Wednesday, February 8, 2012

UiTM diarah bayar ganti rugi lebih RM250,000

2012/01/12

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam memerintahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) membayar lebih RM250,000 kepada bekas pelajarnya yang cedera teruk akibat terjatuh di premis institusi itu, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Hinshawati Shariff membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan seorang Eksekutif Bank, Nur Fairuzah Amat @ Saini terhadap UiTM, dengan kos.
Beliau mengarahkan UiTM membayar ganti rugi RM254,058.99 kepada plaintif termasuk ganti rugi istimewa RM24,058.99; ganti rugi am dan kos pembedahan pada masa depan (RM70,000); ganti rugi untuk penderitaan serta kehilangan upaya serta ganti rugi kerana kehilangan keupayaan mendapat lebih tiga anak berikutan kejadian itu.
Nur Fairuzah, 30, yang memfailkan tuntutan pada 2008, menyatakan beliau pelajar sepenuh masa di kampus defendan dan mengikuti kursus di peringkat ijazah dalam bidang perakaunan dari 2003 hingga 2005.

Plaintif yang berjaya menamatkan pengajiannya, diminta hadir oleh defendan di premis bangunan universiti itu iaitu di Bangunan Menara Sultan Abdul Aziz Shah untuk mengambil jubah dan menyertai raptai konvokesyen pada 21 Mei 2006.

Beliau menyatakan, ketika berada di tingkat dua lobi lif bangunan berkenaan, plaintif terlanggar sesuatu dan hilang keseimbangan lalu terjatuh dari balkoni ke tingkat bawah, pada ketinggian kira-kira 20 kaki.

Nur Fairuzah menyatakan, ketika kejadian, kawasan di depan lif itu dalam proses ubah suai naik taraf kerana ada banyak pasir dan bahan binaan manakala besi penghadang mengelilingi balkoni berkenaan dialihkan untuk kerja pembinaan, tanpa notis amaran atau papan tanda.
Beliau menyatakan, defendan gagal mengambil langkah pencegahan kemalangan secukupnya di kawasan dan di sekitar kawasan yang sedang diubah suai itu, gagal mempamerkan papan tanda atau notis amaran kepada orang ramai dan plaintif supaya berhati-hati selain gagal menutup kawasan itu daripada dimasuki plaintif.

Plaintif juga menyatakan dalam tuntutannya, berikutan kejadian itu, beliau dikejarkan ke hospital dan dirawat selama sebulan akibat cedera teruk, termasuk menjalani pembedahan di bahagian tulang belakangnya.

Dalam penghakiman itu, Hinshawati turut mengarahkan UiTM menanggung 70 peratus daripada liabiliti berkenaan manakala 30 peratus lagi ditanggung oleh syarikat kontraktor yang menjalankan kerja ubah suai itu.

UiTM Melaka terima RM3 juta


Ali Rustam (dua dari kanan) menyaksikan Musa Hitam (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Sahol Hamid Abu Bakar di Universiti Teknologi Mara Cawangan Alor Gajah, Melaka, kelmarin.


ALOR GAJAH 19 Jan. - Yayasan Sime Darby (YSD) memberikan sumbangan berjumlah RM3 juta kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka bagi membantu pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke universiti itu menerusi program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB).

Pengerusinya, Tun Musa Hitam berkata, sumbangan itu akan digunakan bagi menampung perbelanjaan pengajian 1,764 pelajar yang terpilih ke UiTM menerusi program MDAB tahun ini.

Menurutnya, pelajar terbabit terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan memperoleh merit yang tidak mencukupi untuk memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT).

"Penajaan ini merupakan dua teras utama YSD iaitu pendidikan dan pembangunan komuniti khususnya bagi mereka yang kurang bernasib baik dari segi pencapaian akademik dan kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan itu di UiTM Cawangan Alor Gajah, di sini kelmarin.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Naib Canselor UiTM, Datuk Profesor Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Sementara itu, Sahol berkata melalui program MDAB, pelajar akan diberi pengecualian yuran pengajian, disediakan tempat penginapan, diberi elaun makan dan sara diri serta dibiayai tambang perjalanan ke pusat pengajian.

Menurutnya, UiTM bersedia menawarkan 5,000 tempat kepada pelajar di bawah program MDAB setiap semester bagi membantu golongan berkenaan meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Melalui program MDAB, pelajar ditawarkan mengikuti pengajian di peringkat pra diploma sains dan pra diploma perdagangan dan sehingga kini terdapat 11,000 pelajar di bawah program berkenaan," katanya.

(Sumber - http://www.utusan.com.my)


Sistem data jemaah TH lemah

KUALA LUMPUR 5 Feb. – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan punca berlakunya sindiket ‘haji ekspres’ disebabkan sistem pangkalan data pengurusan jemaah Lembaga Tabung Haji (TH) yang lemah sehingga memberi ruang dan peluang berlakunya penyelewengan dan rasuah.

Menurut sumber, kelemahan tersebut membolehkan pegawai yang menjaga sistem itu memasuk atau mengeluarkan mana-mana nama jemaah haji tanpa diketahui oleh pihak atasan.

“Siasatan kita dapati wujud kelemahan itu (sistem) kerana pihak TH tidak menggunakan ciri-ciri keselamatan seperti kod khas untuk mengubah data selain tidak boleh dipantau pihak atasan.

“Kelemahan itu memberi ruang untuk berlakunya penyelewengan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan satu sindiket ‘haji ekspres’ dikesan beroperasi sejak beberapa tahun lalu dengan menawarkan orang ramai melangkau giliran bagi menunaikan ibadat haji.

Difahamkan, sindiket itu turut dianggotai oleh pegawai TH dan beberapa bekas kakitangannya. Kegiatan sindiket itu berjaya dikesan pihak berkuasa pada 2009 apabila mereka dilaporkan meminta suapan bagi membolehkan jemaah haji menunaikan ibadat itu lebih awal daripada jadual.

Menurut sumber itu lagi, kelemahan sistem pangkalan data sehingga berlakunya kegiatan sindiket ‘haji ekspres’ tersebut mirip dengan sindiket pengeluaran ‘lesen terbang’ yang dibongkar pihak berkuasa pada 2007.

“Bezanya sindiket ‘haji ekspres’ itu terpaksa menggunakan kuota orang lain yang benar-benar layak untuk menunaikan haji pada tahun tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, siasatan mendapati kebanyakan jemaah yang menggunakan ‘haji ekspres’ tidak menyedari kesalahan dilakukan kerana mereka berurusan dengan penceramah agama di masjid yang bergelar ustaz.

“Selepas ceramah ustaz-ustaz itu akan beritahu sedia tolong mereka yang ingin menunaikan haji segera. Jika ada yang berhajat, ustaz itu akan meminta nombor kad pengenalan dan kemudian memberinya kepada pegawai TH berkenaan.

“Selepas beberapa hari, individu tersebut diminta menyemak nama mereka atau waris di TH dan sekiranya ada, mereka diminta berjumpa dan membuat bayaran kepada ustaz itu dengan alasan untuk imbuhan kepada pegawai di TH,” jelasnya.

Sumber berkata, sehingga kini seramai 27 jemaah haji berkenaan telah dirakam keterangan untuk siasatan kes dan individu terlibat dijangka didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.


(Sumber - http://www.utusan.com.my)