Wednesday, May 27, 2009

Kursus & Bengkel Pengurusan Mahasiswa Non-Resident (NR)

Pada hari ini dan esok saya menghadiri kursus dan bengkel pemantapan pengurusan mahasiswa non-resident di Bilik Seminar Kolej Melati, UiTM, Shah Alam. Kursus dan bengkel ini dihadiri oleh semua Pegawai Pembangunan Pelajar (PPP) daripada seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Objektif utama bengkel ini ialah untuk memantapkan lagi pengurusan mahasiswa NR diseluruh sistem UiTM.

Tuan Bahrain Rahim, pegawai daripada Unit Keselamatan UiTM semasa menyampaikan ceramah beliau bertajuk "Prosedur Penyiasatan - Kes Civil dan Jenayah" membuka minda saya tentang teknik menjalankan penyiasatan terhadap sesuatu kes civil dan jenayah. Beliau adalah bekas anggota polis, kini beliau berkhidmat dengan UiTM dan kepakaran beliau ialah menjalankan penyiasatan kes jenayah berat . Prinsip asas dalam menjalankan penyiasatan jelas beliau, perlu menjawab semua soalan ini berikut "a) Apa yang terjadi b) Bila perkara tersebut terjadi c) Dimanakah perkara tersebut terjadi d) Mengapa perkara itu terjadi e) Siapa yang terlibat ditempat yang terjadi dan f) Bagaimana perkara tersebut terjadi" dengan tepat dan betul berdasarkan fakta ditempat kejadian. "Kita perlu mempunyai ilmu menipu untuk melawan penipu" tambah beliau lagi.

Ustaz Sharom Maarof, Ketua Seksyen Tindakan Khas, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semasa menyampaikan ceramah bertajuk "Pencegahan dan Penguatkuasaan Jenayah Syariah" menyatakan bahawa Undang-Undang Jenayah Syariah adalah bertujuan untuk mendidik bukan menghukum. "Dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung, tidak kira dimana anda bermula, yang penting dimana anda berakhir" tambah beliau lagi, adalah satu kejayaan besar bagi JAIS, jika Orang Yang Bersalah (OYB) menyesal dengan kesalahannya dan bertaubat, memohon ampun kepada Allah dan menjadi orang islam sejati selepas kejadian tersebut.

Diantara contoh-contoh kesalahan Jenayah Syariah yang kerap berlaku ialah a) Pemujaan Salah b) Mengeluarkan pendapat bertentangan dengan fatwa c) Berjudi d) minum minuman keras e) persetubuhan luar nikah f) Persediaan melakukan persetubuhan luar nikah g) berkhawat h) lelaki berlagak seperti perempuan i) Perbuatan tidak sopan ditempat awam.