Wednesday, February 8, 2012

UiTM Melaka terima RM3 juta


Ali Rustam (dua dari kanan) menyaksikan Musa Hitam (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Sahol Hamid Abu Bakar di Universiti Teknologi Mara Cawangan Alor Gajah, Melaka, kelmarin.


ALOR GAJAH 19 Jan. - Yayasan Sime Darby (YSD) memberikan sumbangan berjumlah RM3 juta kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka bagi membantu pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke universiti itu menerusi program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB).

Pengerusinya, Tun Musa Hitam berkata, sumbangan itu akan digunakan bagi menampung perbelanjaan pengajian 1,764 pelajar yang terpilih ke UiTM menerusi program MDAB tahun ini.

Menurutnya, pelajar terbabit terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan memperoleh merit yang tidak mencukupi untuk memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT).

"Penajaan ini merupakan dua teras utama YSD iaitu pendidikan dan pembangunan komuniti khususnya bagi mereka yang kurang bernasib baik dari segi pencapaian akademik dan kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan itu di UiTM Cawangan Alor Gajah, di sini kelmarin.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Naib Canselor UiTM, Datuk Profesor Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Sementara itu, Sahol berkata melalui program MDAB, pelajar akan diberi pengecualian yuran pengajian, disediakan tempat penginapan, diberi elaun makan dan sara diri serta dibiayai tambang perjalanan ke pusat pengajian.

Menurutnya, UiTM bersedia menawarkan 5,000 tempat kepada pelajar di bawah program MDAB setiap semester bagi membantu golongan berkenaan meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Melalui program MDAB, pelajar ditawarkan mengikuti pengajian di peringkat pra diploma sains dan pra diploma perdagangan dan sehingga kini terdapat 11,000 pelajar di bawah program berkenaan," katanya.

(Sumber - http://www.utusan.com.my)


No comments: