Monday, July 1, 2013

Tan Sri Awang Had Salleh Bekas Pengarah #UiTM (dulu ITM) Kembali Kerahmatullah - Semoga Rohnya Dicucuri Rahmat



KUALA LUMPUR: Tokoh akademik, Tan Sri Awang Had Salleh, 79, meninggal dunia, sebentar tadi, kata anaknya, Datin Norazlina Awang Had.  Jenazah akan dikebumi di Putrajaya.

Prof. Dr Awang Had Salleh (lahir 24 Jun 1934) ialah ahli akademik dan sasterawan Malaysia. Kerjaya akademiknya memuncak dengan pelantikannya sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia dan seterusnya Naib Canselor Pertama Universiti Utara Malaysia sebelum persaraannya. Selain terkenal dan aktif dalam bidang akademik, Awang juga banyak menghasilkan karya kreatif, termasuk banyak buku, risalah, dan kertas kerja mengenai bidang pendidikan, bahasa, dan budaya.Tahun 1966 merupakan tahun yang cukup penting dalam penulisannya apabila dua buah karyanya, kumpulan cerpen Merah Kuning Biru dan novel Biru Warna diterbitkan. Dramanya, Buat Menyapu Si Air Mata, diterbitkan pada tahun 1975.

Dilahirkan di Balik Pulau, Pulau Pinang, Awang menerima pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Pulau Betung, sebuah sekolah rendah di tempat asalnya. Pendidikannya kemudian tergendala, akibat Perang Dunia II. Walaupun demikian, beliau memperoleh keputusan peperiksaan Darjah 6 yang terbaik di seluruh negeri Kedah pada tahun 1949,lalu menyertai Sekolah Melayu Seberang Perak. Pada 1951, Awang menyambung pendidikannya di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak seterusnya sehingga memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahagian Atas) daripada Universiti Malaya pada 1964, diselang seberapa tahun sebagai guru Bahasa Kebangsaan di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star lalu sebagai Penolong Pensyarah di Pusat Latihan Harian (DTC) yang juga di Alor Star. 

Pada sesi akademik 1963/1964, beliau turut bergerak aktif sebagai Yang Dipertua Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM). Pada 1964, Awang menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur lalu menjadi Penolong Pensyarah/Pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya pada 1974. Selain itu, beliau juga menerbitkan novel sulungnya, Biru Warna, pada 1966. Ringkasan penerbit novel itu berbunyi sebahagiannya seperti yang berikut: "Keindahan rasa selalunya bermain dalam cahaya biru. Dan di tangan seorang seniman, cahaya itu digarapnya menjadi nada untuk muzik, menjadi bahasa untuk sastera, dan menjadi garis untuk lukisan. Dan Awang Had Salleh bukan saja mencipta "Biru Warna", sebuah novel, tetapi juga lukisan dan lagu dengan nama yang sama." Seorang yang berkecenderungan akademik, Awang kemudian memperoleh ijazah-ijazah yang lain sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran dalam bidang Pendidikan dan Sosiologi daripada Stanford University, California pada tahun 1969 serta juga dalam bidang Pengajian Pengurusan Akademik dan Pembangunan daripada Lancaster University, United Kingdom.

Pada 1975, Awang dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya dan kemudian menjadi Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia lalu menjadi Naib Canselor pertama Universiti Utara Malaysia. Sejak 1996, beliau merupakan Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dalam kegiatan penulisan, beliau melibatkan diri dalam penulisan kreatif (cerpen, novel, drama dan puisi) dari tahun 1954 hingga kira-kira tahun 1990. Beliau pernah menulis buku-buku untuk pra-sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah. Kegiatan menulis kertas kerja ilmiah dan rencana untuk majalah dalam bidang pendidikan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan masih berterusan hingga sekarang. 

Pada tahun 1978-1980 beliau dipinjamkan ke ITM (kini UiTM) sebagai pengarah.

Pada masa ini, beliau masih meneruskan kegiatan kemasyarakatan dalam beberapa buah pertubuhan sosial dan semenjak bersara, beliau ikut serta dalam sebilangan kecil badan korporat swasta. Sebagai Presiden, beliau terus menerajui Persatuan Suluh Budiman (sejak 1973) dan Persatuan Pendidikan Malaysia (sejak 1975). Penganugerahan negara yang diterima beliau ialah Johan Mangku Negara (JMN), 1975, Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) 1978, dan Panglima Setia Mahkota (PSM), 1982. Penganugerahan akademik yang diterima beliau ialah Honorary Fellow ABE (UK), 1983, HonLLB (Brock) 1986, Distinguished Fellow ISIS (Malaysia) 1990, Hon DLitt (Kebangsaan) 1997, dan gelaran Profesor Emeritus (Universiti Utara Malaysia), 1997.

Pemergian beliau pagi tadi adalah satu kehilangan dalam dunia pendidikan negara.