Wednesday, September 3, 2008

Sekadar Peringatan Kepada Yang Lupa

Lafaz Niat Puasa Untuk Sebulan. نـَوَيْتُ صَوْم َ شـَهْرِ رَمـَضَانَ كـُلـِهِ لِلـَّهِ تـَعَالىَ “Sahaja aku berpuasa keseluruhan bulan Ramadhan kerana Allah Ta”ala”

Lafaz Niat Puasa. نـَوَيْتُ صَوْمَ غـَدٍ عَـنْ ا َدَاءِ فـَرْض ِ شـَهْرِ رَمـَضَانَ هـَذِهِ السَّـنـَةِ لِلـَّهِ تـَعَالىَ “Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Alalh Ta’ala"

Selamat Menyambut Ramadan Al Mubarak
Maaf Zahir dan Batin
Daripada Ahmad Rais Johari dan Sekeluarga

Bahagian A : Pengurusan Kalbu Untuk Meraih Kejayaan Abadi - Beribadah Dengan Ikhlas Kerana Allah

1. BERIBADAH DENGAN IKHLAS KERANA ALLAH S.W.T SENTIASA.

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَارَكَاتُهُ

Asalamuu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang dengan segala nikmatNya itu Ia menyempurnakan mengerjakan amal saleh yang menurunkan dia akan berkat, segala puji bagi Allah atas taufiqNya, kuasa atas taat.

Kami minta ampun akan Allah dari segala taqsir (lalai mengerjakan ibadat). Dan aku naik saksi bahawasanya tiada Tuhan yang sebenarnya, melainkan Allah. Tuhan yang esa, tiada sekutu bagi Nya. Dan aku naik saksi bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. hambaNya lagi pesuruhNya.

Dan segala keluarganya, segala sahabat-sahabatnya, segala zuriatnya dan isi rumahnya yang mereka itu baik dan suci. Memadailah kami dengan Allah, dan Ia lah Tuhan sebaik-baik tempat berserah diri. Tiada daya dan upaya menjauhkan maksiat dan mengerjakan taat melainkan dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar.

Ibadah adalah segala sesuatu yang dijalankan dengan niat lurus kerana Allah dan ikhtiar di jalan-Nya. Ibadah merangkumi seluruh aspek kehidupan, bermula daripada bangun pagi, gosok gigi, mandi pagi, bersolat subuh, pergi kuliah untuk belajar, makan tengah hari, sembahyang zohor, pergi perpustakaan mentelaah pelajaran, pergi ke kelas, sembahyang asar, masuk makmal melaksanakan ujikaji, balik ke rumah, sembahyang magrib, makan malam, sembahyang isyak, surfing internet, chatting, sembang-sembang dengan kawan-kawan, masuk tidur semula, hatta masuk bilik air. Semua aktiviti tersebut adalah ibadah jika niat kita lurus kerana Allah S.W.T.

Untuk membolehkan kita beribadah ikhlas kerana Allah maka kita perlu meluruskan niat kita dalam melakukan segala hal-hal yang ingin kita lakukan kerana Allah. Kita mulakan setiap sesuatu pekerjaan dengan membaca Basmillah Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Melalui cara ini kita dapat beribadah dengan benar, beribadah dengan benar maksudnya ialah kita melakukan dan membangunkan sesuatu asas dalam diri kita yang menjadikan misi hidup kita semakin jelas.

Contohnya, bila kita masuk ke dalam kelas untuk belajar subjek calculus, sebaik sahaja kita duduk di atas kerusi, sambil menunggu pensyarah sampai kita mulakan dengan Basmillah dan luruskan niat 'aku belajar ilmu calculus ini untuk menambah ilmu ku demi kerana mu ya Allah'. Niat tadi menyebabkan misi kita belajar ilmu matematik tadi menjadi jelas. Itulah namanya beribadah dengan benar.

Demikian juga kita perlu lakukan dalam ibadah-ibadah yang selainnya. Mari sama-sama kita lakukan, bermula hari ini, bermula saat ini, kita cuba beribadah dengan benar. Beribadah dengan benar adalah langkah pertama yang perlu kita lakukan untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Kunci kepada ketinggian budi ialah keikhlasan kita kepada Allah S.W.T.

Pengurusan Kalbu Untuk Meraih Kejayaan Abadi

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَارَكَاتُهُ

Asalamuu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang dengan segala nikmatNya itu Ia menyempurnakan mengerjakan amal saleh yang menurunkan dia akan berkat, segala puji bagi Allah atas taufiqNya, kuasa atas taat.

Manusia mempunyai dua unsur iaitu rohani dan jasmani, rohani ialah jiwa, perasaan, hati, persepsi,perkara dalaman hati dan sebagainya manakala jasmani ialah fizikal seperti tangan, kaki, badan, perkara-perkara yang boleh disentuh, dilihat dan diraba dan sebagainya, jadi semua manusia, mempunyai rohani dan memiliki jasmani, rohani perlu diurus, dikendalikan dan ditadbir dengan baik untuk meraih kejayaan akhirat.

Begitu juga jasmani. Jasmani juga perlu diurus dengan baik untuk meraih kejayaan dunia, Pengurusan jasmani yang sistematik perlu supaya jasmani kita sentiasa kuat dan sihat. Gabungan pengurusan jasmani baik dan rohani yang efektif akan menghasilkan kejayaan dunia dan akhirat atau kejayaan abadi. Ringkasnya, jasmani dan rohani perlu diurus dengan baik dan sempurna.

Persoalannya sekarang ialah bagaimanakah caranya kita mengurus rohani dengan baik? Apakah pendekatan yang sesuai?Bagaimana pula caranya untuk mengurus jasmani dengan sempurna? sehingga kita boleh memperolehi kejayaan dunia dan kejayaan akhirat, sehingga kita boleh mencapai kejayaan abadi, mencapai kemuliaan, ketinggian dan keagungan di antara bangsa-bangsa lain di dunia, sehingga kita menjadi Shahi Alam dengan mengamalkan dasar keadilan dan kita memungut kebaikan dimanapun kita bersua.

Saya dengan panduan guru saya Ir. Hamidun Md. Isa akan cuba mengupas persoalan tersebut berdasarkan 4 buah buku iaitu Tasauf Moden karangan Prof. Dr HAMKA ( Haji Abdul Malik Karim Amrullah), Bangkit! Manajemen Qalbu Untuk Meraih Sukses oleh Abdullah Gymnatiar (Aa Gym), Mengenal Roh Jil V Rohani dan Jasmani Aku yang sebenar oleh A.Talib Naiem Al Haj Asaupi dan buku' Wasiat Abrar, Peringatan Akhyar' Syeikh Daud Al-Fatani oleh H.W.M Saghir Abdullah.

Kami cuba sedaya upaya untuk memamparkan kupasan tersebut melalui post-post kami yang seterusnya di sepanjang bulan ramadan yang penuh berkat dan bulan yang disirami rahmat dan dinafasi rahman Allah S.W.T ini. Apa yang kami cuba paparkan dalam blog ini adalah berdasarkan pengalaman dan catatan daripada pengalaman yang kami lalui sendiri. Insya-Allah.