Saturday, July 25, 2009

Program Benteras Ragut dan Rogol & Tabung B2R

Pagi tadi saya menjadi Pegawai Pengiring bagi program di atas yang diadakan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Program tersebut dianjurkan oleh Puteri UMNO untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya golongan wanita tentang jenayah ragut dan rogol, majlis tersebut dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri Malaysia. UiTM menghantar satu bas peserta menyertai program tersebut. Kami selamat sampai semula ke UiTM lebih kurang jam 1.00 petang.

Saturday, July 18, 2009

Taklimat Mahasiswa NR Fakulti Sains Gunaan

Pagi tadi sekitar jam 11.00 pagi saya dan En. Ariffin Yusof memberikan taklimat mahasiswa NR untuk Fakulti Sains Gunaan. En. Ariffin Yusof dalam ucapannya menasihat pelajar NR supaya sentiasa mematuhi peraturan universiti dan menjaga sahsiah rupa diri mahasiswa dimana sahaja anda berada, samada didalam kampus atau diluar kampus.

Semasa memperkenalkan diri kepada semua mahasiswa NR tadi, saya menganjurkan pendekatan 5s diamalkan oleh semua mahasiswa NR, S-salam, S-Senyum, S-sopan, S-Sayang dan S-Sama-sama berkerjasama. Setiap kali berjumpa kawan anda untuk pertama kali pada hari itu ucapan salam kepadanya kemudian lemparkan senyuman ikhlas kepada rakan anda itu, disusuli dengan sopan santun dalam tingkahlaku, kemudian dilangsungkan dengan sayang-menyayang diantara satu sama lain dan akhir sekali sama-sama saling berkerjasama dalam apa pun perkara yang anda lakukan. Jika ini yang anda amalkan, natijahnya anda akan ramai kawan dan disenangi oleh semua rakan taulan anda.

Sekitar jam 3.00 ptg saya menerima panggilan telefon daripada seorang mahasiswi meminta pertolongan kerana rakan serumah beliau tidak sedarkan diri di Pusat Perdagangan, Seksyen 7. Saya menghubungi Pusat Kesihatan UiTM untuk bersiap sedia menghantar ambulan jika keadaan memerlukan, kemudian saya terus bergegas ke rumah mahasiswi tersebut, setibanya saya dirumah beliau, kelihatan seorang siswi dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring diatas tilam, dikelilingi oleh rakan serumah beliau. Saya menghubungi ambulan UiTM untuk membawa siswi tersebut ke Pusat Kesihatan UiTM, sekitar 10 minit kemudian, ambulan sampai dan kami menghantar siswi tersebut ke Pusat Kesihatan UiTM.

Saya mengekori ambulan daripada belakang ke Pusat Kesihatan UiTM, setelah sampai di Pusat Kesihatan, mahasiswi tersebut dirawat oleh doktor yang bertugas, doktor tersebut membuat pemeriksaan dan akhirnya mencadangkan supaya siswi tersebut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut, siswi tersebut akhirnya dibawa pula ke Hospital klang dan saya sekali lagi mengekori ambulan daripada belakang.

Dihospital klang, siswi ini dibawa ke wad kecemasan, saya tidak dibenarkan masuk ke wad tersebut kerana doktor bertugas dibantu oleh jururawat sedang merawat siswi tersebut, sekitar 30 minit, saya dimaklumkan oleh doktor bahawa siswi tersebut sudah mula sedarkan diri, tapi dia masih tidak boleh bercakap. Saya meninggalkan hospital setelah abang kepada siswi tersebut sampai. Rupanya baru saya ketahui bahawa siswi tersebut adalah pelajar yang menghadiri taklimat NR yang saya berikan pagi tadi.

Tuesday, July 14, 2009

Penjara Bakal Dibina Bersebelahan Kampus Puncak Alam UiTM - Apa rasionalnya?

Pada semester ini Kampus Puncak Alam UiTM telah pun mula beroperasi, Fakulti Farmasi, Fakulti Sains Kesihatan dan Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat UiTM menjadi fakulti perintis memulakan kuliah disana. Seramai lebih kurang 4,500 orang pelajar menjadi pelajar perintis melalui kehidupan sebagai mahasiswa di Kampus Puncak Alam. Sudah menjadi kelaziman, ditempat baru, dibangunan baru, diasrama baru dan segala-galanya baru, keadaannya berbeza daripada keadaan di Kampus Induk Shah Alam. Para mahasiswa perlu pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran disana.

Bersebelahan Kampus UiTM Puncak Alam tersebut, satu projek bertajuk "Cadangan Merekabentuk, Membina dan Menyiapkan Kompleks Penjara Tegar Di Atas Hakmilik H.S.D 5560 (Lot PT. 1589) Mukim Jeram, Daerah Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan" sedang pesat dijalankan. Projek tersebut dimiliki oleh Pejabat Penjara Malaysia, ia dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Selangor dan dibina oleh kontraktor Kembang Serantau Sdn. Bhd.

Saya berpendapat adalah tidak wajar sebuah penjara dibina bersebelahan pusat pengajian tinggi kerana ia tiada keserasian dan kesinambungan budaya ilmu, sesuatu yang janggal dan tidak masuk akal. Sepanjang pengetahuan saya, tidak ada satu pun penjara dibina bersebelahan institut pengajian tinggi di Malaysia dan ini adalah julung-julung kalinya sebuah penjara dibina bersebelahan pusat pengajian tinggi. Saya musykil bagaimana perkara ini boleh berlaku dan tidak faham bagaimana para perancang projek tersebut mendapat ilham untuk membina penjara tegar tersebut bersebelahan kampus UiTM Puncak Alam. Pada hemat saya, sewajarnya kementerian dalam negeri menilai semula kesesuaian lokasi tapak projek pembinaan penjara tegar tersebut.

Perjumpaan Pengetua Kolej Delima dan Semua Mahasiswi Delima

Pada jam 8.00 malam(13 Julai 2009) tadi satu perjumpaan diantara Pengetua, Pegawai Pembangunan Pelajar Kolej Delima dan semua mahasiswi kolej Delima telah diadakan di Dataran Delima, semasa ucapan alu-aluannya, puan pengetua,Prof. Madya Zaiton Endut menasihatkan pelajar supaya sentiasa mematuhi peraturan kolej dan memberikan komitmen terhadap semua aktiviti yang dianjurkan oleh kolej delima. Beliau juga menasihati pelajar supaya tidak terjebak ke lembah percintaan yang membawa kerosakan kepada diri sendiri kerana objektif utama kehadiran para mahasiswi ke UiTM adalah untuk menimba ilmu, jadi gunakanlah peluang belajar di UiTM ini sebaik mungkin untuk membina masa depan yang lebih cemerlang demi nusa, bangsa dan agama. Tambahnya lagi pengurusan kolej delima komited untuk mewujudkan suasana persekitaran asrama yang selesa dan merangsangkan berahi menuntut ilmu disini.

Selepas perjumpaan tersebut saya bersama En. Ariffin Yusof membuat rondaan disekitar seksyen 2 untuk memantau keadaan mahasiswa/i NR UiTM disitu. Kami bertemu dengan mahasiswa/i yang menginap diseksyen 2 dan bertanya khabar mereka. Secara keseluruhannya, keadaan persekitaran diseksyen 2 dalam keadaan yang baik dan memuaskan. Kami juga melawat sekitar Pusat Perdagangan, di seksyen 7 dan memantau keadaan mahasiswa disana. Masalah parking kenderaan masih seperti dahulu, kereta diletakan ditempat yang tidak sepatutnya, motorsikal pun begitu.

Friday, July 10, 2009

Selamat Menyambung Pembelajaran Kepada Semua Mahasiswa Senior UiTM

Pada 6 hb. Julai 2009 yang lalu sesi pengajian Julai 2009 telah pun bermula di UiTM, para mahasiswa sibuk dengan persediaan untuk fasa perjuangan seterusnya dalam mengejar segulung ijazah ataupun diploma. Memandangkan kapasiti asrama hanya mampu menampung sekitar 20 ribu orang sahaja, maka ada lebih kurang 20 ribu lagi pelajar terpaksa menjadi mahasiswa NR. Tinjauan saya di Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam mendapati semua kedai makanan dan minuman di situ telah mula sibuk dan dipenuhi oleh mahasiswa UiTM.

Baru-baru ini Naib Canselor kita telah mengeluarkan pekeliling untuk membekukan semua aktiviti ke luar negara disebabkan penularan wabak Influnza H1N1, tujuannya untuk mengelakkan daripada wabak ini menular dikalangan warga UiTM kerana jika wabak ini menular didalam kampus kita sudah tentu ia akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di UiTM. UiTM telah menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menangani wabak ini dengan penglibatan kepakaran daripada Fakulti Perubatan UiTM, itu adalah usaha proaktif UiTM sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan terhadap wabak tersebut.

Akhir kalam, saya mengucapkan selamat menyambung pembelajaran di UiTM kepada semua mahasiswa samada pelajar NR atau bukan NR. Semoga semester ini akan membawa kebahagiaan, kegembiraan, kecemerlangan dan kesejahteraan kepada saudara dan saudari.