Monday, September 6, 2010

Tidak salah pelajar IPTA berpolitik

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, menegaskan beliau masih berpendirian bahawa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini perlu diberi kebenaran berpolitik, sama seperti rakan mereka di luar negara.

“Sekiranya pelajar kita di luar negara, termasuk di United Kingdom dan Amerika Syarikat, dibenarkan berpolitik dengan menyertai Kelab UMNO di sana, mengapa ada sekatan terhadap pelajar kita di sini?

“Saya tidak nampak sebarang masalah untuk membenar pelajar di negara ini menyertai politik, sebab ini akan menjadikan mereka lebih terbuka dan mudah menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran setelah meninggalkan kampus nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO diminta mengulas isu terkini yang masih hangat mengenai keputusan kerajaan tidak membenarkan pelajar IPT di negara ini melibatkan diri dalam politik.

Saifuddin sebelum ini dalam satu kertas yang dibentangkan kepada MT UMNO mencadangkan kebenaran berpolitik kepada pelajar berikutan keputusan kerajaan membenar guru siswazah menyertai parti politik.

Walaupun keputusan telah dibuat oleh kerajaan mengenai larangan berpolitik ke atas pelajar, banyak pihak termasuk Pemuda BN bersetuju dengan cadangan Saifuddin. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri berkata beliau sentiasa bersikap terbuka untuk membincangkan perkara tersebut.

Beliau tidak mengharapkan kabinet merubah keputusan ini serta merta, tetapi mengharapkan perbincangan mengenai perkara ini diteruskan dengan ilmiah dan bijaksana.

Tanpa emosional beliau sedia menerima pandangan dari mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, asalkan pandangan itu mempunyai asas dan tidak dibuat hanya untuk tidak bersetuju.

Katanya, penglibatan pelajar dalam politik bukan perkara baru, dan beliau mempunyai contoh tokoh-tokoh terkenal negara yang memulakan kegiatan politik semasa menuntut.

“Perdana Menteri kedua kita, Tun Abdul Razak adalah pelajar cemerlang di bidang undang-undang ketika menuntut di London, dan beliau ketika belajar di sana telah menyertai parti Buruh UK.

“Seperti yang disebut dalam laman web Yayasan Kepimpinan Perdana, Tun adalah seorang pemimpin Kesatuan Melayu UK, dan menubuhkan sebuah organisasi untuk pelajar Melayu membincangkan isu-isu politik negara,” katanya.

No comments: