Monday, April 15, 2019

Kerajaan Bersungguh Menambahbaik Projek Laluan Rel Pantai Timur.

Kerajaan Bersungguh Menambahbaik Projek Laluan Rel Pantai Timur.

Pengumuman kerajaan berkaitan projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyumbangkan pelbagai impak positif kepada industri pengangkutan dan logistik di Malaysia. Kejayaan Utusan Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin, mengurangkan kos pembinaan kepada RM44 bilion, berkurangan RM21.5 bilion daripada nilai asal RM65.5 bilion, menunjukkan kesungguhan kerajaan memajukan industri pengangkutan dan logistik di negara ini.

“Dengan jarak jajaran asal sepanjang 688 kilometer itu dikurangkan 40 km kepada 648 km dengan tambahan formasi landasan berkembar, pengurangan kos sebanyak RM21.5 billion dilihat berbaloi kerana pengurangan hampir satu pertiga daripada kos pembinaan asal. Ini menunjukkan kawasan 40km yang dikurangkan itu membawa kos pembangunan yang sangat tinggi khususnya kos pembinaan terowong sepanjang 17km,” menurut Dr Harlina Suzana Jaafar, Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS), Universiti Teknologi MARA.

Dr Harlina menambah, “Jika dilihat daripada aspek pengurusan logistik, semua perniagaan dan urusan impot dan ekspot di kawasan pantai timur boleh disatukan atau di ‘hub’kan di Pelabuhan Klang. Dengan cara ‘hub’ ini, ia boleh meningkatkan tahap efisien dan kapasiti pelabuhan, dan secara langsung kos perjalanan dan pengangkutan barangan dan perkhidmatan akan menjadi lebih rendah.”

“Dari segi aspek pengurusan pengangkutan pelanggan pula, stesen Putrajaya Sentral, Kajang dan Bangi bakal berkembang pesat menjadi stesen utama untuk perjalanan pelanggan ke Kawasan Pantai Timur” katanya lagi.

“Diharap pihak kerajaan mengambil kira dan mengkaji keterkaitan jaringan (connectivity) yang efisien di antara stesen yang bakal dibangunkan dengan ERL, LRT dan stesen Komuter untuk kemudahan rakyat awam” katanya