Tuesday, April 23, 2019

Amanat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan)

22 April 2019: 9am -12pm. YBhg Prof Madya Dr Mohd Fozi Ali Menyampaikan amanat beliau  kepada kakitangan Pejabat Pembangunan Infrastruktur & Infostruktur (PPII) Shah Alam dan Ketua2-ketua cawangan sejajar dengan halatuju UiTM bertemakan "Melonjak Profil Global UiTM " -Peranan PPII dan seterusnya melancarkan eProjek, eRuang, Dasar ICT (DICT) & Dasar Keselamatan ICT(DKICT) UiTM. Amanat ini mencipta sejarahnya tersendiri kerana buat julung kalinya UiTM mewujudkan jawatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) di UiTM pada 15 November 2018 dimana Prof Madya Dr Mohd Fozi Ali adalah individu pertama yang dilantik ke jawatan tersebut.

Memulakan amanat beliau, beliau menegaskan bahawa Manusia yang dicipta oleh Allah S.W.T sebagai khalifah atau pemimpin di muka bumi ini mempunyai berbagai keistimewaan dan kelebihan berbanding dengan makhluk-makhluk lain. Kelebihan dan keistimewaan ini ialah kerana manusia dikurniakan akal. Akal fikiranlah yang membezakan secara kualitatif, di antara manusia dan haiwan. Akal atau minda adalah sumber ilmu intelek (intellectual knowledge) yang menghasilkan pengetahuan melalui proses pemikiran dan pentaakulan minda (akal). Akal adalah tempat bersemadinya kearifan dan kebijaksanaan (hikmah). Akal adalah merupakan kurniaan Allah S.W.T. yang sangat berharga kepada hambaNya. Melaluinya manusia boleh membuat pentaakulan (rationalize), membentuk konsep (conceptualize), dapat memahami (comprehend) dan sebagainya. Untuk memiliki sifat ‘hikmah’ (wisdom), seseorang perlulah menjalani latihan penajaman minda dan pendidikan pembersihan akal.

Di samping dikaitkan dengan otak, hikmah juga dikaitkan dengan ‘qalbu’ manusia. Qalbu adalah sumber ilmu yang menghasilkan pengetahuan melalui ilham, taufiq dan hidayah (bisikan suara hati dan suara qalbu). Pemberian Allah S.W.T. kepada seseorang kerana bersihnya hati yang dimiliki. Hati mempunyai keupayaan pentaakulan dan daya faham seperti kemampuan akal, boleh mengesani dan menemui kebenaran. Pengetahuan yang diperolehi melalui mata hati dapat membezakan yang benar dari yang palsu, yang betul dari yang salah, kebaikan dari keburukan. Untuk memperolehi pengetahuan bersumberkan hati, seseorang itu perlu mempunyai qalbu yang suci dan ini dapat dicapai melalui latihan penyucian qalbu (purification of the heart). Sekiranya manusia dapat menggunakan akal dan qalbunya dalam mengeluarkan buah fikiran, maka ia dikira sebagai telah menggunakan akalnya dengan bijak.

Tiga perkara yang perlu dilakukan secara konsisten supaya kita sentiasa berada dilandasan yang betul ialah istiqamah dengan solat, membaca dan menghayati Al Quran dan mengingati kematian. 

Dalam amanat yang disampaikan oleh beliau kepada semua warga Pejabat Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur (PPII) beliau menekankan betapa pentingnya peranan PPII  dalam mengkoordinasi keseluruhan usaha berkaitan merancang, rekaan dan pengurusan bangunan termasuk sistem ICT, peralatan dan perabot untuk meningkatkan keupayaan universiti bagi bersaing dalam perubahan dunia yang pesat. Beliau akan melaksanakan satu pendekatan bersepadu kepada operasi, selenggaraan, peningkatan dan penyesuaian bangunan, infrastruktur dan infostruktur universiti dengan tujuan mewujudkan satu persekitaran yang kuat menyokong objektif utama dan hala tuju universiti.

Pada masa kini, skop peranan PPII merangkumi keseluruhan aktiviti pengurusan fasiliti termasuk pengurusan harta tanah, kesihatan dan keselamatan, pengurusan kontrak, pengurusan sumber manusia, bangunan dan penyelenggaraan, perkhidmatan domestik dan bekalan utiliti. Selain daripada itu, PPII dilihat sebagai fungsi strategik dan membawa peningkatan yang positif dan kejayaan organisasi. Perkhidmatan PPII diyakini sebagai sumber kejayaan universiti dan boleh juga berlaku sebaliknya jika tidak dikoordinasi dengan betul. 

Bagi memberi perkhidmatan yang baik di dalam penyelenggaraan bangunan maka pihak pengurusan bangunan yang di dalam hal ini diketuai sebagai pengurus fasiliti mestilah seorang yang tahu peranannya dan kompeten. Seseorang pengurus perlu berfikir dengan baik dan lakukan tugas dengan cemerlang, dia mestilah faham peranannya dengan jelas dalam kata lain, tidak kabur tentang bidang tugasannya. seseorang pengurus harus mempunyai kompetensi di bidang yang berkaitan, ia bertujuan untuk mengembangkan kemahiran, melaksanakan tugas dan membuat sesuatu keputusan mengikut bidang yang dipertanggungjawabkan. Peranan bermaksud fungsi atau posisi yang perlu dijalankan oleh seseorang pengurus manakala kompetensi yang dimaksudkan adalah pengetahuan, kemahiran, kebolehan, dan perlakuan yang membolehkan seseorang melaksanakan tugasnya dalam satu-satu profesion.

Fungsi utama penyelenggaraan bangunan bukan hanya untuk memastikan bangunan, sistem atau peralatan beroperasi pada kecekapan yang maksimum tetapi juga bagi memastikan bangunan sentiasa memenuhi keperluan penghuni dan perundangan seperti berikut:-

i) Memastikan bangunan dalam keadaan selamat.
ii) Memastikan bangunan adalah kondusif.
iii) Memastikan bangunan berkebolehan untuk digunakan.
iv) Memastikan bangunan memenuhi semua keperluan undang-undang.
v) Mengekalkan nilai fizikal aset bagi pelaburan bangunan.
vi) Mengekalkan kualiti bangunan.

Dua elemen utama yang perlu diambil perhatian bagi perancangan strategi penyelenggaraan bangunan adalah:-

 i) Kualiti
ii) Keselamatan dan kesihatan