Wednesday, December 12, 2018

“Selepas perhimpunan besar” (大集会之后) oleh Tay Tian Yan ( 郑丁贤 )

Tay Tian Yan ( 郑丁贤 ), seorang penulis kolum isu semasa dan juga penolong editor Sin Chew Daily ( 星洲日报 ) menulis rencana bertajuk “Selepas perhimpunan besar” (大集会之后) sehari selepas perhimpunan bantah ICERD pada 8/12/2018 yang lalu

Ikutilah terjemahan saya dari rencana ini untuk tatapan semua.

SELEPAS PERHIMPUNAN BESAR

Hari Sabtu, Kuala Lumpur yang dipenuhi dengan suasana yang amat meruncing.

Dari Pasar Seni ke Dataran Merdeka , ribuan manusia bersesak-sesak memenuhi ruang dalam bantahan ICERD. Hanya jalan yang bertentangan dengan jalan besar iaitu Jalan Petaling hampir kesemua kedai-kedai menutup pintu perniagaan mereka. Suasana lengang dengan ketiadaan pejalan kaki.

Kedua-duanya dalam Kuala Lumpur, menampakkan dua suasana yang amat berlainan. Sama-sama dalam Malaysia, semacam berada dalam dua dunia yang berbeza.

Ahmad Zahid dan Hadi Awang boleh dengan megah mengumumkan yang mereka telah mencapai matlamat iaitu Melayu Islam telah bersatu kembali.

Walaupun perhimpunan ini dipenuhi dengan elemen kaum dan ugama, ia juga bertepatan dengan agenda UMNO dan PAS, namun ia telah berjaya membangkitkan perasaan sebegitu ramai umat Melayu Islam.

Sesungguhnya, ada atau tidaknya ratifikasi ICERD bukanlah perkara utama yang mana janin ICERD telahpun mati di dalam perut. Pakatan Harapan telahpun mengatakan tidak meratifikasikan ICERD.

Hanya menggunakan ICERD sebagai sumbu untuk membakar semangat masyarakat Melayu dengan ketidakpuasan hati dan kegelisahan mereka selepas PRU 14. Juga mencari ketetapan bagi golongan ini sebagai peneraju dalam bumi bertuah ini.

Di belakang bantahan ICERD, juga menampakkan lantonan puak kanan konservatif Melayu terhadap kerajaan Pakatan Harapan. Walaupun Pakatan Harapan telah memenangi PRU tetapi sokongan daripada masyarakat Melayu hanyalah sekitar 17% hingga 25% sahaja.

Dalam konteks pemikiran masyarakat Melayu masih lagi dikuasai oleh sifat perkauman yang ditunjangi oleh UMNO dan sifat keugamaan Islam yang dipelopori oleh PAS.

Setelah jalan-jalan di sekitar Dataran Merdeka dibanjiri dengan sebegitu ramai, bilangan sebenarnya masih lagi satu angka yang abstrak. UMNO dan PAS boleh mengaku yang mereka adalah mewakili kekuatan umat Melayu Islam, di masa akan datang akan menguasai kuasa mereka yang berbahasa Melayu.

Apabila UMNO, PAS dan NGO telah mencapai kesepakatan yang matang nanti, ia semakin boleh menggunakan kekuatan ummah termasuklah untuk kuasa berdemonstrasi bagi menonjolkan kekuatan mereka. Seterusnya menggoncang asas-asas kerajaan Pakatan Harapan.

Bagi masyarakat bukan Melayu, perhimpunan bantahan ICERD mendatangkan satu persoalan dan kegelisahan serta satu penafian untuk mengelakkan diri.

Dalam komentar oleh ramai pelayar internet kaum Cina menganggap perhimpunan ini sebagai bahan jenaka yang menjengkelkan serta menggunakan ayat-ayat serangan kasar, sehinggakan membuta-tuli untuk menafikan kebenarannya. Mereka tidak dapat memahami mengapa perhimpunan itu boleh menarik sebegitu ramai orang, malah masih bertegas mengatakan yang gambar-gambar serta video yang dipaparkan telah diedit.

Hasil daripada PRU kita mengharapkan akan berada dalam suasana yang amat baik dan menganggap setelah Pakatan Harapan menerajui kerajaan maka masalah Malaysia bermula dari isu rasuah, perkauman sehinggalah hal-hal ugama akan berakhir dengan sendirinya. Dengan itu kita akan memulakan satu penghidupan laksana hidup dalam kerajaan dongeng.

Namun sesungguhnya, mereka hidup dalam dunia yang dirangka sendiri dan tidak tahu bahawa sesuatu itu telah dirancang muslihatnya dan perangkap berada di mana-mana.

Yang disebut sebagai “Malaysia Baru” hanyalah satu ilusi, bukan satu kenyataan. Jarak pandangan setiap kaum bukannya semakin mengecil tetapi semakin melebar.

Bagi kerajaan Pakatan Harapan yang baru memerintah lebih setengah tahun dengan prestasi yang hambar dan perebutan kuasa dalaman. Dengan kekurangan kerjasama dalaman yang menyebabkan hari ini ia menerima hasil yang terburuk.

Dengan mendakwa Najib, Rosmah, Ahmad Zahid dan lain-lain pemimpin terdahulu sememangnya bertujuan untuk mengubah kepada corak yang betul, namun ia bukanlah kesemuanya kewajiban kerajaan untuk berbuat demikian. Ia bukanlah seharusnya digunakan untuk jangka panjang.

Hal-hal yang bersangkutan dengan rasuah biarlah disiasat dan diadili oleh pihak SPRM dan mahkamah, janganlah digunakan sebagai modal politik yang tanpa penghujungnya. Terutamanya bagi masyarakat akar umbi Melayu ia telah melahirkan kebosanan yang membuak-buak.

Dalam hal-hal ekonomi dan kehidupan rakyat, polisi Pakatan Harapan didapati masih tidak terurus. Bermula dari masalah harga komoditi utama yang semakin rendah, pelaburan tidak berkembang dan pasaran statik yang sehingga kini masih belum nampak apa-apa perancangan menanganinya.

Dalam setengah tahun ini, perkara yang menjadi tumpuan kepada Pakatan Harapan ialah pelbagai bentuk U-Turn. Seorang demi seorang menteri membuat kenyataan yang semborono. Cerita mengenai kereta nasional ke 3 dan jambatan bengkok. Konflik perebutan kuasa antara Mahathir dan Anwar. Persengketaan dalam PKR yang tidak berkesudahan. DAP yang berkiblat kepada “kepala Ma” (yang dimaksudkan Ma ialah Mahathir) dan pelbagai masalah masyarakat Cina yang dipandang dingin.

Jikapun nak ratifikasi ICERD tetapi tersilap perkiraan dan tak tahu bagaimana untuk menanganinya. Kerajaan sebelum ini tidakpun membuat penjelasan dan menggerakkan aktiviti muhibah antara kaum dan penerimaan toleransi ugama, dengan tiba-tiba muncul dengan idea ratifikasi ICERD. Maka dengan itulah menyebabkan berlakunya gelombang penentangan ini.

Selepas perhimpunan besar ini, kepercayaan umum terhadap Pakatan Harapan jatuh menggelunsur. Kemampuan untuk memerintah menjadi tanda-tanya. Untuk mendapatkan sokongan dari masyarakat Melayu semakin sukar.

Namun dengan peristiwa ini, ia boleh dijadikan satu pengajaran.

.

Diterjemahkan oleh :
Hisemudin Kasim
5:30pm, 12/10/2018

SAYA BUKAN ANTI DAP Catatan Dato' Roslan Ab Hamid

1. Ini menarik. Apakah tuan anti DAP? Pertanyaan mahal begini saya mahu jawab.
.
2. Jawapannya - Tidak. Mereka sangat konsisten dan kompeten. Mereka tahu apa yang mereka mahu. Tegas dan keras keinginannya selama 53 tahun berjuang. Bodoh lah jadi orang politik , jika LKS tidak bercita-cita cucunya akan jadi PM. (Sima Yi dah pernah buat)
.
3. Hidup sebagai penekun sejarah China. Penonton dan penggila filem Cina. Inilah kekuatan yang selalu jadikan kita kaget. Tapi saya tidak rela mereka jadi pemimpin pada tanah tumpah untaian zamrud khatulistiwa ini. Cukuplah Singapura hadir sebagai beban sejarah.
.
4. Kecewa dan hampa dengan pemimpin bangsa sendiri. Bangsat dan khianat atas nama ketuanan Melayu. Kemudian mahu memudah cerita, letakkan ludah pada orang lain. Tidak mahu muhasabah diri.
.
5. "Mewah dan beraja di mata dan bersultan di hati". Banyak perkara sudah terang lagikan bersuluh masih mahu pertahankan kebangsatan yang nyata.
.
6. Setiap perkara yang berlaku sekarang samada 1MDB, FELDA, Tabung Haji bukan kerja DAP. Bukan kerja DAP. Ianya kerja pemimpin Melayu yang lupa daratan dan mabuk kekuasaan.
.
7. Apakah Tuan akan kekal dalam UMNO? Saya hanya orang kecil. Setia sampai hujung nyawa pada perjuangan bapak dan ibu kemerdekaan.
.
8. Hadir tidak menambah. Pergi tidak berkurang. Namun asas perjuangan tetap kekal. Yang jahanam adalah pemimpin yang apabila berkuasa, jadi manusia kong kali kong.
.
9. Lebih gila, apabila jelas, segala talian hayat yang Perdana Menteri dahulu bina. Lantik manusia yang tidak layak. Lantik atas nama kroni, "waampu sana waampu sini". Dan inilah hasilnya.
.
10. Mereka mahu atur gerakan penerangan turun ke bawah, pertahan isu TH. Kononnya ini angkara DAP. Deyyyy. Siapa yang dapat baca lapuran kewangan akan tahu, jelas tertera angka - pengurusan yang tidak kompeten. BOD yang tidak tahu ke mana hujung jatuh impak perbuatan mereka.
.
Mungkin kerja terima wahyu sahaja kot.

Disebalik Institusi Melayu Bangsa Lain Juga Menerima Manafaatnya - Catatan Tan Sri Nordin Kardi


Salam pagi

Sama seperti bangsa bangsa lain di dunia orang Melayu juga mempunyai tradisi ilmu tempatan yang kuat dan boleh dijadikan asas falsafah mencari ilmu bangsa ini.

Raffles pernah berkata, semasa mencadangkan penubuhan Universiti Malaya, supaya Universiti Malaya bukan hanya menjadi universiti untuk Malaya, sebalik nya menjadi Regional University di Asia Tenggara dan Nusantara.

Universiti ini hendaklah berasaskan ilmu tempatan dan dikembangkan ke seluruh dunia. Bahasanya, budayanya, kesusasteraan, teknologi kerja tangan dan pertanian, antropologi, adab dan tamadun dan pentadbiran kerajaan silam boleh dijadikan ilmu asas tamadun Melayu.

Rancangan Raffles telah dimusnahkan oleh Blundle semasa perjanjian Melaka-Belanda. Raffles sangat percaya bangsa Melayu bukan bangsa yang inferior.

Benar sekali. Hanya dalam tempoh 61 tahun merdeka, suatu tempoh yang sangat singkat pada ukuran sejarah, sebuah negara Melayu yang bernama Malaysia, telah dibangun di tangan orang Melayu dengan memancarkan budaya Melayu yang dengan penuh adab menjaga kepentingan sesiapa sahaja yang berada di dalam negaranya untuk hidup selesa dan bebas pula membina kekayaan masing masing.

Institusi Islam dan Melayu dibangun dengan jayanya. Institusi kewangan Melayu dan Islam, institusi pendidikan, sosial, kewangan, pertahanan dan segalanya dibina yang nikmatnya untuk semua, bukan untuk Melayu sahaja. Felda, Tabung Haji, Mara misalnya walaupun matlamatnya seolah-olah untuk kepentingan Melayu tetapi rantaian perniagaan yang muncul daripada peruntukan negara yang nilainya berbilion bilion itu, oleh kerana keadaan tertentu, dinikmati oleh semua, terutamanya orang Bukan Melayu, terlebih dahulu sebelum hujung hujungnya sampai kepada orang Melayu.

Apa pun, institusi itu tetap terbangun dan ada yang menjadi contoh pengasas yang diiktiraf dunia.

Mengatakan orang Melayu tidak berupayaan apa apa hanya kerana adanya titik hitam dalam perjalanan menebus maruah selepas terjajah ratusan tahun adalah sama seperti pemikiran Blundle yang berbeza dengan Raffles.

Menghukum keseluruhan Melayu kerana ada Melayu yang membuat mungkar adalah tidak cukup adil dan bijaksana selepas negara melihat pelbagai institusi terbina di tangan Melayu daripada tahap kosong. Hukumlah yang bersalah bukan keseluruhan bangsa seperti Hitler menyiksa keseluruhan bangsa Yahudi hanya kerana ada peniaga Yahudi yang menindas, belot dan membuat onar.

Memang mudah untuk mengatakan MAS gagal, Tabung Haji Gagal, MARA gagal, Felda gagal lalu perlu diambil alih atau dijual kerana Melayu gagal mentadbirnya dengan baik ketika ini. Namun, jangan lupa tangan Melayulah yang menebang hutannya yang banyak harimau, gajah, babi hutan dan mengharung paya yang banyak ular sawa besar dan onak duri yang menikam kulit sebelum tanah itu jadi kebun yang ada nilai harga tinggi semasa untuk dijual.

Melayu tidak minta belas kasihan. Melayu hanya minta dinilai dengan adil dan menyeluruh. Auditlah akaun institusi Melayu secara komprehensif atau keseluruhan bukan hanya mengaudit akaun semasa atau dua atau tiga tahun kebelakangan sahaja.

Salam.

PINDAAN AUKU - Posting sdr Sayed Munawar pada 12-12-2018

Sebulat suara artikel 15 (2c) yang dikatakan sebagai halangan utama penglibatan pelajar dalam politik kini dibubarkan. Polemiknya kini adalah perkara 16 di dalam AUKU yang memberikan kuasa kepada pentadbiran universiti untuk menentukan bentuk-bentuk tindakan berdasarkan garis panduan dalaman universiti masing-masing masih menghantui pelajar, meski pun YB Menteri sudah memberikan jaminan bahawa kini di bawah PH, pelajar bebas beraktiviti.

Selama lebih 50 tahun AUKU mencengkam dan membina benih ketakutan bukan hanya dalam kalangan pelajar bahkan juga pentadbir universiti yang kerap kali melakukan self screening agar tidak dilihat sebagai pro-oposisi.

Benih ketakutan ini telah mengakar, menggaram dan meragi dalam psyche pentadbir universiti dan ia tidak semudah sekadar mencantas ranting-ranting mati yang ada. AUKU itu sendiri bersifat mengekang dan tiada semangat fasilitasi sewaktu mana ianya digubal. Justeru, 15 (2c) hanyalah cabang dan ranting yang mati itu.

Namun kita mengakui bahawa perkara 16 AUKU memerlukan penilitian dan masa kerana ia akan menyentuh elemen perundangan di luar perimeter kawal selia AUKU. Pemansuhan perkara ini perlu dibaca serentak dengan peruntukan-peruntukan lain dan ini memerlukan penelitian yang lebih panjang.

Dahulu, AUKU bukan semata-mata bermatlamat membisukan suara penentangan pelajar, ia juga meletakkan asas tadbir urus operasi universiti. Ia bukan semudah memadam coretan comot di atas kertas. Ia ada implikasi ke atas kewujudan dan keabsahan pengurusan universiti.

Kementerian Pendidikan memberikan komitmen memberikan wajah baru kepada AUKU secara tuntas menjelang 2020. Perbatuannya sudah ada. Niatnya sudah ditulis. Maka kita hanya perlu tunggu dan lihat adakah pentadbiran universiti semasa tidak memahami hasrat dan citra yang dibawakan di bawah kepimpinan PH?

Jika ada yang terpesong daripada hasrat ini maka bersuaralah. Ini masanya.

Warga pelajar tidak perlu terlalu taksub dengan keberadaan perkara 16 kerana seluruh Negara sedang memerhati penzahiran sebuah komitmen yang tinggi untuk mereformasikan jiwa dan raga anda sekalian. Ia peluang yang dahulunya tiada.

Jangan hanya kerana rasa curiga atau terburu-buru maka keluhuran yang lebih tinggi diabaikan, keluhuran yang ditandai dengan anugerah ruang untuk bersuara lantang.

Silakan berpencak. Menteri sudah ‘sporting’