Saturday, April 6, 2019

Mana Manis Keledek Cilembu atau Keledek Jepun oleh YB Husam Musa

Mana Manis Keledek Cilembu atau Keledek Jepun?

Keledek Jepun atau Japanese Sweet Potato semakin mendapat tempat bagi pengguna Malaysia. Di kebanyakan pasar raya besar, terjual ubi keledek ini dengan harga yang jauh lebih lumayan.

Pasaraya Jaya Grocer mengiklankan harga se kg ubi ini pada RM22. Keledek kita, disebut  berharga  RM2.50 sekilogram di pasaran!

Jepun dianggarkan mengeluarkan 860,000 metrik tan Keledek Manis Jepun setiap tahun, dengan harga purata USD 9 se kg di pasaran dunia.

Pengeluaran Malaysia, mengikut statistik Jabatan Pertanian, adalah sekitar 50,000 tan keledek biasa. Bukan Keledek Manis Jepun.

Dengan jumlah pengeluaran itu, Jepun menduduki tempat ke 12 dalam ranking eksport keledek dunia.

Japanese Sweet Potato atau nama Jepunnya Satsuma-Imo, mendapat nama kerana rasanya luar biasa manis dan textur fiber atau serat yang lembut dan halus.

Bagaimana Jepun boleh menghasilkan ubi berkualiti dunia ini?

Saya terbaca sebuah buku yang mendakwa benih asal Satsuma-Imo  adalah dari Cilembu, Bandung, Indonesia! Bukan asal Jepun pun.

Wah! Ini sudah lebih!

Ia dibawa pulang ke Jepun oleh seorang tentera Jepun yang bertugas di Bandung semasa Perang Dunia Kedua. Ia kemudian ditanam di Jepun dan dikembangkan. Dengan kuasa perdagangan Jepun yang meluas, ubi itu masuk ke periuk atau oven kita di Malaysia. Menjadi makanan istimewa di restauran ternama. Enak sekali dimakan dengan daging steak.

Malangnya, ubi ini hanya menembu pasaran kita tetapi tidak ke kebun dan ladang-ladang kita.

Mungkin dengan anggapan, kita tidak mampu meniru mutu Jepun, sekalipun hanya keledek.

Sesiapa yang pernah melintasi Kampung Cilembu, Sumedang, Bandung, Jawa Barat Indonesia - sudah pasti terpandang gerai-gerai ubi keledek dan ubi kayu sepanjang jalan. Tapai ubi kayu tergantung di palang gerai, isinya kental dan rasanya sangat manis.

Di atas gerai pula, longgokan ubi keledek dua warna kulitnya. Merah perang dan kekuningan pucat. Ada yang mentah, dan tersedia juga yang sudah dipanggang dan boleh segera dimakan. Berduyun kereta berhenti di tepi jalan kerana singgah menikmati Ubi Cilembu asli.

Ubi Cilembu panggang dengan jelas menunjukkan jalur  dan tompok seakan gula melaka cair atau madu terdapat di dalam isi ubi ini.

Kali pertama saya menemuinya, saya menyangka ubi ini  dimasukkan air manisan. Rupanya, ia adalah kemanisan asli ubi ini dan perubahan isinya selepas dipanggang.

Ia dianggap ubi keledek termanis di dunia! Jauh lebih manis dari Japanese Sweet Potato.

Enaknya tidak tertandingkan. 

Tetapi apakan daya. Nasib Ubi Cilembu tidak seberuntung keturunannya yang tumbuh di Jepun. Selain rasa yang lebih isitimewa, sejarahnya juga lebih tua. Ia sudah dikenali sejak zaman Belanda, se awal 1914.

Selain itu, ubi yang juga dikenali sebagai Ubi Madu Cilembu, tidak pun dikenali oleh kebanyakan pengguna negara kita. Ia jauh ketinggalan dari cucu cicit bakanya Satsuma-Imo di pentas dunia.

Ini sudah tentu tidak adil. Tetapi kekuatan pasaran, promosi dan daya profesionalisma yang berbeza memberikan nasib yang berbeza.

Lalu, di mana kedudukan pekebun kita dalam isu ini?

Saya tertarik dengan penemuan oleh  Agustina Monalisa Tangapo menerusi kajian untuk tesis Phd beliau di  Institut Teknologi Bandung (ITB).

Rahsia kemanisan Ubi Madu Cilembu terletak pada MIKROBES!

Tesis bertajuk ‘Dinamika Populasi Bakteri Rhizosfer dan Endofit Pada Budidaya Ubi Jalar Cilembu’  berjaya merungkai misteri kemanisan madu sebuah ubi.

Dengan kuasa Allah, bakteria RIZOSFERA dan ENDOFIT yang kaya di bumi Cilembu telah bekerja secara senyap memberikan rezki kemanisan ubi yang luar biasa itu.

Mengikut Dr Augustina, jika bakteria ini dikembang biakkan di bumi yang lain juga, kemanisan Ubi Madu Cilembu tetap terhasil.

Mikrobes ini nampaknya perlu dihijrahkan segera ke Malaysia, khususnya Bacok, Kelantan untuk muncul  sebagai Jelapang Keledek Madu Malaysia pada masa akan datang!

Kita menunggu, siapa cepat.

Husam Musa
Sabtu, 6 April 2019