Sunday, September 11, 2011

Selidik kesilapan fakta sejarah - Pakar IPT diminta kaji persoalan kedatangan Islam di Kepulauan Melayu.

Prof Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam buku terbaru beliau bertajuk "Historical Fact and Fiction" mendedahkan bahawa berlaku kekeliruan fakta dalam sejarah tanah air. Sejarah yang ditulis hari ini banyak dipengaruhi oleh penulis barat yang menulis sejarah berdasarkan kepentingan mereka dengan menafikan fakta-fakta sejarah yang menjejaskan kepentingan mereka. Mereka hanya menulis sejarah untuk kepentingan mereka sahaja. Justeru, beliau menyarankan pakar sejarah negara melakukan kajian untuk membetulkan fakta sejarah terutamanya melibatkan kedatangan Islam ke Tanah Melayu.

Prof Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas menyarankan agar silibus sejarah atau kefahaman sejarah dinilai semula kerana banyak kesilapan fakta dan ia perlu diperbetulkan supaya generasi akan datang memahami sejarah sebenar kedatangan Islam ke Tanah Melayu.

Diantara penyelewengan sejarah ialah asal usul nama Melaka adalah daripada perkataan arab yang membawa makna pelabuhan atau pusat perdagangan BUKAN berkait dengan pohon Melaka. Parameswara adalah Raja Melayu yang berbangsa melayu dengan nama Islamnya Muhammad serta anak seorang Raja Palembang yang dikenali sebagai Sang Aji.

Beliau juga menjelaskan bahawa pelopor yang membawa dan menyebarkan Islam di alam melayu pada zaman awal dan kemudian adalah orang Arab keturunan Rasululah, iaitu salasilah Saidina Ali Abi Talib dan Saidina Fatimah bukannya orang barat.