Wednesday, March 27, 2019

Program Hari Kecemerlangan Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah (PPKKS), Selangor dan Majlis Perasmian Program Semangat Negaraku 2019


Pada hari ini saya mewakili Kolej Delima UiTM Shah Alam menghadiri program  Hari Kecemerlangan Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah (PPKKS), Selangor  dan Majlis Perasmian Program Semangat Negaraku 2019 yang dilakukan oleh Tuan Hj. Mohamad Hanafi Maulud, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor. 



Dalam ucapan beliau ketika merasmikan program tersebut beliau mengucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan kepada UiTM umumnya dan Kolej Kediaman Delima khasnya kerana melaksanakan program pendidikan, ekonomi dan motivasi di PPKKS. Dalam majlis ini juga, SRK Kolej Kediaman Delima merangkap Ahli Lembaga Pelawat PPKKS dianugerahkan sebagai ahli lembaga pelawat cemerlang 2018. Disepanjang program berlangsung hadirin dihiburkan oleh penari daripada sekolah kebangsaan seksyen 16 Shah Alam.

En. Adi menerima sijil Ahli Lembaga Pelawat Cemerlang 2018 daripada Pengarah Kebajikan Masyarakat Selangor.

Pasukan Kompang yang dianggotai oleh penghuni PPKKS


Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah (PPKKS) mempunyai sejarah yang panjang, bermula pada tahun 1946, selepas perang dunia kedua, sebuah pertubuhan sukarela bernama Tabung Penjagaan Kanak-Kanak (Children Care Fund) yang beribu pejabat di Great Britain tiba di negara ini untuk memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak terbiar, anak yatim dan anak miskin. Menjelang 25 September 1946, pertubuhan ini dengan persetujuan British telah mengambilalih bangunan lama Hospital Daerah Serendah dan menjadikannya sebagai Sekolah Budak Laki-Laki Serendah. Penghuni pertama sekolah ini ialah seramai 32 orang kanak-kanak. Pentadbiran sekolah dipimpin oleh Puan H.B. Bibby. 

Setahun kemudian, pada tahun 1947, Mr. Alan Adam mengantikan Puan H.B Bibby dan telah dilantik menjadi Penguasa sekolah Budak Laki-Laki Serendah. Beliau telah mempergiatkan aktiviti di sekolah ini dengan memperkenalkan program akademik, latihan pertanian dan ternakan, tukang kayu dan motor mekanik. 

Pada tahun 1950 sebuah Akta Rumah Kanak-Kanak Serendah 1950 diwujudkan dan institusi ini diwartakan sebagai tempat penjagaan dan perlindungan. Nama sekolah ini ditukar kepada Rumah Budak Laki-Laki Serendah dan Jemaah Lembaga Pengurus dilantik untuk membantu Penguasa. Pada tahun 1950, Pertubuhan Tabung Penjagaan Kanak-Kanak Great Britain menyerahkan pentadbiran kepada kerajaan ketika itu dan kemudiannya melatik sebuah badan keagamaan iaitu Brotherhood of St. Gaberial untuk mentadbir mulai 16 Januari 1957. 

Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, kerajaan dengan rasminya pada 1 Oktober 1959 meletakkan pentadbiran institusi ini di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Encik Abdullah Malim Baginda telah dilantik sebagai Penguasanya. Pada 1 September 1982, institusi ini ditukar nama baru iaitu Rumah Budak Laki-Laki Tan Sri Abdul Hamid Khan, Serendah. Pada 23 Oktober 1996, Yg Berhormat Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat telah menukar nama institusi ini kepada Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah (PPKK Serendah). Ini kerana institusi ini adalah satu tempat selamat di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 (Akta 468) dan aktiviti yang dijalankan di insitutsi ini telah berubah mengikut arus kemajuan. 

Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah (PPKKS) berupaya menampung seramai 120 orang kanak-kanak. Penghuni PPKKS adalah terdiri daripada mereka yang memerlukan perlindungan di bawah Seksyen 30(1) Akta Kanak-Kanak 2002.

Kolej Kediaman Delima UiTM telah menjalankan pelbagai aktiviti di sini sejak awal tahun 2018, diantara program yang dilaksanakan ialah menyiapkan Rumah Budaya Kolej Kediaman Delima - PPKKS dimana aktiviti mencanting batik dilakukan disini. Projek ini telah mengetengahkan keperluan dan kepentingan aktiviti berunsurkan patriotisme, kesenian, kebudayaan, pertanian dan keusahawanan ke arah pembangunan anak-anak di pusat latihan tersebut. Tiga sub-projek utama yang dijalankan memfokuskan kepada modul Sayangi Malaysiaku, Projek Mural, Pembinaan Rumah Budaya (Projek Batik), PPKKS Little Athenaeum dan Taman Hidroponik.