Thursday, November 28, 2013

Sejarah Televisyen di Malaysia

Negara Malaysia ialah satu contoh yang jelas bagaimana sebuah tanah penjajahan melalui peringkat pembangunan, sosial dan ekonomi selepas mendapatkan kemerdekaan. Sebagai sebuah negara yang kaya dengan sumber daripada alam semula jadi dalam bentuk getah, bijih timah, teh dan kayu balak telah dimanfaatkan oleh industri Britain. 

Tetapi apabila angin kemerdekaan bertiup di Asia Tenggara, Britain terpaksa berundur. Walau bagaimanapun, sebelum itu pihak Britain memastikan bahawa kuasa pemerintah telah diberikan kepada satu golongan elit yang sanggup bersahabat dengan Britain supaya perhubungan ekonomi yang sedia ada itu tidak terjejas. Penyiaran (ketika itu hanya radio) ialah sebahagian daripada struktur kuasa yang dibina dan diwariskan kepada kerajaan baru Malaya. 

Tujuan perkhidmatan penyiaran ini ialah untuk menyebar dan memastikan rakyat memahami kuasa pemerintah. Dalam strukturnya sudah terdapat aliran yang menyebelahi pihak berkuasa. Ketika mencapai kemerdekaan, tiada sesiapa pun yang memikirkan bagaimana perkhidmatan ini yang pada ketika itu memberikan sokongan kepada penjajah, dapat diubahsuai untuk memberi sokongan kepada rakyat. 

Umpamanya adakah perkhidmatan ini patut ditukar fungsinya bagi dijadikan satu pertubuhan seperti British Broadcasting Corporation (BBC) di Britain iaitu fungsinya terpisah daripada kerajaan. Banyak institusi di Malaya ketika itu telah dibentukkan berdasarkan model-model institusi yang terdapat di Britain, (umpamanya Raja sebagai ketua negara dan Parlimen dengan dua dewan yang berasingan ditubuh mengikut model Westminster). 

Walau bagaimanapun dalam konteks penyiaran, contoh Britain ini tidak diikuti, malah contoh penjajah pula yang diterapkan. Sebenarnya Malaysia bukanlah negara tunggal yang berbuat demikian; India, Pakistan dan Sri Lanka yang merdeka daripada Britain terlebih dahulu daripada Malaysia masih tidak mengubahsuai bidang penyiaran masing-masing. 

Siaran televisyen telah diwujudkan oleh negara Malaysia yang merdeka pada tahun 1963 dan dinamakan Radio Malaysia. Kebebasan dan pemerintahan sendiri selama enam tahun sebelum itu tidak dapat memberikan keyakinan dan ilham untuk menubuhkan sebuah pertubuhan penyiaran yang lebih terbuka, bebas dan liberal. Apa yang membantu dan menyokong sikap kerajaan pada waktu tersebut adalah penentangan terhadap ancaman komunis yang bersenjata. 

Walaupun keganasan komunis sudah ditewaskan beberapa tahun terdahulu, namun ia belum lagi boleh dikatakan sudah dihapuskan. Televisyen telah berkembang pesat dengan meliputi semua kawasan bandar dan sedikit demi sedikit memasuki kawasan luar bandar. Kerajaan Malaysia cuba memastikan agar televisyen mampu dimiliki oleh semua golongan penduduk termasuk luar bandar supaya bilangan penonton dapat berkembang dengan cepat. 

Hasilnya, pada hari ini, ia menjadi saluran yang terpenting dan unggul di Malaysia dengan menghidangkan hiburan dan menyebarkan maklumat kepada 93% penduduk dewasa negara ini. Seperti juga di negara-negara lain. fenomena perkembangan televisyen di Malaysia adalah kompleks. Pada keseluruhannya, penubuhan dan perkembangan televisyen di Malaysia dipenuhi dengan implikasi politik,pemerintahan dan perkembangan sosial. 

Walaupun perkembangannya adalah sama seperti yang terdapat di negara-negara Dunia Ketiga yang lain, namun terdapat juga perkara-perkara unik dalam situasi Malaysia yang perlu diperhatikan. Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum yang terdiri daripada pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. 

Etnik-etnik ini pula membentuk masyarakat mereka yang tersendiri dengan agama-agama seperti Islam, Buddhisme, Hinduisme dan Politeisme.Sebagai satu institusi sosial, televisyen tenpaksa digerakkan dalam suasana yang menakjubkan ini dengan memberi perkhidmatan kepada senua aspek tanpa menimbulkan sebarang kontroversi.Tekanan terhadapnya adalah banyak dan sebarang maklum balas perlu diperhatikan dengan teliti. 

Fenomena inilah yang telah mewujudkan cabaran-cabaran yang unik kepada pertubuhan televisyen tersebut. Tekanan yang bercorak dalaman terhadap Televisyen Malaysia adalah dalam bentuk permintaan untuk hiburan berciri Barat yang datang daripada penduduk bandar yang ingin memodenisasikan kehidupan mereka dengan ciri-ciri kebaratan; permintaan untuk bahan kebudayaan etnik yang datang daripada kaum etnik masing-masing; dan percanggahan permintaan-permintaan tersebut dengan tujuan kerajaan untuk mengintegrasikan etnik-etnik ini dengan melintasi garisan perkauman. 

Selain tekanan dalam negeri, tekanan juga datang daripada luan negara. Tekanan ini adalah berbentuk tekanan pasaran rancangan-rancangan televisyen antarabangsa dan tekanan negara-negana Barat yang menguasai dan membekalkan alat dan pengetahuan teknikal. Di samping itu pengimportan rancangan-rancangan daripada negara Barat juga mempunyai pelbagai tekanan terhadap kebudayaan, politik, agama dan ekonomi.