Tuesday, July 13, 2010

Melayu jangan lupa diri - Dato' Prof. Dr. Ir. Sahol Hamid (Naib Canselor UiTM)

SETIAP daripada 54 tahun sejarah kewujudan Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah merupakan suatu perjuangan menonjolkan imej positif dan peranan utamanya kepada umum. Sehingga ke hari ini pun perjuangan itu diteruskan. Dari sebuah dewan latihan pada 1956 dan kini menjadi salah sebuah universiti utama negara, sudah banyak perubahan yang berlaku kepada universiti ini, namun falsafah asalnya masih sama dan tidak berubah. Universiti ini masih percaya bahawa anak-anak Melayu dan bumiputera kita, di sebalik latar belakang kekurangan dan kemiskinannya, jika diberi peluang untuk belajar, mereka mampu untuk bersaing dengan mana-mana kaum, dan mampu mengubah nasib keluarga mereka serta destini bangsanya. Dalam sejarah 54 tahun itu juga, UiTM telah melahirkan hampir 400,000 graduan yang kini mengisi keperluan tenaga profesional di seluruh pelosok negara. Ramai juga yang telah berjaya menjadi peneraju kepada industri di dalam mahu pun di luar negara.

Sewaktu para graduan ini menjadi pelajar, soal keselesaan tempat tinggal dan keenakan makan minum bukanlah menjadi utama mereka, begitu juga ia bukan agenda utama universiti. Apa yang diutamakan ialah graduan yang dilahirkan adalah berkualiti, penuh keinsafan tentang keperluan bangsanya serta mampu berdikari dalam kehidupan masing-masing. UiTM telah membuktikan, walaupun dalam kekurangan tempat tinggal yang selesa, kualiti graduan yang dikeluarkan adalah bermutu tinggi. Justeru, saya agak risau apabila ada segelintir ibu bapa sekarang yang merungut secara terbuka tentang ketidakselesaan tempat tinggal anak mereka semasa belajar di UiTM. Namun, bagi pihak pengurusan UiTM, kita memang telah menjangka akan timbulnya rungutan sebegini. Ini adalah kerana, di dalam usaha UiTM mempercepatkan penambahan cerdik-pandai bumiputera, banyak pihak terpaksa berkorban keselesaannya.

Berdasarkan pencapaian UiTM selama ini pihak kerajaan telah memberi kepercayaan penuh kepada universiti ini untuk meningkatkan enrolmen pelajar melebihi 200,000 orang menjelang 2015. Jumlah terkini pelajar UiTM adalah 172,000 orang yang kini belajar di seluruh sistem UiTM di setiap negeri. Walau pun pelajarnya ramai, pihak ibu bapa tidak perlu risau tentang kualiti pendidikan anak-anak mereka kerana UiTM tidak akan sekali-kali mengabaikannya. Secara umum dan kasarnya, jika dibanding pelajar dahulu dan sekarang, keselesaan pelajar-pelajar dahulu memang lebih teruk dan daif, tetapi mereka berjaya dalam pencapaian akademik mereka. Pada pandangan saya, kejayaan seseorang dalam suasana serba kekurangan itu akan lebih bermakna jika berbanding dengan sesuatu pencapaian yang didapati dalam suasana mewah dan mudah.

Apabila seseorang graduan UiTM yang kini telah berjaya menoleh ke belakang ia akan menghargai pahit getir yang pernah dilaluinya. Mereka akan menjadi seorang insan yang bersyukur. Insya-Allah, jika kita semua bersabar dan berpandangan positif, segala susah payah itu jugalah yang akan menjadi pengajaran berguna kepada mereka yang mahu belajar. Kita sedar, perubahan telah banyak berlaku. Pihak pengurusan UiTM dan ibu bapa berkongsi hasrat yang sama iaitu mahukan siswa-siswi kita mempunyai suasana tempat tinggal dan juga pembelajaran yang sempurna. Kesusahan yang dialami kini hanya bersifat sementara, kerana usaha berterusan sedang dijalankan untuk menambah kemudahan, terutamanya penginapan di seluruh sistem UiTM. Pihak UiTM tidak menafikan wujudnya kesesakan terutamanya pada minggu-minggu pertama pengajian. Tujuan UiTM memaksimumkan pengajian pelajar untuk tinggal di kolej-kolej kediaman adalah untuk meminimumkan jumlah pelajar menyewa di luar kampus.

Dalam suasana kesesakan kampus seperti di UiTM, ibu bapa mesti sedar yang kemudahan yang diberi adalah percuma. Maka itu kita janganlah terlalu cerewet tentang sedikit kekurangan yang mungkin timbul. Malah kita perlu bersyukur kerana masih ramai siswa yang tidak mendapat tempat. Saya mengesyorkan agar ibu bapa yang mampu menyewa rumah di luar kampus untuk anak-anak mereka untuk berbuat demikian. Ini adalah supaya pihak UiTM boleh memberi tempat yang kosong itu kepada pelajar-pelajar yang amat memerlukan. Dalam pengamatan dan pengalaman saya menguruskan sebuah universiti seperti UiTM ini, ramai orang kita yang lupa tanggung jawab kita bersama sebagai orang Melayu. Dalam keadaan kita senang, kita lupa akan keperluan orang lain dan kita lebih mementingkan diri sendiri. Perasaan sebegini mestilah dihapuskan.

Orang Melayu mesti sanggup berkorban demi untuk pembangunan bangsanya. Kita perlu bersatu dalam banyak hal. Orang yang berada mesti bantu yang berkurangan agar bangsa kita akan sama-sama naik mencapai puncak kecemerlangan.Ibu bapa juga mungkin tidak menyedari yang peranan UiTM bukan sekadar mendidik pelajarnya sahaja. Sebaliknya tujuan yang tersirat pula adalah untuk meramaikan golongan berpendidikan tinggi dari kalangan kaum bumiputera di negara sendiri. Mungkin ibu bapa juga tidak sedar bahawa hanya 30 peratus daripada jumlah pelajar yang memasuki universiti di negara ini terdiri dari kaum bumiputera. Cuba bayangkan jika tiada UiTM ini, atau jumlah pelajar yang diambilnya diperkecilkan, apakah yang akan terjadi kepada anak-anak bangsa kita?

Maka itu, janganlah kita lupa siapa kita dan siapa bangsa kita. "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan". Itulah slogan yang sentiasa dipegang dan dijunjung oleh pengurusan UiTM. Kerana mendahulukan rakyat, UiTM mengambil ramai pelajar agar lebih banyak peluang diberikan kepada pelajar-pelajar Melayu dan bumiputera yang telah lulus dengan baik di peringkat SPM/STPM/Diploma. Seandainya UiTM mengurangkan pengambilan pelajar maka terjejaslah peluang pengajian tinggi kepada anak-anak Melayu dan bumiputera. Perlu diingat bahawa kewujudan UiTM ialah untuk memberikan pendidikan agar bangsa Melayu dan bumiputera berada pada kedudukan ekonomi yang seimbang dengan bangsa-bangsa lain. Kerana itulah, UiTM seboleh mungkin menawarkan tempat kepada mereka untuk menimba ilmu.

Mundurnya bangsa Melayu ialah kerana kita tidak bersatu, bukan kerana tiada tempat untuk tinggal. Kita tidak mahu melihat ada bangsa Melayu sendiri yang tidak mahu melihat lebih ramai anak bangsanya berjaya bersama UiTM. Saya berharap, pelajar-pelajar yang mendapat tempat belajar di UiTM, belajarlah dengan bersungguh-sungguh, kerana pencarian ilmu saudara-saudari adalah satu perjuangan mengubah destini anak bangsa. Jadikan susah payah kini sebagai motivasi utama pendorong kejayaan untuk masa hadapan

(Sumber : Utusan Malaysia Online - Forum)