
Dalam post ini kita mulakan dengan nama Allah S.W.T yang pertama iaitu ALLAH. ALLAH adalah Zat Yang Maha Tinggi, Maha Mulia dan Maha Kuasa. Zat Pencipta Seluruh Alam, langit dan bumi, matahari dan bulan, dan seluruh yang ada. DIA adalah yang wajibul wujud, yang sudah pasti ADA, yang mustahil tiada. Dalam bahasa melayu kuno dapat diertikan sebagai Dewa atau Tuhan. Segala sesuatu yang dianggap sakti dan dipuja. Pada batu bersurat Terengganu yang ditulis dengan huruf arab, kira-kira tahun 1303 Masehi, kalimat Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah diertikan dengan Dewata Mulia Raya. Lama kelamaan, perkembangan bahasa melayu dan indonesia semakin maju, kata-kata dewa tidak dipakai lagi bagi mengungkap Tuhan. Tuhan dalam konteks bahasa melayu dan indonesia adalah merujuk kepada ALLAH. Dalam perkembangan bahasa masa kini, sayugia diperingatkan bahawa istilah Tuhan antara orang islam dan kristian adalah berbeza.
Kita orang islam apabila menyebut Tuhan ia merujuk kepada ALLAH, Zat Yang Berdiri Dengan sendiri Nya, kepada Nya kita memohon segala sesuatu, tidak beranak dan diperanakan, dan tidak ada yang menandingiNya sesuatu jua pun, berbeza dengan orang kristian apabila menyebut Tuhan ia merujuk kepada Yesus Kristus, kadang-kadang bercampur baur, sebab menurut ajaran mereka tuhan adalah 'Triniti", atau Tri-Tunggal, yang tiga tetapi satu, dia yang satu tetapi tiga. Dia yang tiga tetapi satu itu ialah Tuhan bapa, Tuhan anak(Isa Al Masih) dan Tuhan ibu (Rohul Kudus). Mereka menyebutnya "Tuhan Yesus". Jadi Tuhan dalam kacamata Islam dan kristian adalah berbeza. Allah tidak dapat digambarkan oleh imiginasi pemikiran manusia, jika Ia dapat digambarkan maka ia bukan Allah.
Bagaimana kita menanam nama ALLAH di dalam jiwa, tubuh dan pemikiran kita sehingga ia subur, mekar dan sebati? Jawaban nya ialah kita mulakan segala aktiviti rutin dalam kehidupan dengan memulakannya dengan nama ALLAH seperti membaca Bismillah, sebaik sahaja tersedar daripada tidur disubuh hari, semasa bangun kita ucapkan Alhamdulilah kerana Allah masih memberikan nafas untuk kita hidup, gosok gigi kita mulakan dengan Bismillah, bila mandi kita baca bismillah, mendirikan solat subuh kita mulakan dengan niat kepada Allah, kita masuk kenderaan untuk ke pejabat kita mulakan dengan nama Allah, melangkah kaki turun dari kenderaan ke pejabat kita sebutkan Allah, mengadap komputer untuk memulakan kerja kita mulai dengan Bismillah, masa sarapan pagi kita mulai dengan Bismillah, kita sambung kerja lagi selepas sarapan kita mulai dengan Bismillah, bila tiba masa rehat tengah hari kita ucapan nama Allah, semasa menyambung kerja semula kita ucapkan Allah.
Malahan semasa nafas naik zikirkan Ya Allah dan semasa nafas turun zikirkan Ya Allah. Zikir ini dinamakan zikir Ismudz Zat, yang terkumpul seluruh fadhilat zikir Al Asma ul Husna. Mereka yang mengamalkannya dengan hati yang khusyuk dan memenuhi segala tertib, rukun dan syaratnya semata-mata mengharapkan keredaan Allah S.W.T, Insyallah akan mendapat manfaat yang tidak terhingga nilainya. Berzikir Ismudz Zat sebanyak 5000 kali setiap hari dengan mengikut kaedah-kaedahnya yang benar akan memberikan fadilah kebersihan rohani dan merupakan syarat mutlak untuk dapat menghubungkan diri dengan Zat Yang Mahasuci Isyaallah.
Zikir Ya Allah itu boleh disebutkan secara jahar(kuat) atau secara sirr(perlahan dalam hati). Digalakkan secara sirr supaya tidak menimbulkan fitnah. Zikirkan Allah, Allah, Allah Ya Allah sepanjang masa, setiap ketika dan setiap masa di dalam hati kita. Lakukan sehingga zikir itu meresap ke dalam pemikiran separa sedar (subconscious mind) kita. Insyaallah, Anda akan bertemu suatu kenikmatan jiwa berupa kelapangan dada, ketenangan fikiran dan kejernihbeningan jiwa yang tidak terungkap dengan kata-kata tapi dirasai didasar hati.