Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts
Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts

Wednesday, November 5, 2014

PPS diisytihar haram, akaun dibeku dan aset dirampas



PPS bukan pertubuhan yang sah kerana ia tidak pernah didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan.
4 NOV : Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram.

Perisytiharan itu dibuat Menteri Dalam Negeri sekaligus akaunnya dibekukan manakala aset dan harta PPS Pulau Pinang juga akan diserahkan dan digulung oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.
Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff dalam  kenyataan berkata, deklarasi itu dibuat pada Isnin, 3 November, mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966.

Menurutnya, peruntukan mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] adalah berkaitan kuasa menteri dalam mengisytiharkan sesebuah pertubuhan sebagai menyalahi undang-undang.
“PPS Pulau Pinang merupakan pertubuhan yang menjalankan kegiatan-kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam negara,” katanya.

Berikutan pengisytiharan itu, tiada mana-mana pihak boleh menggunakan semula nama, simbol, lambang atau logo PPS Pulau Pinang sebagai pertubuhan berdasarkan peruntukan Seksyen 7 (3) Akta Pertubuhan 1966.

Menurutnya, ia juga menyebabkan tiada sesiapa boleh memegang jawatan, menjalankan kerja sebagai seorang anggota, membenarkan sesuatu mesyuarat dalam bangunan, menyiar dan bertindak bagi pihak atau wakil pasukan itu.

Mereka yang bertanggungjawab menjalankan sebarang aktiviti PPS Pulau Pinang akan disiasat dan boleh didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan mengikut Akta 335, antaranya Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 serta Seksyen 142 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak memberi kerjasama membantu kerajaan membanteras aktiviti-aktiviti PPS Pulau Pinang yang dianggap bercanggah dengan undang-undang sedia ada.
Selepas lima tahun penubuhannya, PPS dengan lebih 9 ribu ahli dalam 296 kumpulan yang beroperasi di  40 kawasan diberi peruntukan RM20,000 hingga RM30,000 setiap tahun di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

(Sumber - http://www.bnbbc.my3)

Thursday, July 4, 2013

Tiada Sesi Soalan Lisan Dalam Persidangan DUN Pulau Pinang Tanda Kerajaan Negeri P.Pinang Tidak Demokratik.

Datuk Jahara Hamid Ketua pembangkang DUN Pulau Pinang  menyelar keputusan Speaker Law Choo Kiang untuk menggantung sesi soalan lisan dalam persidangan, yang disifatkannya sebagai satu “hukuman mati ke atas demokrasi”.

Jahara (BN-Teluk Ayer Tawar) berkata perkara seperti itu tidak pernah dilaksanakan sebelum ini dan sesi berkenaan juga penting untuk memastikan kebertanggungjawab kerajaan negeri.

Katanya, wakil rakyat akan menggunakan peluang berkenaan untuk bertanya soalan dan mendapat jawapan berhubung masalah dihadapi rakyat.

Sesi itu juga bukan hanya untuk kepentingan wakil pembangkang tetapi juga untuk wakil rakyat penyokong kerajaan, demi kepetingan rakyat, katanya.

“Jelas sekali ada keangkuhan kuasa di sini. Ianya seperti menjatuhkan hukuman mati ke atas demokrasi. Demokrasi telah mati di Dewan ini,” katanya.

Kenyataannya itu dibantah Jagdeep Singh Deo (DAP-Dato Keramat) yang memekik dan meminta Jahara menarik balik kenyataan tersebut.

Namun, memandangkan perkara itu telah disebut oleh Jahara, beliau meminta Dewan menjelaskan sama ada perkara itu boleh diterima.

Perdebatan itu bermula apabila speaker Law Choo Kiang menjelaskan bahawa sesi soalan lisan itu digantung untuk menjimatkan masa.

Tindakan itu tidak akan mengganggu persidangan kerana ia masih dijalankan mengikut peraturan Dewan, katanya.

Perkara itu dibantah oleh Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang berkata alasan tersebut tidak boleh digunakan untuk membatalkan sesi soalan lisan.

"Kita ada banyak masa. Mohon kembalikan sesi itu dalam persidangan ini,” katanya.