Tuesday, July 2, 2013

Pihak Polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Siasat Pencerobohan Domain Internet Malaysia

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat insiden pencerobohan domain internet tempatan yang berlaku semalam.

Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dalam kenyataan hari ini berkata SKMM telah menerima laporan bahawa beberapa nama domain yang didaftarkan di bawah domain '.com.my' telah dicerobohi dan diracuni.

Beliau berkata SKMM telah berhubung dengan Pusat Rangkaian Maklumat Malaysia (MYNIC) dan siasatan awal menunjukkan pencerobohan itu adalah terhad kepada laman web yang berdaftar dengan nama domain itu iaitu domain .com.my

"Pencerobohan ini menimbulkan kebimbangan tetapi mujurlah langkah-langkah awal yang pantas telah diambil untuk menangani pencerobohan yang disyaki," katanya.

Beliau berkata setakat ini, perkhidmatan kepada sebahagian besar domain-domain yang telah dicerobohi itu sudah berjalan seperti sediakala.

- Bernama