Thursday, September 6, 2012

Latar Belakang Unit Kerjasama Awam & Swasta, Jabatan Perdana Menteri.


Dasar Persyarikatan Malaysia telah diperkenalkan pada tahun 1981 bagi tujuan menggalakkan kerjasama sektor awam dan sektor swasta di mana kedua-duanya bertindak dan beroperasi dalam sebuah "Syarikat Malaysia". Melalui dasar ini, kedua-dua pihak saling bergantungan di mana sektor swasta sebagai pendukung kepada aktiviti perdagangan dan ekonomi manakala sektor awam menyediakan dasar-dasar utama, menentukan arah dan perkhidmatan sokongan yang tertentu dan kondusif bagi kemajuan perniagaan.

Selaras dengan pendekatan baru Kerajaan berlandaskan model ekonomi baru dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, Kerajaan akan mempergiatkan usaha-usaha untuk merancakkan pelaburan sektor swasta dalam projek-projek pembangunan. Dalam hubungan ini, peruntukan kerajaan dalam projek-projek pembangunan akan dikurangkan dan Kerajaan akan lebih memberi perhatian kepada projek-projek yang dilaksana dan dibiayai oleh sektor swasta sama ada melalui pendekatan penswastaan dan public private partnership (PPP) atau pelaburan langsung pihak swasta dalam program pembangunan negara. Kerajaan juga telah memperuntukkan dana khusus (facilitation fund) di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk menyokong projek-projek pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak swasta sebagai sumbangan Kerajaan melalui kerjasama sektor awam dan sektor swasta.

UKAS, JPM adalah agensi pusat yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras projek-projek Penswastaan, PPP dan projek kerjasama sektor awam-swasta yang memberi impak kepada ekonomi negara dan boleh diberi suntikan dana facilitation fund.

Bagi menyokong Dasar Persyarikatan Malaysia, Dasar Penswastaan telah dilancarkan pada tahun 1983 sebagai usaha ke arah meningkatkan peranan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi negara. Objektif utama dasar ini adalah untuk mengurangkan beban kewangan dan pentadbiran Kerajaan, meningkatkan kecekapan dan daya pengeluaran, mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, mengurangkan saiz dan penglibatan sektor awam dalam ekonomi, dan membantu mencapai matlamat dasar ekonomi negara.

Selaras dengan pelaksanaan dasar tersebut, Seksyen Penswastaan (dikenali sebagai Pasukan Petugas Khas Penswastaan pada awal penubuhannya) telah dibentuk oleh Kerajaan dan diletakkan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Penswastaan yang dianggotai oleh pelbagai agensi bagi meneliti dan memperakukan cadangan-cadangan penswastaan untuk kelulusan Jemaah Menteri.

Kerajaan telah mengeluarkan Garis Panduan Mengenai Penswastaan pada tahun 1985 yang mengariskan secara terperinci mengenai objektif dasar, kaedah penswastaan dan jentera pelaksanaanya. Pada tahun 1991, Kerajaan telah mengeluarkan Pelan Induk Penswastaan menjelaskan dasar dan strategi program penswastaan.

Kejayaan pelaksanaan dasar penswastaan negara antara lain adalah seperti berikut:
  • menyediakan kemudahan infrastruktur yang canggih dan bertaraf dunia seperti projek Lebuh Raya Utara Selatan, projek pembangunan Light Rail Transit (LRT), projek Pelabuhan Tanjung Pelepas dan projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA;
  • mewujudkan syarikat-syarikat konglomerat tempatan yang maju dan berdaya saing seperti Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia Berhad;
  • menyediakan peluang pekerjaan di sektor swasta di samping melahirkan tenaga kerja profesional khususnya di kalangan Bumiputera; dan
  • merancakkan pasaran modal negara melalui pelaburan sektor swasta dalam projek-projek Kerajaan yang diswastakan.

Sejak program penswastaan diperkenalkan pada 1983 sehingga April 2009, sebanyak 500 projek penswastaan telah dilaksanakan di seluruh negara. Kerajaan telah mendapat manfaat dalam bentuk penjimatan perbelanjaan modal sebanyak RM161 bilion dan perbelanjaan mengurus (operasi) tahunan Kerajaan sebanyak RM7.79 bilion (atau dianggarkan sebanyak RM200 bilion sepanjang tempoh 25 tahun). Beban perbelanjaan pentadbiran Kerajaan pula berjaya dikurangkan berikutan penswastaan 58 agensi Kerajaan yang melibatkan pemindahan kakitangan awam ke sektor swasta seramai 113,440 orang. Penjimatan ini membolehkan Kerajaan mengagihkan semula sumber peruntukan pembangunan yang terhad kepada sektor yang lebih memerlukan seperti sektor pendidikan, kesihatan dan program pembasmian kemiskinan.

Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), pendekatan Inisiatif Pembiayaan Swasta (Private Finance Initiative - PFI) telah diperkenalkan oleh Kerajaan sebagai satu alternatif kaedah perolehan sektor awam bagi pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur serta kemudahan yang memanfaatkan inovasi dan kecekapan pengurusan sektor swasta. Pelaksanaan projek-projek PFI juga adalah langkah awal Kerajaan untuk memastikan pengurusan perolehan aset Kerajaan yang lebih cekap berasaskan pulangan nilai untuk wang (value for money) terhadap perbelanjaan Kerajaan.

Selaras dengan usaha transformasi ekonomi kearah persaingan yang lebih kempetitif maka pada 22 April 2009, Y.Bhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara telah mengumumkan penubuhan satu unit baru di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dikenali sebagai Unit Penswastaan dan PFI (yang kini dikenali sebagai Unit Kerjasama Awam Swasta-3PU) dan Y.Bhg. Dato' Sri Dr. Ali bin Hamsa telah dilantik sebagai Ketua Pengarah yang pertama.

No comments: