Friday, September 21, 2012

Pilihan raya kampus: Pro-Aspirasi kekal kuasa di UiTM

SHAH ALAM - Kumpulan Pro-Aspirasi meneruskan penguasaan pilihan raya kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berlangsung semalam, yang diadakan pada minggu kedua selepas sesi pengajian baru bermula.

Sebanyak 226 kerusi dipertandingkan di kesemua kampus UiTM termasuk 50 di kampus induk di sini.

Mengulas perkembangan tersebut, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, seratus peratus pemimpin mahasiswa yang bertanding pada pemilihan kali ini adalah "calon Aspirasi UiTM."  kata beliau kepada pemberita selepas menyaksikan sesi pengumuman keputusan pemilihan di sini, malam tadi.

Menurut beliau, pembentukan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) akan ditentukan dalam masa tiga hari.

"Kita akan bincang selepas ini untuk menentukan tarikh pembentukan di mana lantikan dibuat untuk mereka memegang jawatan tertentu," katanya.

Ketika ditanya soal politik dalam kampus, beliau berkata, ia hanya akan membawa kepada perpecahan.

"Ini bukan pilihan raya politik tetapi ini pilihan raya untuk menjaga kebajikan pelajar dan universiti. Tidak ada kaitan dengan politik," tegasnya.

Di kampus UiTM Shah Alam, seramai 72 calon bertanding, di mana 24 daripadanya menang tanpa bertanding.

Terdapat 25 fakulti di kampus tersebut di mana 12 daripadanya juga menang tanpa bertanding.

Sementara itu, salah seorang calon yang menang dalam pilihan raya kampus kali ini, Azraful Azman, 20 dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik bersyukur dengan kemenangannya.

"Kami tidak mahu mengganggu gugat keamanan, cukuplah kami dukung keamanan itu.

"Saya melihat mahasiswa kadangkala terlalu mengharapkan pihak universiti memberi sesuatu, jadi saya mahu membantu mereka supaya mengubah persepsi tersebut," katanya kepada Sinar Harian Online.

Bekas Yang Dipertua JPP sesi 2010/2011 Kampus UiTM Pulau Pinang ini meraih 1,147 undi.

Sebanyak 77.75 peratus mahasiswa yang berdaftar di UiTM Shah Alam membuang undi.

Sesi lalu hanya 75 peratus mengundi.

(Sumber - http://www.sinarharian.com.my)