Showing posts with label melayu. Show all posts
Showing posts with label melayu. Show all posts

Friday, October 18, 2019

Apa itu Kontrak Sosial?

Kontrak sosial merupakan satu permuafakatan antara kaum yang telah dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan dalam kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada tiga kaum terbesar di negara ini iaitu kaum Melayu, Cina dan India.

Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC. Walaupun istilah ini tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi pada hakikatnya kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara apabila wujudnya permuafakatan antara tiga kaum terbesar dalam merencanakan Perlembagaan bagi sebuah negara yang merdeka. Perkara yang termaktub dalam kontrak sosial ini adalah merangkumi:

• Bahasa Melayu
• Agama Islam
• Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak

Provisi ini telah menjadi sebahagian daripada kontrak sosial negara dan tidak perlu dipertikaikan lagi. Ianya malah boleh dianggap sebagai suluh iman kepada semua warga Malaysia yang menganut pelbagai agama.

Kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah. Permuafakatan yang dicapai telah mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Parti Perikatan dalam pilihan raya 1955.

Kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama ini seharusnya tidak perlu dipersoalkan oleh mana-mana pihak Formula kontrak sosial antara kaum telah di persetujui oleh semua pemimpin negara yang berbilang bangsa ketika negara mencapai kemerdekaan semua kaum adalah dikira tidak wajar jika kontrak sosial dianggap sebagai suatu diskriminasi kaum, sebaliknya ia merupakan satu formula terbaik bagi mewujudkan keseimbangan sosial di negara ini yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, sama dan budaya.

Dalam hal ini, kaum bukan Melayu perlu ikhlas menerima kenyataan bahawa orang Melayu adalah pemilik sah negara ini dan ini tidak boleh dipersoalkan lagi Masyarakat bukan Melayu perlu memahami kedudukan politik Melayu atau sistem kenegaraan Melayu dan pengaruhnya kepada negara.

Manakala hak orang bukan Melayu tidak boleh disangkal kerana mereka telah lama bermastautin, lahir dan membesar di Malaysia. Apa yang penting ialah kedua-dua pihak harus saling memahami. Seterusnya melalui pendidikan sejarah ia akan melahirkan semangat menghormati atau menghayati budaya kehidupan sosial masyarakat lain.

Mempelajari sejarah hubungan etnik ini terutamanya pendedahan pelajar terhadap budaya hidup setiap kaum akan memberi ruang kepada mereka untuk menghayati dan memahami budaya masyarakat lain.

Ini penting bagi memastikan setiap kaum tidak hidup dalam dunia mereka sendiri. Perpaduan kaum, selain perlu dilihat dari sudut ekonomi juga harus ditilik dari sudut sosio-budaya dan warisan. Senibudaya dan warisan adalah pelengkap kepada kehidupan masyarakat sesuatu tamadun. Dalam hal ini jika budaya sesuatu bangsa itu musnah, maka warisannya akan hancur begitu juga dengan identitinya.

Budaya dan warisan bangsa bukan sekadar muzik, tarian, nyanyian, pakaian, masakan dan teater. Ia mencakupi lebih dari itu di mana ia melibatkan keseluruhan aspek cara hidup termasuklah aspek pemikiran, kepercayaan, budi bahasa dan sebagainya.

Ini semua menjadi elemen penting yang perlu difahami dan diketahui semua bagi menentukan perpaduan bangsa pada jangka panjangnya. Seterusnya subjek ini akan mendidik generasi baharu memahami cabaran-cabaran pluraliti budaya dan hubungan etnik di Malaysia. Soal mengenai perpaduan masyarakat, tetap menjadi topik perbincangan yang tiada redanya semenjak Tunku Abdul Rahman hinggalah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke 7.

Mereka masih memikul tanggungjawab untuk menangani soal perpaduan bangsa Malaysia. Pada masa ini negara diselangi oleh pelbagai isu dan cabaran kesan dan globalisasi. Ini kerana apa yang berlaku di negara luar begitu cepat merebak ke negara ini. Politik perkauman menjadi satu masalah besar yang perlu diatasi dengan bijak dengan berusaha mengelakkan setiap isu dilihat dari perspektif kaum dan mengembangkan perspektif nasional serta perlu menegaskan semula komitmen terhadap
membina bangsa Malaysia yang bersatu dan mengimpikan masa depan dan matlamat yang dikongsi bersama.

Dari segi sosial pula terdapat pemisahan penempatan dan pengasingan pendidikan, perbezaan dan
pertentangan nilai antara etnik dan segi agama, bahasa dan kebudayaan. Manakala dan segi ekonomi pula terdapatnya perbezaan dalam pekerjaan (jenis dan kategori pekerjaan) serta dominasi ekonomi oleh sesuatu kaum.

Ini merupakan halangan-halangan yang mencegah perpaduan kaum di Malaysia. Masalah ini telah muncul sejak sekian lama dan masih berakar umbi dalam masyarakat Malaysia sehingga ke hari ini walaupun negara telah 62 tahun merdeka.

Salah satu peranan penting subjek sejarah adalah ia mampu mendidik generasi baharu masa kini memahami beberapa konsep Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Mempelajari sejarah kedatangan Islam ke alam Melayu khususnya di Malaysia akan memberi kesedaran kepada semua kaum di negara ini mengenai ciri-ciri Malaysia sebagai sebuah negara Islam serta kedudukan mereka di negara ini. Bukti Malaysia Negara Islam boleh dirujuk kepada perkara-perkara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia mengenai Agama Islam di mana Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan." Perkara 3(1) dalam perlembagaan ini telah dihuraikan oleh beberapa tokoh
undang-undang di Malaysia.

Ada yang berpendapat peruntukan itu sekadar menjelaskan bahawa upacara rasmi negara bolehlah dijalankan mengikut Islam. Namun demikian Almarhum Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim telah
menegaskan bahawa dengan adanya peruntukan "Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan", maka Malaysia boleh memperkenalkan dirinya sebagai negara Islam.

Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah ketua agama Islam dan segala urusan pentadbiran Islam menjadi tanggunjawab Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Dari segi pengiktirafan dunia , Malaysia telah duktiraf sebagai sebuah negara Islam dan telah menganggotai O.I.C sejak mula lagi. Pengiktirafan Malaysia Negara Islam contoh diberikan oleh negara Islam dan bukan Islam diseluruh dunia.

Manakala dan segi Pelaksanaan Pentadbiran Negara dapat dilihat pada asas pentadbiran Malaysia hari ini selaras dengan ajaran Islam. Sebagai contoh, dalam bidang perundangan berbagai usaha telah dijalankan untuk menyelaraskan antara undang-undang sivil dan syarak.

Dalam bidang mu'amalat dan ekonomi terdapat sistem baharu yang selaras dengan ajaran Islam telah dilaksanakan seperti Sistem Perbankan Islam, Takaful. Al Rahn dan sebagainya. Kesungguhan kerajaan menghayati ajaran Islam dapat dilihat dalam usaha-usahanya membebaskan umat Islam dari belenggu khurafat, tahayul dan ajaran sesat, dengan sentiasa memberikan penjelasan dan penerangan menerusi berbagai media.

Di samping itu kerajaan juga sentiasa mengambil berat mempastikan makanan dan barang gunaan
umat Islam di negara ini halal dan suci Malah Malaysia merupakan negara Islam terulung dan terkemuka dalam menjaga aqidah, syariah dan akhlak umat Islam di dunia hari ini.

Para pelajar juga akan menyedari bahawa pemerintah Malaysia hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan akan tetap mempertahankan perlembagaan yang sedia ada yang mengiktiraf kebebasan beragama disamping menjaga hak-hak rakyat dengan saksama. Oleh itu tidak ada sesiapa yang patut keliru, takut dan bimbang mengenai kedudukan mereka dalam negara Malaysia kini.

Ini dapat dilihat pada peruntukan Perlembagaan mengenai Agama Islam. Walaupun Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan". Perkara 11 pula menjelaskan: "Tiap-tiap orang adalah berhak menganut dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal, mengembangkan agamanya". Perkara 11(3) pula menegaskan lagi bahawa tiap-tiap kumpulan agama adalah berhak untuk:

(a) Menguruskan hal-ehwal agamanya sendiri;
(b) Menubuhkan dan menyenggara yayasan-yayasan maksudmaksud agama atau khairat; dan
(c) Memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

Tiada sebarang diskriminasi dibenarkan terhadap sesiap sahaja daripada kalangan rakyat berdasarkan agama, bangsa, keturunan ataupun tempat lahir. (Artikel 12 (1) Perlembagaan Persekutuan). Akhir sekali sama ada kita sedari atau tidak mempelajari sejarah hubungan kaum, akan melatih dan memperlengkapkan warganegara untuk bekerja di persekitaran kerja yang terdiri dari pelbagai kaum.
Sebagaimana yang diketahui umum, era globalisasi memperlihatkan berlakunya integrasi politik, ekonomi dan sosial.

Dalam hal ini Malaysia tidak terkecuali dengan kebanjiran pelabur asing dan kemunculan syarikat-syarikat multinasional dan penyebaran budaya asing. Bercakap mengenai kemunculan syarikat mutinasional, kebanyakan mereka mencari pekerja yang serba boleh serta mempunyai multiskill.

Salah satu skill yang sangat perlu bagi sesebuah organisasi besar seperti ini ialah mereka memerlukan pekerja yang boleh dan sanggup bekerja dalam persekitaran pelbagai budaya dan etnik yang berbeza. Jadi diharap dengan pengenalan kursus ini akan memberikan pengalaman kepada generasi Malaysia untuk bekerja dalam kumpulan yang terdiri dari pelbagai etnik dan budaya. Untuk merealisasikan cita-cita ini, kursus ini diharapkan dapat menerapkan elemen teamworking dalam setiap kerja lapangan pelajar yang membabitkan etnik yang berbeza dalam sesuatu kumpulan. Pendedahan awal adalah perlu supaya mereka tidak merasa janggal dan tersisih apabila diterima bekerja dalam sesuatu firma yang terdiri dari pelbagai kaum dan etnik.

Wednesday, October 9, 2019

Penjajahan dan Pemecahan Alam Melayu


Seperti kita lihat dalam sejarah, beberapa rumpun bangsa di dunia sering dikaitkan dengan kawasan geografi tertentu, misalnya, bangsa Arab dengan Semenanjung Arab, bangsa China dengan benua kecil China, dan bangsa Anglo-Saxon dengan benua Eropah.

Demikian juga kita dapati bangsa Melayu dikaitkan dengan sebahagian rantau Asia Tenggara, khususnya alam Melayu ataupun Nusantara. Secara umum, Nusantara merujuk kepada habitat rumpun Melayu dan menjadi dunia Melayu yang terbentuk dalam sejarah di Asia Tenggara.

Dari segi geografi, Nusantara terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian utara atau daratan yang meliputi rantau luas yang memanjang dari Indochina (selatan Vietnam dan Kemboja), menurun melalui Segenting Kra hinggalah ke selatan Burma dan Semenanjung Tanah Melayu, termasuk Tamasik (kini Singapura).

Kedua ialah bahagian selatan, iaitu wilayah kepulauan yang dipisahkan oleh laut dan perairan selat. Bahagian ini terdiri daripada Pulau Kalimantan dan Kepulauan Filipina di Laut China Selatan ke arah tenggara di bahagian selatan, manakala di barat daya dan selatan merentasi Selat Melaka pula ialah gugusan Kepulauan Indonesia (Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Jilid 1,1994).

Hari ini, Nusantara terdiri daripada beberapa buah negara moden di Asia Tenggara yang menjadi kelompok utama negara-negara Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina, yakni negara-negara yang asasnya Melayu. Terdapat dua teori tentang asal usul rumpun Melayu. Teori pertama ialah 'teori penghijrahan' yang menganjurkan bahawa rumpun Melayu berhijrah secara gelombang demi gelombang dari China Selatan ke Asia Tenggara sejak lebih 5000 tahun dahulu.

Teori ini dianjurkan lebih seratus tahun yang lalu oleh sarjana Barat yang dipelopori oleh Sarasin bersaudara pada 1892 dan 1893, kemudian dikembangkan lagi oleh Heine-Geldern pada tahun 1932 dan pengikut-pengikutnya seperti M.W.F. Tweedie, G. de G. Sieveking dan beberapa orang sarjana lagi pada 1950-an dan 1960-an (Nik Hassan Shuhaimi 1999: 11-12). Teori ini mempunyai pengaruh yang kuat untuk satu masa yang lama dan diterima pakai dalam pelbagai teks sejarah untuk pendidikan menengah dan tinggi di Malaysia.

Kesan daripada teori ini ialah ada pihak menghujahkan bahawa orang Melayu juga ialah 'pendatang' di rantau ini, satu hujah yang digunakan khususnya dalam proses tawar-menawar mengenai kedudukan masing-masing kaum dalam negara Malaya (kemudian Malaysia) yang merdeka pada 1957.

Namun, teori penghijrahan ini mula dipertikaikan sejak tahun 1970-an oleh teori kedua yang memanfaatkan bukti-bukti arkeologi di Semenanjung Malaysia. Teori ini menghujahkan bahawa orang Melayu adalah peribumi rantau ini jauh sebelum zaman prasejarah lagi dan mereka berkembang secara evolusi, bukannya migrasi.

Beberapa penemuan terbaru di bidang arkeologi dilakukan oleh sarjana tempatan, Profesor Nik Hassan Shuhaimi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang menjalankan penelitian arkeologi di beberapa tapak sejarah pra-Islam yang penting di pesisir Selat Melaka.

Berdasarkan penemuan-penemuan baru ini, teori ini menghujahkan bahawa orang Melayu berasal dari rantau ini dan mempunyai sejarah yang lama melebihi 35,000 tahun di sini (Nik Hassan Shuhaimi 1999:49).

Implikasi daripada teori kedua ini ialah bahawa sejarah awal Tanah Melayu dan Nusantara perlu ditulis semula dan kedudukan sejarah pelbagai kaum di sini perlu diletakkan menurut perspektif sejarah yang baru yang lebih kukuh. Walau bagaimanapun, tidak kira teori mana yang dipakai, satu fakta sejarah pokok ialah sejak Zaman Batu lagi (yakni zaman prasejarah), orang Melayu telah meneroka Nusantara dan telah membina tamadun rantau ini.

Hal ini bererti mereka adalah pengasas masyarakat bertamadun dan pembina peradaban Nusantara sejak ribuan tahun serta adalah pendiri beberapa buah kerajaan Melayu yang besar dan kuat pada zaman yang panjang selama lebih 1,500 tahun sebelum ketibaan penjajahan Barat.

Soalnya ialah mengapa rantau alam Melayu tidak mempunyai negara kesatuan Melayu yang besar dan kuat pada hari ini, berlainan dengan apa yang berlaku di beberapa rantau lain, misalnya, negara China di mana bangsa China mempunyai negara kesatuan yang besar dan kuat sejak 2,000 tahun lebih yang lalu?

Mengapa orang Melayu tidak dapat mendirikan negara-bangsa Melayu? Untuk menjawab soalan-soalan ini, beberapa faktor seperti geografi, penjajahan, demografi dan perkembangan sejarah yang berbeza-beza perlu diambil kira. Misalnya, dari segi geografi, wilayah Nusantara amat luas dan sebahagiannya terdiri daripada puluhan ribu pulau yang dipisahkan oleh laut yang luas yang menyulitkan perhubungan, lebih-lebih lagi pada zaman pra-moden.

Selain itu, sejarah penjajahan yang lama sejak awal abad ke-16 hingga pertengahan abad ke-20 menjadi faktor penghalang terpenting. Oleh sebab faktor penjajahan, demografi rantau ini juga turut berubah dengan ketara dengan kedatangan para migran khususnya dari China dan India yang turut mencorakkan sejarah perkembangan politik negara-bangsa.

Akan tetapi, sekalipun negara kesatuan Melayu tidak dapat berdiri pada zaman moden, kita perlu akui bahawa terdapat beberapa usaha penyatuan Nusantara seperti terbukti dalam sejarah. Usaha penyatuan ini telah dilakukan sekurang-kurangnya pada zaman empat buah kerajaan Melayu yang besar dan masyhur dalam sejarah, iaitu Kerajaan Funan yang berpusat di Kemboja mulai awal abad Masihi hingga abad ke-7 Masihi.

Selepas itu terdapat Kerajaan Sriwijaya (600-1294) yang berpusat di Palembang dengan penguasaannya meliputi Sumatera, sebahagian daripada Pulau Jawa, Semenanjung Tanah Melayu sehingga ke beberapa bahagian di Segenting Kra.

Kerajaan Sriwijaya digantikan oleh Kerajaan Majapahit (1293-1400) yang berpusat di Jawa dan mempunyai kekuasaan meliputi Pulau Jawa, Sumatera, serta sebahagian daripada Kalimantan dan Semenanjung Tanah Melayu.

Kerajaan Melaka (1400-1511) ialah kerajaan tua Melayu yang besar dan terakhir dengan kedudukannya yang strategik di Selat Melaka dan kekuasaannya pula meliputi Semenanjung
Tanah Melayu, Kepulauan Bentan dan Lingga di selatan semenanjung serta Rokan, Siak, Inderagiri dan Jambi di Sumatera.

Dalam zaman pelbagai kerajaan Melayu ini, usaha penyatuan terpenting dan mempunyai kesan menjangkau jauh berlaku khususnya pada zaman Majapahit semasa Patih Gadjah Mada menjadi Perdana Menterinya dari tahun 1334 hingga 1364. Dalam 'Sumpah Palapa' (atau Sumpah Gagasan Nusantara) yang dilafazkan pada tahun 1336, Gadjah Mada berikrar: "Jika telah menundukkan Nusantara, saya baru akan berisytirehat. Jika Guran, Seram, Tanjung Pura, Haru, Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Tamasik telah tunduk saya baru akan berisytirehat" (Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu 1999 Jilid 3: 1643-46).

Pada zaman Kerajaan Melaka pula, tokoh pemersatu terpenting ialah Bendahara Tun Perak yang berkhidmat di bawah empat orang sultan selama kira-kira 50 tahun sehingga ke akhir abad ke-15. Beliau telah berusaha menyatukan sebahagian daripada wilayah alam Melayu di sebelah menyebelah Selat Melaka.

Oleh yang demikian, ketika penjajah menakluki pelbagai wilayah alam Melayu bermula dengan penjajahan ke atas Melaka pada 1511, negara dan peradaban Melayu sudah lama terbentuk dan berkembang serta terkenal di merata dunia Timur dan Barat. Akan tetapi, perjalanan sejarah tidak sentiasa lurus. Penjajahan yang lama di alam Melayu telah mengubah perkembangan trajektori sejarah rantau ini, menyebabkan negara Melayu kehilangan kemerdekaan dan kuasa untuk berkembang menurut kemahuan mereka sendiri manakala asas-asas penyatuan yang sudah terbentuk pada zaman pra-penjajahan telah dicerai-beraikan.

Misalnya, di Tanah Melayu penjajahan Barat telah bertapak selama 450 tahun lebih bermula dengan penjajah Portugis pada 1511 hingga 1641, diikuti oleh Belanda dari 1641 hingga 1824, dan penjajah lnggeris mulai 1786 hingga 1957 (pentadbiran penjajahan Inggeris terputus selama tiga tahun lapan bulan iaitu antara Disember 1951 hingga Ogos 1945 semasa Jepun menduduki Tanah Melayu). Di Indonesia pula, pengaruh penjajah Belanda bermula pada 1596 apabila angkatan kapal pimpinan de Houtman muncul di Banten, Jawa Barat. Pengaruh Belanda menjadi lebih mendalam apabila pada 1605, mereka bertapak di Ambon, dan pada 1619, mereka mendirikan kota Batavia (Rickers 1993). Sejak itu, Belanda meneruskan penjajahannya ke atas Indonesia selama kira-kira 350 tahun lebih sehingga 1945.

Sementara itu, Filipina pula mengalami penjajahan Sepanyol, yang kemudian digantikan oleh Amerika Syarikat. Ahli pelayaran Magellan telah tiba di Filipina pada 6 September 1522, dan pada 1529, Perjanjian Zaragoza antara Sepanyol dan Portugis ditandatangani untuk menentukan pembahagian pengaruh di antara dua kuasa penjajah ini dan mengakibatkan Filipina berada secara langsung di bawah penjajahan Sepanyol. Pada 1565, angkatan Sepanyol tiba di Cebu dan memaksakan perjanjian berat sebelah ke atas Raja Tupas, akhimya petempatan Sepanyol yang pertama didirikan di Filipina. Walaupun Filipina mendirikan republik dan mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Sepanyol pada 1898, akan tetapi, pada 1899, Amerika Syarikat pula menguasai Filipina sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua apabila Filipina mengisytiharkan
kemerdekaannya bagi kali kedua pada 1945 (Agoncillo & Guerrero 1977).

Perlu dinyatakan bahawa pelbagai kuasa penjajah tersebut meninggalkan kesan yang mendalam ke atas alam Melayu dan mencetuskan kesedaran bangsa yang tidak seragam di rantau alam Melayu. Alam Melayu dipecah secara umumnya menjadi tiga entiti politik yang besar yang akhirnya menjadi Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Walaupun ketiga-tiga negara ini mempunyai bangsa Melayu sebagai bangsa utamanya, dengan sejarah yang lama di sini, akan tetapi, tidak ada satupun negara-bangsa Melayu yang muncul di rantau ini. Sebaliknya, negara-negara moden yang disebut tadi menggunakan nama yang diberikan penjajah, bukannya nama Melayu. Negara itu juga tidak menurut sempadan bangsa yang berkembang dalam sejarah tersebut.

Sebagai contoh, Indonesia ialah gabungan dua perkataan Greek 'Indo' dan 'Nesos' yang bermaksud 'Pulau-pulau Hindi' dan wilayahnya ditentukan mengikut garis sempadan berdasarkan Perjanjian Inggeris-Belanda pada 1824.

Filipina pula mendapat namanya daripada nama ratu Sepanyol (Phillipe) dan wilayah Filipina ditentukan mengikut perjanjian antara kuasa-kuasa penjajah Barat, yang bermula dengan Perjanjian Zaragoza pada 1529.

Tanah Melayu pula dinamai 'British Malaya' pada mulanya oleh Inggeris dan hanya mendapat nama Federation of Malaya' atau 'Persekutuan Tanah Melayu' pada 1948. Sungguhpun nama 'Malaysia' tidak begitu jelas asal usulnya, tetapi ia juga bukan nama yang diberikan oleh bangsa Melayu sendiri kepada wilayah yang pada hari ini membentuk negara moden Malaysia melalui Perjanjian Malaysia pada 1963.

Kuasa-kuasa penjajah tadi meninggalkan kesan yang tidak seragam ke atas alam Melayu. Di Tanah Melayu, walaupun Inggeris melucutkan kuasa sultan tetapi sistem kesultanan dikekalkan dan para sultan diberi kuasa atas urusan agama Islam. Akan tetapi, cara Inggeris melaksanakan pentadbirannya di Tanah Melayu, iaitu dengan membahagikannya kepada tiga unit pentadbiran yang berlainan - Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, dan akhirnya ketiga-tiga unit itu digabungkan di dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 - mempunyai kesan tertentu yang melambatkan pertumbuhan kesedaran nasional dan pembinaan negara-bangsa.

Pengaruh bahasa dan kebudayaan Inggeris amat mendalam di Malaysia, terutamanya di kalangan elit berpendidikan Inggeris, sungguhpun bahasa Melayu, khususnya bahasa Melayu Johor-Riau, menjadi lingua franca.

Berlainan dengan dasar Inggeris, Belanda di Indonesia menggunakan cara yang lebih keras, menghapuskan institusi kesultanan dan mewujudkan kesatuan negara kepulauan. Walaupun pengaruh bahasa Belanda memang mendalam, tetapi bahasa Melayu dapat berkembang dan diterima menjadi bahasa penyatuan Indonesia dalam Sumpah Pemuda 1928 dan bahasa ini berjaya membina bangsa Indonesia.

Di Filipina, penjajah Sepanyol juga menghapuskan sistem kesultanan di sana, mengenakan pengarah bahasa Sepanyol dan agama Kristian (kebanyakan Katolik), kecuali di Filipina Selatan. Apabila Amerika Syarikat pula menjajah Filipina, bermulalah proses Amerikanisasi sejak akhir tahun 1890-an dan bahasa Inggeris Amerika dan budaya Amerika mempunyai pengaruh yang kuat di sana.

Kesemua ini menunjukkan bahawa proses berdirinya negara moden dan pembinaan negara-bangsa yang baru di Asia Tenggara, khususnya di Indonesia, Filipina dan Malaysia, amat dipengaruhi oleh pengalaman penjajahan tersebut.

Wednesday, November 14, 2018

Kerajaan Melayu Srivijaya.

Kerajaan Melayu Srivijaya adalah salah satu kerajaan maritim yang kuat dan berpusat di Palembang,Sumatera dan mempunyai pengaruh yang cukup besar di Nusantara dengan daerah kekuasaan yang membentang dari Kemboja, Thailand,Semenanjung Malaya,Sumatera, Jawa dan Kalimantan (Coedes 1968). Apabila I-Ching tiba di Srivijaya, kerajaan ini sudah pun mempunyai sistem sosiopolitik dan budaya yang teratur dan sudah diiktiraf sebagai pusat pembelajaran bahasa Sanskrit dan agama Buddha yang terbaik di Asia Tenggara. 

Inskripsi yang paling tua mengenai Srivijaya ialah Inskripsi Kedukan Bukit di Palembang, bertarikh 682 yang beraksara Pallava dan berbahasa Melayu (Casparis 1975;Bambang Budi Utomo, Nik Hassan Shuhaimi 2009). Inskripsiini juga menunjukkan pengaruh bahasa Melayu dalam penghasilan inskripsi di Nusantara yang mana sebelumnya menggunakan bahasa Sanskrit dan menjadi bukti penting dalam peranan orang Melayu dalam pentadbiran kerajaan-kerajaan awal.



Batu Bersurat Telaga Batu


Empayar Srivijaya dianggap oleh segolongan sarjana sebagai empayar Melayu yang terulung di Asia Tenggara sebelum terbinanya empayar Kesultanan Melaka dan kebangkitan Srivijaya sebagai sebuah empayar berlaku apabila kerajaan Funan mengalami zaman kejatuhan yang juga sebuah empayar Melayu yang diasaskan sejak abad pertama Masihi dan tumbang pada pertengahan abad ke-6 Masihi.

Bagi golongan yang diperintah pula mereka mestilah berbakti kepada raja. Rakyat haruslah membayar cukai dan memberi sumbangan tenaga bagi pekerja raja dan menerima kerahan tenaga untuk mempertahankan raja di dalam peperangan, dan tidak menderhaka kepada raja. Maka balasannya adalah kesejahteraan dalam hidup. Perkara itu jelas tercatat dalam inskripsi-inskripsi Telaga Batu. Inskripsi itu memberi gambaran tentang bagaimana raja Srivijaya dapat mengekalkan kedudukannya sebagai raja yang berdaulat.

Persetiaan itu menjadi simbol kepada konsep kesetiaan kepada pemerintah iaitu konsep tidak menderhaka. Bagi semua golongan yang diperintah, tanpa mengira kelas, sekiranya mereka menderhaka, seperti dalam inskripsi Kota Kapur, maka akibatnya mereka akan menerima balasan yang buruk (Bambang Budi Utomo & Nik Hassan Shuhaimi 2009). Dari inskripsi Telaga Batu pula bentuk derhaka ialah menjadi tali barut kepada musuh raja, mencuri, bersubahat dengan musuh raja, menganiaya orang lain melalui kuasa magis, cuba mendapat maklumat tentang keadaan dalam istana raja, memberi maklumat kepada gundik diraja tentang dalam istana atau berbaik-baik dengan golongan yang terlibat dengan khazanah diraja. Mereka yang melakukan penderhakaan itu akan menerima balasan mati akibat daripada sumpahan air yang diminum itu. Bagi mereka yang setia, balasannya adalah tantra-mala, kesejahteraan dan bebas daripada seksa selepas mati (Casparis 1975)|

Sebagai kesimpulan kepada perbincangan di atas dapatlah dikatakan iaitu Srivijaya mempunyai asas organisasi sosial dan politik yang teratur yang melahirkan sistem pentadbiran yang sistematik. Pada keseluruhannya masyarakat Srivijaya mempunyai dua kelas utama, iaitu pemerintah dan yang diperintah. Kelas yang diperintah itu dapat dibahagi kepada beberapa kelas lain yang berasaskan kepada tugas dan keturunan. Inskripsi-inskripsi Srivijaya menunjukkan raja Srivijaya sangat-sangat mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat di samping meninggikan kedudukan dan keagungan raja sebagai pemerintah. Raja Srivijaya mengamalkan dasar luar yang cergas dan menggalakkan perdagangan. Hubungan pemerintah dan yang diperintah dipertegaskan melalui persetiaan rakyat melalui upacara minum air sumpah yang mana balasan baik dan jahat jelas dinyatakan. Raja Srivijaya menganggap dirinya sebagai Cakravatin.


(Sumber - Empayar Melayu Srivijaya : perkembangan sejarah organisasi sosial dan pentadbiran
. Available from: ttps://www.researchgate.net/publication/305225116_Empayar_Melayu_Srivijaya_perkembangan_sejarah_organisasi_sosial_dan_pentadbiran




Wednesday, March 12, 2014

Suara hati Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

SAYA sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya- perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.

Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka.
Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah.

Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.

Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta an orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.

Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun.

Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam.

Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.

Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.

Cadangan Malayan Union British bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British.

Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan bagi mereka.

Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.

Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.

Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan.

Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.

Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.

Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.

Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah.

Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah.

Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia.

Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka.

Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.

Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.

Sokongan orang lain ini tidak diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.

Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.

Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka.

Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.

Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.

Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120923/re_01/Suara-hati-Dr-Mahathir#ixzz2vlds4D36
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, November 7, 2013

Orang Melayu dan Tamadun Bangsanya





Dewasa ini pelbagai pihak ghairah mengadakan seminar dan persidangan tentang tamadun atau peradaban Melayu. Untuk apakah wacana itu jika orang Melayu tidak mengetahui maksud tamadun Melayu. Memahami tamadun sendiri bererti mengetahui pemikiran bangsa, nilai budaya bangsanya, kekuatan bangsanya, unsur yang membentuk “tradisi” bangsanya hingga terbentuk kesedaran tentang makna jati diri, atau identiti kumpulan sosiobudaya dan geopolitik “supraetnik” yang disebut “bangsa Melayu”. Mengetahui “tradisi” bangsa Melayu tidak bererti berbalik ke zaman lampau, mencari “benda” peninggalan nenek moyang bangsa Melayu. Benda lama yang dikatakan hanya sesuai dengan “dunia lama” bangsa Melayu, tidak sesuai dengan “dunia baru” orang Melayu hari ini.

Dunia tidak berubah. Yang berubah dan mengubah dunia ialah manusia. Manusia melakukan proses perubahan ini dari dalam dirinya, iaitu akal fikiran, kuasa renungan dan imaginasinya, “hati”nya. Dengan demikian manusia dapat mengubah keadaan hidupnya, mengubah nasibnya, menyelesaikan masalah ekonomi, sosial, politik, budaya, dan moralnya.

Inilah cara sesuatu peradaban itu dibentuk oleh manusia sepanjang hayat bangsa itu. Inilah tradisi manusia, tradisi bangsa, yang berubah-ubah, dari tahap yang “tidak maju” ke tahap yang “lebih maju”, dari zaman jahiliah ke zaman celik ilmu dan budaya Tradisi bukan “benda mati” atau benda statik, tetapi merupakan proses aktif dan dinamik yang dicipta, digerakkan, dan dihidupkan oleh akal dan imaginasi manusia.

Tradisi berperanan menyelesaikan masalah hidupnya dengan menggunakan sumber alam di sekeliling mereka bagi membentuk sistem ekonomi, politik, sosial, dan budaya yang “maju” dari zaman ke zaman. Sesuatu bangsa tidak pernah dalam sekelip mata menjadi kuasa ekonomi, kuasa ilmu, dan kuasa tentera melainkan bangsa itu mempunyai “acuan” yang dibentuk oleh tradisi bangsanya yang terdahulu. Demikianlah berkembangnya tradisi yang berlaku dalam sejarah peradaban Melayu sejak zaman mereka belum bertembung dengan tamadun luar dari India, Islam, dan Barat.

Tempohnya cukup panjang, dari kira-kira abad pertama tahun Masihi hinggalah ke tarikh kuasa penjajah Barat (Eropah) yang diwakili oleh bangsa Portugis, Belanda, dan Inggeris meninggalkan kawasan Alam Melayu pada tahun 1945 di Indonesia dan tahun 1957 di Tanah Melayu. Peristiwa ajaib yang berlaku sepanjang tempoh itu ialah orang Melayu tidak hilang di muka dunia, ditelan oleh kuasa tiga tamadun luar yang kuat itu, tetapi kekal hingga hari ini.

Hakikat inilah yang perlu diketahui, dipelajari, dihayati, dan dijadikan rujukan bangsa Melayu membentuk tradisi baru sebagai sambungan, tradisi bersama yang terbentuk sekian lama. Apakah dan siapakah yang bertanggungjawab membentuk dan mengekalkan tamadun ini sepanjang zaman itu? Yang menyebabkan tamadun Melayu bertahan ialah sifat “keterbukaan minda Melayu” menghadapi pengaruh dan cabaran dunia luarnya. Bagaimana kita tahu bahawa minda Melayu itu terbuka? 

Kita mengetahuinya melalui dua tanda. Pertama, melalui akal budi bangsa Melayu, dan kedua melalui peristiwa sejarah yang menggambarkan akal budi Melayu. Akal budi Melayu ialah falsafah hidup Melayu tentang alam sekitarnya untuk membentuk realiti sosial, budaya, moral, dan politiknya. Mereka melakukan perubahan di alamnya sendiri dan melalui interaksi dengan bangsa dan tamadun yang datang dari luar alamnya.

Sepanjang pertembungan orang Melayu dengan dunia luarnya, tidak pernah atau jarang-jarang berlaku peristiwa orang Melayu atau kerajaan Melayu menentang bangsa asing yang datang mengembangkan nilai tamadun mereka “secara aman”, atau menolak tamadun asing itu secara total. Orang Melayu baru terpaksa menentang kuasa asing dan menolak tamadun mereka apabila kuasa asing itu memusuhi, menyerang atau memaksa kehendak mereka terhadap orang Melayu.

Pada zaman kuasa Eropah berada di kawasan Melayu, berlaku beberapa banyak peristiwa orang Melayu (ini termasuk bangsa Melayu-Indonesia) menentang kuasa mereka, selalunya melalui perang mempertahankan hak dan tanah mereka. Contohnya, perang orang Melayu Melaka mempertahankan tanah air daripada serangan askar Portugis pada tahun 1511. Orang Melayu tidak pernah memerangi orang luar yang cuba mengembangkan agama mereka di dunia Melayu pada zaman itu sejak abad ke-7.

Kerana inilah agama Hinduisme dapat diterima oleh beberapa golongan Melayu. Kemudiannya bangsa Melayu melakukan perubahan lagi, dengan menerima agama baru, iaitu Islam. Jadi, orang Melayu pada zaman itu tidak pernah bersifat fanatik, tidak pernah menjadi bangsa yang ekstrem – jauh sekali sebagai antikemajuan. Maka pada zaman pertemuan aman antara tamadun dari India dan kemudiannya dari dunia Islam itulah tamadun Melayu mencapai kemajuan yang tinggi.

Pada zaman itulah, orang Melayu menubuhkan kerajaannya, mula-mula kerajaan Melayu-Srivijaya beragama Hindu-Buddha (abad ke-7 hingga ke-13) dan kerajaan Melayu-Islam sejak abad ke-10, yang merebak ke seluruh rantau ini, dari sebelah barat Selat Melaka ke sebelah timur, meliputi kawasan di Pulau Jawa, di Makasar, di Ternate, dan di kawasan lain.

Tamadun inilah yang tidak dapat dimusnahkan oleh kuasa Eropah walaupun melalui kekerasan dan keganasan. Melaka boleh jadi dikalahkan oleh teknologi perang bangsa Portugis, tetapi tamadun Melayu tidak pecah, tidak musnah. Kerajaan Melayu-Islam yang lain berkembang di Johor; Aceh muncul sebagai pusat kerajaan Melayu-Islam yang gigih, juga sebagai pusat pertumbuhan kegiatan pemikiran dan penulisan Melayu-Islam yang luar biasa, menghasilkan beberapa banyak karya agung dalam bidang kesusasteraan, teologi tasawuf, metafizik, dan falsafah yang terkarang dalam bahasa Melayu.

Jadi, dua faktor lain yang memainkan peranan penting sebagai benteng kukuh tamadun Melayu ialah bahasa Melayu dan agama Islam. Inilah dua alat pembentuk tamadun Melayu yang cukup tahan, dan tidak mampu dihancurkan oleh kuasa Eropah.

Tetapi faktor yang lebih penting ialah sifat akal budi atau minda Melayu. Para pemikir Melayu, sasterawan dan seniman Melayu sejak zaman mereka belum mengenal tradisi tulisan yang mantap (seperti tulisan Jawi) bertanggungjawab membentuk akal budi Melayu, menghasilkan nilai fikiran, budi atau adab yang tinggi melalui karya mereka, seperti pantun, peribahasa, pepatah, cerita lipur lara, hikayat, dan karya bercorak ilmu, dengan menggunakan bahasa Melayu yang amat kreatif. Mereka berfikir secara analogis, melalui perumpamaan, melalui kiasan dan melalui lambang untuk menyatakan makna yang empirikal, realistik, pragmatik, dan abstrak, dengan menggunakan bahasa metaforik.

Kata Aristotle, lebih 2300 tahun dahulu, dalam karangannya Poetika, manusia yang mampu berfikir secara metaforik melalui bahasa metaforik dan simbolik, tentulah manusia yang geliga atau genius otak dan imaginasinya. Bangsa manakah yang mempunyai kebolehan mengungkapkan fikiran dan perasaannya secara spontan melalui pantun yang kompleks strukturnya, berangkap dan berirama, dalam bahasa yang padat, bernas dan tidak membazir?

Yang penting, bukan sama ada fikiran itu “saintifik” atau tidak, tetapi daya fikir dan daya kreatif seniman atau pemikir Melayu. Tentulah, manusia seperti itu berkemampuan, dari segi daya kognitifnya, untuk berfikir secara metamatikal, saintifik, dan logikal, kalau mereka mempelajari ilmu matematik dan sains dalam bahasanya sendiri.

Tetapi kebanyakan orang Melayu hari ini tidak mengetahui, tidak mempelajari, dan tidak memahami tamadun Melayu. Yang mereka nampak, melalui teropong orang lain atau melalui cara berfikir “kolonial” dan “pascakolonial” (tetapi mereka tidak menyedari hal ini) tentang kelemahan dan keburukan bangsa Melayu. Maka berlakulah krisis pemikiran, budaya, akal budi Melayu dalam kalangan orang Melayu hari ini: Barat pun tidak, timur pun tidak, Islamik pun tidak, Melayu pun tidak.

Nilai adab, nilai budi, makin lama makin luput daripada “minda” dan pekerti Melayu “moden” yang tidak maju itu, yakni maju dari segi pemikiran dan akal budi mereka sebagai bangsa Melayu yang mewarisi tamadun yang hebat itu. Kisah dan realiti tamadun atau tradisi Melayu ini sepatutnya didedahkan, dihebahkan dan diajarkan kepada semua golongan Melayu di negara ini, termasuk para pegawai Melayu, peniaga, usahawan, ahli korporat, kapitalis Melayu, ahli UMNO, PEMUDAnya, WANITAnya, dan komponen PUTERInya, dan ahli politik PAS, PKR bahkan para menteri Melayu.

Anak-anak muda Melayu yang dikatakan makin banyak yang menjadi mangsa perniagaan dadah di Malaysia, yang dikatakan suka melepak dan berfoya-foya, harus dipulihkan melalui didikan tamadun Melayu. Tamadun Melayu mesti dijadikan bahan pendidikan penting di sekolah dan di universiti. Jangan kita terlalu sibuk membicarakan tamadun atau peradaban Melayu di peringkat akademik dan dalam kalangan sarjana tamadun Melayu sahaja kalau mesejnya tidak sampai ke seluruh umat Melayu. Buku tentang tamadun Melayu perlu diterbitkan sebanyak mungkin.

Barulah segala wacana tentang peradaban Melayu ada hasil praktiknya, untuk mengubah minda atau fikiran Melayu daripada yang tidak beradab kepada “yang berbudi” atau beradab. Peradaban berdiri atas adab. Kemajuan dalam bidang apapun, terutama dalam bidang fizikal atau materialistik, pasti tidak akan tahan lama, jikalau kemajuan itu tidak disandarkan pada akal dan pemikiran yang beradab. Tradisi ini ada pada bangsa Cina, bangsa Jepun, dan bangsa-bangsa lain yang tidak melakukan keganasan di dunia ini, seperti yang dilakukan oleh kerajaan Amerika Syarikat yang dipimpin oleh orang yang mewarisi sejarah keganasan sejak zaman nenek moyang mereka memusnahkan penduduk peribumi di situ.

Thursday, October 31, 2013

Tamatnya Kuasa Melayu di Malaysia?



Saya dengar ada orang Melayu yang “meramalkan” bahawa pada abad ini kuasa Melayu di Malaysia akan tamat. Apabila kuasa Melayu tamat, sejarahnya juga akan tamat, segala yang ada pada orang Melayu, yang diwarisinya sejak zaman-berzaman, akan tamat. Ramalan karut? Mungkin ya, mungkin tidak. 

Cuba kita melihat perkembangan yang berlaku pada orang Melayu di negara ini sebelum dan selepas kemerdekaan. Sebelum kemerdekaan pada tahun 1957, selama lebih kurang satu abad, bermula dengan Perjanjian Pangkor pada tahun 1874, kuasa Melayu di Tanah Melayu (ini termasuk Singapura dan Pulau Pinang) diambil alih secara efektif oleh kuasa British. 

Sistem pentadbiran British menggantikan pemerintahan feudal dan aristokrasi tradisional Melayu. Undang-Undang Anglo-Saxon dan Common Law Inggeris, menggantikan Undang-undang Melaka dan Undang-undang Melayu yang diwarisi dari zaman kerajaan Melayu Melaka. Pendidikan tradisional Melayu digantikan dengan pendidikan Inggeris, berdasarkan sukatan pelajaran yang berkiblat kepada sejarah, budaya, pemikiran, dan tamadun Inggeris. 

Bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan utama, bahasa pentadbiran, bahasa mendapat pekerjaan yang mempunyai nilai ekonomi, profesional, dan sosial yang jauh lebih tinggi daripada jenis pekerjaan yang tidak memerlukan pengetahuan bahasa Inggeris. Orang Melayu yang berpendidikan bahasa Melayu peringkat rendah sekolah Melayu pada zaman itu hanya layak diberikan pekerjaan sebagai “orang suruhan” atau orang yang hanya bergerak menurut arahan dan perintah ketuanya yang berpendidikan Inggeris. 

Orang Melayu yang berpendidikan Melayu sampai ke tahapnya yang tertinggi, iaitu kelulusan Darjah Enam sekolah rendah Melayu, berpeluang dipilih untuk menjadi guru sekolah Melayu. Kekayaan Tanah Melayu tidak dikuasai oleh orang Melayu tetapi oleh kapitalis British dan kaum pendatang. Orang Melayu tidak digalakkan oleh dasar British untuk menjadi pedagang dan peniaga, dan golongan usahawan (kapitalis). 

Mereka hendaklah kekal hidup di kampung Melayu sebagai petani, pesawah, dan pekebun kecil. Sistem pendidikan Melayu dikaitkan dengan dasar ekonomi pertanian Melayu, anak-anak Melayu perlu menjadi manusia yang lebih “literat” (yakni tahu membaca, menulis, membuat kira-kira campur, tolak, dan darab dalam bahasa Melayu) daripada ibu bapa mereka yang “buta huruf” (walaupun kita tahu bahawa orang yang “buta huruf” tidak bererti mereka buta hati, buta fikiran, dan buta akal). 

Pernah seorang pegawai kolonial Inggeris dari India datang ke Tanah Melayu dan memberitahu ahli-ahli Majlis Perundangan di Perak bahawa jika orang Melayu “terlalu terdidik” (over educated), kemungkinan mereka akan bangkit menentang pemerintahan British, seperti yang pernah berlaku di India, kata pegawai kolonial British itu. Kemiskinan orang Melayu di luar bandar hingga kini masih belum dapat diatasi sepenuhnya, berbanding dengan kaum lain, berpunca daripada dasar British yang menyekat orang Melayu untuk maju melalui perdagangan dan perniagaan. 

Dasar atau rancangan British untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai “koloni” British terserlah apabila mereka cuba menghapuskan “kedaulatan” raja Melayu dan hak-hak Melayu di tanah airnya sendiri melalui gagasan Malayan Union pada tahun 1946. Nasib baik orang Melayu cepat menyedari akan muslihat rancangan ini, lalu dengan gerakan yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar, semangat orang Melayu di seluruh Tanah Melayu dapat dibangkitkan untuk menentang rancangan anti-Melayu itu. 

Dalam perjuangan ini, orang Melayu bertindak bersendirian, yakni mereka tidak mendapat sokongan daripada kaum lain, kerana kaum lain nampak bahawa rancangan Malayan Union menguntungkan mereka. Hal ini diakui oleh ahli sejarah Inggeris yang terkenal, iaitu Percival. Raja-raja Melayu (walaupun tidak semuanya) tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan orang Melayu, walaupun mereka tahu bahawa kedaulatan mereka akan hapus mereka akan dijadikan “rakyat” raja British dan mereka juga tentunya sedar bahawa nasib orang Melayu akan hancur jika gagasan Malayan Union dilaksanakan. 

Raja-raja Melayu terpaksa dirayu oleh Datuk Onn supaya menyokong perjuangan kebangsaan bangsa Melayu. Orang Melayu tentunya percaya bahawa perjuangan mereka berjaya kerana pihak British dikatakan telah mengalah, lalu bersetuju mengkaji semula rancangan mereka itu. Yang menggantikan Malayan Union ialah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya Agreement) pada tahun 1948. 

Tanah Melayu tetap diperintah secara langsung melalui institusi barunya, iaitu Pesuruhjaya Tinggi yang menjadi Pengerusi dalam Persidangan Raja-Raja Melayu. Itulah lebih kurang kisah sejarah Tanah Melayu dalam tempoh kira-kira satu abad British memerintah kita. Selepas kemerdekaan, orang Melayu dapat “bangkit semula”, menerajui pemerintahan tetapi melalui perkongsian kuasa antara kaum, mula-mula dalam bentuk kerajaan Perikatan UMNO-MCA-MIC, kemudian pada tahun 1970-an, perikatan ini diperbesar menjadi Barisan Nasional. Bahasa Melayu diisytihar sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Sistem pendidikan British digantikan dengan sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu (bahasa Kebangsaan) sebagai bahasa pengantar utamanya. 

Maka ribuan, malah ratusan ribu anak-anak Melayu, termasuk anak-anak dari kaum lain, mendapat peluang pendidikan hingga ke peringkat menengah dan seterusnya ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa ini. Walaupun dasar pendidikan baru ini pada mula tidak disukai oleh kaum lain namun sistem ini mencapai kemantapannya pada tahun 1980-an hingga ke tahun 1990-an. Pelajar kaum itu ternyata tidak menjadi mangsa kepada sistem itu, malah mereka dapat mengatasi pelajar Melayu, terutama dalam mata pelajaran Sains, walaupun bahasa pengantarnya bahasa Melayu. Di peringkat pengajian tinggi awam, pelajar yang cemerlang, yang mendapat kelulusan kelas pertama dalam ijazah pertama dalam pelbagai bidang ilmu, kebanyakannya pelajar bukan Melayu. 

Jadi, selepas lebih 30 tahun sistem pendidikan kebangsaan dilaksanakan, kemajuan atau pencapaian orang Melayu dalam bidang pendidikan berbanding dengan kemajuan pelajar bukan Melayu menjadi “isu Melayu” yang tidak habis-habis dibincangkan oleh orang Melayu. Orang lain mungkin ada isunya juga tetapi tidak diheboh-hebohkan kerana barangkali mereka cuba mengatasinya melalui usaha sendiri secara senyap-senyap, sedangkan orang Melayu tidak habis-habis mencari kesalahan pada sistem itu (walaupun ini tidak bererti tidak ada kelemahan pada sistem itu) atau mendedahkan kelemahan diri sendiri tanpa melakukan tindakan usaha sendiri untuk mengatasinya. 

Dasar liberalisasi kerajaan terhadap pendidikan tinggi dan terhadap penggunaan bahasa Inggeris di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) juga telah menambahkan lagi kadar tidak seimbang antara orang Melayu dengan kaum lain dari segi perkongsian hasil kemajuan negara. Orang Melayu makin lama makin susah hendak mendapat pekerjaan, terutama dalam sektor swasta yang makin dikuasai oleh orang bukan Melayu, kerana syarat untuk mendapat pekerjaan dalam sektor itu sekarang ialah pengetahuan bahasa Inggeris atau bahasa Mandarin. 

Maka pengangguran dalam kalangan siswazah Melayu kian meningkat. Yang paling dahsyat ialah permusuhan politik UMNO dan PAS sudah sampai ke tahap yang sangat membahayakan perpaduan Melayu. Para penyokong daripada kedua-dua parti Melayu-Islam ini tidak segan-silu memaki hamun, menjatuhkan maruah bangsa sendiri dengan mengutuk, menghina, dan membodoh-bodohkan orang Melayu. Segala pekung Melayu didedahkan, kebaikannya sudah tidak kelihatan lagi. Rakyat Melayu yang memerhatikan telatah Melayu ini makin lama makin “meluat”, akhirnya mereka tidak akan mempunyai apa-apa kesedaran politik dalam jiwa mereka, lalu berdiam diri dalam kepedihan menahan rasa. 

Disebabkan ketidakbijaksanaan, kelantangan, dan celupar mulut beberapa orang Melayu yang ghairah memburuk-burukkan pihak lawan daripada bangsa sendiri, akhirnya seluruh umat Melayu yang pada tahun 1946 bersatu untuk menentang kejahatan. Kali ini penjajah baru, musuh baru orang Melayu-Islam di Malaysia akan masuk di celah-celah perpecahan barisan Melayu itu, untuk meraih keuntungan politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Tetapi kita tidak nampak kerana kita sedang sibuk “berperang” antara sesama bangsa sendiri. Inilah puncanya Melayu mudah dijajah oleh kuasa asing. 

Melayu menggunakan tongkat kuasa untuk memukul bangsa sendiri. Sejarah ini sedang berulang. Abad ke-21 masih panjang. Kalau dalam tempoh 40 tahun, sejak kemerdekaan, bangsa Melayu boleh sampai ke tahap hendak jatuh semula setelah bangun kembali, maka kita boleh meramalkan apakah yang akan terjadi kepada bangsa ini jikalau perkembangan seperti ini berterusan sepanjang abad ini. Hari ini orang Melayu sudah mula dapat melihat tanda-tandanya. Mereka tidak nampak apakah orang Melayu, dalam masa yang singkat, dapat membetulkan keadaan dan gawat dirinya untuk mengelakkan berlakunya kemungkinan Melayu tidak akan sampai ke tahap apabila segala-galanya tidak dapat dibetulkan lagi. Hanya menunggu saat kemuncak tamatnya kuasa Melayu itu di negara.

Tuesday, October 8, 2013

KONGRES MELAYU YANG MENEBUS MARUAH MELAYU - Ucapan Dato Onn Jaafar Mac 1946

Ucapan Dato’ Onn Jaafar’ sebagai pengerusi persidangan kongres Melayu yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada 1-4 Mac 1946.


Yang amat mulia tengku-tengku, datuk-datuk,saudara-saudara lelaki dan perempuan sekalian. Sebelum saya ucapkan berkenaan dengan tujuan atas fasal yang pertama di dalam agenda mesyuarat ini, saya ucapkan terima kasih dengan setulus-tulus hati kerana kehormatan yang tinggi yang tuan-tuan kurniakan kepada saya dengan melantik saya sebagai pengerusi bagi persidangan yang sangat bermakna bagi wakil-wakil umat Melayu dan segenap negeri dan jajahan Tanah Melayu ini. Saya mencadangkan kongres ini, tetapi mereka yang menanggung keberatan, oleh itu saya ucapkan terima kasih. 

Kepercayaan tuan-tuan ialah satu benda yang tidak dapat saya Iafazkan dengan lidah. Perbuatan atas saya lafaz kepercayaan tuan-tuan atas mustahaknya persidangan, sebagaimana yang berkumpul di sini dan atas kemahuan dan keazaman tuan-tuan, dan rundingan-rundingan dan keputusan hari ini hendak membinakan tapak-tapak bangunan yang akan menghasilkan dan mengesahkan cita-cita bangsa kita yang telah lama diidamkan iaitu persatuan di antara kita sendiri.

Apakah maksud dan tujuan yang telah menghimpunkan kita beramai-ramai pada hari ini? Adapun maksud dan tujuan ini ialah keyakinan di hati kita bahawa nasib bangsa kita ini hanyalah dapat diperkekalkan dengan kesatuan hati di antara kita juga dan kesatuan kebangsaan kita itu hanyalah akan dapat dipeliharakan dengan berpegang kepada kepercayaan yang lebih besar dan lebih tinggi daripada bangsa itu sekalian. Sebagaimana kita ini ada menaruh fikiran faham yang berlainan dan apa juga taraf dan kedudukan kita, adalah sama sahaja hakikat dan kehendak kita itu, iaitu kita berkehendak meninggikan dan memeliharakan maruah serta kesopanan bangsa kita. Kita berkehendak tanahair dan bangsa kita ini terselamat dan kuat. Kedua-duanya itu hanyalah boleh terselamat jika kuat, dan hanyalah boleh kuat jika bersatu padu. Dan lagi kita berkehendak mengambil bahagian dan pikulan kita pada menolakkan, selagi ada masanya, akan keaiban yang disebabkan oleh kebinasaan dan kehapusan bangsa kita. Kita berkehendak melihat supaya berhasil persatuan di antara bangsa kita ini disokong dan dibantu dengan sepenuh-penuh serta secukup kekuatan menurut kehendak zaman yang ada ini.

Pada waktu dan zaman kehidupan kita ini, setelah ditimpa sesuatu peperangan yang tiada bandingannya di dalam tawarikh dunia, maka sekalian manusia di dalam segala negeri berharap akan dapat merasai sesuatu keadaan hidup yang lebih baik dan lebih selamat daripada yang sudah.

Apakah kita berkehendak memandang sahaja akan hal-hal itu atau apakah kita berkehendak juga menyaingi mereka itu? Belumlah pernah lagi terhadap kepada kita suatu peluang sebagaimana yang ada ini memilih yang mana kita berkehendak ini. Apakah kebahagiaan atau kecelakaan? Maka pilihan itu adalah terbuka kepada tuan-tuan sekalian pada memilihnya. Timbangan neraca nasib bangsa kita itu adalah di dalam genggaman tuan-tuan pada hari ini. Keputusan dan pilihan tuan-tuan itu akan menentukan sama ada sekiranya kita akan mengambil bahagian yang terpuji pada memberatkan timbangan neraca itu kepada mendatangkan kepercayaan daripada kebimbangan dan kebahagiaan dan daripada kesengsaraan. 

Adapun kemudian daripada kemalangan yang terbit daripada peperangan dunia yang baru lepas ini maka bangsa-bangsa dunia telah bersatu padu mengadakan satu ikhtiar bagi menyelamatkan dirinya daripada dibinasakan oleh bangsa yang lain serta mengadakan satu ikhtiar bagi membetulkan perkara-perkara yang mendatangkan kesusahan kepadanya dengan tidak payah lagi bermusuh-musuhan. Maka daripada ikhtiar lahirlah UMNO ini. Orang-orang Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu telah mendirikan persekutuan, persatuan, kesatuan, parti dan pergerakan, kesemuanya dengan satu tujuan iaitu hendak menyatukan dan memperbaiki keadaan kehidupan bangsanya. Maka hanya itu telah didirikan Persekutuan dan lain-lain itu telah membantutkan tujuan kesemuanya dan tiap-tiap sebuah daripadanya itu, maka daripada bersatu hati telah tersemai pula benih yang kelak membawa kepada berpecah belah. Perusahaan kita tiada menyamai dengan cita-cita dan tujuan-tujuan kita. 

Terbayanglah di sini bayangan berpecah belah dan kehampaan. Kedengaranlah kepada kita ejekan-ejekan dan celaan-celaan oleh tiada berhasil sebagaimana cita-cita kita ini. Kiranya telah ada berpecah belah itu maka hendaklah kita memperbetulkannya. Apakah kita berfikir perbuatan ini tidak terdapat kepada kita membuatnya? Sebagaimana juga bangsa-bangsa dunia telah berkumpul pada mengadakan satu ikhtiar bagi keselamatannya dan supaya mempertahankan serangan di atasnya dan supaya perkara-perkara yang mendatangkan kesusahan padanya dan orang-orangnya boleh dapat diperbaiki. Maka demikianlah Persekutuan Melayu dan lain-lain itu hendaklah berkumpul supaya kesusahan-kesusahan orang-orangnya dapat diperbaiki dan diselamatkan. Adapun ikhtiar yang terbuka daripada umat Melayu itu ialah mengadakan persatuan di antara kesatuan-kesatuan iaitu berdiri serta berpegang teguh kepada kesatuan itu. Dari segala corak merupa Semenanjung Tanah Melayu  ini telah kedengaran kepada kita seruan supaya bersatu dan pada hari ini kesungguhan semua ini akan beruji dan tatkala di dalam ujian ini maka tuan-tuan yang mewakili mereka itu hendaklah bersatu suara supaya semua ini akan dapat sahutannya. 

Di luar negara kita yang dulu senang dan makmur maka dunia ini adalah gelap gelita. Di dalam negara kita sendiri maka perkembangan sebuah negeri yang makmur dan senang - itu mengandungi penduduk yang tersenyum dan bersenang had telah dicemarkan oleh pergaduhan bangsa-bangsa serta perbuatan yang menyalahi di atas kita. Adalah terbayang suatu kebimbangan keadaan yang ada ini bukanlah sebagai yang patutnya. Akan tetapi janganiah hal-hal ini mendatangkan kecil hati kepada tuan-tuan pada han ini lebih danipada lain masa di dalam tawanikh dan kehidupan umat Melayu. Adalah dikehendaki kita bersabar dan bertenang fikiran supaya dapat kita menimbangkan secara yang benar akan olakan-olakan yang terbit daripada dunia ini. 

Pada hari ini lebih daripada lain-lain masa di dalam tawanikh bangsa kita, adalah dikehendaki kita berkuat hati supaya dapat kita hadapkan apa jua akan datang dengan kepercayaan di atas diri kita sendiri. Marilah kita tunjukkan kepada dunia iaitu roh dan semangat datuk nenek kita ini masih ada lagi dengan kita. Marilah kita tunjukkan kamu masih boleh mengangkat kepala dan menatap dunia sebagaimana orang yang benar dan kuat hatinya membuat. Marilah kita tunjukkan iaitu seberat-berat paluan boleh kita pertahankan dengan tersenyum dan berhidup dengan lebih segar daripada dahulu. Marilah kita tunjukkan iaitu dengan pensatuan di antara kita berkehendakkan menzahirkan satu bangsa yang lebih tegap dan subun, boleh berdiri di atas tapak kaki kita sendiri dan mengambil tempat kita yang sebenar di sisi bangsa-bangsa lain yang tegap dan bersatu. Marilah kita menegakkan akan diri kita, tidak kurang sedikit pun dari lain-lain bangsa. Marilah kita bersatu dan berusaha bagi faedah bangsa kita dan marilah kita bekerjasama dan menyamakan perusahaan-perusahaan kita itu bagi melayakkan diri kita menjadi satu bangsa yang benar. 

Bersatulah sebagaimana kita belum pernah bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita ini sebenar-benarnya berketununan datuk nenek kita yang menghadapi bahaya dan bersatu hati. Dengan bersatu itu sahaja akan dapat kita menghadapi masa yang akan datang dengan harapan dan akan menjadi cita-cita kita ini. Hadapilah apa-apa yang akan datang itu dengan hati yang kukuh dan perasaan yang sabar serta dengan sepenuh-penuh kepercayaan di atas keikhlasan niat-niat dan tujuan-tujuan kita itu. Insya-AlIah pada suatu hari kita akan hidup didalam cahaya sinaran kemerdekaan, sama taraf dengan orang-orang yang merdeka dan menjadi kemegahan kepada diri kita sendiri. Saya telah mendengar iaitu persatuan diantara onang-orang Melayu akan menjadi berbahaya kepada lain-lain bangsa di dalam Semenanjung Tanah Melayu ini  akan tetapi saya tidak mengerti apa sebabnya. 

Sebaliknya pula persatuan umat Melayu itu akan menjadi lebih-lebih membawa kepada ketetapan dan keadilan di dalam negeni kita, yang di dalamnya kita sentiasa telah memberi, akan tetapi tiada mendapat balasan yang berpadanan. Berlawan-lawan di dalam segala perkara kehidupan sememang telah ada dan masih akan ada lagi, akan tetapi berlawanan yang benar tidak patut dibimbangkan bahkan patut disambut. Sungguhpun pada masa setahun atau lebih yang baru  lepas ini telah berlaku beberapa kejadian di antara bangs-abangsa yang telah mencacatkan kehidupan benibu-nibu orang yang telah hidup dengan baik dan semenjak sebelum Semenanjung ini diperintah oleh suatu bangsa, akan tetapi tiada patut dibimbangkan bahawa kesatuan di antara onang Melayu itu akan membawa kepada pergaduhan dan perkelahian lagi. Sebelum saya tutupkan percakapan saya ml, maka saya hendak bercakap sedikit bagi maruah dan nama bangsa kita. Adapun tuan-tuan yang berhimpun di sini pada hari ini ialah wakil-wakil yang terpilih dan tiap-tiap sepatah perkataan dan tiap-tiap satu gerak-geri dan perbuatan tuan-tuan itu akan ditimbangkan dan diperhatikan. 

Yang demikian itu jemputlah menjalankan rundingan kita ini dengan keadaan berbaik-baik dan berikhlasnya hati dan jika sekiranya ada yang hendak mendatangkan teguran, maka biarlah teguran-teguran barang yang bernas dan memberi faedah. Tuan-tuan adalah dikehendaki memberi satu keputusan sahaja iaitu adakah atau tidak hendak dijadikan UMO. Butir-butir pendirian dan penjalanan UMNO itu ialah perkara yang tuan-tuan juga mesti menetapkan. Saya hanya meminta supaya fikiran dan syor-syor yang berfaedah tatkala dibukakan peluang bagi merundingkan perkara-perkara ins. Demikianlah pencakapan saya, dengan mengulangi sekali lagi sepenuh-penuh tenima kasih daripada hati saya yang ikhlas.

Sunday, December 25, 2011

AKAR MELAYU: KERAJAAN MELAYU ISLAM TERAWAL DI NUSANTARA oleh by Hibatullah Yusof Al-Haj on Tuesday, 22 February 2011

by Hibatullah Yusof Al-Haj on Tuesday, 22 February 2011 at 10:08



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


PENDAHULUAN


Saya catat di sini kronologi kerajaan Islam paling awal di Nusantara hasil perbincangan sahabat-sahabat dalam jurai ini. Bahagian ini saya kemaskini bila ditemui bukti wujudnya kerajaan lebih awal:


KRONOLOGI SEJARAH KERAJAAN ISLAM NUSANTARA

610 M - Nabi Muhammad SAW diangkat jadi Rasul = (13 tahun sebelum Hijrah).

610 M - Rasulullah SAW menerima wahyu pertama kali

615 - 618 M - Rasulullah SAW mengutus sahabat ke seluruh penjuru dunia; Ja'far ibn Abi Thalib ke Afrika Utara, Muadz ibn Jabal ke Yaman dan Arab Selatan, Saad ibn Lubaid ke Eropa Timur, Yusuf ke Kanton/Cina (membangun masjid Kuang Ta bersama warga Cina marga Sui), Abdullah ibn Mas'ud ke Sumatera bersama Qabilah Bani Thoyk (Aceh) dan beberapa orang leluhur Aceh ikut berperang bersama Nabi SAW. Membangun Kesultanan Tace.

622 M = 1 Hijrah

625 M - Perkampungan Islam di BARUS, Sumatera = 3 Hijrah.

627 M - pembangunan masjid pertama di Aceh (bersamaan dengan Masjid Kuang Ta di Canton dan Masjid di San'a Yaman)

631 - Abdullah ibn Mas'ud berdakwah keliling Sumatera dan seluruh Nusantara.

632 - 640 M - Sayyidina Ali ibn Abi Thalib berkeliling Aceh, Malayu, Suvarnabhumi, Galunggung, Panjalu, Tarumanegara, Kalingga, Wiratha, dll.

632 M - Rasulullah SAW wafat = 11 Hijrah.

648 - 649 M - Kartikeyasingha II memimpin Kalingga bersama Sri Ratu Sima, dinikahkan oleh Sayyidina Ali dan dibimbing bersama Sayyidina Ali + Abdullah ibn Mas'ud.

650 - 655 M - Di bawah bimbingan Sayyidina Ali terbentuk jaringan silaturahmi Tace, Kalingga dan Tiongkok

655 M - Saidina Zaid bin Harithah dihantar ke LAMURI, Sumatera = 35 Hijrah.

656 - 661 M - Pangeran Borosngora, dari Panjalu, Tanah Sunda berangkat ke Kufah belajar Islam.

662 M - Ramai penduduk Kufah hijrah ke Nusantara.

664 - 665 M - Hoei Ning menulis Kitab Hinayana, iaitu ajaran Islam tentang Zuhud.

674 M - Kalingga menerapkan potong tangan pada pencuri, sesuai syariat Islam

718 M - Kesultanan ZABAJ ISLAM (Jambi) = 99 Hijrah.

718 M - Srindravarman dari Zabaj bersurat kepada Sultan Umar ibn Abdulaziz

732 M - Syekh Subakir (Muhammad Al-Baqir) mendirikan pesantren di Bukit Tidar, Magelang, Jawa

820 M - Kesultanan SAMUDERA = 205 Hijrah.

840 M - Kesultanan PERLAK = 225 Hijrah.

960 M - Kesultanan LAMURI = 349 Hijrah.

1136 M - Kesultanan LANGKASUKA = 530 Hijrah.

1267 M - Kesultanan PASAI = 665 Hijrah.

1436 M - Kesultanan ACEH DARUSSALAM = 901 Hijrah.


Menurut catatan sejarah, Islam sudah sampai ke BARUS, Sumatra 15 tahun setelah Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul, iaitu Tahun 3 Hijrah (625 Masehi). Satu rombongan diketuai oleh Sahabat Rasulullah SAW bernama Abdullah bin Mas'ud RA bersama 100 rombongan Qabilah Tachiek direkodkan sampai ke Barus. Pada ketika itu sudah berlaku perkahwinan antara pedagang Muslim dari Tanah Arab dengan wanita Melayu. Islam sampai ke China lebih awal, iaitu sekitar 616 Masehi (7 tahun sebelum Hijrah) dibawa oleh Sahabat yang bernama Saad bin Abi Waqqas RA. Sahabat bernama Zaid bin Harithah RA di hantar ke alam Melayu pada 35 Hijrah (655 Masehi) iaitu kira-kira 40 tahun setelah Saad RA sampai ke China.


JAMBI (ZABAJ ISLAM) dipercayai merupakan kerajaan Islam paling awal di Nusantara. Secara kebetulan pula, kerajaan inilah yang juga disebut Kerajaan MELAYU. Nama MELAYU dan JAMBI digunakan bersilih-ganti dalam banyak teks sejarah. Perkataan 'MALAYU' ditemui diukir pada sebuah tugu dianggarkan berusia sekitar 1286 Masehi. Ia ditemui di Padang Rocore, berhampiran muara sungai Batang Hari. Jika ada maklumat yang kurang tepat, saya harap sahabat-sahabat tolong betulkan. Sila catat di jurai bawah, dan saya akan masukkan dalam Kronologi di atas.

______

BARUS

Berikut adalah petikan mengenai sebahagian dari sejarah Islam di Barus, semoga bermanfaat:


633-661 M

Dikatakan pemerintahan Khulafa Al Rasyidin telah menjalin hubungan dengan beberapa kerajaan di Sumatera, termasuk Batak. Tapi hubungan itu masih sekedar hubungan antar negara dalam sebuah upaya untuk menjalin hubungan kerjasama ekonomi. Kapur barus, emas, merica dan rempah-rempah lainnya. Sumatera dikenal dengan istilah Zabag. Beberapa catatan mengenai kedatangan utusan dan pelaut Muslim ke Barus dan pelabuhan Sumatera lainnya yang dikuasasi Sriwijaya pernah didokumentasikan.


661-750 M

Pelaut-pelaut Arab yang Islam mulai berdatangan secara intens di masa pemerintahan Dinasti Umayyah. Kedatangan mereka untu misi dagang tersebut telah membentuk kantong-kantong muslim di tanah Batak, khususnya Barus, yang tentunya terjadinya transfer ilmu pengetahuan kepada penduduk setempat melalui medium non-formal.


718-726 M

Islam berkembang pesat di tanah Barus. Di lain pihak Islam berkembang di Sumatera masuknya beberapa raja Sriwijaya kepada Islam. Diantaranya Sri Indra Warman di Jambi.


851 M

Seorang pedagang Arab berhasil mendokumentasikan kedatangannya di kota Barus. Laporan Sulaiman itu pada tahun 851 M membicarakan tentang penambangan emas dan perkebunan barus (kamper) di Barus (Ferrand 36).Dicatat bahwa para pendatang asing seperti Romawi, Yunani, Arab, Cina, India, Persia dan dari kepulauan Indonesia lainnya telah membangun kantong-kantong pemukiman yang lengkap dengan prasarana pendukungnya di Barus. Penambangan emas dan perkebunan kamper tersebut merupakan contoh bahwa kedua komoditas ini telah diolah secara modern dan bukan didapat secara tradisional di hutan-hutan.


Sekarang ini ahli sejarah menemukan bukti-bukti arkeologis yang memperkuat dugaan bahwa sebelum munculnya kerajaan-kerajaan Islam yang awal di Sumatera seperti Peurlak dan Samudera Pasai, yaitu sekitar abad-9 dan 10, di Barus telah terdapat kelompok-kelompok masyarakat Muslim dengan kehidupan yang cukup mapan (Dada Meuraxa dalam Ali Hasymi, Sejarah Masuk dan Perkembangan Islam di Indonesia, bandung PT Al Maarif 1987). Kehidupan yang mapan itu pula memungkinkan mereka untuk hidup secara permanen di kawasan ini yang sudah pasti didukung oleh sarana pengembangan ilmu pengetahuan agar mereka tidak tertinggal dengan pesaing lainnya.


Sebagai pelabuhan yang sangat masyhur, Barus menjadi tujuan pendidikan tertua bagi masyarakat Batak. Hal ini dikarenakan bahwa Barus merupakan wilayah Batak yang paling mudah dicapai oleh orang-orang Batak dari pedalaman yang ingin menimba ilmu. Jalan-jalan menuju Barus telah dirintis rapi oleh pedagang-pedagang Batak yang ingin menjual kemenyan dan membeli produk jadi dari Barus. Sampai era tahun 1980-an, madrasah-madrasah tradisional Barus masih menjadi primadona tujuan pendidikan di tanah Batak sebelum akhirnya digantikan oleh Mandailing dengan pesantren-pesantrennya yang sudah modern.


Masuknya gelombang pedagang dan saudagar ke Barus mengakibatkan penduduk lokal Batak di lokasi tersebut; Singkil, Fansur, Barus, Sorkam, Teluk Sibolga, Sing Kwang dan Natal memeluk Islam setelah sebelumnya beberapa elemen sudah menganutnya. Walaupun begitu, mayoritas masyarakat Batak di sentral Batak masih menganut agama asli Batak.


Kelompok Marga Tanjung di Fansur, marga Pohan di Barus, Batu Bara di Sorkam kiri, Pasaribu di Sorkam Kanan, Hutagalung di Teluk Sibolga, Daulay di Sing Kwang merupakan komunitas Islam pertama yang menjalankan Islam dengan kaffah.


Maklumat lanjut: http://islamagamaku.blogdetik.com/page/136/?s

______________________________________________________

SAMUDERA PASAI KERAJAAN ISLAM AWAL DI NUSANTARA


Ibnu Batutah catat wilayah diperintah Sultan Mahmud Malik Zahir sebagai maju, pelabuhan besar dan gemilang. KETIKA berada di China sekitar abad ke-14, pengembara Islam terkenal, Ibnu Batutah terlihat satu bahtera asing berlabuh di pelabuhan negara itu. Selepas diselidikinya, beliau dimaklumkan yang bahtera itu milik Sultan Samudera Pasai. Kehadiran bahtera bersama wakil utusan Sultan Samudera Pasai ke China adalah secara rutin berikutan kerajaan itu perlu menyerahkan ufti kepada Kerajaan China mengikut senggang masa tertentu.

Seterusnya beberapa tahun kemudian iaitu pada 1346, ketika dalam perjalanan merentas jalan laut dari Tanah Arab ke China, Ibnu Batutah sempat mengunjungi Kerajaan Samudera Pasai yang terletak di pinggir Selat Melaka (kini Wilayah Aceh).



Wang Emas Kerajaan Pasai.


Melihat keadaan di negeri berkenaan, pengembara yang berasal dari Maghribi itu membuka helaian kertas jurnal perjalanannya, mengambil pena dan mula mencatatkan pendapatnya mengenai kerajaan berkenaan. Antara terjemahan catatannya berbunyi lebih kurang begini: “Samudera Pasai adalah negeri nan hijau dan subur, rakyat dan alamnya indah dan menawan, (ia) negeri yang menghijau dan kota pelabuhannya besar dan indah.”


Ketibaan Ibnu Batutah di negeri itu disambut baik Panglima Daulasah, Qadi Syarif Amir Sayyir Al-Syirazi, Tajuddin Al-Asbahani dan beberapa ulama ahli fiqh di kerajaan berkenaan atas perintah Sultan Mahmud Malik Zahir.


Ibnu Batutah mencatat lagi dalam jurnalnya. Pada pandangannya, Sultan Mahmud adalah penganut mazhab Syafie yang giat menyelenggarakan pengajian, perbahasan dan muzakarah mengenai Islam sehingga menyebabkan Samudera Pasai menjadi pusat tumpuan pengajian Islam ketika itu. Mengenai peribadi dan corak pemerintahan Sultan berkenaan, beliau menulis:


“Sultan sangat rendah hati dan berangkat ke masjid untuk solat Jumaat dengan berjalan kaki. Selesai solat, Sultan dan rombongan mengelilingi kota untuk melihat keadaan rakyatnya.”


Ibnu Batutah berada di Samudera Pasai selama 15 hari. Sebelum berangkat meninggalkan wilayah Nusantara itu, beliau sempat mengunjungi pedalaman Sumatera yang masih dihuni masyarakat bukan Islam.


Di situ, beliau menyaksikan beberapa perlakuan masyarakat yang mengerikan antaranya upacara bunuh diri beramai-ramai yang dilakukan golongan hamba ketika pemimpinnya mati.


Demikianlah antara beberapa catatan Ibnu Batutah mengenai Samudera Pasai, satu kerajaan silam yang hebat serta wujud lebih 600 tahun lalu malah didirikan lebih awal daripada Kerajaan Melaka.


Kini, Kerajaan Samudera Pasai sudah tiada. Susur galur dan kehebatannya hanya dikenang lewat catatan sejarah silam antaranya menerusi ‘Hikayat Raja-raja Pasai’ selain penemuan pelbagai tinggalan arkeologi yang ditemui di Wilayah Aceh. Samudera Pasai mencatat rekodnya tersendiri dalam sejarah Melayu kerana ia dianggap Kerajaan Melayu pertama yang menerima Islam. Ketika Majapahit atau Srivijaya masih berpegang kepada fahaman Hindu-Buddha, pemimpin dan rakyat Samudera Pasai sudah mengucap dua kalimah syahadah dan mentauhidkan Allah SWT.


Detik pertukaran daripada pengamalan ajaran Hindu-Buddha kepada Islam itu bermula sekitar 800 Masihi apabila sebuah kapal saudagar Islam dari Gujerat tiba di Bandar Perlak (satu daripada kawasan di wilayah Aceh). Ketibaan kumpulan saudagar diketuai Nakhoda Khalifah itu tidak saja untuk urusan perdagangan malah untuk menyebar dakwah. Penerimaan baik penduduk tempatan terhadap dakwah Islamiah selain perkahwinan campur antara gadis tempatan dengan saudagar Muslim menyebabkan Islam mula tersebar ke seluruh wilayah Aceh dalam tempoh 40 tahun saja.




Manuskrip mengenai Kerajaan Pasai


Seterusnya Kerajaan Perlak dan Kerajaan Pasai (satu lagi kerajaan yang wujud di wilayah Aceh ketika itu) disatukan sehingga wujudnya Kerajaan Samudera Pasai. Sultan pertamanya adalah Sultan Malik Al-Saleh dan baginda dikahwinkan dengan Puteri Ganggang iaitu puteri pemerintah Perlak ketika itu, Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Shah II Johan Berdaulat.


Di bawah pemerintahan berasaskan tauhid kepada Allah itu, Samudera Pasai menjadi Kerajaan Islam yang terkenal dan maju.

Kerajaan itu menjadi tumpuan kunjungan saudagar daripada pelbagai negeri seperti China, India, Siam, Arab dan Parsi malah angkatan dagangan Samudera Pasai turut merentas laut untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan luar. Selain menghantar ufti ke China, Sultan Pasai turut mengirimkan utusan ke Quilon, India Barat pada 1282 Masihi.


Dagangan utama di wilayah itu adalah lada. Kemajuan perdagangan yang dialami mereka menyebabkan Samudera Pasai turut menghasilkan mata wang emas yang disebut dirham dan mata wang itu digunakan secara rasmi oleh kerajaan mereka.

Selain berkembang sebagai pusat perdagangan, Samudera Pasai turut menjadi pusat perkembangan ilmu dan Islam. Ajaran Islam menerusi kitab bertulis Arab kemudian mencetuskan penghasilan tulisan jawi yang akhirnya menjadi warisan budaya Melayu.

Terhasilnya tulisan jawi juga mencetuskan perkembangan sastera klasik Melayu antaranya penghasilan kitab ‘Hikayat Raja-raja Pasai’ yang ditulis sekitar 1360.


Selaras dengan itu juga, ilmu tasawuf turut berkembang apabila ada antara kitab tasawuf diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bertulisan jawi. Antaranya adalah Durru al-Manzum, karya Maulana Abu Ishak.


Kegemilangan Kerajaan Samudera Pasai dikatakan sama hebatnya dengan zaman kemasyhuran Melaka di Tanah Melayu.

Bagaimanapun, melewati masa, Samudera Pasai mula mengalami kemunduran apabila Kerajaan Melaka diasaskan. Kehebatan kerajaan diasaskan Paramesrawa itu menyebabkan pedagang mula beralih dari pelabuhan Samudera Pasai ke Melaka.


Seterusnya pada 1360, Samudera Pasai diserang Majapahit dan akhirnya kerajaan hebat itu ditakluki sekali gus menamatkan era kegemilangannya dalam rentetan sejarah silam Nusantara, suatu ketika dulu.

Oleh Nasron Sira Rahim

__________________________________

Cerita pelik Hikayat Raja-Raja Pasai


KERJA arkeologi yang dijalankan di Kampung Geudong, Aceh Utara, menemui kawasan kubur purba yang misteri. Akhirnya kajian dan penyelidikan mendapati kawasan pusara itu adalah makam diraja sebuah kerajaan silam yang masyhur iaitu Samudera Pasai.

Antara banyak makam diraja yang ditemui itu, satu daripadanya tertera nama Sultan Malik al-Saleh. Seterusnya penemuan makam itu menyingkap sejarah kehidupan tokoh berkenaan yang namanya turut disebut dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai. Malik al-Saleh adalah nama Merah Silu selepas beliau menganut Islam. Namanya menjadi sebutan dan amat dikenali ketika membicarakan mengenai Kerajaan Samudera Pasai.



Kedudukan kerajaan Pasai dalam Peta Perdagangan silam.



Ini disebabkan Malik al-Saleh adalah Sultan pertama Samudera Pasai malah beliaulah yang bertanggungjawab menukarkan kerajaan itu daripada mengamalkan ajaran Hindu-Buddha kepada Islam.


Cerita pengislaman tokoh itu amat pelik jika dibaca dalam Hikayat Raja-raja Pasai. Beliau dikatakan menganut Islam selepas bermimpi menemui Nabi Muhammad SAW (sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan).

Ditulis dalam hikayat itu bahawa Merah Silu disuruh mengucap dua kalimah syahadah dalam mimpinya tetapi beliau tidak tahu berbuat demikian menyebabkan baginda meludah ke dalam mulutnya.


Selepas itu, Merah Silu mampu mengucap dua kalimah syahadah dan diberi gelaran Sultan Malik al-Saleh seterusnya menjadi Sultan sebuah Kerajaan Islam bernama Samudera Pasai.


Dalam hikayat itu juga, Merah Silu diberitahu supaya hanya memakan binatang halal yang disembelih selain dalam masa 40 hari kemudian, akan datang sebuah kapal dari Makkah dan hendaklah dia menerima ajaran Islam yang dibawa seseorang yang menaiki kapal itu.

Diceritakan lagi, apabila Merah Silu terjaga daripada tidurnya, Merah Silu mendapati kemaluannya sudah disunat dan mulutnya lancar membaca 30 juzuk al-Quran.


Tidak lama selepas itu, sebuah kapal dari Makkah berlabuh di pelabuhan Samudera Pasai dan turunlah seorang ulama bernama Sheikh Ismail. Ulama itu menghadap Sultan Malik al-Saleh dan memintanya mengucap dua kalimah syahadah dan membaca al-Quran. Sheikh Ismail kemudian berjaya mengislamkan seluruh rakyat Samudera Pasai.


Sememangnya wujud banyak kisah pelik yang di luar logik akal dalam Hikayat Raja-raja Pasai antaranya ibu Malik al-Saleh iaitu Puteri Betong ditemui di perdu rebung buluh dan bapanya iaitu Merah Gajah, dibela seekor gajah.


Merah Gajah pernah mencabut rambut emas Puteri Betung lalu keluar darah pelik berwarna putih dan akhirnya Puteri Betung ghaib. Merah Silu juga pernah menahan bubu dan mendapat cacing gelang yang bertukar menjadi emas dan perak.


Selain itu, diceritakan lagi yang Merah Silu pernah berjumpa seekor semut sebesar kucing dan memakan makhluk itu.

Walaupun pelbagai kisah pelik dan mistik menyelubungi Malek al-Saleh, sesuatu yang pasti adalah kajian mendapati tokoh itu sememangnya wujud dan beliau dikenali sebagai Sultan pertama Kerajaan Islam Samudera Pasai.

_____________________

INFO: Samudera Pasai


Pahlawan terkenal Samudera Pasai dikenali Tun Beraim Bapa dan pada zaman kewujudannya, Kerajaan Samudera Pasai menjadi gemilang.

Hikayat Raja-Raja Pasai terbahagi kepada tiga bahagian iaitu ‘Pembukaan dan Pengislaman Pasai’, ‘Pasai di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Perumudal Perumal’ dan ‘Peluasan Kekuasaan Majapahit’. Samudera Pasai yang terletak di Sumatera Utara iaitu Aceh, digelar Serambi Makkah kerana orang yang hendak mengerjakan haji terlebih dulu singgah di Aceh untuk belajar di madrasah dan masjid di negeri itu. Kerajaan Samudera Pasai turut dikenali juga sebagai Samudera, Pasai dan Samudera Darussalam atau Sumatera.


http://putraaceh.multiply.com/journal/item/707

_____________________________________

SURAT RAJA SRIWIJAYA UNTUK KHALIFAH


S Fatimi, seorang sejarawan Malaysia menulis dan dikutip oleh Azyumardi Azradalam bukunya Islam Nusantara bahwa ada dua buah surat yang kemungkinan besar ditulis oleh Raja Sriwijaya untuk Kalifah Arab. Bagian pembukaan dari surat pertama dikutip oleh al Jahiz dalam bukunya Kitab al Hayawan (Buku Fauna) berdasarkan 3 rantai isnad.


Surat pertama ditujukan untuk Mu'awiyah dan pembukaan surat itu kalau diterjemahkan kurang lebih seperti ini:

(Dari Maha Raja) - yang istalnya berisi ribuan gajah, istananya berkilau emas dan perak, dilayani oleh ribuan puteri raja, yang menguasai dua sungai yang mengairi gaharu - untuk Muawiyah


Surat kedua lebih lengkap karena terdapat pembukaan dan isi, terdapat dalam buku Ibnu Abdul Rabbih Al Iqd al Farid (Kalung Istimewa) ditujukan untuk Kalifah Umar bin Abdul Azis memperlihatkan betapa mewahnya Maharaja dan kerajaannya:


Dari Raja Diraja - yang keturunan ribuan raja, yang diistalnya terdapat ribuan gajah, dan menguasai dua sungai yang mengairi gaharu, tanaman harum, pala dan barus, yang keharumannya menyebar sejauh dua belas mil - untuk Raja Arab, yang bertuhan esa. Saya memberimu hadiah yang tidak seberapa sebagai tanda sapa dan saya harap anda berkenan mengirim seseorang yang bisa mengajar tentang Islam dan menerangkannya kepada saya.


Ibnu Taghribirdi dalam bukunya al Nujum al Zahirah fi Muluk Misr wa al Qahirah (Perbintangan Terang Raja Mesir dan Kairo) mempunyai tambahan untuk akhir surat ini: "Saya mengirim hadiah jebat (musk), batu ratna, dupa dan barus. Terimalah dari saudara Islammu."

Fatimi memperkirakan suat-surat itu diterima Kalifah sekitar tahun 100H/717, yaitu masa pemerintahan Sri Indrawarman. Sriwijaya merupakan kerajaan Buddha dan belum ada bukti peninggalan bahwa dibawah Sri Indrawarman Sriwijaya pernah memeluk Islam.

Membaca surat ini betul-betul menimbulkan kebanggaan kepada kita, betapa Nusantara telah memiliki kerajaan yang sangat makmur di Suarnadwipa - Pulau Emas- sejak dahulu kala, dengan perdagangan dan kontak internasional, raja yang sangat percaya diri dan penuh rasa ingin tahu.


Sumber: Islam in Indonesian world, Asia Research Institute

________________________

MISTERI SEBUAH WASIAT


"Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu, serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan jadi wali Allah. Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu, hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri, bawalah fakir itu bersama-sama." - dicatat dalam Hikayat Raja-Raja Pasai.



Empayar Majapahit meliputi Pasai.

_____________________

UNTUK PERBINCANGAN


(1) Mengenalpasti dan membincangkan sama ada terdapat kawasan, negeri atau empayar Islam yang lebih awal berbanding kerajaan Pasai di Nusantara.


(2) Perkongsian maklumat mengenai gerakan dakwah Islam yang berlaku sebelum dan selepas kegemilangan kerajaan Pasai. Adakah terdapat hubungan langsung dengan Empayar Islam di Timur Tengah dari segi dakwah, atau adakah dakwah dillakukan oleh kerajaan itu sendiri.


(3) Peranan Ahlul Baits dalam tugas-tugas dakwah di Nusantara, terutamanya berdakwah di kalangan golongan bangsawan atau golongan istana.


(4) Masih wujudkah pengaruh-pengaruh Hindu/Buddha/Animisma dalam kerajaan-kerajaan Islam Nusantara yang awal-awal ini. Jika ada, apakah bentuk pengaruh-pengaruh tersebut.


(5) Apakah sistem pertahanan yang wujud di kerajaan-kerajaan Islam Nusantara zaman silam. Adakah Seni Silat merupakan ciri terpenting kemahiran ilmu peperangan di zaman berkaitan.


(Sumber - http://www.facebook.com/notes/hibatullah-yusof-al-haj)