Sunday, May 17, 2009

Batu Pahat,Johor - Sebuah Kenangan #1

Pada hari ini di sebelah pagi, saya pergi ke Pasar Batu Pahat, Johor, menemani Ibu Mertua, Makcik dan Atok membeli barangan basah untuk keperluan harian, saya tidak mengikut mereka masuk ke pasar, saya hanya menunggu mereka ditempat letak kereta berhampiran pasar tersebut, disebabkan cuaca agak panas, saya keluar dari kereta dan menunggu mereka di kedai gunting rambut kaki lima.

Kedai ini agak unik kerana ia berada di kaki lima, terdapat sebuah kerusi panjang untuk pelanggan duduk dan menunggu, satu kerusi tinggi yang diperbuat daripada rotan yang sudah uzur, dihadapan kerusi rotan tersebut terdapat cermin dan tempat meletak peralatan yang digunakan untuk mengunting rambut. Tiada kipas angin dan tiada lampu elektrik. Semuanya berada diruang yang terbuka, jika anda mengunting rambut di kedai ini, semua orang yang lalu lalang dihadapan pasar tersebut dapat melihat anda.

Saya berkenalan dengan Cikgu Hassan, tuan punya kedai gunting tersebut. Saya memulakan perbualan dengan memberikan salam kepada beliau, sambil memohon kebenaran untuk duduk dikerusi panjang tersebut sementara menunggu ibu mertua, makcik dan atok siap berbelanja di pasar. Menurut beliau usia beliau telah mencecah 82 tahun, beliau adalah pesara guru dan isterinya masih berkerja di Hospital Batu Pahat sebagai jururawat terlatih. Beliau kelihatan masih sihat dan bertenaga walaupun telah berusia 82 tahun. Kami berbual pelbagai isu, daripada kesah peribadi beliau, bersambung kepada sejarah negara, cerita politik sehinggalah kepada cerita agama. Menurut beliau, sebelum merdeka, semua sekolah di negara kita beroperasi separuh hari pada hari khamis dan cuti pada hari jumaat, tetapi selepas merdeka sekolah bercuti pada hari sabtu dan ahad.

Suatu yang menarik perhatian saya ialah komen beliau tentang politik, kata beliau, samada pihak Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, kedua-dua pemimpinnya mempunyai nafsu, hendak kepada pangkat, jawatan, kehormatan, harta, kekayaan, wang, pengaruh dan sebagainya, mereka adalah manusia biasa, jadi janganlah kita berpecah belah diperingkat akar umbi kerana politik. Kita sebagai rakyat perlu pandai menilai dan memilih pemimpin yang wajar kita jadikan pemimpin. Tambah beliau lagi "saya tidak memilih pemimpin kerana parti, tetapi saya memilih pemimpin berdasarkan kualiti kemanusiaan individu pemimpin tersebut, mungkin Pakatan Rakyat dan mungkin juga Barisan Nasional. Bergantung kepada kualiti kemanusiaan calon yang bertanding dalam pilihanraya tersebut." Perbualan kami yang sedang rancak itu tiba-tiba terhenti setelah mereka sampai.