Friday, June 20, 2008

UiTM Dihati Ku..Fasa Satu

Sebaik sahaja saya menamatkan pengajian di ITM(kini UiTM) mengikuti kursus Diploma Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) pada 1994 saya berkerja di Motorola, P.Pinang sebagai juruteknik, skop tugas saya ialah memastikan semua mesin yang terdapat didalam line production diselenggara secara berkesan untuk mengurangkan down time production. Setiap hari semasa berkerja saya hanya berurusan dengan mesin.

6 bulan kemudian saya bertukar kerja sebagai production supervisor di Seagate Bayan Baru P.Pinang. Skop tugas saya sebagai production supervisor ialah memastikan target production output tercapai dan memastikan semua output production yang dihasilkan daripada line production saya memenuhi tahap kualiti yang ditetapkan. Setiap hari semasa berkerja saya hanya berurusan dengan manusia iaitu operator pengeluaran.

Setahun kemudian saya bertukar kerja sebagai technical supervisor di Hewlett Parkard. Skop tugas saya di Hewlett Parkard ialah memastikan juruteknik saya menyelenggara mesin secara berkesan dan membuat preventive maintenance mengikut jadual yang ditetapkan. Setiap hari semasa berkerja saya berurusan dengan manusia dan mesin sehinggalah saya berkhidmat di ITM (kini UiTM) pada Jun 1997.

Faktor utama yang menyebabkan saya melompat kerja dari satu kilang ke kilang yang lain semasa di P.Pinang ialah faktor tawaran gaji yang lebih lumayan. Manakala faktor utama yang menggerakan saya untuk berkhidmat di UiTM adalah kerana pada tahun 1996 ITM telah dinaiktaraf sebagai universiti tetapi masih mengekalkan nama dan ciri-ciri sebagai ITM.

Ia mengenangkan saya kembali kepada nostalgia lama semasa saya menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) sesi 1990/91 semasa belajar di ITM Kampus Induk, Shah Alam dulu. Pada Jan 1991, kami menganjurkan Konvensyen Mahasiswa ITM Seluruh Malaysia. Objektif utama konvensyen ini ialah mengenalpasti permasalahan utama semua mahasiswa ITM diseluruh negara dan mencadangkan penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh pengurusan ITM. Konvensyen ini mengumpulkan seluruh pimpinan pelajar ITM iaitu JPP ITM cawangan di semenanjung termasuk di Sabah dan Sarawak, saudara Mazidul Akmal Sidik (sekarang wartawan TV3 yang terkenal dengan program 999 dan 360) mewakili JPP ITM cawangan Pahang adalah di antara peserta yang menghadiri konvensyen tersebut.

21 resolusi telah diputuskan melalui konvensyen ini, diantara resolusi tersebut ialah menuntut supaya ITM dinaikan taraf sebagai universiti dengan mengekalkan ciri-ciri ITM sediada. Menteri Pelajaran pada ketika itu ialah Dato' Seri Sulaiman Daud. Pengerusi ITM pada ketika itu ialah Tan Sri Ani Arobe manakala Pengarah ITM pula ialah Dato' Dr. Mansur Salleh dan Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEP) pada ketika itu ialah Tuan Shaikh Ibrahim. Resolusi konvensyen tersebut diserahkan terus kepada Tan Sri Ani Arobe semasa beliau merasmikan majlis penutup Konvensyen Mahasiswa ITM Seluruh Malaysia.

Malangnya semasa perjumpaan dengan Menteri Pelajaran ketika menyerahkan resolusi tersebut...jawaban Menteri Pelajaran "... selagi saya menjadi Menteri Pelajaran jangan mimpi ITM akan menjadi universiti kerana jika ITM jadi universiti saya terpaksa membenarkan kaum bukan bumiputera menjadi pelajar ITM....". Saya bertegang leher dan berhujah dengan Menteri Pelajaran mempertahankan resolusi yang telah diputuskan oleh kami barisan pimpinan mahasiawa ITM sehingga terpaksa dileraikan oleh Dato' Dr. Mansur Salleh. Hanya selepas 5 tahun selepas konvensyen tersebut baru lah ITM dinaiktaraf sebagai universiti dengan mengekalkan ciri-ciri ITM.

Kenangan itu menjadi motivasi kepada saya untuk berkhidmat dengan ITM walaupun gaji yang ditawarkan oleh ITM adalah lebih rendah daripada gaji saya di HP P.Pinang. Saya berkorban dan berazam untuk memberikan perkhidmatan terbaik sebaik sahaja di terima menjadi kakitangan ITM pada Jun 2007 demi nusa, agama dan bangsa. Pada saya ini adalah perjuangan untuk mengangkat martabat bangsa.

Degupan, Denyutan dan Getaran Menghasilkan Frekuensi ?

Samada kita sedar atau tidak, pada ketika dan saat ini, kita sedang bernafas, jantung kita sedang berdegup, nadi kita sedang berdenyut. Cuma kadang-kadang kita terlupa yang kita sedang bernafas, nadi kita sedang berdenyut dan jantung kita sedang berdegup kerana sibuk dengan aktiviti kita seharian Jika secara tiba-tiba degupan jantung kita terhenti, maka tiada lagilah degupan, denyutan serta getaran dan terhentilah hayat kita dan itu lah dinamakan mati.

Semua makhluk ciptaan Tuhan sentiasa bergetar, berdegup, berdenyut dan menghasilkan frekuensi. Daripada haiwan, tumbuh-tumbuhan, manusia, bulan, bintang. matahari hatta bakteria menghasilkan frekuensi dipersekitaran mereka. Menurut guru saya, Ir. Hamidun Md. Isa, getaran, degupan dan denyutan itu adalah dzikrullah. Hanya mereka yang mempunyai 'jiwa-jiwa yang tenang' dapat mengerti maksud disebalik getaran, degupan dan denyutan.