Showing posts with label Prof. Dr. Zaini Ujang. Show all posts
Showing posts with label Prof. Dr. Zaini Ujang. Show all posts

Thursday, March 21, 2019

Melestari Sungai oleh Dato Seri Prof Ir Zaini Ujang

Melestarikan sungai adalah tanggungjawab semua warga tanpa mengenal usia, kaum, agama, kedudukan atau kerjaya. Sungai adalah cerminan sesebuah negara dan bangsa.

Bersih air sungai menandakan bersihnya masyarakat dari segi jiwa dan minda. Lestarinya ekosistem sungai - floranya mekar membunga, faunanya segar membiak - menzahirkan kelestarian gaya dan cara hidup sesebuah warga negara. Begitulah sebaliknya.

Melestarikan sungai bukan suatu gagasan yang sukar amat, yang hampir mustahil atau anganan semata. Realitinya sukar lagi membangun sebuah projek kereta nasional, merekayasa jambatan berkilometer panjang membelah laut, atau membina jalan raya di serata pelusuk negara, menjangkau hingga ke danau dan desa.

Melestarikan sungai bermula dengan kecintaan serta keinginan tinggi terhadap bekalan serta sumber air minuman yang berkualiti, dan kebersihan kawasan sekitar untuk beriadah dan bersantaian bersama keluarga, sanak-saudara. Sumber air berkualiti tinggi akan mengurangkan risiko kesihatan, memudah dan memurahkan proses rawatan air serta menjimatkan kos untuk kebaikan pengguna.

Melestarikan sungai boleh dilaksanakan oleh semua pihak tanpa perlu pelan induk nasional, gembar-gembur program mega atau kemeriahan acara perdana, seperti berikut:-

1. Mengenali dan memahami aliran sungai di kawasan masing-masing - nama sungai, morfologi sungai, peranan sungai yang berhampiran dengan setiap warga.

2. Memastikan anak sungai dan longkang yang berdekatan kawasan perumahan dan tempat kerja tidak dilimpahi sampah-sarap, atau aliran air kumbahan tidak terawat, atau buangan apa sahaja bentuk sisa.

3. Memastikan loji kumbahan atau tangki septik di kawasan perumahan dan tempat kerja berfungsi sebaiknya (nota: petanda mudah sesuatu sistem kumbahan tidak berfungsi ialah bau busuk dan aliran berwarna).

4. Anjurkan acara gotong-royong, misalnya sebulan sekali, bersama penduduk setempat untuk membersihkan anak sungai, longkang dan tebing sungai utama secara berkala.

5. Tubuhkan kelab atau AJK khas dalam persatuan penduduk berserta kemudahan media sosial dengan tujuan untuk melestarikan ekosistem sungai berdekatan. Ini boleh meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan melestarikan sungai kepada seluruh anggota serta seisi keluarga.

6. Antara aktiviti kelab yang strategik dan berimpak besar adalah membina denai di sepanjang tebing dan pesisiran sungai untuk membolehkan masyarakat mendekati, menyumbang bakti dan menikmati ekosistem sungai tanpa perlu biaya besar dari penaja.

7. Berusaha untuk mewujudkan kesedaran awam supaya masyarakat berasa bangga dan mengaitkan diri dengan sungai, contohnya: “rumah saya di Taman Rimba Desa, berhampiran Pusat Aktiviti Ke-5 Kelab Sahabat Sungai Langat, di KM67 Sungai Langat”!

8. Jadikan anak sungai berhampiran kawasan perumahan dan tempat kerja sebagai pusat aktiviti air untuk komuniti setempat seperti berkelah, bersiar sepanjang denai, berkayak, memancing atau bermandi-manda, dimulai dengan inisiatif meningkatkan kualiti air menggunakan teknologi mudah seperti ‘Sabo’, tanah paya (wetlands) dan empangan.

9. Adakan kerjasama dengan agensi atau pertubuhan bukan kerajaan berkaitan pelestarian sungai untuk mempelajari sesuatu inisiatif atau kaedah pelestarian sungai secara sukarela.

10. Jadikan pelestarian ekosistem sungai sebagai wadah menyatukan penduduk setempat tanpa mengenal pangkat, kedudukan, kaum, agama, fahaman politik atau usia.

Sesungguhnya usaha melestarikan alam sekitar dan sumber air adalah terangkum dalam empat daripada tujuh amal jariah, sebagaimana maksud Hadith: “Tujuh perkara yang seseorang itu masih berterusan mendapat pahala walaupun sudah meninggal dunia, seperti berikut:-

1. Ilmu yang diajarkan

2. Mata air yang dialirkan

3. Perigi yang digali

4. Pohon yang ditanam

5. Masjid yang dibina

6. Mushaf al-Quran yang ditinggalkan sebagai pusaka

7. Anak soleh yang sentiasa mendoakan keampunan untuk orang tuanya

(Al-Jami’ al-Sahih: 3596, Kitab al-Taghrib wal-Tarhib)

LEBIH BAIK DIAM oleh YBhg. Dato Seri Prof Dr Ir Zaini Ujang.

LEBIH BAIK DIAM
Oleh Zaini Ujang
Lebih baik diam apabila kita terhimpit memikirkan sesuatu yang masih samar dan diserabuti seribu ketidakpastian. Kerana diam membolehkan kita bertafakkur dan memikir semasak-masaknya dengan neraca keimanan dan keadilan.
Lebih baik diam sejurus kita membaca sesuatu maklumat, berita atau bahan ilmu yang belum diyakini kesahihannya. Kerana diam memberi ruang waktu untuk kita merenung, membeda antara fitnah dan fakta, menilai antara umpatan dan kenyataan.
Lebih baik diam apabila kita mendengar atau melihat sesuatu yang mungkin menarik, mengena malah sensasi. Kerana diam membolehkan kita menyelak cermin diri sebelum melihat keaiban kawan atau kemulusan lawan.
Lebih baik kita diam ketika beremosi, berbeda pendapat atau bertebung musuh. Kerana diam memberi kelebihan untuk kita berfikir, merangka seribu jalan dan menapak seribu langkah jauh ke hadapan tanpa terjebak dalam persengketaan yang seringkali melelahkan, malah mengaibkan.
Chiang Mai, Thailand
20 Mac 2019

Friday, September 24, 2010

Tingkat Akademik Pensyarah Setaraf Universiti Terbaik Dunia - Prof. Dr. Zaini Ujang

SEJAUH mana matlamat dan peranan universiti ditentukan oleh faktor luaran seperti ranking dan pasaran kerja? Apakah impak agenda dan dasar negara terhadap perkembangan universiti di sesebuah negara? Apakah kaedah terbaik untuk memacu bidang pengajian tinggi Malaysia?

Itulah antara persoalan yang sering dibicarakan sejak kebelakangan ini dalam media massa dan sembang sesama intelektual. Malah itulah juga mauduk semeja sepanjang musim hari raya ini setiap kali saya bertemu tokoh pemimpin, ahli korporat dan rakan sarjana. Ada pesimis terhadap pencapaian universiti tempatan dalam liga universiti dunia. Namun, ramai juga yang kritis supaya universiti tempatan perlu mengadun acuan sendiri berdasarkan kepentingan agenda nasional, bukan dibayangi petunjuk dan kriteria global yang sering kali tidak memihak kepada negara kecil seperti Malaysia.

Seminggu lalu, selepas QS World University Ranking 2010 diumumkan, saya dihujani soalan daripada pelbagai pihak, terutama media untuk mendapat saranan. Apakah kualiti dan standard pengajian tinggi tempatan sudah menurun?Pada 16 September lalu ranking baru dikeluarkan pula oleh Times Higher Education (THE) World University Rankings 2010. Soalan sama turut dikemukakan. Kita terpaksa akur penilaian terhadap institusi pengajian tinggi sentiasa dilakukan pelbagai pihak termasuk Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kementerian Pengajian Tinggi menerusi instrumen rating (bukan ranking) SETARA dan badan profesional.

Semua penilaian ini menjadi antara komponen dalam sistem pengajian tinggi di Malaysia. Selain itu lima Universiti Penyelidikan (UTM, UKM, USM, UPM dan UM) turut dinilai QS sejak 2004. Perkara ini selalu menjadi bualan bahawa tidak sebuah pun universiti di Malaysia tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia.

Apakah makna universiti terbaik dunia? Sekadar makluman, sejak awal kewujudan ranking universiti dunia oleh QS sehingga 2009, Harvard menduduki tangga teratas. Pada 2010, giliran Cambridge pula. Apakah kedua-dua universiti berkenaan layak diiktiraf sebagai terbaik di dunia?

Teras kecemerlangan akademik ialah kecemerlangan pensyarah dan mahasiswa. Kecemerlangan akademik inilah mewarnakan komuniti ilmu universiti dengan kesegaran budaya ilmu. Pensyarah di Harvard misalnya ialah tokoh akademik dalam bidang masing-masing. Ketika saya menuntut di Harvard Business School (HBS), semua pensyarah bertaraf profesor dengan latar akademik dan profesional terbilang. Profesor bidang strategi misalnya ialah perunding strategi Apple Corporation, Intel dan kerajaan Amerika Syarikat.

Kejayaan ini berkait rapat dengan laluan kerjaya di universiti berkenaan. Jawatan tetap di HBS hanya profesor. Staf akademik lain iaitu penolong profesor dan profesor madya adalah jawatan sementara secara kontrak. Namun, untuk menjadi penolong pensyarah memerlukan pengalaman sekurang-kurangnya empat tahun sebagai felo penyelidik pasca kedoktoran. Sistem perjawatan ini diamalkan di Singapura dan Korea Selatan.

Bagaimana kaedah terbaik untuk universiti kita lebih cemerlang? Kita perlu bergerak lebih pantas dan memberi impak besar kepada kecemerlangan akademik dengan memantapkan kualiti akademik pensyarah daripada aspek pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan perkhidmatan profesional. Laluan kerjaya pensyarah juga perlu mirip kepada universiti ternama dunia, bukan lagi terikat konsep pilih, latih (lanjutkan pengajian PhD), khidmat dan maju jaya.

Persoalannya sejauh mana komitmen melaksanakan program pemantapan kualiti akademik secara komprehensif sekali gus realistik? Sejauh mana pula penerimaan komuniti akademik untuk meningkatkan komitmen melaksanakan misi dan tanggungjawab kesarjanaan? Apakah segala-galanya perlu diumpan dengan imbuhan kewangan dan skim perkhidmatan lebih lumayan?

Jawapannya pelbagai. Namun, secara ideal mesti berasaskan konsep pendidikan dan matlamat universiti kerana universiti sebenarnya komuniti ilmu yang berkumpul untuk memperdalam kefahaman serta penghayatan dan memacu kecemerlangan ilmu menerusi penyelidikan, pengajaran serta penerbitan. Matlamat universiti tidak terungkap secara kebendaan dan diukur dengan petunjuk jangka pendek, sebaliknya bersifat ketamadunan dan pembinaan generasi masa hadapan.

(Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan penulis buku Mengangkasa Pengajian Tinggi)

(Sumber : Berita Harian)