Thursday, October 24, 2019

Harga maksimum rumah mampu milik RM282,000 - BNM

KUALA LUMPUR: Harga rumah mampu milik perlu ditawarkan pada kadar maksimum RM282,000 bagi pendapatan isi rumah berjumlah RM5,228, demikian menurut Buletin Suku Kedua 2018 oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, bank pusat berkata, harga rumah mampu milik sebenar dalam pasaran adalah 11 peratus lebih tinggi iaitu pada harga RM313,000.

Katanya, pemilikan rumah yang menjadi aspirasi dan impian setiap rakyat Malaysia dilihat semakin sukar untuk dicapai berikutan harga rumah terlalu tinggi di kebanyakan bahagian utama dalam negara.

“Situasi ini jelas memperlihatkan rumah kini sukar untuk dimiliki kerana ditawarkan pada kadar yang kurang mampu milik. Pada 2016, rumah di Malaysia secara purata berharga sekitar lima kali median tahunan pendapatan isi rumah menjadikannya lebih serius dan sukar untuk dimiliki.

“Ia adalah berbeza berbanding piawaian mampu milik antarabangsa iaitu tiga kali median tahunan saja,” katanya.

Bank pusat berkata, kemerosotan dalam pemilikan rumah mampu milik itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh ketidakpadanan dalam penawaran dan permintaan serta pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan.

Dari segi bekalan rumah, katanya pembinaan rumah jatuh secara konsisten berbanding permintaan isi rumah.

“Antara 2014 hingga 2016, secara purata terdapat 114,000 bekalan rumah baharu, yang jauh lebih rendah daripada pembentukan 154,000 isi rumah baharu.

“Kekurangan bekalan rumah mampu milik juga menjadi semakin parah berikutan pelancaran projek rumah segmen berkenaan merosot dan lebih terarah kepada segmen hartanah mewah,” katanya.

Selain itu, BNM berkata, ketidakseimbangan dalam penawaran dan permintaan bersama dengan keutamaan rakyat untuk memiliki rumah berbanding menyewa turut menjadi faktor terhadap tekanan ke atas harga rumah.

Malah, secara dasarnya ia berkata pertumbuhan pendapatan isi rumah turut tidak selari dengan kenaikan harga rumah.

Antara 2007 hingga 2016, harga rumah purata meningkat sebanyak 10 peratus, namun pendapatan hanya berkembang sekitar lapan peratus.

Jurang besar antara pendapatan dan harga rumah menjadi semakin buruk bersama persepsi peningkatan kos sara hidup memandangkan memiliki rumah dianggap sebagai suku perbelanjaan isi rumah.

Kementerian Pendidikan tubuh kesatuan pelajar di lima UA tahun depan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menyasarkan untuk menubuhkan kesatuan pelajar di lima universiti awam (UA) pada tahun depan, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, setakat ini kementerian menerima kerjasama dan sokongan yang sangat memberangsangkan daripada semua universiti awam bagi merealisasikan hasrat itu.

“Kalau boleh kami nak semua universiti sama ada awam atau swasta mempunyai kesatuan pelajar mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Maszlee berkata, penubuhan kesatuan pelajar di universiti dapat melatih pelajar untuk menjadi lebih matang dalam mengendalikan diri sendiri serta memberikan mereka lebih pengalaman dalam menguruskan kesatuan, kewangan dan aktiviti mahasiswa.

“Kami harap penubuhan kesatuan pelajar yang bermula di UIAM ini akan diikuti oleh universiti-universiti lain selepas ini,” katanya.

Maszlee berkata, kesatuan pelajar UIAM merupakan ‘bayi sulung’ bagi kesatuan pelajar selepas terkubur kesatuan pelajar Universiti Malaya (UM) lebih 40 tahun lalu.

Sebagai penghargaan, kesatuan pelajar UIAM menerima dana RM100,000 secara one-off (bayaran sekali) daripada Kementerian Pendidikan selain turut menerima peruntukan tahunan RM170,000 dari UIAM untuk aktiviti pelajar dan operasi mereka.

Sementara itu, Mazlee turut melancarkan ‘Buku Membaca: Motivasi dan Kaedah’ hasil tulisan Datuk Seri Prof Dr Zaini Ujang terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Buku setebal 205 halaman itu mendedahkan 1,001 rahsia dan tips berkaitan membaca selain berkongsi pelbagai teknik pembacaan termasuk kaedah luncuran dan imbasan.

Ia dibahagikan kepada empat bahagian meliputi 10 bab yang mengupas secara terperinci mengenai Masyarakat Membaca, Persediaan Membaca, Teknik Membaca dan Epilog Membaca. – BERNAMA