Wednesday, December 12, 2018

Disebalik Institusi Melayu Bangsa Lain Juga Menerima Manafaatnya - Catatan Tan Sri Nordin Kardi


Salam pagi

Sama seperti bangsa bangsa lain di dunia orang Melayu juga mempunyai tradisi ilmu tempatan yang kuat dan boleh dijadikan asas falsafah mencari ilmu bangsa ini.

Raffles pernah berkata, semasa mencadangkan penubuhan Universiti Malaya, supaya Universiti Malaya bukan hanya menjadi universiti untuk Malaya, sebalik nya menjadi Regional University di Asia Tenggara dan Nusantara.

Universiti ini hendaklah berasaskan ilmu tempatan dan dikembangkan ke seluruh dunia. Bahasanya, budayanya, kesusasteraan, teknologi kerja tangan dan pertanian, antropologi, adab dan tamadun dan pentadbiran kerajaan silam boleh dijadikan ilmu asas tamadun Melayu.

Rancangan Raffles telah dimusnahkan oleh Blundle semasa perjanjian Melaka-Belanda. Raffles sangat percaya bangsa Melayu bukan bangsa yang inferior.

Benar sekali. Hanya dalam tempoh 61 tahun merdeka, suatu tempoh yang sangat singkat pada ukuran sejarah, sebuah negara Melayu yang bernama Malaysia, telah dibangun di tangan orang Melayu dengan memancarkan budaya Melayu yang dengan penuh adab menjaga kepentingan sesiapa sahaja yang berada di dalam negaranya untuk hidup selesa dan bebas pula membina kekayaan masing masing.

Institusi Islam dan Melayu dibangun dengan jayanya. Institusi kewangan Melayu dan Islam, institusi pendidikan, sosial, kewangan, pertahanan dan segalanya dibina yang nikmatnya untuk semua, bukan untuk Melayu sahaja. Felda, Tabung Haji, Mara misalnya walaupun matlamatnya seolah-olah untuk kepentingan Melayu tetapi rantaian perniagaan yang muncul daripada peruntukan negara yang nilainya berbilion bilion itu, oleh kerana keadaan tertentu, dinikmati oleh semua, terutamanya orang Bukan Melayu, terlebih dahulu sebelum hujung hujungnya sampai kepada orang Melayu.

Apa pun, institusi itu tetap terbangun dan ada yang menjadi contoh pengasas yang diiktiraf dunia.

Mengatakan orang Melayu tidak berupayaan apa apa hanya kerana adanya titik hitam dalam perjalanan menebus maruah selepas terjajah ratusan tahun adalah sama seperti pemikiran Blundle yang berbeza dengan Raffles.

Menghukum keseluruhan Melayu kerana ada Melayu yang membuat mungkar adalah tidak cukup adil dan bijaksana selepas negara melihat pelbagai institusi terbina di tangan Melayu daripada tahap kosong. Hukumlah yang bersalah bukan keseluruhan bangsa seperti Hitler menyiksa keseluruhan bangsa Yahudi hanya kerana ada peniaga Yahudi yang menindas, belot dan membuat onar.

Memang mudah untuk mengatakan MAS gagal, Tabung Haji Gagal, MARA gagal, Felda gagal lalu perlu diambil alih atau dijual kerana Melayu gagal mentadbirnya dengan baik ketika ini. Namun, jangan lupa tangan Melayulah yang menebang hutannya yang banyak harimau, gajah, babi hutan dan mengharung paya yang banyak ular sawa besar dan onak duri yang menikam kulit sebelum tanah itu jadi kebun yang ada nilai harga tinggi semasa untuk dijual.

Melayu tidak minta belas kasihan. Melayu hanya minta dinilai dengan adil dan menyeluruh. Auditlah akaun institusi Melayu secara komprehensif atau keseluruhan bukan hanya mengaudit akaun semasa atau dua atau tiga tahun kebelakangan sahaja.

Salam.

No comments: