Datuk-Prof-Dr.-Ramlah-Adam

KUALA LUMPUR - Tanah Melayu tidak pernah dijajah secara sepenuhnya oleh British kerana orang Melayu masih mempunyai tempat dalam perkara tertentu, kata pakar sejarah Malaysia Datuk Prof Ramlah Adam.

Beliau berkata, antara bukti perkara itu ialah pengekalan institusi raja Melayu dan peranannya dalam hal ehwal agama Islam serta adat istiadat orang Melayu.

"Meskipun British memegang kuasa pentadbiran di Tanah Melayu pada zaman sebelum merdeka, mereka tidak buang terus peranan raja Melayu yang dianggap sebagai elemen penting terutama sebagai anggota mesyuarat... yang mereka hapuskan adalah peranan pembesar negara seperti Bendahara dan Temenggong," katanya.

Ramlah yang berkata demikian pada Kolokium Sejarah Malaysia, di Universiti Malaya di sini hari ini, mendasarkan pandangannya pada sejarah Tanah Melayu.

Beliau turut menyentuh sejarah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan perjuangan menentang Malayan Union.

"Semua tokoh sejarah memainkan peranan dalam memperjuangkan kemerdekaan negara dengan pelbagai cara... jadi untuk membina negara bangsa Malaysia yang benar-benar memahami sejarah, kita perlu merujuk dari perjuangan asal tokoh terdahulu.

"Tapi kita harus ingat antara mereka ni ada yang berjaya dan ada yang tidak kerana ada yang guna cara lurus dan ada juga yang belok kanan belok kiri," katanya.

Ramlah juga menyentuh perjuangan Bapa Kemerdekaan negara Tunku Abdul Rahman yang dipilih sebagai pemimpin pertama oleh semua kaum di Tanah Melayu.

Katanya, jika diteliti perjuangan tokoh kemerdekaan Melayu pada zaman dahulu, tradisi berbincang dan bertolak ansur merupakan resepi utama kejayaan mereka mendapatkan kepercayaan dan kuasa memerintah daripada rakyat.

"Sebenarnya tiada beza perjuangan dahulu dengan sekarang.... kekejaman bukan modus operandi yang betul untuk seseorang mendapatkan kuasa dalam sesebuah negara.

"Dulu kita ada parti haluan kanan dan kiri, sekarang ada parti kerajaan dan pembangkang serta tak terkecuali penyokong yang bersifat subversif, tak ada beza.... jadi saya harap sejarah tidak dijadikan politik pihak tertentu untuk kepentingan peribadi mereka," katanya.

Ramlah banyak menulis buku dan menjalankan penyelidikan sejarah selain pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Mara. - Bernama