Showing posts with label Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts

Friday, November 21, 2014

Daya Produktivi Tinggi Perlu Untuk Maju - Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah

Bismillahhirrahmannirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Saya bersyukur ke hadhrat Allah SWT atas keizinan dan kurniaNya kita dapat berkumpul di Majlis Penyampaian Hadiah bagi Kolej Yayasan Saad pagi ini.  Saya sangat berterima kasih kepada pihak Kolej yang menjemput saya ke Majlis ini yang saya kira satu penghormatan bagi saya. Bidang pendidikan selain bidang ekonomi sangat-sangat menarik minat diri saya; walaupun saya seorang ahli politik, “education is in my blood”, dan kedua-dua bidang ekonomi dan pendidikan adalah penting bagi negara kita untuk maju ke depan dan bagi anak bangsa kita menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

2. Sebagai anak didikan dan pewaris dalam politik kepada Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia kedua dan pengasas Dasar Pendidikan Negara, saya sentiasa mengikuti perkembangan dalam bidang pendidikan, terutama kesannya ke atas pembangunan ekonomi dan masyarakat.  Memang jauh perjalanan kita sejak era Tun Razak, tetapi kebelakangan ini nyata beberapa trend yang mengkhuatirkan saya.  Perkara-perkara ini harus ditangani segera dan dengan bersungguh-sungguh jika kita ingin mencapai status negara maju, sejahtera, adil dan saksama.

Dif-dif yang dihormati sekalian,

3. Sejak merdeka, Kerajaan Malaysia telah banyak berbelanja dalam bidang pendidikan di semua peringkat dari bangku sekolah ke institusi pengajian tinggi.  Belanjawan pendidikan bagi Malaysia sebagai pecahan dari Keluaran Negara Kasar adalah dua kali ganda negara-negara jiran dalam ASEAN, dan lebih tinggi dari Jepun dan Korea Selatan; malah ia standing dengan negara-negara maju dalam kumpulan OECD pada tahun 2011. Dalam tahun 2008, Malaysia ditarafkan tempat ke-16 di antara 102 negara bagi peratusan perbelanjaan kerajaan bagi pendidikan semua peringkat. Bagi tahun 2010, belanjawan pendidikan asas bagi seorang pelajar adalah tertinggi bagi Malaysia dibandingkan dengan negara Chile, Turki, Romania dan Mexico di antara negara-negara yang setara dengannya mengikut ukuran ketarafan kuasa beli [“purchasing power parity”]. Dalam Belanjawan 2015, Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM56.7bilion, iaitu 21 peratus jumlah Belanjawan Kerajaan Persekutuan untuk tahun depan, yang merupakan yang terbesar di antara bidang-bidang belanjawan yang lain. Dari jumlah peruntukan bagi pendidikan, 21 peratus adalah untuk pengajian tinggi.  Sangat nyatalah dari statistik yang diajukan ini bahawa Kerajaan Malaysia memang memberi tekanan kuat terhadap perbelanjaan pendidikan.

4.         Yang malangnya, perbelanjaan pendidikan yang tinggi ini dibandingkan dengan Keluaran Negara Kasar tidak berbaloi, sekurang-kurangnya tidak memberi pulangan terhadap kualiti atau peningkatan penghasilan mutu dalam pendidikan.  Dari segi perbelanjaan per kapita, Malaysia membelanja empat kali ganda untuk pendidikan tinggi berbanding pendidikan rendah dan menengah.  Dari segi pulangan kepada pelaburan, ratio atau dividen pendidikan kerajaan harus memberi tekanan lebih kepada pendidikan rendah dan menengah, terutamanya yang boleh meningkatkan kemahiran. Dengan cara demikian, kedudukan ekonomi negara akan lebih baik jika taraf pendidikan kalangan tenaga kerja negara bertambah tinggi.  Inilah satu-satunya cara untuk menaikkan negara ke taraf ekonomi bergaji tinggi [“high wage economy”], melalui peningkatan produktiviti. Bukan semata-mata mengejar ekonomi berpendapatan tinggi [“high income economy”] untuk mencapai status negara maju.  Ini kerana lebih 85 peratus penduduk Malaysia merupakan orang yang makan gaji, bukan pemilik harta atau bekerja sendiri. “Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), tahap produktiviti pekerja negara ini adalah jauh lebih rendah daripada negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Korea Selatan dan Singapura. Purata pekerja Malaysia mencatatkan nilai produktiviti hanya sebanyak RM43,952 setahun. Berbanding pekerja Amerika Syarikat mengungguli senarai dengan tahap produktiviti sebanyak RM285,558 setahun, diikuti oleh pekerja di Jepun RM229,568 dan Hong Kong RM201,485. Ini bermakna pekerja Malaysia bekerja dalam tempoh yang lebih panjang berbanding negara lain, namun menghasilkan pulangan yang lebih rendah.”  “Hanya 80% dari tenaga kerja seluruh Malaysia mempunyai kelayakan  pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)”.

5. Yang lebih membimbangkan saya ialah kedudukan mutu penghasilan pelajaran negara kita.  Walaupun membelanjakan begitu tinggi per kapita dalam perbelanjaan sektor pendidikan, kita masih ketinggalan mutu atau pencapaian pelajar-pelajar kita dibanding dengan negara yang setaraf dari segi pendapatan atau kuasa beli dengan kita. Sebagai perbandingan, dalam ujian TIMMS (Trends in International Mathematics and Science Study) bagi pencapaian matematik, Malaysia telah jatuh dari 520 dalam tahun 1999 kepada 440 bagi tahun 2011.  Dan dalam TIMMS bidang sains, kedudukan kita telah menurun dari 510 dalam tahun 2003 kepada 426 tahun 2011 - menurun, bukan naik!  Bagi ujian PISA (Programme for International Student Assessment) dalam sains, matematik dan bacaan pula, dalam tahun 2012 negara kita Malaysia berkedudukan bawah dari purata dunia bagi negara yang sama pendapatan negara per kapita.  Jelaslah, walaupun kita banyak membelanjakan wang untuk pendidikan negara, iaitu lebih tinggi dari negara-negara lain setaraf dengan kita, mutu pencapaian negara kita mengikut ujian PISA, satu ukuran antarabangsa, pada puratanya lebih rendah dari apa yang kita harapkan untuk menuju  kepada ekonomi yang berasaskan ilmu [“knowledge based economy”].  Keputusan ini menunjukkan pelajar-pelajar kita yang berumur 15 tahun menampakkan mereka ini berkedudukan 3 tahun lebih ke belakang jika dibandingkan dengan mereka yang umurnya yang sama daripada Singapura, Korea, Cina, Jepun dan termasuk daripada Vietnam yang dahulunya di belakang kita.

6. Dalam ukuran antarabangsa ini, dari jumlah 65 buah negara, kita berada pada tangga ke-59 dalam bacaan, tangga ke-52 bagi matematik, dan ke-53 dalam bidang sains.  Tapi bagi pelajar kita yang di peringkat peratus ke atas, pencapaian kita dalam ketiga-tiga bidang tersebut adalah setanding dengan Korea Selatan dan Jepun. Memandangkan hal ini pada keseluruhannya, tidak hairanlah kerajaan kita perlu menumpukan perhatian yang lebih kritikal dalam hal belanjawan dan kesannya ke atas pencapaian dan mutu pendidikan di negara kita ini. Usaha ini terdapat dalam bentuk Blueprint Transformasi Pendidkan yang telah dilancarkan oleh kerajaan awal tahun ini. Saya berdoa semoga usaha ini berjaya mencapai sasaran demi kepentingan ekonomi dan generasi akan datang. Sehubungan dengan ini, kerajaan perlu mengkhusus bukan saja kepada prasarana yang baik, tetapi juga kepada keberkesanan kurikulum dan proses pengajaran serta pembelajaran, dan kualiti guru-guru yang mengajar anak-anak kita.

7. Cuba kita lihat kepada proses pembelajaran yang sangat penting bagi seseorang pelajar sebab ianya mempengaruhi bagaimana anak-anak murid maju dalam pembelajarannya.  Kita hantar anak-anak kita untuk belajar, tidak ada lain sebab, supaya dia akan disediakan dengan ilmu dan kepandaian untuk berjaya apabila lulus dari persekolahan atau universiti.  Tetapi, sistem pendidikan kita, sama ada di peringkat rendah, menengah atau tinggi, bergantung kuat kepada sistem berasaskan peperiksaan, bukan berasaskan pembelajaran, berasaskan discovery dan pemikiran kritikal. Pembelajaran “rote learning” atau membabi buta sahaja tidak akan membolehkan pelajar untuk meningkatkan daya fikir dan daya penyelesaian masalah [“problem solving”] yang amat penting bagi dunia kerja kelak, dan untuk menjadikan pelajar itu warga yang berfikir, berdisiplin dan bertanggungjawab.  Di sinilah kita, sebagai guru atau ibubapa janganlah mengagungkan sangat pencapaian 13 “A” dalam peperiksaan am seperti PMR dan SPM.  Ini hanya akan menggalakkan “rote learning”, mekanikal dan tidak membuka minda pelajar.  Bagi akhbar-akhbar tempatan, atau di negara mana pun, pencapaian kuantitatif seperti ini bukan “glamorous” lagi!

Dif-dif yang dihormati sekalian,

8. Seperkara lagi yang membimbangkan saya, demi masa depan anak bangsa dan ekonomi negara kita, ialah kedudukan pengangguran di kalangan anak muda dan graduan institusi pengajian tinggi di negara kita dewasa ini.  Di kalangan anak muda berumur antara 15 sehingga 19 tahun, kadar pengangguran ialah 15% dalam tahun 2011, atau 78,000 jumlahnya; dan di kalangan mereka yang berumur 20 ke 24 tahun, kadar penganggurannya 8.5% atau jumlahnya 157,000.  Di kalangan graduan pula, keadaan lebih teruk. Dalam tahun 2013, Bank Dunia telah menganggarkan kadar pengangguran di kalangan graduan telah mencecah 21%; di kalangan pemegang STPM/Diploma purata penganggurannya ialah 13%, di kalangan PMR-SPM/SPMV 10%.  Pengangguran di kalangan anak muda kita adalah antara yang tertinggi di rantau Asia melainkan Indonesia. Tak kiralah keadaan di Eropah lebih buruk.  Tetapi kita tidak harus bersenang hati dengan keadaan ini. Jika ekonomi negara menghadapi krisis, yang kita jangka dalam masa terdekat, masalah pengangguran belia ini sungguh membimbangkan.

9. Yang menjadi isu yang lebih besar dalam hal pengangguran ini ialah taraf kemahiran yang ada pada anak muda ini; apa yang kita keluarkan dari sekolah dan institusi pengajian tinggi kita sekarang semakin kurang menggalakkan jika diambil kira keperluan industri. Mengikut Bank Dunia, dalam Laporan Ekonomi Malaysia 2009, yang menyentuh maklumbalas dari majikan tentang keupayaan pelajar lepasan pengajian menengah dan tinggi, terdapat beberapa konstrain atau kekurangan kemahiran dalam beberapa bidang.   Empat puluh lapan peratus (48%) dari majikan yang dibanci menyatakan kekurangan keupayaan IT di kalangan graduan muda kita, 46% melaporkan kekurangan Bahasa Inggeris, 37% melaporkan kekurangan dalam kebolehan am berkomunikasi, 30% dalam keupayaan kreativiti, dan 28% berkata kekurangan kemahiran teknikal/profesyenal, dan 25% dalam penyelesaian masalah [“problem solving”]. Dalam kajian Talent Corp bagi 2014, didapati 81% majikan melaporkan defisit kemahiran di kalangan graduan baru lepasan universiti negara kita dalam bidang kemahiran komunikasi; 56% dalam pemikiran kritikal dan kreatif; 51% defisit dalam kemahiran analisis; dan 47% mengatakan mereka kurang upaya bekerja secara sendiri atau bebas, tanpa tunjuk ajar.

10.  Yang penting bagi pembuat dasar dari laporan ini ialah tiga perkara yang disimpulkan dari maklumbalas majikan-majikan: satu, kualiti pengajaran di peringkat universiti harus dipertingkatkan supaya graduannya dapat menguasai konsep-konsep yang penting dalam kerja mereka; kedua, kurikulum universiti haruslah diubahsuai supaya lebih tertuju kepada keperluan industri; dan ketiga, universiti dan kolej harus menyediakan latihan industri yang lebih banyak dan berkesan.  Semua penemuan tentang kualiti tenaga manusia ini mempunyai implikasi yang besar terhadap ekonomi negara, dari segi sumbangan produktiviti dan innovasi serta daya saing negara di pasaran dunia. Negara kita tidak akan terlepas dari ‘perangkap negara berpendapatan menengah’ [“middle income trap”] jika perkara berkaitan mutu pendidikan dan tenaga kerja negara tidak dapat diatasi dengan baiknya.

11. Dalam hal ini, saya ingin menekankan isu Bahasa Inggeris dan keupayaan pelajar-pelajar di semua peringkat untuk berkomunikasi dengannya.  Perkara ini tidak boleh diperkecilkan kepentingannya: kita selalu terperangkap dengan emosi sempit apabila berdepan dengan soal ini.  Bahasa Inggeris adalah ‘lingua franca’ ekonomi dunia, tapi mutu pencapaian lulusan tinggi kolej dan universiti kita semakin kurang dibanding dengan negara-negara yang dahulunya terkebelakang dari negara kita.  Ini perlu dipandang serius oleh kerajaan dan rakyat semuanya.  Menekankan pelaksanaan pengajian Bahasa Inggeris bukan semestinya mengurangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.  Semenjak dari Laporan Razak dalam tahun 1956 lagi, Bahasa Inggeris telah ditekankan sebagai bahasa kedua di sekolah-sekolah dan universiti-universiti.  Apa sudah terjadi sampai kita sekarang berhadapan dengan masalah bahasa komunikasi antarabangsa ini?  Banyak kajian telah menunjukkan majikan lebih berkenan dengan graduan yang boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, dan inilah sebabnya mengapa mereka lebih suka mengambil pekerja yang berkeupayaan bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris.  Dalam usaha memperkasakan Sistem Sekolah Kebangsaan kita, saya cadangkan perkara ini ditekankan dari segi kurikulum, dan kaedah pengajaran dan pembelajaran.  Malah saya sarankan, pihak berkuasa mengkaji samada bahasa-bahasa lain seperti Mandarin, Perancis, Jepun, Arab dan Tamil juga ditekankan sebagai bahasa pilihan untuk meningkatkan lagi nilai ekonomi pelajar kita untuk kita bersaing dan berhubungan di pasaran dunia.

Dif-dif yang dihormati sekalian,

12. Pendidikan adalah amat penting dalam memupuk perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama; dalam meningkatkan nilai-tambah untuk pembangunan ekonomi negara; dalam penambahan dan pembesaran kelas menengah melalui mobiliti sosial dan mewujudkan pembangunan yang lebih inklusif dan adil; dan dalam mengembangkan tamadun negara bangsa. Semua kita, pemimpin, pemerintah, guru, ibubapa dan anak-anak pelajar kita boleh memainkan peranan masing-masing dalam usaha besar ini.



Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



Ucapan Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah
Sempena Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah ke-19 Kolej Yayasan Saad Melaka
Pada Hari Sabtu, 15hb November 2014, Jam 9.30 Pagi
Bertempat Di Kolej Yayasan Saad, Ayer Keroh, Melaka.

Friday, January 3, 2014

Konsep, Falsafah dan Objektif Pendidikan

Dalam Kamus Dewan, pendidikan ialah kata nama terbitan daripada kata akar “didik” yang membawa maksud jaga, pelihara, dan ajar. Perkataan “pendidikan”  juga bersinonim dengan ajaran, latihan, tarbiah, pelajaran, bimbingan, asuhan, dan tunjuk ajar (DBP, 2007:350). 

Dalam Bahasa Inggeris, pendidikan disebut  sebagai education (Simpson & Weiner, 1989:74), yang dikatakan berasal daripada cantuman dua kalimah dalam bahasa Latin, iaitu e’ex dan ducereduc bererti “memimpin”; yang dapat diinterpretasikan pula sebagai mengumpul maklumat  ke dalam diri bagi membentuk bakat (Ishak, 1995:4-5). 

Dalam Bahasa Arab, terdapat beberapa kalimah yang merujuk kepada  pendidikan. Mengikut Syed Muhammad Naquib al-Attas (1979:2-4) dan  Rosnani Hashim (2006:6), antara kalimah yang selalu digunakan ialah seperti  berikut: 

Pertama, Tarbiyyah. Kalimah ini berasal daripada kata dasar rabba, bermaksud mengasuh, memelihara, atau memimpin. Ia juga merujuk kepada proses perkembangan potensi individu, mengasuh, atau mendidik untuk  menuju kepada satu keadaan yang selesa dan matang (Halsted, 2004:522). 

Kedua, Ta’lim. Kalimah ini berasal daripada konotasi ‘alima, bermaksud  mengetahui, memberitahu, melihat, mencerap, atau menanggap. Ia juga  merujuk kepada proses menyampaikan atau menerima ilmu pengetahuan  yang kebiasaannya didapati melalui latihan, arahan, tunjuk ajar, atau lain-lain  bentuk pengajaran (Halsted, 2004:522). 

Ketiga, Ta’dib. Kalimah ini berasal daripada aduba, bermaksud memperhalusi,  berdisiplin, dan berbudaya. Ia juga merujuk kepada proses pembinaan watak  dan pengajaran asas-asas penting untuk hidup bermasyarakat, ini termasuklah memahami dan menerima prinsip yang paling asas sekali, iaitu keadilan  (Naquib al-Attas, 1979:2-4; dan Halsted, 2004:522). 

Jelasnya, pendidikan Islam dijadikan sebagai satu proses mengasuh dan mendidik, membela, melatih, menyucikan, membaikkan, mengawal hawa nafsu,  membentuk ketaatan kepada Allah SWT (Subhanahu Wa-Ta’ala), membentuk  sikap sopan dan beradab (mempunyai akhlak yang baik), dan memadamkan semua sifat tercela yang ada dalam diri manusia. 

Semua definisi ini memberikan  kefahaman bahawa hampir keseluruhan pendidikan yang dikehendaki dalam  Islam ialah merujuk kepada pendidikan rohani manusia selaku hamba Allah  SWT di muka bumi ini bagi memancarkan kejernihan akhlak dan budi pekerti  yang tinggi, selain untuk perkembangan ilmu pengetahuan itu sendiri yang  merupakan medium yang amat penting dalam membangunkan ketamadunan manusia yang hidup di dunia ini.  

Sehubungan itu, ahli-ahli pendidikan umumnya telah memberikan pelbagai definisi berkaitan dengan konsep pendidikan. Menurut Omar Mohd Hashim, dalam ucapannya semasa Kongres Pendidikan Negara yang berlangsung pada 17 Mac 1988, beliau telah mendefinisikan “pendidikan” sebagai pemindahan sesuatu jenis atau kumpulan kemahiran atau pengetahuan daripada seorang  guru kepada murid-muridnya. 

Menurut Hamid Reza Alavi (2008:5), dengan memetik pandangan daripada Hills, “pendidikan” adalah satu proses pembelajaran yang bertujuan untuk memperlengkapkan manusia dengan pengetahuan dan kemahiran yang membolehkan mereka hidup dalam keselesaan. 

Selain itu, tokoh-tokoh falsafah Yunani juga tidak ketinggalan dalam membicarakan berkenaan dengan pendidikan. Menurut Aristotle, yang dipetik daripada Rosnani Hashim (2006), pendidikan ialah pemupukan tabiat-tabiat atau virtues terbaik yang apabila telah dihayati akan menjadikan seseorang itu  sentiasa melakukan yang terbaik. Tambahnya lagi, tabiat yang paling baik ialah  penggunaan akal untuk menaakul atau berfikir. Justeru, pendidikan merupakan satu usaha untuk merealisasikan seoptimum mungkin segala potensi kebaikan yang dimiliki oleh manusia (Hashim, 2006:7). 

Manakala menurut Plato, seorang ahli falsafah dan pendidikan Greek purba, telah mentakrifkan pendidikan  sebagai suatu latihan jasmani dan rohani bagi mencapai kecantikan dan kesempurnaan (dipetik oleh Ishak, 1995:9). 

Ahli-ahli pendidikan Barat pada zaman moden ini juga banyak memberikan  pandangan mereka mengenai konsep pendidikan. Antara mereka ialah Mouly yang mentakrifkan pendidikan sebagai satu proses yang dapat menyesuaikan individu dengan kehidupan sosial, undang-undang, kepercayaan, agama, dan  situasi masyarakat dari satu generasi kepada generasi berikutnya. Pendidikan  juga ditakrifkan sebagai seni atau proses memperoleh ilmu pengetahuan serta tabiat menerusi tunjuk ajar (dipetik oleh Ishak, 1995:9). 

Menurut John Dewey (1930:12) pula, seorang ahli falsafah dan pendidikan di Amerika Syarikat, telah mentakrifkan pendidikan sebagai proses bagi membentuk kecenderungan asasi yang berupa kepercayaan dan perasaan terhadap alam sejagat dan sesama  manusia. Beliau juga mentakrifkan pendidikan sebagai satu proses mengatur dan menambah ilmu pengetahuan yang dimiliki supaya dapat hidup dengan selamat. 

Menurut Stuart Mill, yang dipetik oleh Abdullah Ishak (1995:5), menyatakan bahawa pendidikan bukan sahaja mengandungi erti bagi sesuatu yang kita  lakukan untuk diri kita dan sesuatu yang dilakukan oleh orang lain terhadap kita, yang motifnya untuk memandu kita ke arah yang lebih hampir kepada kesempurnaan fitrah, bahkan untuk memahami daya usaha yang terdapat  pada bakat dan watak seseorang. 

Menurut Home pula, yang dipetik juga oleh  Abdullah Ishak (1995:5), menyatakan bahawa pendidikan ialah suatu proses yang abadi bagi menyesuaikan diri manusia dengan kehidupan, ketahanan, dan kematangan jasmani serta akal fikiran. Pendidikan juga merupakan proses pembelajaran sepanjang masa yang bermula ketika dilahirkan dan berakhir ketika kita mati. 

Ia bermaksud, setiap masa sedar yang digunakan seseorang memperolehi, menganalisis, dan menyerap pengetahuan. 

Menurut Hassan Langgulung: Bahawa pendidikan, sebagai pengembangan potensi, dapat diumpamakan seperti pertumbuhan dan perkembangan bunga-bunga, di mana potensi-potensi tersembunyi yang ada pada benih, berkembang menjadi bunga yang matang dan mekar. Sebagai bandingannya, kanak-kanak itu ialah benih di mana terdapat potensi-potensi yang masih tersembunyi dan tidak nampak; guru adalah tukang kebun yang menerusi kemesraan dan pemeliharaannya yang cermat dapat membuka potensi-potensi yang tersembunyi ini; dan pendidikan adalah proses mengajar-berkebun yang dengan itu kebolehan-kebolehan yang tidak nampak menjadi nampak, melalui pilihan dan penggunaan yang bijak terhadap baja yang sesuai (Langgulung, 2001:18-19). 

Dalam konteks Islam pula, pendidikan merupakan satu pelajaran atau pendidikan bagi kognitif, fizikal, dan roh untuk melahirkan insan yang berperikemanusiaan. Definisi falsafah ini menumpu kepada pembentukan individu seseorang hingga menjadi seorang manusia yang benar-benar sempurna, bukan sahaja dari segi pertambahan ilmu bahkan dari segi pembentukan akhlak dan rohani (Ahmad, 1975:6). 

Manakala menurut H.M Chabib Thoha (1996: 3), pendidikan Islam adalah pendidikan yang falsafah dan tujuan serta teori-teorinya dibangun untuk melaksanakan praktik pendidikan yang didasarkan kepada nilai-nilai Islam yang terkandung dalam Al-Qur’an dan  Hadis Nabi. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1992:xvi-xvii) pula memberikan pengertian bahawa pendidikan Islam adalah usaha yang dilakukan oleh pendidik terhadap anak didik untuk pengenalan dan pengakuan tempat-tempat yang benar dari segala sesuatu dari aturan penciptaan sehingga membimbing mereka ke arah kebaikan.

Berdasarkan penerangan di atas dapat disimpulkan bahawa pendidikan merupakan satu proses dan usaha yang praktikal untuk menghasilkan sesuatu, mengubah pandangan, atau cara berfikir, yang seterusnya membawa kepada paradigma atau perubahan dalam tingkah-laku seseorang. Pendidikan merupakan proses yang berlaku secara berterusan kerana ia bukan hanya boleh didapati di dalam kelas-kelas pengajian sahaja, bahkan boleh diperolehi daripada pengalaman, pemerhatian, penggunaan akal rasional, autoriti, dan ilham; manakala dalam konteks Islam, sumber yang paling asas untuk pendidikan adalah diperolehi daripada Al-Qur’an dan Al-Sunnah.

Walau bagaimanapun, Islam tidaklah melihat pendidikan dari skop yang sempit; ia tidak terbatas kepada pendidikan duniawi semata-mata, bahkan meliputi dua lapangan, iaitu di dunia dan di akhirat. Dalam konteks ini, Ibn Khaldun (2000: 549-551) telah membahagikan ilmu kepada dua bahagian yang utama. 

Pertama, ilmu yang berbentuk fardhu ‘ain yang dituntut ke atas setiap orang supaya mengetahui dan mempelajarinya dalam melaksanakan tuntutan agama seperti ilmu tauhid, fiqh, akhlak, akidah, dan sebagainya. 

Kedua, ilmu yang berbentuk fardhu kifayah iaitu ilmu yang mesti ada pada sekumpulan orang dalam masyarakat tanpa melihat kepada individu tertentu seperti ilmu pertukangan, kemahiran, perniagaan, kedoktoran, ekonomi, fizik, astronomi, dan sebagainya yang boleh mandatangkan manfaat kepada manusia. Ini membuktikan bahawa agama Islam tidak mementingkan pencapaian intelektual yang tinggi semata-mata, bahkan perlu dilengkapi dengan kefahaman yang jelas mengenai agama Islam itu sendiri bagi menghasilkan manusia yang cemerlang di dunia mahupun di akhirat.

Di sini juga dapat disimpulkan bahawa tiga perkara penting yang boleh digarap dari beberapa definisi pendidikan di atas ialah: pertama, pendidikan Islam menyangkut aspek jasmani dan rohani yang merupakan dua elemen penting yang tidak boleh dipisahkan. Oleh yang demikian, pembinaan terhadap kedua-dua aspek tersebut haruslah seimbang dan tidak boleh berat sebelah. Kedua, pendidikan Islam dinilai berdasarkan konsep yang wujud pada nilai-nilai agama. Ini bermaksud, pendidikan Islam tidak mengabaikan agama sebagai sumber ilmu itu sendiri, yakni ilmu yang berpaksikan kepada Allah SWT. Ketiga, dalam pendidikan Islam wujud unsur ketaqwaan sebagai matlamat yang harus dicapai. Seperti yang telah kita ketahui bahawa taqwa merupakan benteng yang dapat berfungsi sebagai daya tangkal terhadap pengaruh-pengaruh negatif yang datang dari luar dan boleh merosakkan nilai keagamaan yang ada pada diri seseorang ataupun masyarakat.

Tuesday, April 10, 2012

Latarbelakang Sistem Pendidikan di Malaysia - Sejarah Awal Semasa British

Sebelum kedatangan pihak British ke Tanah Melayu, sistem pendidikan orang Melayu adalah berlandaskan kepada pelajaran agama Islam, iaitu kitab suci Al-Quran. Mereka ketika itu menjadikan surau dan masjid sebagai tempat untuk menuntut ilmu dengan mengkaji ayat-ayat kitab Al-Quran. Pelajaran yang diperolehi ketika itu melalui dengan menghafal ayat-ayat Al-Quran, menghafal doa, dan mempelajari mengenai ajaran Islam dengan merujuk kepada imam dan para guru agama.

Pada ketika itu, sistem pemerintahan yang dijalankan adalah pemerintahan beraja. Jadi, tidak timbul masalah berkenaan dengan perebutan kuasa untuk memerintah. Pendidikan yang penting pada ketika itu ialah pendidikan Islam di mana yang mula berkembang dengan kewujudan sekolah-sekolah pondok dan madrasah sebagai tempat mendapat pendidikan Islam.

Menurut Wilkinson, murid di pondok mula belajar perkataan-perkataan Arab dan selepas sudah menguasainya, mereka akan terus mempelajari dengan cara menghafal huruf abjad Arab supaya menjadi sebagai panduan membaca doa dan teks Arab (dalam Mok Soon Sang, 2000:1-2).

Sewaktu zaman penjajahan British, mereka telah melaksanakan sistem pendidikan yang berteraskan pendidikan Inggeris, di mana sekolah-sekolah aliran Inggeris ini mengajar mata pelajaran dalam bahasa Inggeris. Hal demikian memberi cabaran dan halangan terhadap bangsa Melayu ketika itu kerana majoriti masyarakat Melayu tidak mahir untuk menggunakan bahasa Inggeris dengan baik. Hal ini pula ditambah dengan dasar yang dibuat oleh pihak British untuk menyekat kemasukan pelajar-pelajar Melayu untuk belajar di sekolah Inggeris kerana mereka bimbang jika orang-orang Melayu belajar dengan pandai, ia akan membuat kedudukan Inggeris tergugat (Sufean Hussin, 2002:129).

Hanya pelajar-pelajar Melayu yang terdiri dari kelas atasan sahaja yang diberi peluang untuk belajar di sekolah Inggeris. Pada zaman penjajahan ini, dasar pendidikan – terutama sistem persekolahan – tidak menghasilkan keberkesanan yang positif, terutama untuk perpaduan dan pelaksanaannya mempunyai banyak kelemahan kerana British hanya mementingkan keuntungan ekonomi dan kedudukan sendiri sahaja (Ibrahim Saad, 1986). Semasa penjajahan British, pihak Inggeris juga telah mewujudkan sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina, dan sekolah vernakular Tamil (Shahril @ Charil Marzuki & Habib Mat Som, 1999:3-7).

Kewujudan sekolah vernakular telah menyebabkan masyarakat Melayu, Cina, dan India dipisahkan mengikut sistem persekolahan; dan menyebabkan hubungan mereka semakin renggang. Sekolah vernakular Melayu, Cina, dan India mempunyai kepentingan tersendiri, terutama untuk kaum tertentu, iaitu sekolah Melayu untuk kepentingan orang Melayu, sekolah Cina untuk kepentingan orang Cina, dan sekolah Tamil untuk kepentingan orang India.

Tetapi British tidak memainkan peranan dengan adil, terutama dari segi layanan yang setaraf kepada semua bangsa. Contohnya, sekolah vernakular Melayu dan Tamil hanya terhad untuk sekolah rendah sahaja, manakala sekolah vernakular Cina mendapat keistimewaan melalui sekolah rendah (6 tahun), junior middle (3 tahun), dan senior middle (3 tahun). Lulusan untuk sekolah Melayu hanya setakat memenuhi keperluan tenaga manusia yang paling rendah.

Laporan Barnes 1950 telah menjadi penggerak perubahan kedudukan pendidikan orang Melayu kerana telah bangkit kesedaran semangat nasionalisme selepas tamat Perang Dunia II pada tahun 1946 (Shahril @ Charil Marzuki & Habib Mat Som, 1999:9). Mengikut laporan Barnes 1950, kewujudan sekolah vernakular tidak menyumbang ke arah perpaduan kaum, di mana antara syor Jawatankuasa Barnes adalah sekolah-sekolah vernakular Melayu, Cina, dan Tamil hendaklah dibubarkan dan digantikan dengan satu jenis sekolah sahaja, iaitu sekolah kebangsaan.

Tetapi masyarakat Cina merasa kedudukan mereka tergugat dan atas desakan kaum mereka sendiri, juga kerana terhasilnya Laporan Fenn-Wu 1951, berusaha dan bertujuan untuk mempertahankan kedudukan pendidikan masyarakat Cina. Perubahan pendidikan sentiasa berlaku ketika itu kerana kehendak rakyat perlu dipenuhi bagi menjamin perpaduan dan kesejahteraan negara.

Ordinan Pelajaran 1952 telah ditubuhkan, impak daripada hala tuju Laporan Barnes 1950 dan Laporan Fenn-Wu 1951 yang berlainan matlamat untuk dicapai. Maka, singkat kata, kesan daripada sistem pendidikan penjajahan British itu adalah wujudnya: (1) Sekolah Pondok dan Madrasah, (2) Sekolah Vernakular Melayu, (3) Sekolah Vernakular Cina, (4) Sekolah Vernakular Tamil, dan (5) Sekolah Inggeris.