Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar
MACHANG -  Universiti Teknologi Mara (UiTM) yakin kempen pilihan raya kampusnya akan berjalan dengan sihat dan tidak dicemari politik luar.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata,  penuntut-penuntut UiTM sentiasa bersedia bagi menjayakan pilihan raya itu dengan penuh etika bagi menjaga imej mereka sebagai golongan  bijak pandai yang bakal menjadi pemimpin negara.

Katanya, dakwaan sesetengah pihak bahawa terdapat kemungkinan pilihan raya kampus dipengaruhi parti-parti politik tertentu termasuk suntikan dana dilihat tersasar dan tidak benar.

“Sehingga hari ini (semalam), saya tidak mendengar sebarang laporan mengenainya dan saya yakin pilihan raya kampus yang akan diadakan nanti adalah bersih malah tiada bukti mengenai dakwaan itu.

“Malah tiada sebarang isu lain yang dibincangkan oleh calon-calon pada pilihan raya tersebut melainkan mengenai kebajikan pelajar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri di UiTM Cawangan Machang, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika  diminta mengulas perkembangan pilihan raya kampus yang akan berlangsung serentak di seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada bulan ini.

Hadir sama, Rektor UiTM Machang, Profesor Madya Dr Mohd Shukri Omar, pemimpin-pemimpin tempatan, ketua-ketua jabatan  kerajaan serta swasta dari seluruh negeri.

Program jelajah UiTM fasa kedua itu diharapkan mampu mengeratkan hubungan antara seluruh warga UiTM seterusnya membina semangat perpaduan yang utuh antara satu sama lain.

Sahol Hamid berkata, penuntut-penuntut hari ini adalah golongan muda yang matang, justeru itu pilihan raya  kampus juga akan mengikut proses demokrasi tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur yang tidak diingini serta bertentangan dengan peraturan yang telah ditetapkan.

Katanya, pihaknya juga tidak mengekang sebarang penggunaan laman sosial bagi meraih undi, namun ia perlu mengikut peraturan yang ditetapkan dan tidak dipengaruhi dengan sebarang aktiviti tidak sihat.

Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) adalah amat penting dibuat kepada calon yang benar-benar dapat memenuhi aspirasi IPTA kerana ia turut memikul tanggungjawab penting bagi mewakili para penuntut.

Setiap pemimpin MPP mempunyai peranan yang penting sebagai penghubung bagi menyuarakan hasrat dan keperluan penuntut kepada universiti dan kerajaan.