Wednesday, October 22, 2008

Pengalaman Adalah Guru Terbaik - Masa lalu mengajar kita erti kehidupan....


Saya menerima e-mail daripada seorang sahabat lama yang telah terpisah sejak tingkatan 5, beliau mengambil inisiatif mengumpul semula rakan-rakan zaman persekolahan dahulu. E-mail tersebut menjemput saya menyertai Edwardian 81-85 yahoo group. Rupanya sudah ramai sahabat-sahabat zaman persekolahan dulu telah dikumpul oleh beliau, melalui yahoo group kami bercerita perkembangan terbaru masing-masing. Zaman sudah berubah, semua sudah jadi ayah. Sekolah KE adalah sekolah lelaki sahaja kecuali tingkatan 6, ada lelaki dan perempuan.

Pada tahun 1975 sehingga 1980 saya bersekolah di Sekolah Rendah King Edward VII(satu), Taiping, Perak, seterusnya pada tahun 1981-1986 saya bersekolah di Sekolah Menengah King Edward VII, Taiping, Perak. Pendek kata, saya adalah Edwardian sejati. Sekolah King Edward popular dengan sukan rugbi, pada tahun 1983, saya pernah mewakili pasukan ragbi sekolah untuk pasukan bawah 15 tahun. Musuh utama kami di Perak dalam pasukan ragbi pada masa itu ialah Anderson, STAR dan MCKK.

Saya belajar dalam aliran sains semasa di tingkatan 4 dan 5, diantara cikgu yang pernah mengajar saya yang masih saya ingat ialah cikgu Razak, beliau mengajar matapelajaran FIZIK. Cikgu Mat Zain, beliau mengajar matapelajaran KIMIA, Mr. Lee Yoke Beng, beliau mengajar BIOLOGI, Mr. Chia beliau mengajar MATEMATIK MODEN & MATEMATIK TAMBAHAN. Jasa mereka tidak akan saya lupakan. Ada lagi cikgu-cikgu lain tapi nama mereka sudah pudar dalam memori tapi rupa mereka saya masih segar dalam ingat lagi.

Masa lalu adalah guru yang terbaik, kerana ia merupakan suatu pengalaman yang dialami sendiri oleh kita yang pernah melaluinya, ia juga menjadi penyumbang satu nilai pengajaran, walaubagaimanapun ia hanya bermanfaat kepada mereka yang menggunakan akal dan mahu berfikir terhadap sebarang pengalaman yang kita lalui. Justeru itu, kita seharusnya menggunakan masa sekarang dengan berpandukan pengajaran masa lalu untuk lebih berjaya melalui esok yang masih ada.