Showing posts with label UniSZA. Show all posts
Showing posts with label UniSZA. Show all posts

Wednesday, November 27, 2019

UniSZA persoal keputusan undian populariti menteri, anggap tak tepat


 Prof. Dato' Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Naib Canselor UniSZA.

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini tampil mempertikaikan keputusan undian secara dalam talian mengenai populariti menteri kabinet oleh sebuah portal berita tempatan.

Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata undian itu tidak tepat kerana ia hanya melibatkan bilangan responden yang kecil iaitu 12,000 orang atau 0.04 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia.

Selain itu, sampel yang digunakan juga tidak jelas daripada segi jantina, ras kaum, lokasi dan pekerjaan yang juga merupakan maklumat penting bagi sampel yang digunakan untuk tinjauan atau kajian pendapat.

“Berita yang ditularkan dalam media sosial mengenai beberapa orang menteri termasuk Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendapat undi tidak popular masih boleh dipersoal.

“UniSZA sebagai sebuah universiti yang mempunyai bidang sains sosialnya tersendiri mempersoal pungutan suara ini kerana ia tidak menggambarkan keadaan sebenar pencapaian serta prestasi Dr Maszlee,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pada 22 November lepas, portal Malaysian Insight telah menjalankan tinjauan pendapat secara dalam talian selama lapan jam bagi mendapatkan reaksi warganet mengenai senarai menteri yang perlu digugurkan daripada kabinet.

Keputusan undian yang tersebar di beberapa laman sosial itu menunjukkan Maszlee tersenarai sebagai menteri paling tidak popular diikuti dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Mengulas lanjut Hassan Basri berkata sebagai ahli akademik, beliau berpendapat bahawa Maszlee telah memberikan perkhidmatan cemerlang dengan melakukan pelbagai transformasi dalam sistem pendidikan.

“UniSZA menyaksikan sendiri banyak transformasi pendidikan telah dilaksanakan, begitu juga inovasi dan pengiktirafan kepada warga pendidik.

“Oleh itu UniSZA amat yakin bahawa sembilan teras dalam agenda pendidikan negara yang dibawa oleh Menteri Pendidikan akan dapat dicapai sekiranya beliau terus dikekalkan menerajui kementerian,” katanya.- BERNAMA

Friday, October 11, 2019

Pergabungan UniSZA dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) oleh Prof Madya Dr.Mohd Afandi Salleh

Baru-baru ini saya telah disapa oleh seorang profesor sebuah Universiti awam dari Lembah Klang semasa hadir dalam satu program pembangunan akademik. Setelah memperkenalkan diri saya sebagai pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), beliau terus bertanya tentang isu pergabungan UniSZA dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Saya maklumkan Insyaallah akan berlaku kerana ia adalah keputusan Kabinet yang bermotifkan untuk kecemerlangan IPT di Pantai Timur itu. Namun, beliau dengan jujur menyatakan pandangan tidak setuju dengan pergabungan tersebut atas alasan UniSZA berteraskan pengajian Islam manakala UMT sains kelautan. Saya mengatakan kepada beliau itu adalah pandangan yang terkhilaf kerana UniSZA mempunyai pelbagai fakulti dan program yang berteraskan sains tulen seperti Perubatan, Farmasi dan Bio-Teknologi, IT dan program profesional seperti Undang-Undang dan Perakaunan. Bahkan, UniSZA akan mempunyai Hospital Universiti yang akan siap pertengahan tahun 2020.

Hakikatnya, penyataan beliau, walaupun seorang profesor , saya kira adalah paparan salah faham masyarakat luar terhadap UniSZA. Saya bersetuju jika beliau mengatakan UniSZA adalah sebuah universiti Islam. Memang UniSZA diletakan dalam kelompok 'Universiti Islam' bersama UIAM dan USIM. Tetapi mengatakan UniSZA hanya menumpukan pengajian Islam adalah tidak benar sama sekali.

Namun begitu, ada beberapa perkara yang lebih menarik minat saya menulis di sini ialah tentang naratif dan tanggapan umum sebahagian masyarakat yang melihat keilmuan Islam dalam kerangka yang terpisah. Persepsi bahawa program atau pengajian sains tidak boleh wujud bersama atau bergabung di universiti yang berteraskan Islam. Dalam hal ini anggapan bahawa UMT tidak boleh bergabung dengan UniSZA hanya kerana tujahan UMT adalah kelautan dan maritim boleh menjadi satu bukti berlakunya salah faham tersebut.

Naratif yang dipaparkan oleh sebahagian besar yang menentang pergabungan UMT - UniSZA tertumpu kepada bidang tujahan kedua-dua universiti yang dilihat berbeza. Seperti mana yang saya nukilkan pandagan seorang pensyarah kanan universiti awam di atas dan pandangan Presiden CUEPACS Malaysia, Dato Azih Muda baru-baru ini yang berhujah dua bidang ini tidak boleh duduk sekali.

Ini adalah paparan salah faham tentang konsep ilmu dalam Islam itu sendiri di mana tiadanya isu permisahan apatah lagi pertentangan antara cabang-cabang atau disiplin ilmu. Asasnya, laut dan isinya, pelayaran dan kisah yang berkait dengan laut banyak disebut secara jelas di dalam Alquran dan Hadith Rasulullah SAW.

Sejarah Tamadun keilmuan Islam jelas menunjukan bagaimana ilmu-ilmu berteraskan sains termasuk ilmu pelayaran dan maritim dimulakan oleh sarjana Islam dan mereka juga adalah alim dalam bidang agama. Nama-nama penting seperti Sahabat Nabi, Saidina Muawiyah RA adalah pelopor terawal dalam ilmu kelautan. Tokoh-tokoh seperti Ibnu Khurdadhib (850m), al-Masudi (947m), al-Maqdisi (955m) dan Ibnu Majid (1430m) adalah nama besar yang mengkaji pelbagai ilmu dan teknologi dalam ilmu kelautan dan pelayaran ratusan tahun sebelum 'sains kelautan' Barat muncul. Nama Ibnu Batutah pula tidak boleh dipisahkan dengan ilmu pelayaran dan geografi.

Vasco Da Gama sendiri mengakui kehebatan ilmu kelautan dan mengiktiraf kompas 32 arah mata angin yang diasaskan oleh sarjana dan pelayar-pelayar Islam sebagai ciptaan terhebat dalam ilmu kelautan dan pelayaran. Selain itu, nama Laksamana Cheng Ho atau Zhen He, seorang Cina Muslim Empayar Dinasti Ming China yang memimpin 300 buah kapal dengan kekuatan 30,000 orang kelasi telah memgharungi lautan dari tahun 1405 hingga 1433m terpahat sebagai mariner dan admiral terbaik sepanjang zaman.

Selain itu, Laksamana Khayr al-Din Barborosa dari kerajaan Othmaniah yang cukup disegani di Eropah pada sekitar abad ke 16 dan telah diabadikan dalam filem Pirates of the Caribbean juga memaparkan kehebatan orang Islam menguasai ilmu kelautan dan maritim. Seterusnya, nama Piris Reis yang menulis Kitab al-Bahrie pada tahun 1521 telah menjadi rujukan penting sarjana ilmu kelautan dan maritim.

Bahkan, sarjana - sarjana Islam lampau juga yang menjadi penyumbang besar dalam ilmu astronomi atau Falak untuk memberi kemudahan navigasi di lautan. Cukuplah sebahagian catatan sejarah di atas untuk membuktikan ilmu kelautan dan maritim adalah sebahagian dari keilmuan Islam itu sendiri. Ini menjawab secara tuntas persoalan ilmu kelautan dan maritim yang dikatakan tidak boleh bersama dengan keilmuan Islam. Menafikannya umpama menidakkan kewujudan ilmu perubatan dalam keilmuan Islam. Atau dengan lebih mudah seperti mengatakan ilmu dan sumbangan Ibnu Sina dalam perubatan tidak ada kaitan dengan keilmuan Islam.

Perbahasan di atas juga menjawab persoalan identiti dua universiti yang dikatakan berbeza disebabkan sejarah penubuhan dan tujahan berbeza. Tidak dapat dinafikan dua universiti ini mempunyai sejarah tersendiri dan mereka agak sentimental bagi sesetengah warganya.

Walau bagaimanapun, lamanya sejarah kedua universiti ini tidaklah lama berbanding dengan University of Sorbone yang telah ditubuhkan pada abad ke 13 digabungkan dengan Pierre and Marrie Curies University yang agak baru dan mempunyai tujahan yang amat berbeza.

Sorbone sejak ratusan tahun mempunyai tujahan yang amat kuat dalam sastera dan kemanusiaan, manakala Pierre and Marie Curies terkenal dengan sains dan perubatan. Namun, kedua mereka sanggup bergabung pada tahun 2018 demi kecemerlangan akademik dan sumbangan mereka kepada perkembangan ilmu dan pembangunan masyarakat.

Begitu juga, University of Manchester yang bergabung dengan University Manchester Institute of Science and Technology (UMIST) untuk mejadi antara universiti terkuat di United Kingdom. Sebab utama berjayaan pergabungan mereka pada tahun 2004 adalah kerana pentadbiran, pelajar dan masyarakat setempat membuka mata hati dan berjiwa besar demi masa depan yang lebih gemilang untuk bangsa, negara dan antarabangsa.

Menariknya, kedua-dua Naib Canselor universiti ternama itu telah mengistiharkan secara bersama "we now have a solid foundation on which to build a truly world class university that will continue to attract the best students, the most talented staff and significant research funds from around the world".

Akhirnya, sejarah dan hari ini membuktikan kedudukan gabungan mereka berjaya mendapat tempat di persada antarabangsa. Jujurnya saya optimis gabungan UNISZA-UMT ini bakal melakar sejarah baru perkembangan pendidikan tinggi di Malaysia. Insyaallah siri kedua tulisan saya nanti akan mengupas tentang perspektif masa depan dan kesan pergabungan dua universiti Pantai Timur ini.

Mohd Afandi Salleh
Timbalan Naib Canselor (HEPA)
Universiti Sultan Zainal Abidin