Monday, October 21, 2019

Mengapakah DEB dan DPN tidak begitu berjaya sepanjang tempoh perlaksanaannya?

Pertama, sebahagian kaum Melayu telah mewujudkan fenomena kronisme dan nepotisme dalam bidang perniagaan, iaitu dengan menggunakan pengaruh politik untuk mendapat kekayaan. Ketika ekonomi Melayu telah selesa dan DEB tamat pada 1990, sistem sokongan politik masih diteruskan. DPN menyediakan kuota kontrak dan tender kerajaan yang lumayan untuk bumiputera.

Tidak sedikit orang Melayu oportunis menyertai parti politik pemerintah, bertanding dan mendapatkan kedudukan parti semata-mata untuk mengejar kekayaan bagi memperolehi projek dengan disokong oleh tokoh-tokoh politik yang dia menjadi 'klik'nya.

Terdapat pula segelintir usahawan yang mudah memperolehi tender dan kontrak ini menjual atau mensubkontrakkan projek atau tender kepada usahawan bukan bumiputera dengan keuntungan (komisen) 10 peratus atau lebih.

Hal ini terbukti dari hasil kajian Bahagian Pembangunan Usahawan Kementerian Kerja Raya yang mendapati 85.37 peratus projek yang diberi kepada kontraktor bumiputera telah mengalir kepada kaum lain (Utusan Malaysia, 2007). Malah jika para kontraktor itu melakukan sendiri pun, banyak di antara projek-projek berkenaan yang dipertikaikan kualitinya

Perkara itu berlaku akibat kontraktor melaksanakan terlalu banyak projek dalam satu masa, ketidakmampuan dari segi teknikal dan kejuruteraan atau tidak melaksanakan projek mengikut spesifikasi yang ditetapkan kerana ingin mengambil untung berlebihan.

Walau bagaimanapun, selepas 1990an, semakin banyak muncul usahawan Melayu tulen yang boleh berdiri sendiri tanpa terlalu dibantu oleh rangkaian politik. Terutamanya usahawan yang tidak menyertai parti politik atau bukan dari kalangan parti pemerintah.

Jika dahulu mereka masih melakukan perniagaan atau perusahaan kecil, kini sudah banyak yang meneroka sektor sederhana. Cuma, bidang perniagaan bersaiz besar masih kurang dikuasai oleh usahawan jenis ini.

Kedua, kaum Melayu (dan kerajaan) telah salah fokus. Kaum Melayu terlalu memperbandingkan diri dengan Cina dalam bidang perniagaan. Sedangkan bangsa Cina memang mempunyai bakat
berniaga yang hebat. Bukan sahaja di Malaysia, malah di negara Barat pun mereka mampu menjadi usahawan berjaya.

Kegemilangan ekonomi Melayu pada zaman Kesultanan Melaka yang merupakan testimoni awal kejayaan perniagaan itu hanya terjadi kerana kaum Melayu tidak disaingi peniaga Cina. Namun, setelah kaum Cina datang secara besar-besaran pada kurun ke-19 maka sedikit demi sedikit mereka mula menguasai ekonomi Tanah Melayu.

Mungkin bangsa Melayu tidak memiliki bakat semulajadi dalam bidang perniagaan tetapi mempunyai kebolehan lain yang menonjol dalam bidang pembinaan, kejuruteraan atau kesenian.

Di Barat misalnya, teraju ekonomi dikuasai oleh syarikat-syarikat besar Yahudi. Bank-bank terbesar, pemaju hartanah dan syarikat media kebanyakannya dimiliki Yahudi. Menyebabkan modal Yahudi menguasai ekonomi dan politik Barat.

Namun, bangsa selain Yahudi masih mampu mempunyai perniagaan besar. Mereka lebih terserlah dalam bidang teknologi, bidang  farmaseutikal dan lain-lain. Malah usahawan di luar "lingkaran Yahudi juga mampu menjadi kaya-raya, sesetengahnya mempunyai sejarah yang amat mengkagumkan.

Ambil contoh syarikat jualan langsung Amway  yang menumpukan kepada barang keperluan rumah tangga dan kesihatan. la dimulakan oleh dua orang sahabat, Rich De Vos dan Jay Van Andel yang menjadi jurujual makanan kesihatan Nutralite dari rumah ke rumah. Mereka menjadi kaya selepas menubuhkan syarikat jualan langsung pertama di peringkat global pada 1960an.

Syarikat pengeluar komputer Apple hanya bermula apabila pengasasnya Steve Jobs menukar garaj keretanya kepada makmal komputer. Bill Gates pula bukan berasal dari kalangan orang kaya dan tidak mendapat apa-apa galakan modal daripada kerajaan. Dia hanya membina satu perisian sistem pengoperasian komputer yang hebat dan kemudian menjadi usahawan berjaya.

Kebanyakan usahawan di Amerika Syarikat dan Eropah adalah usahawan pencipta. Mereka mencipta produk baru atau konsep perniagaan baru yang tiada dalam pasaran dan tentulah mereka akan menjadi peneroka yang memonopoli pasaran di kemudian hari.

Orang Melayu memiliki kemahiran dan bakat dalam bidang reka cipta. Banyak ilmuan Melayu di universiti-universiti negara ini telah berjaya mencipta beberapa teknologi konsumer yang hebat. Ada yang pernah mendapat pingat emas dan perak di pameran sains di Geneva, Switzerland. Namun, mungkin orang Melayu tidak berbakat menjadi usahawan, oleh itu produk baru yang dihasilkan oleh mereka tidak begitu berjaya di pasaran.

Malah dalam bidang teknologi maklumat pun kita hampir mempunyai pengatur cara komputer sepintar Jobs dan Gates tetapi bagaimana untuk menjadikan produk mereka ini menguasai pasaran dunia. Oleh itu, kita perlu menjana kewujudan usahawan pencipta di kalangan kaum Melayu.

Satu contoh klasik kegagalan Melayu menjadi usahawan pencipta ialah pengalaman Zulkifli Haron dari Rawang yang pertama kali mencipta kereta berkomputer, viper automatik yang menyapu cermin apabila hujan turun dan lampu menyala secara automatik ketika suasana gelap pada tahun 1985.

Malangnya, tidak ada sebuah syarikat Melayu pun yang ingin mengembangkan ciptaannya. Beliau pernah cuba menjual ciptaannya kepada Proton namun hasilnya negatif. Kini, semua teknologi yang dicipta oleh beliau telah dicipta semula oleh jurutera automobil di Eropah dan Jepun dan dipasang dalam kereta buatan negara-negara itu.

Sepatutnya, kereta buatan Protonlah yang pertama menggunakan teknologi itu kerana ia telah dipersembahkan kepada syarikat itu lima belas tahun lebih awal. Jika benar pencipta Melayu akan gagal berniaga dan sedikit sekali syarikat Melayu yang akan mengkomersialkan produk ciptaan mereka maka tibalah masanya kerajaan mencari jalan bagaimana para penyelidik dan pereka cipta Melayu dibeli hasil ciptaan dan agensi kerajaan mengkomersialkan produk ke peringkat dunia.

Ini sama dengan pengalaman negara China, di mana syarikat besar yang berjaya menjual produk ke peringkat antarabangsa adalah syarikat gabungan kerajaan.

Ketiga, mungkin kaum Melayu tidak punya daya saing yang ampuh berbanding bangsa lain. Kaum Melayu sering mengharapkan kerajaan terus membantu dan kurang cuba bergerak sendiri dalam ekonomi. Misalnya, sistem kuota untuk bumiputera sejak sekian lama perlaksanaannya dibelenggu masalah. Seringkah kaedah 'penganugerahan' diutamakan. Sama ada tender, permit, tapak niaga; keutamaan adalah kepada individu atau kumpulan tertentu sahaja. Ini telah menumpulkan daya saing sesama kaum Melayu dan menyemarakkan budaya lobi serta rasuah.

Barangkali persaingan paling banyak wujud bagi projek-projek kecil kontraktor kelas F, sedangkan projek-projek besar selalunya diberi  secara penganugerahan. Kerajaan perlu mewujudkan suasana persaingan perniagaan di dalam lingkaran kaum Melayu. Dengan itu daya juang, keberanian dan kegigihan usahawan Melayu akan meningkat.

Mulai tahun 2000, setelah tamat DPN, kontrak dan tender yang ada klasifikasi bumiputera mesti dibuka kepada persaingan sesama Melayu. Jika kaedah meritokrasi diamalkan dalam gelanggang kuota bumiputera maka kesannya pada beberapa tahun selepas itu, usahawan Melayu yang telah terlatih dalam persaingan sesama sendiri boleh dilepaskan untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain malah ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, syarikat besar seperti Telekom, TNB dan lain-lain juga diberi hak monopoli oleh kerajaan. Perkara ini tidak baik kerana Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) diuruskan oleh orang Melayu. Mereka terlalu selesa dalam budaya tiada saingan. Sepatutnya, ada orang Melayu lain yang diberi hak melakukan perniagaan serupa.

Begitu juga dengan syarikat yang dimiliki kerajaan kemudian diswastakan kepada sebilangan pemodal Melayu ; kemudian mereka bermasalah dan kerajaan terpaksa membantu. Adakah
budaya kerja orang Melayu terlalu lemah?

Perkara itulah yang menjadi dilema kepada ekonomi orang Melayu dan akan terus menekan bangsa ini untuk satu tempoh masa yang panjang. Jika tidak diselesaikan segera dalam zaman yang semakin liberal peraturan ekonomi tanpa kuota dan perlindungan serta dikuasai falsafah globalisasi maka nasib ekonomi bangsa Melayu pada masa depan amatlah membimbangkan.