Thursday, July 4, 2013

Humanisme Dan Bahayanya Kepada Agenda Bangsa Malaysia.

Humanisme adalah satu agenda yang berasal dari Eropah. Ia mula berkembang pada  zaman Renaissance pada abad ke-15 dan 16 Masihi (Abdul Hadi 2009). Humanisme  adalah satu agenda yang berpusatkan kepada nilai manusia dalam membuat keputusan.

Menurut Harun Yahya dalam bukunya Ancaman Global Freemasonary, humanisme  merupakan satu ancaman dan serangan ke atas agama. Ini berikutan fahaman ini yang  menolak agama dan Tuhan yang mencipta mereka. Fahaman humanisme ini bukanlah  satu fahaman yang baru muncul. Fahaman humanisme ini berasal daripada doktrin  Kabbalah yang berasal daripada Mesir Kuno. Fahaman ini telah muncul lebih awal  daripada falsafah Yunani yang dibawa oleh Socrates, Plato dan Aristoteles (Abdul Hadi  2009). Humanisme memasuki Eropah melalui sumber Kabbalah. Keyakinan masyarakat Kristian  berdasarkan kepada kewujudan Tuhan. Manusia pula adalah hamba ciptaan Tuhan yang  bergantung kepada-Nya. Bagaimanapun, pengaruh pemikiran Kabbalah mula menguasai  masyarakat Barat. Pada abad ke-15, arus humanisme mula bertapak dalam pemikiran  Barat dan Eropah (Harun Yahya 2009).

Pemikiran humanisme meletakkan kehendak manusia sebagai matlamat dan pusat  kehidupan. Kebebasan kehendak dijadikan sembahan. Negara, kerajaan dan ritual agama  hanya timbul setelah berlaku pertembungan dalam kehendak-kehendak tersebut. Tetapi  dengan kemajuan teknologi, mereka mempromosikan globalisasi dan ianya menuju ke  arah mengecilkan kembali kuasa kerajaan dan fungsi agama untuk memberi ruang  kembali kepada kehendak manusia (Taha 2005). 

“Materialisme, sekularisme, komunisme, sosialisme, kapitalisme, liberalisme, demokrasi,  pluralisasi dan globalisasi ; semuanya lahir dari kefahaman humanisme. Nampak  berbeza, tetapi sebenarnya mempunyai persamaan di satu noktah. Semuanya lahir dari  revolusi hasil tindakan kejam gereja dan golongan bangsawan terhadap para ilmuwan dan rakyat jelata di zaman Feudal Eropah. Penolakan yang amat ekstrem terhadap agama membawa Eropah kepada kecintaan yang tidak terhingga terhadap diri sendiri. Kecintaan 
yang membawa kepada satu bentuk penyembahan kehendak diri atau apa yang diistilahkan oleh sebahagian pengkaji sebagai humanisme. 

Kapitalisme amat jelas dalam memberikan ruang kepada kehendak manusia. Persaingan tanpa rahmat membawa kepada jurang yang amat jauh dalam struktur masyarakat. Riba dan monopoli menjadi asas yang tidak boleh ditolak oleh dunia. Komunisme mungkin dilihat lebih adil memberikan hak persamaan kepada semua manusia. Nampak jauh berbeza dengan kapitalisme tetapi sebenarnya sama dari sudut penyembahan kepada  kehendak manusia; cuma dengan cara yang berbeza, iaitu dengan menyamakan kehendak agar semua kehendak dipenuhi. Penagih dadah dibenarkan memiliki sejumlah dadah untuk dirinya sendiri. Melebihi had  itu baru dikira salah. Boleh menagih di mana-mana sahaja kerana itu kehendak mereka  yang perlu disembah. Apa yang kerajaan mampu lakukan hanyalah menyediakan tong sampah khas untuk picagari dadah agar tidak mengganggu rakyat yang tidak minat dengan dadah. 

Arak bukan suatu yang baik untuk manusia. Ia adalah kepala kepada segala kejahatan seperti yang pernah diungkapkan. Tetapi apa yang Barat boleh lakukan untuk mengelakkan rakyatnya dari dicemari dengan najis arak? Kehendak manusia mengatasi segala kebaikan dan maslahah. 

Seks dianggap sebagai kehendak manusia yang boleh dipenuhi dengan apa-apa juga cara, juga mengikut kehendak manusia. Berdirinya kedai-kedai ‘adult shop’ di celah-celah deretan kedai lain di Barat diterima oleh masyarakat dengan begitu baik. Tidak menjadi kesalahan kerana ianya tidak lebih dari ’serve’ kehendak sebahagian anggota masyarakat (Taha 2005). 

Globalisasi merupakan antara agenda yang dicanangkan oleh Barat ke atas dunia Islam. Ia membawa maksud dunia tanpa sempadan, semua manusia berada dalam ruang alam yang satu, mendapat taujihat yang satu dalam tamadun yang satu (al-Rawi 2009). 

Globalisasi telah mencabul kedaulatan sesebuah negara dan bangsa baik dari segi bahasa,  budaya, undang-undang, tanah air dan agamanya. (Ghazali 1998; al-Jabiri 1997). Bukan itu sahaja, globalisasi mengakibatkan masyarakat Islam hanyut dalam kehendak diri  tanpa batasan agama dan sempadan akhlak. Ini adalah satu pencabulan kepada nilai-nilai  kemanusiaan yang dirancang secara sengaja oleh agenda Barat (al-Jamil T.t). Globalisasi  melahirkan bangsa Melayu yang tiada identiti kemelayuan dan ketimurannya. Hilangnya jatidiri seorang anak Melayu yang berani dan berpegang teguh kepada agama. Globalisasi menjadikan kita bangsa yang ikut dan tunduk kepada agenda dan kehendak orang lain. Jika diteliti kandungan globalisasi, ia mempunyai satu aspek utama iaitu hegemoni atau kekuasaan. Hegemoni bukan sahaja bermaksud kekuatan tentera tetapi juga merangkumi kekuatan ekonomi, idea, agama, etika, peradaban dan lain-lain. Hegemoni Barat bukan sahaja terletak kepada kekuatan tentera, malah menguasai aspek nilai, budaya, termasuk jugalah agama (Ghazali 1998). 

Arus pemikiran humanisme ini bukan sahaja berkembang dalam kalangan masyarakat Barat dan Eropah. Melalui agenda penjajahan, perdagangan dan Kristianisasi Negara Eropah dan Barat ke atas dunia Islam, fahaman ini mula menular dan menyerap masuk ke dalam pemikiran masyarakat Islam. Secara khususnya, bangsa Melayu di Malaysia juga berhadapan dengan ancaman identiti dan jatidiri yang dibawa oleh humanisme dan ismeisme yang lain. 

Ancaman utama yang dihadapi ialah pemindahan budaya daripada Barat, sekularisme, budaya hedonisme, Islam liberal, pluralisme. Sekularisme merupakan konsep untuk memisahkan manusia dengan agama. Ia telah menular dengan hebat dan telah menjadi ritual. Sedangkan Islam tidak dapat dipisahkan daripada keseluruhan hidup dan segala kegiatan hidup berkaitan dengan agama, yang dikatakan Islam sebagai ad-din (Harusani 2009). Sekularisme secara terang-terang memusuhi Islam. 

Proses sekularisasi memang ditujukan untuk melawan Islam. Istilah-istilah sekularisme, sekularisasi, sekular tidak boleh dihubung-hubungkan dengan Islam ( al-Attas 1978; al-Qardawi 1977). Dalam konteks Malaysia, Islam telah dinyatakan dalam perlembagaan sebagai agama rasmi negara. Dalam satu aspek, ini merupakan perlindungan undang-undang kepada Islam itu sendiri. Bagaimanapun, perlu diingat, proses globalisasi yang sedang rancak berjalan, lambat laun akan mencabar undang-undang setiap negara. Apabila kubu pertahanan ini tumbang dan bilangan penduduk Islam di Malaysia tidak menjadi majoriti, sudah tentu kedudukan Islam dan bangsa Melayu akan tergugat (Ugi Suharto 2007). 

Tiada Sesi Soalan Lisan Dalam Persidangan DUN Pulau Pinang Tanda Kerajaan Negeri P.Pinang Tidak Demokratik.

Datuk Jahara Hamid Ketua pembangkang DUN Pulau Pinang  menyelar keputusan Speaker Law Choo Kiang untuk menggantung sesi soalan lisan dalam persidangan, yang disifatkannya sebagai satu “hukuman mati ke atas demokrasi”.

Jahara (BN-Teluk Ayer Tawar) berkata perkara seperti itu tidak pernah dilaksanakan sebelum ini dan sesi berkenaan juga penting untuk memastikan kebertanggungjawab kerajaan negeri.

Katanya, wakil rakyat akan menggunakan peluang berkenaan untuk bertanya soalan dan mendapat jawapan berhubung masalah dihadapi rakyat.

Sesi itu juga bukan hanya untuk kepentingan wakil pembangkang tetapi juga untuk wakil rakyat penyokong kerajaan, demi kepetingan rakyat, katanya.

“Jelas sekali ada keangkuhan kuasa di sini. Ianya seperti menjatuhkan hukuman mati ke atas demokrasi. Demokrasi telah mati di Dewan ini,” katanya.

Kenyataannya itu dibantah Jagdeep Singh Deo (DAP-Dato Keramat) yang memekik dan meminta Jahara menarik balik kenyataan tersebut.

Namun, memandangkan perkara itu telah disebut oleh Jahara, beliau meminta Dewan menjelaskan sama ada perkara itu boleh diterima.

Perdebatan itu bermula apabila speaker Law Choo Kiang menjelaskan bahawa sesi soalan lisan itu digantung untuk menjimatkan masa.

Tindakan itu tidak akan mengganggu persidangan kerana ia masih dijalankan mengikut peraturan Dewan, katanya.

Perkara itu dibantah oleh Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang berkata alasan tersebut tidak boleh digunakan untuk membatalkan sesi soalan lisan.

"Kita ada banyak masa. Mohon kembalikan sesi itu dalam persidangan ini,” katanya.