Tuesday, May 19, 2009

Mengetahui Hakikat Sesuatu Yang Di Ingat - oleh Imam Al-Qusyairi (Part 3)

"Yang Maha Pemurah"

Ar-Rahman adalah nama Allah S.W.T yang kedua. Maksudnya Yang Maha Pemurah. Allah itu Maha Pemurah kepada semua makhlukNya, melalui sifat RahmanNya, semua makhlukNya, dari golongan malaikat, jin, syaitan, manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, langit dan bumi, matahari dan bulan, bintang dan segala galaksi diangkasa lepas, dan seluruh makhluknya dibumi dan dilangit mendapat kemakmuran yang tidak dapat diperhitungkan lagi banyaknya kerana sifat RahmanNya itu.

Ada juga yang mentafsirkan Ar-Rahman sebagai Yang Maha Pengasih, samada Yang Maha Pengasih atau Yang Maha Pemurah, prinsipnya sama, iaitu bersifat 'memberi' atau 'mengurniakan', selaras dengan firmannya dalam hadist kursi "Aku perbendaharaan yang tersembunyi".

Pada malaikat dikurniakanNya ketaatan dan kebaikan, pada syaitan dikurniakanNya kemungkaran dan kejahatan, yang daripada kemungkaran dan kejahatan itu, manusia mengenal ketaatan dan kebaikan, pada Jin dikurniakan-Nya umur yang panjang, pada manusia dikurniakan akal dan fikiran, pada haiwan dikurniakanNya nafsu, pada tumbuh-tumbuhan dikurniakanNya klorofil hijau, pada matahari dikurniakanNya cahaya, pada bulan dikurniakan-Nya sinar, pada bintang dikurniakanNya petunjuk dan begitulah seterusnya.

Itulah Allah yang bersifat Ar-Rahman. Pada manusia dikurniakanNya tanah, air, angin dan api untuk manfaat seluruh manusia, samada manusia itu mungkar atau taat kepadaNya, mereka tetap menerima manfaat kurniaan daripada sifat Ar-RahmanNya. Samada Yahudi, Nasrani, Islam, Hindu, Buddha hatta orang aties sekalipun (tidak percaya kepada Tuhan) menerima manfaat daripada sifat Ar-RahmanNya itu.

Bagaimana kita menyerapkan sifat Rahman di dalam jiwa, pemikiran dan tindakan kita? tindakan pertama yang kita perlu lakukan ialah membebaskan hati kita daripada buruk sangka, prejudis dan niat buruk kepada sesiapapun, samada muslim atau non-muslim, islamik atau non-islamik. Bebaskan hati daripada belenggu prasangka buruk kepada sesiapapun. Bila hati telah jernih, bening dan bersih, maka sifat Rahman itu akan subur dan mekar dalam diri.

Hasilnya ialah jika Lim Kit Siang yang beragama Buddha dalam kesusahan kita hulurkan bantuan membantu beliau, jika Murugiah yang beragama Hindu dalam kepayahan kita berikan pertolongan menolong beliau, jika Mahadir yang beragama islam dalam kesukaran kita redakan kesukaran beliau, begitulah seterusnya. Kita bersifat suka 'memberi', suka 'menolong' dan suka 'membantu', itulah caranya kita memasukan sifat Ar-Rahman Allah itu ke dalam diri kita. Sehingga diri kita menjadi sebati dengan sifat pemurah, suka menderma, suka membantu, suka memberi, suka menolong dan suka menasihat.

Jika kita berzikir "Ya Rahman" sebanyak 500 kali selepas selesai solat 5 waktu, serta memahami dan menghayati makna AsmaNya itu akan menjadikan kita bersifat kasih sayang, pemurah dan pengasih. Insyaallah dengan demikian atas izin Allah, hati akan menjadi terang dan tidak mudah lupa.