Monday, September 6, 2010

Tidak salah pelajar IPTA berpolitik

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, menegaskan beliau masih berpendirian bahawa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini perlu diberi kebenaran berpolitik, sama seperti rakan mereka di luar negara.

“Sekiranya pelajar kita di luar negara, termasuk di United Kingdom dan Amerika Syarikat, dibenarkan berpolitik dengan menyertai Kelab UMNO di sana, mengapa ada sekatan terhadap pelajar kita di sini?

“Saya tidak nampak sebarang masalah untuk membenar pelajar di negara ini menyertai politik, sebab ini akan menjadikan mereka lebih terbuka dan mudah menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran setelah meninggalkan kampus nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO diminta mengulas isu terkini yang masih hangat mengenai keputusan kerajaan tidak membenarkan pelajar IPT di negara ini melibatkan diri dalam politik.

Saifuddin sebelum ini dalam satu kertas yang dibentangkan kepada MT UMNO mencadangkan kebenaran berpolitik kepada pelajar berikutan keputusan kerajaan membenar guru siswazah menyertai parti politik.

Walaupun keputusan telah dibuat oleh kerajaan mengenai larangan berpolitik ke atas pelajar, banyak pihak termasuk Pemuda BN bersetuju dengan cadangan Saifuddin. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri berkata beliau sentiasa bersikap terbuka untuk membincangkan perkara tersebut.

Beliau tidak mengharapkan kabinet merubah keputusan ini serta merta, tetapi mengharapkan perbincangan mengenai perkara ini diteruskan dengan ilmiah dan bijaksana.

Tanpa emosional beliau sedia menerima pandangan dari mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, asalkan pandangan itu mempunyai asas dan tidak dibuat hanya untuk tidak bersetuju.

Katanya, penglibatan pelajar dalam politik bukan perkara baru, dan beliau mempunyai contoh tokoh-tokoh terkenal negara yang memulakan kegiatan politik semasa menuntut.

“Perdana Menteri kedua kita, Tun Abdul Razak adalah pelajar cemerlang di bidang undang-undang ketika menuntut di London, dan beliau ketika belajar di sana telah menyertai parti Buruh UK.

“Seperti yang disebut dalam laman web Yayasan Kepimpinan Perdana, Tun adalah seorang pemimpin Kesatuan Melayu UK, dan menubuhkan sebuah organisasi untuk pelajar Melayu membincangkan isu-isu politik negara,” katanya.

Syair Burung Unggas by Hamzah Fansuri,

Unggas itu yang amat burhana,
Daimnya nantiasa di dalam astana,
Tempatnya bermain di Bukit Tursina,
Majnun dan Laila adalah disana.

Unggas itu bukannya nuri,
Berbunyi ia syahdu kala hari,
Bermain tamasya pada segala negeri,
Demikianlah murad insan sirri.

Unggas itu bukannya balam,
Nantiasa berbunyi siang dan malam,
Tempatnya bermain pada segala alam,
Disanalah tamasya melihat ragam.

Unggas tahu berkata-kata,
Sarangnya di padang rata,
Tempat bermain pada segala anggota,
Ada yang bersalahan ada yang sekata.

Unggas itu terlalu indah,
Olehnya banyak ragam dan ulah,
Tempatnya bermain di dalam Ka’bah,
Pada Bukit Arafat kesudahan musyahadah.

Unggas itu bukannya meuraka,
Nantiasa bermain di dalam surga,
Kenyataan mukjizat tidur dan jaga,
Itulah wujud meliputi rangka.

Unggas itu terlalu pingai,
Nantiasa main dalam mahligai,
Rupanya elok sempurna bisai,
Menyamarkan diri pada sekalian sagai.

Unggas itu bukannya gagak,
Bunyinya terlalu sangat galak,
Tempatnya tamasya pada sekalian awak,
Itulah wujud menyatakan kehendak.

Unggas itu bukannya bayan,
Nantiasa berbunyi pada sekalian aiyan,
Tempatnya tamasya pada sekalian kawan,
Itulah wujud menyatakan kelakuan.

Unggas itu bukannya burung,
Nantiasa berbunyi di dalam tanglung,
Tempat tamasya pada sekalian lurung,
Itulah wujud menyatakan Tulung.

Unggas itu bukannya Baghdadi,
Nantiasa berbunyi di dalam jawadi,
Tempatnya tamasya pada sekalian fuadi,
Itulah wujud menyatakan ahli.

Unggas itu yang wiruh angkasamu,
Nantiasa asyik tiada kala jemu,
Menjadi dagang lagi ia jamu,
Ialah wujud menyatakan ilmu.

Thairul aryani unggas sulthani,
Bangsanya nurur-Rahmani,
Tasbihatal’lah subhani,
Gila dan mabuk akan Rabbani.

Unggas itu terlalu pingai,
Warnanya terlalu terlalu bisai,
Rumahnya tiada berbidai,
Dudujnya daim di balik tirai.

Putihnya terlalu suci,
Daulahnya itu bernama ruhi,
Milatnya terlalu sufi,
Mushafnya bersurat kufi.

Arasy Allah akan pangkalnya,
Janibul’lah akan tolannya,
Baitul’lah akan sangkarnya,
Menghadap Tuhan dengan sopannya.

Sufinya bukannya kain,
Fi Mekkah daim bermain,
Ilmunya lahir dan batin,
Menyembah Allah terlalu rajin.

Kitab Allah dipersandangkannya,
Ghaibul’lah akan pandangnya,
Alam Lahut akan kandangnya,
Pada ghairah Huwa tempat pandangnya.

Zikrul’lah kiri kanannya,
Fikrul’lah rupa bunyinya,
Syurbah tauhid akan minumnya,
Dalam bertemu dengan Tuhannya.