Tuesday, September 21, 2010

Musibah Yang Berlaku Sebagai Titik Untuk Berubah

Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, iaitu, pemandunya Kamaruddin Shamsudin, pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim adalah suatu musibah kepada keluarga masing-masing. Musibah adalah suatu ujian yang sengaja direkacipta oleh Yang Maha Pencipta untuk menguji kita. Semua manusia yang hidup dan bernyawa dimukabumi ini tidak dapat lari daripada menghadapi musibah. Cuma masa dan ketikanya bila itu yang belum pasti.

Jika kita tidak pernah diuji dengan musibah, maka dikuatiri kita akan terkena penyakit jiwa sehingga kita menjadi lalai, leka, lena, sombong, bongkak, tidak dapat menilai nikmat yang dikurniakan oleh Tuhan kepada kita dan tidak mahu mensyukurinya. Kita menjadi seperti orang mabuk yang tidak kenal dan mengetahui terhadap keadaan dipersekitaran. Kita hanya memikirkan tentang makan, minum dan kesenangan sendiri sahaja. Itu adalah penyakit jiwa yang bakal kita hadapi jika kita tidak pernah ditimpa musibah langsung.

Kesimpulannya, adalah suatu musibah jika kita tidak pernah ditimpa musibah langsung. Musibah yang berlaku itu wajar dijadikan titik untuk berubah meredah masa dengan lebih utuh dan sempurna, berubah untuk menggugah hati nurani dan kesedaran diri menjadi lebih baik daripada sebelumnya.