Showing posts with label Peguam Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM). Show all posts
Showing posts with label Peguam Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM). Show all posts

Sunday, January 20, 2019

Isu Isu Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Peguam Negara, Menteri Undang-Undang dan Peguam Persendirian menari sepentas.

Isu Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Peguam Negara, Menteri Undang-Undang dan Peguam Persendirian menari sepentas.

1. Saya dimaklumkan insiden yang tular di atas berlaku di Kota Kinabalu Sabah di majlis makan malam Opening of Legal Year (OLY) peringkat Sabah dan Sarawak. Video-video yang dapat diakses oleh saya menunjukkan penjawat-penjawat awam di atas bersama beberapa orang lain lagi menari sepentas semasa majlis makan malam tersebut.

2. OLY di Sabah dan Sarawak telah diadakan sejak dari 2001 lagi. Di Peringkat Persekutuan OLY juga diadakan.  Kebiasaannya pada malam hari disusuli dengan majlis makan malam dihadiri oleh dif-dif kenamaan. Saya difahamkan majlis makan malam tidak diadakan di peringkat Persekutuan pada tahun ini. Dalam majlis makan malam OLY Sabah dan Sarawak tersebut diadakan persembahan oleh pegawai dan peserta dari setiap bahagian yang hadir. Persembahan pula adalah pelbagai termasuk nyanyian dan tarian.

3. Adalah khilaf jika dikatakan disebabkan pertukaran Kerajaan Persekutuan acara ini diadakan kerana ia telah lama diadakan  di Sabah dan Sarawak iaitu sejak 2001. Tuan rumah acara ini digilirkan mengikut rundingan bersama di Sabah dan Sarawak.

4. Dalam acara OLY 2019 ini setiap stesen mengadakan persembahan dan insiden yang berlaku adalah semasa persembahan tuan rumah. Majlis makan malam pula adalah norma lazim diadakan setiap tahun oleh badan kehakiman dan guaman sejak sekian lama.

5. Saya dimaklumkan beberapa dif kehormat termasuk Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang dijemput ke pentas untuk menjayakan bersama persembahan tuan rumah namun dikatakan tidak semua yang berada di pentas dijemput  oleh penganjur ke pentas.

6. Manakala yang di bawah pentas pula menari tarian tradisional yang dinamakan ‘manuk-manuk’ dimana tarian dilakukan dengan berbaris dan mengelilingi dewan.

7. Pada pandangan saya tidak menjadi kesalahan bagi pihak penganjur menganjurkan OLY 2019 dengan persembahan dari setiap bahagian bagi memeriahkan makan malam tersebut. Hal yang demikian adalah lazim dilakukan khususnya di Sabah dan Sarawak. Apatah lagi hanya yang dijemput sahaja yang hadir ke majlis berkenaan.

8. Bagi saya isunya bukanlah majlis makan malam dan persembahan yang diadakan itu tetapi persoalan mengapa individu-individu tertinggi badan kehakiman turut serta menari dan kelihatan bermesra dengan cabang kerajaan yang lain serta peguam persendirian yang seolah-olah memberi isyarat keakraban hubungan mereka sehingga mungkin boleh menjejaskan keadilan.

9. Saya mendesak Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan Peguam Negara menjelaskan kenapa mereka naik ke pentas dalam majlis rasmi seperti ini menari bersama sedangkan di pentas tersebut terdapat Menteri Persekutuan, Peguam Negara, peguam-peguam persendirian yang akan menimbulkan tohmah kepada institusi yang sedang mereka ketuai. Walaupun mereka dijemput ke pentas, bagi memelihara kesucian institusi yang mereka ketuai, sewajarnya mereka menolak jemputan tersebut kerana menimbulkan fitnah.

10. Suatu keadilan bukan hanya perlu dilakukan tetapi mesti juga dilihat dilakukan.

11. Oleh itu jika kelihatan Hakim-Hakim sangat mesra menari bersama peguam di pentas yang sama ia akan menimbulkan syak wasangka di kalangan orang awam.

12.  Untuk penjelasan saya lampirkan di bawah ini sebahagian daripada Kod Etika Hakim 2009

Kewajipan mematuhi Kod

4.  (1) Seseorang hakim hendaklah mematuhi peruntukan-peruntukan yang ditetapkan dalam Kod ini.

    (2) Pelanggaran mana-mana peruntukan yang ditetapkan dalam Kod ini boleh menyebabkan seseorang hakim dikenakan tindakan tatatertib mengikut peruntukan Kod ini.

Mendukung integriti dan kebebasan badan kehakiman
5. Seseorang hakim hendaklah menjalankan fungsi kehakiman dengan bebas berdasarkan penilaian tentang fakta dan mengikut pemahamannya tentang undang-undang, bebas daripada apa-apa pengaruh luar, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan, secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pihak atau bagi apa-apa sebab.
Mengelakkan ketidaksopanan dan gambaran ketidaksopanan dalam semua aktiviti kehakiman
6. (1) Seseorang hakim hendaklah pada setiap masa, berkelakuan mengikut cara yang menggalakkan integriti dan kesaksamaan badan kehakiman.
(2) Seseorang hakim tidak boleh :-
(a) membenarkan apa-apa hubungan mempengaruhi kelakuan kehakiman atau penghakimannya

Dalam melaksanakan tugas-tugas kehakiman dengan adil dan cekap
7 (8) Seseorang hakim tidak boleh berkelakuan mengikut cara yang tidak wajar sebagai seorang hakim atau yang boleh membawa atau dikira akan membawa nama buruk kepada jawatannya sebagai seorang hakim.
Dalam bab mengurangkan risiko percanggahan dengan tanggungjawab kehakiman hakim semasa menjalankan aktivitu luar kehakiman

8. (1) Seseorang hakim hendaklah memastikan bahawa semua aktiviti luar kehakimannya tidak: –
(a) menimbulkan keraguan yang munasabah tentang keupayaan untuk bertindak dengan saksama sebagai seorang hakim;
(2) Seseorang hakim hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesional perundangan secara individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu, jika hubungan sedemikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah
(7) Seseorang hakim tidak boleh berkelakuan dengan cara yang boleh membawa nama buruk kepada jawatannya sebagai seorang hakim.

13. Adalah sangat jelas ketiga-tiga cabang iaitu Kehakiman (Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan beberapa hakim lain) Executive (Menteri Undang-Undang) dan Legislatif (Peguam Negara yang menggubal undang-undang) ditambah pula dengan beberapa Peguam Persendirian menari dengan gembira berkongsi satu pentas bersama menimbulkan pelbagai tohmahan kepada pihak kehakiman. Persoalan juga timbul adakah insiden ini memberi isyarat prinsip pengasingan kuasa yang sekian lama diamalkan sudah pudar atau tidak lagi dipentingkan.

14.  Walaupun pelanggaran etika seorang hakim mesti diadukan kepada Ketua Hakim pelanggaran etika Ketua Hakim mestilah diadukan kepadas Yang Di Pertuan Agong kerana Yang Di Pertuan Agong melantik Ketua Hakim.

15. Saya juga sedar terdapat beberapa kalangan daripada peguam dan badan eksekutif yang mempertahankan insiden tersebut dengan pelbagai alasan termasuk menjadi norma lazim para peguam dan hakim mengadakan majlis makan malam dan berdansa, tidak menimbulkan sebarang wasangka serta tiada perlanggaran etika. Jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini ialah dengan merujuk kepada Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

16. Oleh yang demikian aduan perlulah dibuat kepada Perdana Menteri agar membuat representasi kepada  Yang Di Pertuan Agong menurut Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan terhadap Ketua Hakim dan kepada Ketua Hakim bagi Hakim-Hakim Yang lain mengikut etika berkenaan jika Perdana Menteri berfikir hakim-hakim tersebut wajar dipecat, sekiranya tidak tindakan lain menurut undang-undang perlu diambil. Walau bagaimanapun ketua hakim tidak boleh menghakimi aduan tersebut kerana beliau bersama-sama di dalam majlis berkenaan.

17. Yang Di Pertuan Agong boleh menubuhkan suatu tribunal jika suatu representasi dibuat oleh Perdana Menteri bagi memecat Hakim yang melanggar etika atau suatu tindakan menurut undang-undang juga boleh diambil sekiranya pemecatan bukanlah suatu yang wajar akibat  perlanggaran etika kehakiman atau tidak, insiden yang ditularkan ini, mengikut Perkara 125 tersebut.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Saturday, November 8, 2014

KENYATAAN AKHBAR PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM) - Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)


Berkaitan Penghakiman Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 tidak berperlembagaan)

PPMM berasa amat terkejut dengan keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan pada 7 November 2014 yang memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah ( Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak berperlembagaan kerana mendiskriminasi golongan minoriti. Keputusan tersebut dibuat setelah tiga orang lelaki Islam merayu kepada Mahkamah Rayuan apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka mengisytiharkan sekyen tersebut tidak berperlembagaan. Ketiga-tiga lelaki Islam berkenaan telah dituduh di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan di bawah seksyen 66 tersebut kerana memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam.
Seksyen tersebut berbunyi seperti berikut:
“Seksyen 66. Lelaki berlagak seperti perempuan.
Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”
Sehingga siaran akhbar ini ditulis PPMM masih lagi belum mendapat salinan penghakiman yang diputuskan pada 7 November 2014 itu. PPMM juga tidak mendapat makluman berkaitan dengan hujahan-hujahan yang telah dikemukakan oleh kedua belah pihak semasa prosiding rayuan berjalan. Pada kebiasaan hakim-hakim akan membuat keputusan berdasarkan persoalan yang dihujahkan di hadapan mahkamah.
Oleh yang demikian siaran akhbar ini dibuat berdasarkan laporan-laporan yang dibuat di akhbar-akhbar dan media alternatif sahaja dan menyentuh aspek keabsahan dan kesan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan tersebut.
Di dalam kes Sulaiman Takrib v Majlis Agama Islam Trengganu, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa legislatif untuk membuat apa-apa kesalahan dan hukuman yang melanggar perintah agama Islam. Perintah agama Islam termasuklah juga isu-isu berkaitan akhlak atau moral bagi orang Islam seperti di dalam Seksyen 66 tersebut. Di dalam kes tersebut Mahkamah Persekutuan memutuskan makna ‘precepts of Islam’ bukan sekadar rukun Islam tetapi apa-apa perintah agama Islam. Menjaga akhlak adalah sebahagian dari perintah agama Islam dan lelaki berpakaian wanita adalah diharamkan di dalam Islam.
Manakala di dalam kes Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur v Menteri Dalam Negeri dan 8 yang lain pula, Mahkamah Persekutuan memutuskan antara lain kebenaran dari Mahkamah Persekutuan perlu diperolehi terlebih dahulu di dalam sesuatu prosiding yang mencabar keperlembagaan sesuatu undang-undang.
Berdasarkan dua penghakiman Mahkamah Persekutuan di atas, PPMM berpandangan Mahkamah Rayuan telah khilaf di dalam penghakiman semalam. Malah ia juga tidak sejajar dengan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 3 yang meletakkan Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi agama bagi Persekutuan seperti yang diputuskan di dalam kes-kes Lina Joy melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persecution (Mahkamah Persekutuan) dan Meor Atiqurrahman melawan Fatimah Sihi (Mahkamah Tinggi). Begitu juga obligasi berperlembagaan Yang Di Pertuan Agong di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan di mana YDPA bersumpah memelihara Islam pada setiap masa. Sebagai Ketua Eksekutif sebenar Negara (Perkara 39) sumpah YDPA tersebut menjadi suatu obligasi kepada semua cabang pentadbiran dan kehakiman negara untuk dipenuhi.
Isu diskriminasi kepada golongan minoriti tidak seharusnya timbul kerana kebebasan fundamental (fundamental liberties) seperti yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah suatu yang tiada batasannya. Hak tersebut tidak bersifat mutlak dan ia perlu dibaca bersama-sama dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang lain. Perlembagaan Persekutuan mesti dibaca secara bersesama bukan diasing-asingkan antara satu sama lain (harmonious interpretation). Mentafsirkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan secara berasingan akan hanya membawa implikasi percanggahan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sesama sendiri.
Keputusan Mahkamah Rayuan tersebut juga gagal mengambilkira norma masyarakat Melayu Islam (grundnorm of the society) yang merupakan teras kepada jatidiri kebangsaan. Islam dan Melayu merupakan sebahagian daripada struktur asas (basic structures) yang membentuk Perlembagaan Persekutuan. Memusnahkan strucktur asas ini akan mengakibatkan jatidiri dan kerangka Perlembagaan Persekutuan itu sendiri terpecah.
Walau apapun penghakiman semalam adalah penghakiman yang sah oleh sebuah mahkamah yang kompeten. Ia perlu dihormati sehingga ada keputusan sebaliknya.
PPMM menyeru Kerajaan Negeri Sembilan dan pihak-pihak yang dinamakan di dalam prosiding tersebut memohon kebenaran merayu dalam tempoh yang ditetapkan. PPMM juga mendesak sementara menunggu permohonan kebenaran merayu diputuskan Kerajaan Negeri Sembilan memohon penggantungan perintah yang dikeluarkan itu. PPMM juga menyeru Kerajaan Persekutuan yang merupakan “amicus curae” di dalam prosiding tersebut bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sembilan di dalam rayuan tersebut.
PPMM selanjutnya menyeru semua Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAINS) di seluruh Malaysia supaya memohon kebenaran mencelah di dalam prosiding rayuan kelak. Ini adalah disebabkan Majlis-Majlis Agama Islam adalah penasihat utama dalam hal ehwal agama Islam kepada Sultan/ Raja/ Yamtuan negeri masing-masing dan YDPA bagi negeri yang tidak mempunyai Raja. Keputusan ini juga memberi kesan kepada undang-undang yang sama yang ada di negeri-negeri lain. MAINS mempunyai kepentingan undang-undang yang jelas di dalam prosiding ini kerana ia juga akan memberi kesan kepada undang-undang di negeri berkenaan.
PPMM bersedia memberi taklimat, khidmat dan pandangan kepada MAINS khasnya dan semua Majlis Agama Islam amnya dalam perkara ini.
PPMM juga menyeru kepada semua umat Islam di Malaysia supaya bertenang bagi membolehkan proses undang-undang berjalan sewajarnya.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)