Saturday, August 30, 2008

Dirgahayu Malaysia Negaraku - Semperna Hari Kemerdekaan ke 51

Kita akan menyambut kemerdekaan yang ke 51 menjelang jam 12.00 tengah malam nanti. Tepat jam 12.00 tengah malam, menjelang 31 Ogos 2008, di seluruh negara akan diadakan majlis sambutan kemerdekaan mengikut citarasa dan rasacita masing-masing, yang pasti pada malam ini ramailah anak-anak muda, orang-orang belia, orang-orang tua dan pelbagai macam kategori manusia yang akan menyambut malam kemerdekaan. Di UiTM, sejak beberapa hari lalu telah diadakan Festival Kemerdekaan (FESKEM) yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar UiTM.

Secara kebetulan, saya baru balik daripada Indonesia baru-baru ini, Indonesia telah menyambut hari kemerdekaan ke 61 mereka pada 17 Ogos 2008 yang lalu, walaupun mereka telah menyambut hari kemerdekaan ke 61 pada 17 Ogos 2008 tetapi masih terdapat banyak bendera indonesia dikibarkan seluruh daerah di Indonesia, dirumah, dipejabat kerajaan, ditepi-tepi jalan dan sebagainya seolah-olah mereka masih menyambut hari kemerdekaan walaupun selepas 17 Ogos 2008. Pada masa yang sama pelbagai aktiviti kebudayaan untuk memeriahkan hari kemerdekaan mereka masih lagi dilaksanakan dikampung-kampung, daerah, bandar dan sebagainya walaupun selepas 17 Ogos 2008.

Meninjau suasana menyambut kemerdekaan di Malaysia, saya membuat kesimpulan bahawa rakyat indonesia lebih patriotik terhadap negara mereka jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia. Bendera Malaysia yang dikibarkan dirumah, di pejabat dan di jalan-jalan raya boleh dikira dengan jari. Kecuali jika anda berada didalam kampus UiTM, terlalu banyak bendera Malaysia yang dikibarkan sehingga anda tidak dapat mengira dengan semua jari-jari yang anda ada termasuk jari kaki.

Apapun, selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke 51, semoga kita sebenar-benarnya merdeka dari segi fizikal dan mental daripada penjajahan moden seperti liberalisasi dan globalisasi. Perpaduan Asas Kejayaan.