalisme, liberalisme, demokrasi,  pluralisasi dan globalisasi ; semuanya lahir dari kefahaman humanisme. Nampak  berbeza, tetapi sebenarnya mempunyai persamaan di satu noktah. Semuanya lahir dari  revolusi hasil tindakan kejam gereja dan golongan bangsawan terhadap para ilmuwan dan rakyat jelata di zaman Feudal Eropah. Penolakan yang amat ekstrem terhadap agama membawa Eropah kepada kecintaan yang tidak terhingga terhadap diri sendiri. Kecintaan 
yang membawa kepada satu bentuk penyembahan kehendak diri atau apa yang diistilahkan oleh sebahagian pengkaji sebagai humanisme. 

Kapitalisme amat jelas dalam memberikan ruang kepada kehendak manusia. Persaingan tanpa rahmat membawa kepada jurang yang amat jauh dalam struktur masyarakat. Riba dan monopoli menjadi asas yang tidak boleh ditolak oleh dunia. Komunisme mungkin dilihat lebih adil memberikan hak persamaan kepada semua manusia. Nampak jauh berbeza dengan kapitalisme tetapi sebenarnya sama dari sudut penyembahan kepada  kehendak manusia; cuma dengan cara yang berbeza, iaitu dengan menyamakan kehendak agar semua kehendak dipenuhi. Penagih dadah dibenarkan memiliki sejumlah dadah untuk dirinya sendiri. Melebihi had  itu baru dikira salah. Boleh menagih di mana-mana sahaja kerana itu kehendak mereka  yang perlu disembah. Apa yang kerajaan mampu lakukan hanyalah menyediakan tong sampah khas untuk picagari dadah agar tidak mengganggu rakyat yang tidak minat dengan dadah. 

Arak bukan suatu yang baik untuk manusia. Ia adalah kepala kepada segala kejahatan seperti yang pernah diungkapkan. Tetapi apa yang Barat boleh lakukan untuk mengelakkan rakyatnya dari dicemari dengan najis arak? Kehendak manusia mengatasi segala kebaikan dan maslahah. 

Seks dianggap sebagai kehendak manusia yang boleh dipenuhi dengan apa-apa juga cara, juga mengikut kehendak manusia. Berdirinya kedai-kedai ‘adult shop’ di celah-celah deretan kedai lain di Barat diterima oleh masyarakat dengan begitu baik. Tidak menjadi kesalahan kerana ianya tidak lebih dari ’serve’ kehendak sebahagian anggota masyarakat (Taha 2005). 

Globalisasi merupakan antara agenda yang dicanangkan oleh Barat ke atas dunia Islam. Ia membawa maksud dunia tanpa sempadan, semua manusia berada dalam ruang alam yang satu, mendapat taujihat yang satu dalam tamadun yang satu (al-Rawi 2009). 

Globalisasi telah mencabul kedaulatan sesebuah negara dan bangsa baik dari segi bahasa,  budaya, undang-undang, tanah air dan agamanya. (Ghazali 1998; al-Jabiri 1997). Bukan itu sahaja, globalisasi mengakibatkan masyarakat Islam hanyut dalam kehendak diri  tanpa batasan agama dan sempadan akhlak. Ini adalah satu pencabulan kepada nilai-nilai  kemanusiaan yang dirancang secara sengaja oleh agenda Barat (al-Jamil T.t). Globalisasi  melahirkan bangsa Melayu yang tiada identiti kemelayuan dan ketimurannya. Hilangnya jatidiri seorang anak Melayu yang berani dan berpegang teguh kepada agama. Globalisasi menjadikan kita bangsa yang ikut dan tunduk kepada agenda dan kehendak orang lain. Jika diteliti kandungan globalisasi, ia mempunyai satu aspek utama iaitu hegemoni atau kekuasaan. Hegemoni bukan sahaja bermaksud kekuatan tentera tetapi juga merangkumi kekuatan ekonomi, idea, agama, etika, peradaban dan lain-lain. Hegemoni Barat bukan sahaja terletak kepada kekuatan tentera, malah menguasai aspek nilai, budaya, termasuk jugalah agama (Ghazali 1998). 

Arus pemikiran humanisme ini bukan sahaja berkembang dalam kalangan masyarakat Barat dan Eropah. Melalui agenda penjajahan, perdagangan dan Kristianisasi Negara Eropah dan Barat ke atas dunia Islam, fahaman ini mula menular dan menyerap masuk ke dalam pemikiran masyarakat Islam. Secara khususnya, bangsa Melayu di Malaysia juga berhadapan dengan ancaman identiti dan jatidiri yang dibawa oleh humanisme dan ismeisme yang lain. 

Ancaman utama yang dihadapi ialah pemindahan budaya daripada Barat, sekularisme, budaya hedonisme, Islam liberal, pluralisme. Sekularisme merupakan konsep untuk memisahkan manusia dengan agama. Ia telah menular dengan hebat dan telah menjadi ritual. Sedangkan Islam tidak dapat dipisahkan daripada keseluruhan hidup dan segala kegiatan hidup berkaitan dengan agama, yang dikatakan Islam sebagai ad-din (Harusani 2009). Sekularisme secara terang-terang memusuhi Islam. 

Proses sekularisasi memang ditujukan untuk melawan Islam. Istilah-istilah sekularisme, sekularisasi, sekular tidak boleh dihubung-hubungkan dengan Islam ( al-Attas 1978; al-Qardawi 1977). Dalam konteks Malaysia, Islam telah dinyatakan dalam perlembagaan sebagai agama rasmi negara. Dalam satu aspek, ini merupakan perlindungan undang-undang kepada Islam itu sendiri. Bagaimanapun, perlu diingat, proses globalisasi yang sedang rancak berjalan, lambat laun akan mencabar undang-undang setiap negara. Apabila kubu pertahanan ini tumbang dan bilangan penduduk Islam di Malaysia tidak menjadi majoriti, sudah tentu kedudukan Islam dan bangsa Melayu akan tergugat (Ugi Suharto 2007). 

Tuesday, June 23, 2009

Segalanya Diciptakan Berpasang-pasangan.


Semuanya dijadikan Tuhan berpasangan, lelaki lawannya perempuan, teruna lawannya dara, jantan lawannya betina, baik lawannya jahat, positif lawannya negatif, sejuk lawannya panas, malam lawannya siang dan begitulah seterusnya.Pada sebelah sini, ada begitu dan pada sebelah sana ada begini. Semuanya ada pasangannya dan dari situ terbinanya sebuah ikatan, tali pengikat, fitrah yang semacam tenaga yang mencantumkan mereka, yang memberikan suatu energi atau kekuatan.

Cuba kita renungkan pada pasangan kekasih yang sedang bercinta, ada tenaga yang mengikat mereka untuk cuba membahagiakan diantara satu sama lain, saling bertolak ansur, saling memberi dan menerima, saling hormat menghormati. Tenaga yang terbentuk dalam perhubungan sang kekasih tadi datangnya daripada dalam diri, dari hati yang tulus, ikhlas dan suci. Tapi jika tenaga itu tidak dapat dikawal, hanya mengikut rasa nafsu nafsi, hanya kerana seksual, kekuatan yang hadir daripada tenaga yang terhasil pada perhubungan sang kekasih itu akan membawa mereka kepada kekecewaan, kebinasaan dan kehancuran.

Demikian jugalah dengan semua segala yang ada dan berwujud, samada yang bernyawa atau tanpa nyawa, segala yang berjisim mengeluarkan tenaga, itulah yang telah dibuktikan secara saintifik oleh Albert Enstain. Tenaga yang hadir itu pun berpasangan-pasangan juga, tenaga ini perlu keseimbangan, tidak boleh dikurangkan pada yang kiri dan dilebihkan pada yang kanan, kerana ia akan menyebabkan tiada keseimbangan, jika itu berlaku, akhirnya kebinasaanlah akibatnya. Namun dari situlah bermulanya kesempurnaan.

Wednesday, November 26, 2008

Getaran.....Degupan Jantung Menghasilkan Tenaga.....?

" Setiap jisim mempunyai tenaga, tenaga itu terhasil daripada getaran, getaran itu menghasilkan bunyi, bunyi itu boleh didengari melalui degupan jantung dan gerakan nadi"

Wednesday, September 17, 2008

Apa itu 'Jiwa-Jiwa Yang Tenang'?

"Orang yang bahagia adalah orang selalu stabil dalam suatu sikap dan keadaan iaitu orang bertaqwa; jika kaya rezeki dia selalu berwaspada dan tidak sombong, jika dalam kefakiran dia sabar,jika diberi nikmat kesihatan dia gunakan sebagaimana selayaknya dan jika diuji dengan cubaan dia tidak resah dan gelisah"

Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni

Tuesday, July 8, 2008

Taboo : Perjalanan Mencari Tuhan...?

Saya menonton NGEO sebentar tadi, rencana bertajuk Taboo, ia mengesahkan perjalanan hidup manusia mencari dan mengenal Tuhan, di Afrika, satu upacara keagamaan terjun dari menara tinggi yang dibina daripada kayu dan akar-akar pokok sebagai tanda 'terima kasih' kepada Tuhan. Di Greece pula upacara berlari dan menari di atas bara api sebagai tanda pengabdian diri kepada Tuhan manakala di Filipina satu upacara penyalipan diri dilakukan sebagai tanda syukur dan terima kasih kepada Tuhan. Semua mereka, melakukan sesuatu yang mendera dan mencederakan diri mereka sendiri demi menunjukkan ketaatan kepada Tuhan.

Saya terfikir betapa indah dan betapa seni nya islam kerana islam tidak menuntut kita untuk mendera diri sendiri sehingga luka dan berdarah untuk mengenal Allah. Allah tidak meminta pengorbanan darah untuk dihirup dan nyawa manusia sebagai gadaian supaya Dia semakin berkuasa dan gagah. Tetapi Allah menuntut kita untuk mendera dan mencederakan 'nafsu' kita supaya perjalanan kita mencari dan mengenal tuhan akan menjadi lebih mudah dan senang.

Monday, June 30, 2008

Pengalaman Dari Alam : Lima

"....asas kepada integriti, akauntabiliti dan kredibeliti ialah kita tahu apa yang kita lakukan dan kita tahu untuk apa kita lakukan sesuatu itu...."

Ahmad Rais Johari

Sunday, June 29, 2008

Pengalaman Dari Alam : Empat

"....pada hakikatnya jiwa semua manusia adalah sempurna, jiwa manusia cenderung kepada kebenaran yang haq tetapi faktor persekitaran dan luaran yang berasaskan nafsu serakah tanpa sempadan dan bertuankan syaitan berwatak manusia menjadikan kesempurnaan jiwa manusia itu tercemar, terhakis dan akhirnya menghilang......."

Ahmad Rais Johari

Saturday, June 28, 2008

Pengalaman Dari Alam : Tiga

" ...Manusia adalah khalifah Allah dimukabumi. Makhluk ciptaan Tuhan yang terbaik daripada sekelian makhlukNya. Taraf manusia lebih mulia dari malaikat. Tetapi...taraf manusia boleh jatuh lebih hina daripada haiwan jika mereka hanya bertuhankan semata kepada kehendak nafsu serakah mereka yang tiada sempadan...."

Ahmad Rais Johari

Thursday, June 26, 2008

Pengalaman Dari Alam : Dua

"Fikiran manusia gagal menerjah alam ghaib. Sempadan kepada kapabiliti fikiran manusia hanyalah terhad di alam nyata dan realiti sahaja, selepas garisan itu, keupayaan fikiran manusia terhenti."

Ahmad Rais Johari

Tuesday, June 24, 2008

Pengalaman Dari Alam : Satu

"Pertukaran malam dan siang, pasang dan surut, pagi dan petang adalah hukum alam yang berlaku berulang-ulang dalam suatu kitaran. Kitaran yang melengkapkan satu pusingan, seumpama pertukaran masa dari saat ke minit, jam, hari, bulan dan tahun. Ia berulang lagi dan terus berulang sehingga tiba masanya ia akan berhenti dengan sendirinya. Pada ketika itu, hukum karma tidak terpakai lagi. Alam akan musnah, hancur dan terpadam."

Ahmad Rais Johari

Friday, June 20, 2008

Degupan, Denyutan dan Getaran Menghasilkan Frekuensi ?

Samada kita sedar atau tidak, pada ketika dan saat ini, kita sedang bernafas, jantung kita sedang berdegup, nadi kita sedang berdenyut. Cuma kadang-kadang kita terlupa yang kita sedang bernafas, nadi kita sedang berdenyut dan jantung kita sedang berdegup kerana sibuk dengan aktiviti kita seharian Jika secara tiba-tiba degupan jantung kita terhenti, maka tiada lagilah degupan, denyutan serta getaran dan terhentilah hayat kita dan itu lah dinamakan mati.

Semua makhluk ciptaan Tuhan sentiasa bergetar, berdegup, berdenyut dan menghasilkan frekuensi. Daripada haiwan, tumbuh-tumbuhan, manusia, bulan, bintang. matahari hatta bakteria menghasilkan frekuensi dipersekitaran mereka. Menurut guru saya, Ir. Hamidun Md. Isa, getaran, degupan dan denyutan itu adalah dzikrullah. Hanya mereka yang mempunyai 'jiwa-jiwa yang tenang' dapat mengerti maksud disebalik getaran, degupan dan denyutan.