Showing posts with label PKR. Show all posts
Showing posts with label PKR. Show all posts

Monday, December 17, 2018

YB Nurul Izzah melepaskan Jawatannya Sebagai Naib Presiden Keadilan dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Kenyataan Akhbar:  Setiap Perjalanan Pasti Berakhir, dan bertemu Permulaan Baharu

Tanggal 9 Mei 2018 telah menyaksikan arus perubahan berlaku.

Peralihan kerajaan di peringkat pusat secara aman yang memperlihatkan perubahan parti pemerintah, dan membuktikan peri pentingnya proses peluasan ruang demokrasi.

Dalam memastikan penyempurnaan agenda reformasi yang telah dipersetujui bersama oleh Pakatan Harapan, rakyat dan kesemua pemegang taruh wajib menyambut dengan bersuara dan memberi kritikan membina untuk memastikan agenda reformasi terlaksana dengan jayanya, termasuklah meneruskan polisi dan program oleh kerajaan terdahulu demi manfaat rakyat.

Susur galur perjalanan politik saya telah bermula sejak 1998, 20 tahun lalu - selaku aktivis dan seterusnya terlibat secara langsung sebagai sebahagian daripada pimpinan pusat dalam Parti Keadilan Rakyat yang saya kasihi. Sekalung penghargaan saya ucapkan kepada seluruh akar umbi KEADILAN yang memberikan saya ruang dan peluang untuk berkhidmat buat kalian.

Dalam lapangan ini, terdapat beberapa prinsip dan idea perjuangan yang saya pegang teguh sehingga hari ini dan saya sentiasa percaya, hidup sebaiknya diteruskan dengan berpegang kepada kepercayaan dan idealisme kita. Atas dasar itu, kepercayaan itu telah menjadi batu asas kepada pengumuman hari ini.

Saya dengan ini, meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Parti KEADILAN Rakyat, dan menyerahkan semula pelantikan saya sebagai Pengerusi KEADILAN Negeri Pulau Pinang. Pucuk pimpinan utama telah dimaklumkan dengan keputusan ini.

Khidmat saya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan sebagai penggubal polisi masih diteruskan sehingga tamat tempoh yakni pada Pilihan Raya akan datang. Saya juga akan tetap kekal sebagai ahli biasa KEADILAN.

Sukacita juga saya maklumkan yang saya juga tidak lagi akan berkhidmat untuk mana-mana jawatan di peringkat persekutuan. Untuk itu, saya serahkan kepada keputusan parti berhubung jawatan yang dilantik di peringkat syarikat di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang.

Saya kekal selaku Ahli Parlimen ‘backbencher’ yang komited dengan agenda reformasi. Saya juga serahkan keputusan kepada pucuk pimpinan berkait dengan lantikan oleh parlimen sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Saya telahpun melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang setelah terpilih sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Pun demikian, saya akan tetap meneruskan kerja-kerja advokasi sebagai sebahagian daripada rakyat dan tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Kekesalan utama saya adalah pengumuman ini sepatutnya dilakukan lebih awal, namun ternyata ianya bukan sesuatu yang mudah untuk saya suarakan.

Kelewatan mengumumkan keputusan ini mengambil kira perkembangan politik yang sepertinya tidak berpenghujungan selama sembilan bulan, diikuti dengan pemilihan parti yang begitu sengit dan mencabar - maka ditakdirkan saat inilah masanya keputusan ini diumum.

Setelah menimbang tara segalanya, dan melihat situasi ini dalam perspektif yang lebih besar sejajar dengan di mana saya berdiri, dan pegangan saya berkaitan dengan politik, saya harus mengotakan apa yang bertakhta di dalam hati.

Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pucuk pimpinan yang saya hormati dan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang saya kasihi.

*Nurul Izzah Anwar*
*17 Disember 2018*

Wednesday, September 3, 2014

KECEWA DENGAN TG HJ. HADI, FITNAH DAN ELAK TANGGUNGJAWAB - Che'guBard

Dipetik daripada status FB Che'guBard.

Kenyataan Umum
3 September 2014
KECEWA DENGAN TG HJ. HADI, FITNAH DAN ELAK TANGGUNGJAWAB
Pada Pilihanraya Umum ke 13 yang lepas saya telah bertanding di DUN Sg. Acheh atas arahan parti yang saya anggotai. Ketika hari penamaan calon telah hampir, saya telah dimaklumkan dengan cakap-cakap perbagai pihak bahawa PAS juga akan meletakkan calon. Perbagai usaha saya lakukan yang mana akhirnya saya mendapat jaminan PAS tidak akan meletakkan calon maka saya sedia menghantar pencalonan.
Malangnya hari penamaan calon PAS tetap menghantar calon dengan watikah rasmi PAS. Ini amat mengecewakan. Malah peristiwa menghalang dengan kasar pada hari penamaan calon dikesali. Saya sendiri ada bertemu dengan Jentera PAS yang diketuai YDP PAS N.Tebal mereka berkeras bertanding kerana mereka mengatakan mereka telah lama bersabar dan mereka ada strategi dan cara untuk menang. Dalam pertemuan tersebut juga disebut mengenai kekasaran di hari penamaan calon.
Saya kemudian telah bertemu sendiri Datuk Seri Abd Hadi Awang, Presiden PAS mendapatkan kedudukan sebenar. Beliau sendiri bercakap dengan saya supaya teruskan kempen, PAS telah tarik diri dan pengumuman rasmi telah pun dibuat.
Di kawasan DUN Sg. Acheh ia tidak sebegitu malah kempen diteruskan dengan kasar. Bukan penyokong biasa tetapi YDP PAS N.Tebal sendiri telah ditahan oleh petugas PKR mencuri bahan kempen yang digantung oleh kami. Walaupun dibawa ke balai polis malam tersebut tetapi hanya direkod saya sendiri meminta jasa baik semua jangan dibuat laporan polis kerana menjaga air muka orang tua.
Calon PAS Dun Sg. Acheh sendiri turun berkempen dan dalam ceramahnya jelas ia menyebut ia diarahkan oleh Ketua Pemuda PAS (pada masa itu Nasaruddin Hasan) untuk balik ke Sg. Acheh dan berkempen. Malah sehingga hari pengundian PAS terus berkempen mengelirukan pengundi. Antara yang diedarkan dikawasan pengundi bukan Melayu ialah gambar Lim Guan Eng seolah bertanding dengan logo PAS.
Semua lebih parah apabila Presiden PAS sendiri memberikan ucapan PAS menghantar calon 3 penjuru kerana calon PR yang diletakkan terlibat menjual Pil Kuda, sokong komunis (mengangkat Lenin dll sebagai nabi) dan perbagai tuduhan lain. Hampir semua media melaporkan fitnah Hj Hadi dan menyiarkan nama saya bukan itu sahaja jentera dibawah turut memanjangkan fitnah tersebut, malah ia tidak terhenti dengan tamatnya PRU ke 13 sahaja
Ini menyemarakkan lagi taktik jahat dibawah termasuk fitnah. Calon PAS dan BN bergabung menyerang saya. Sudah tentu taktik nakal PAS ini sangat memberikan semula nafas kepada jentera BN tempatan yang seolah lumpuh awalnya.
Apa pun keputusanya saya mengaggap ia sebagai perancangan Allah yang penuh hikmah dan saya ambil pengajaranya. Cuma dari segi fitnah ke atas diri saya yang terpalit keluarga saya mohon bersihkan. Saya telah usaha menghantar beberapa surat sejak dari selesai dari PRU 13. Saya juga telah berpesan dengan beberapa individu yang saya rasa mampu menyampaikan pesan kepada Hj Hadi, namun semuanya tak mendapat respon. Saya cuma mahu Hj. Hadi membersihkan nama saya atau mendedahkan mana dan siapa sumber maklumat sehingga beliau mengeluarkan ayat fitnah tersebut.
Saya juga telah menulis kenyataan terbuka yang saya hantar ke semua saluran elektronik berkaitan Hj. Hadi seperti twitter, email dan sebagainya termasuk bukan sahaja beliau secara peribadi tetapi PAS pusat sendiri. .
Namun eidulFitri yang lepas saya pulang ke kampung (Sg. Acheh) nampaknya fitnah tidak terhenti, kesian dengan saudara mara dan teman - teman saya terpaksa tanpa henti cuba menerangkan apa terjadi. Saya tidak punya banyak pilihan saya telah bertemu peguam Tentuan Vasudevan A & Co. untuk mengarahkan satu surat tuntutan undang - undang dikeluarkan. Maka satu surat bertarikh 6 Ogos 2014 telah dikeluarkan. Dihantar melalui pos dan hantaran tangan.
Surat hantaran tangan ke Pej. Presiden PAS di Pejabat Agong PAS telah diterima pada 8 Ogos 2014 iaitu hari Jumaat dimana Terengganu cuti dan Pusat Khidmat Parlimen Marang tutup. Namun sehari selepas surat itu sampai di Ibu Pejabat PAS saya dihubungi ramai wartawan. Saya pelik bagaimana wartawan boleh tahu tetapi sms wartawan TV3 jelas menyebut mendapat maklumat dari sumber PAS menyatakan saya hantar surat tuntutan undang - undang. Malah setelah diperiksa beberapa akaun FB penyokong tegar Hj. Hadi turut menyiarkan imej surat yang merupakan salinan kepada Hj Hadi. Ini tidak sepatutnya berlaku.
Bermula 11 Ogos 2014 usaha menyampaikan surat di Pusat Khidmat Parlimen Marang dilakukan. Malangnya petugas di pusat khidmat tersebut enggan menerima surat tersebut. Katanya dia tidak ada kuasa menerima surat. Lucu sekali, seolah ada arahan agar lari dari tanggungjawab. Apa yang perlu ditakutkan ?
Sangat kecewa dengan perkembangan ini. Hambur fitnah dan seolah lari dari tanggungjawab, saya cuma menuntut hak nama saya dibersihkan. Ada yang mencadangkan tulislah surat kepada Prof. Dr. Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi yang baru 'melantik' Hj Hadi dalam jawatan peringkat antarabangsa. Mungkin Sheikh Yusof boleh menasihatkan Hj. Hadi mengenai hukum fitnah dan meminta maaf. Namun saya rasanya ia agak keterlaluan tetapi tidak menolak kemungkinan itu.
Saya minta semua agar faham ini tidak ada kena mengena dengan parti atau organisasi yang saya terlibat, ini adalah urusan saya dan Hj. Hadi secara peribadi. Saya telah mengarahkan peguam saya untuk meneruskan tindakan undang - undang ini. Perlu ditegaskan ini bukan soal wang tetapi soal maruah. Malah saya telah memutuskan apa yang saya perolehi dari saman ini nanti sebahagian besar akan disumbangkan kepada Unit Amal satu badan sukarela dibawah PAS yang banyak menggerakkan kerja kebajikan dan seumpamanya sebagai menghormati sumbangan Unit Amal dalam perjuangan.

Thursday, November 7, 2013

Orang Melayu dan Tamadun Bangsanya





Dewasa ini pelbagai pihak ghairah mengadakan seminar dan persidangan tentang tamadun atau peradaban Melayu. Untuk apakah wacana itu jika orang Melayu tidak mengetahui maksud tamadun Melayu. Memahami tamadun sendiri bererti mengetahui pemikiran bangsa, nilai budaya bangsanya, kekuatan bangsanya, unsur yang membentuk “tradisi” bangsanya hingga terbentuk kesedaran tentang makna jati diri, atau identiti kumpulan sosiobudaya dan geopolitik “supraetnik” yang disebut “bangsa Melayu”. Mengetahui “tradisi” bangsa Melayu tidak bererti berbalik ke zaman lampau, mencari “benda” peninggalan nenek moyang bangsa Melayu. Benda lama yang dikatakan hanya sesuai dengan “dunia lama” bangsa Melayu, tidak sesuai dengan “dunia baru” orang Melayu hari ini.

Dunia tidak berubah. Yang berubah dan mengubah dunia ialah manusia. Manusia melakukan proses perubahan ini dari dalam dirinya, iaitu akal fikiran, kuasa renungan dan imaginasinya, “hati”nya. Dengan demikian manusia dapat mengubah keadaan hidupnya, mengubah nasibnya, menyelesaikan masalah ekonomi, sosial, politik, budaya, dan moralnya.

Inilah cara sesuatu peradaban itu dibentuk oleh manusia sepanjang hayat bangsa itu. Inilah tradisi manusia, tradisi bangsa, yang berubah-ubah, dari tahap yang “tidak maju” ke tahap yang “lebih maju”, dari zaman jahiliah ke zaman celik ilmu dan budaya Tradisi bukan “benda mati” atau benda statik, tetapi merupakan proses aktif dan dinamik yang dicipta, digerakkan, dan dihidupkan oleh akal dan imaginasi manusia.

Tradisi berperanan menyelesaikan masalah hidupnya dengan menggunakan sumber alam di sekeliling mereka bagi membentuk sistem ekonomi, politik, sosial, dan budaya yang “maju” dari zaman ke zaman. Sesuatu bangsa tidak pernah dalam sekelip mata menjadi kuasa ekonomi, kuasa ilmu, dan kuasa tentera melainkan bangsa itu mempunyai “acuan” yang dibentuk oleh tradisi bangsanya yang terdahulu. Demikianlah berkembangnya tradisi yang berlaku dalam sejarah peradaban Melayu sejak zaman mereka belum bertembung dengan tamadun luar dari India, Islam, dan Barat.

Tempohnya cukup panjang, dari kira-kira abad pertama tahun Masihi hinggalah ke tarikh kuasa penjajah Barat (Eropah) yang diwakili oleh bangsa Portugis, Belanda, dan Inggeris meninggalkan kawasan Alam Melayu pada tahun 1945 di Indonesia dan tahun 1957 di Tanah Melayu. Peristiwa ajaib yang berlaku sepanjang tempoh itu ialah orang Melayu tidak hilang di muka dunia, ditelan oleh kuasa tiga tamadun luar yang kuat itu, tetapi kekal hingga hari ini.

Hakikat inilah yang perlu diketahui, dipelajari, dihayati, dan dijadikan rujukan bangsa Melayu membentuk tradisi baru sebagai sambungan, tradisi bersama yang terbentuk sekian lama. Apakah dan siapakah yang bertanggungjawab membentuk dan mengekalkan tamadun ini sepanjang zaman itu? Yang menyebabkan tamadun Melayu bertahan ialah sifat “keterbukaan minda Melayu” menghadapi pengaruh dan cabaran dunia luarnya. Bagaimana kita tahu bahawa minda Melayu itu terbuka? 

Kita mengetahuinya melalui dua tanda. Pertama, melalui akal budi bangsa Melayu, dan kedua melalui peristiwa sejarah yang menggambarkan akal budi Melayu. Akal budi Melayu ialah falsafah hidup Melayu tentang alam sekitarnya untuk membentuk realiti sosial, budaya, moral, dan politiknya. Mereka melakukan perubahan di alamnya sendiri dan melalui interaksi dengan bangsa dan tamadun yang datang dari luar alamnya.

Sepanjang pertembungan orang Melayu dengan dunia luarnya, tidak pernah atau jarang-jarang berlaku peristiwa orang Melayu atau kerajaan Melayu menentang bangsa asing yang datang mengembangkan nilai tamadun mereka “secara aman”, atau menolak tamadun asing itu secara total. Orang Melayu baru terpaksa menentang kuasa asing dan menolak tamadun mereka apabila kuasa asing itu memusuhi, menyerang atau memaksa kehendak mereka terhadap orang Melayu.

Pada zaman kuasa Eropah berada di kawasan Melayu, berlaku beberapa banyak peristiwa orang Melayu (ini termasuk bangsa Melayu-Indonesia) menentang kuasa mereka, selalunya melalui perang mempertahankan hak dan tanah mereka. Contohnya, perang orang Melayu Melaka mempertahankan tanah air daripada serangan askar Portugis pada tahun 1511. Orang Melayu tidak pernah memerangi orang luar yang cuba mengembangkan agama mereka di dunia Melayu pada zaman itu sejak abad ke-7.

Kerana inilah agama Hinduisme dapat diterima oleh beberapa golongan Melayu. Kemudiannya bangsa Melayu melakukan perubahan lagi, dengan menerima agama baru, iaitu Islam. Jadi, orang Melayu pada zaman itu tidak pernah bersifat fanatik, tidak pernah menjadi bangsa yang ekstrem – jauh sekali sebagai antikemajuan. Maka pada zaman pertemuan aman antara tamadun dari India dan kemudiannya dari dunia Islam itulah tamadun Melayu mencapai kemajuan yang tinggi.

Pada zaman itulah, orang Melayu menubuhkan kerajaannya, mula-mula kerajaan Melayu-Srivijaya beragama Hindu-Buddha (abad ke-7 hingga ke-13) dan kerajaan Melayu-Islam sejak abad ke-10, yang merebak ke seluruh rantau ini, dari sebelah barat Selat Melaka ke sebelah timur, meliputi kawasan di Pulau Jawa, di Makasar, di Ternate, dan di kawasan lain.

Tamadun inilah yang tidak dapat dimusnahkan oleh kuasa Eropah walaupun melalui kekerasan dan keganasan. Melaka boleh jadi dikalahkan oleh teknologi perang bangsa Portugis, tetapi tamadun Melayu tidak pecah, tidak musnah. Kerajaan Melayu-Islam yang lain berkembang di Johor; Aceh muncul sebagai pusat kerajaan Melayu-Islam yang gigih, juga sebagai pusat pertumbuhan kegiatan pemikiran dan penulisan Melayu-Islam yang luar biasa, menghasilkan beberapa banyak karya agung dalam bidang kesusasteraan, teologi tasawuf, metafizik, dan falsafah yang terkarang dalam bahasa Melayu.

Jadi, dua faktor lain yang memainkan peranan penting sebagai benteng kukuh tamadun Melayu ialah bahasa Melayu dan agama Islam. Inilah dua alat pembentuk tamadun Melayu yang cukup tahan, dan tidak mampu dihancurkan oleh kuasa Eropah.

Tetapi faktor yang lebih penting ialah sifat akal budi atau minda Melayu. Para pemikir Melayu, sasterawan dan seniman Melayu sejak zaman mereka belum mengenal tradisi tulisan yang mantap (seperti tulisan Jawi) bertanggungjawab membentuk akal budi Melayu, menghasilkan nilai fikiran, budi atau adab yang tinggi melalui karya mereka, seperti pantun, peribahasa, pepatah, cerita lipur lara, hikayat, dan karya bercorak ilmu, dengan menggunakan bahasa Melayu yang amat kreatif. Mereka berfikir secara analogis, melalui perumpamaan, melalui kiasan dan melalui lambang untuk menyatakan makna yang empirikal, realistik, pragmatik, dan abstrak, dengan menggunakan bahasa metaforik.

Kata Aristotle, lebih 2300 tahun dahulu, dalam karangannya Poetika, manusia yang mampu berfikir secara metaforik melalui bahasa metaforik dan simbolik, tentulah manusia yang geliga atau genius otak dan imaginasinya. Bangsa manakah yang mempunyai kebolehan mengungkapkan fikiran dan perasaannya secara spontan melalui pantun yang kompleks strukturnya, berangkap dan berirama, dalam bahasa yang padat, bernas dan tidak membazir?

Yang penting, bukan sama ada fikiran itu “saintifik” atau tidak, tetapi daya fikir dan daya kreatif seniman atau pemikir Melayu. Tentulah, manusia seperti itu berkemampuan, dari segi daya kognitifnya, untuk berfikir secara metamatikal, saintifik, dan logikal, kalau mereka mempelajari ilmu matematik dan sains dalam bahasanya sendiri.

Tetapi kebanyakan orang Melayu hari ini tidak mengetahui, tidak mempelajari, dan tidak memahami tamadun Melayu. Yang mereka nampak, melalui teropong orang lain atau melalui cara berfikir “kolonial” dan “pascakolonial” (tetapi mereka tidak menyedari hal ini) tentang kelemahan dan keburukan bangsa Melayu. Maka berlakulah krisis pemikiran, budaya, akal budi Melayu dalam kalangan orang Melayu hari ini: Barat pun tidak, timur pun tidak, Islamik pun tidak, Melayu pun tidak.

Nilai adab, nilai budi, makin lama makin luput daripada “minda” dan pekerti Melayu “moden” yang tidak maju itu, yakni maju dari segi pemikiran dan akal budi mereka sebagai bangsa Melayu yang mewarisi tamadun yang hebat itu. Kisah dan realiti tamadun atau tradisi Melayu ini sepatutnya didedahkan, dihebahkan dan diajarkan kepada semua golongan Melayu di negara ini, termasuk para pegawai Melayu, peniaga, usahawan, ahli korporat, kapitalis Melayu, ahli UMNO, PEMUDAnya, WANITAnya, dan komponen PUTERInya, dan ahli politik PAS, PKR bahkan para menteri Melayu.

Anak-anak muda Melayu yang dikatakan makin banyak yang menjadi mangsa perniagaan dadah di Malaysia, yang dikatakan suka melepak dan berfoya-foya, harus dipulihkan melalui didikan tamadun Melayu. Tamadun Melayu mesti dijadikan bahan pendidikan penting di sekolah dan di universiti. Jangan kita terlalu sibuk membicarakan tamadun atau peradaban Melayu di peringkat akademik dan dalam kalangan sarjana tamadun Melayu sahaja kalau mesejnya tidak sampai ke seluruh umat Melayu. Buku tentang tamadun Melayu perlu diterbitkan sebanyak mungkin.

Barulah segala wacana tentang peradaban Melayu ada hasil praktiknya, untuk mengubah minda atau fikiran Melayu daripada yang tidak beradab kepada “yang berbudi” atau beradab. Peradaban berdiri atas adab. Kemajuan dalam bidang apapun, terutama dalam bidang fizikal atau materialistik, pasti tidak akan tahan lama, jikalau kemajuan itu tidak disandarkan pada akal dan pemikiran yang beradab. Tradisi ini ada pada bangsa Cina, bangsa Jepun, dan bangsa-bangsa lain yang tidak melakukan keganasan di dunia ini, seperti yang dilakukan oleh kerajaan Amerika Syarikat yang dipimpin oleh orang yang mewarisi sejarah keganasan sejak zaman nenek moyang mereka memusnahkan penduduk peribumi di situ.