Showing posts with label pengalaman peribadi. Show all posts
Showing posts with label pengalaman peribadi. Show all posts

Sunday, May 17, 2009

Batu Pahat,Johor - Sebuah Kenangan #1

Pada hari ini di sebelah pagi, saya pergi ke Pasar Batu Pahat, Johor, menemani Ibu Mertua, Makcik dan Atok membeli barangan basah untuk keperluan harian, saya tidak mengikut mereka masuk ke pasar, saya hanya menunggu mereka ditempat letak kereta berhampiran pasar tersebut, disebabkan cuaca agak panas, saya keluar dari kereta dan menunggu mereka di kedai gunting rambut kaki lima.

Kedai ini agak unik kerana ia berada di kaki lima, terdapat sebuah kerusi panjang untuk pelanggan duduk dan menunggu, satu kerusi tinggi yang diperbuat daripada rotan yang sudah uzur, dihadapan kerusi rotan tersebut terdapat cermin dan tempat meletak peralatan yang digunakan untuk mengunting rambut. Tiada kipas angin dan tiada lampu elektrik. Semuanya berada diruang yang terbuka, jika anda mengunting rambut di kedai ini, semua orang yang lalu lalang dihadapan pasar tersebut dapat melihat anda.

Saya berkenalan dengan Cikgu Hassan, tuan punya kedai gunting tersebut. Saya memulakan perbualan dengan memberikan salam kepada beliau, sambil memohon kebenaran untuk duduk dikerusi panjang tersebut sementara menunggu ibu mertua, makcik dan atok siap berbelanja di pasar. Menurut beliau usia beliau telah mencecah 82 tahun, beliau adalah pesara guru dan isterinya masih berkerja di Hospital Batu Pahat sebagai jururawat terlatih. Beliau kelihatan masih sihat dan bertenaga walaupun telah berusia 82 tahun. Kami berbual pelbagai isu, daripada kesah peribadi beliau, bersambung kepada sejarah negara, cerita politik sehinggalah kepada cerita agama. Menurut beliau, sebelum merdeka, semua sekolah di negara kita beroperasi separuh hari pada hari khamis dan cuti pada hari jumaat, tetapi selepas merdeka sekolah bercuti pada hari sabtu dan ahad.

Suatu yang menarik perhatian saya ialah komen beliau tentang politik, kata beliau, samada pihak Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, kedua-dua pemimpinnya mempunyai nafsu, hendak kepada pangkat, jawatan, kehormatan, harta, kekayaan, wang, pengaruh dan sebagainya, mereka adalah manusia biasa, jadi janganlah kita berpecah belah diperingkat akar umbi kerana politik. Kita sebagai rakyat perlu pandai menilai dan memilih pemimpin yang wajar kita jadikan pemimpin. Tambah beliau lagi "saya tidak memilih pemimpin kerana parti, tetapi saya memilih pemimpin berdasarkan kualiti kemanusiaan individu pemimpin tersebut, mungkin Pakatan Rakyat dan mungkin juga Barisan Nasional. Bergantung kepada kualiti kemanusiaan calon yang bertanding dalam pilihanraya tersebut." Perbualan kami yang sedang rancak itu tiba-tiba terhenti setelah mereka sampai.

Tuesday, May 5, 2009

Harga Buang Air Kecil Lebih Mahal Daripada Harga Segelas Air Sejuk

Harga yang perlu anda bayar untuk membuang air kecil disekyen 2 Shah Alam, Selangor ialah 30 sen manakala kos untuk anda meminum segelas air sejuk ialah 20 sen. Maknanya, bayaran membuang air kecil lebih mahal daripada meminum segelas air sejuk atau air suam. Kos input lebih mahal daripada kos output, dalam production, sesuatu kilang terpaksa ditutup jika ini berlaku. Pada saya ada kepincangan dalam sistem ekonomi kita pada hari ini.

Wednesday, October 22, 2008

Pengalaman Adalah Guru Terbaik - Masa lalu mengajar kita erti kehidupan....


Saya menerima e-mail daripada seorang sahabat lama yang telah terpisah sejak tingkatan 5, beliau mengambil inisiatif mengumpul semula rakan-rakan zaman persekolahan dahulu. E-mail tersebut menjemput saya menyertai Edwardian 81-85 yahoo group. Rupanya sudah ramai sahabat-sahabat zaman persekolahan dulu telah dikumpul oleh beliau, melalui yahoo group kami bercerita perkembangan terbaru masing-masing. Zaman sudah berubah, semua sudah jadi ayah. Sekolah KE adalah sekolah lelaki sahaja kecuali tingkatan 6, ada lelaki dan perempuan.

Pada tahun 1975 sehingga 1980 saya bersekolah di Sekolah Rendah King Edward VII(satu), Taiping, Perak, seterusnya pada tahun 1981-1986 saya bersekolah di Sekolah Menengah King Edward VII, Taiping, Perak. Pendek kata, saya adalah Edwardian sejati. Sekolah King Edward popular dengan sukan rugbi, pada tahun 1983, saya pernah mewakili pasukan ragbi sekolah untuk pasukan bawah 15 tahun. Musuh utama kami di Perak dalam pasukan ragbi pada masa itu ialah Anderson, STAR dan MCKK.

Saya belajar dalam aliran sains semasa di tingkatan 4 dan 5, diantara cikgu yang pernah mengajar saya yang masih saya ingat ialah cikgu Razak, beliau mengajar matapelajaran FIZIK. Cikgu Mat Zain, beliau mengajar matapelajaran KIMIA, Mr. Lee Yoke Beng, beliau mengajar BIOLOGI, Mr. Chia beliau mengajar MATEMATIK MODEN & MATEMATIK TAMBAHAN. Jasa mereka tidak akan saya lupakan. Ada lagi cikgu-cikgu lain tapi nama mereka sudah pudar dalam memori tapi rupa mereka saya masih segar dalam ingat lagi.

Masa lalu adalah guru yang terbaik, kerana ia merupakan suatu pengalaman yang dialami sendiri oleh kita yang pernah melaluinya, ia juga menjadi penyumbang satu nilai pengajaran, walaubagaimanapun ia hanya bermanfaat kepada mereka yang menggunakan akal dan mahu berfikir terhadap sebarang pengalaman yang kita lalui. Justeru itu, kita seharusnya menggunakan masa sekarang dengan berpandukan pengajaran masa lalu untuk lebih berjaya melalui esok yang masih ada.

Wednesday, July 16, 2008

Hari Ini Adalah Hari Yang Mengembirakan Saya

Hari ni adalah hari yang mengembirakan buat saya. Faktor pertama kerana saya difahamkan Program Pentauliahan Profesional (3P) akan diteruskan lagi pada november ini walaupun bagaimanapun jumlah pelajar yang menyertai program ini akan dikecilkan.

Faktor kedua ialah Request for Information(RFI) Total Healthcare Information System untuk Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian yang saya bentangkan pada mei lalu kepada Jawatankuasa Penggunaan dan Penilaian Komputer(JPPK) telah diluluskan.

Faktor ketiga ialah Polisi ICT UiTM yang telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Eksekutif Universiti telah diluluskan dan diperakui oleh Lembaga Pengarah Universiti. Saya terlibat secara terus bersama pengarah, mantan timbalan pengarah, pengurusan, pentadbiran, ketua jabatan, ketua unit, pegawai sistem maklumat diseluruh cawangan dalam PSMB, mantan dekan FTMSK, Dr. Zaiton, dan banyak lagi orang perseorangan yang lain untuk membangunkan dan menyunting polisi ICT ini sejak tiga tahun yang lalu.

Faktor ke empat ialah saya dapat melihat dan mendengar debat bertajuk ' Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak' antara Datuk Seri Anwar Ibrahim vs Datuk Ahmad Shabery Cheek Menteri Penerangan secara langsung melalui Astro Awani. Buat pertama kalinya sepanjang hayat saya yang sudah menghampiri 40 tahun, debat secara terbuka dan tanpa suntingan begini diadakan.

Monday, June 23, 2008

UiTM Dihatiku....Fasa Tiga


Bulan ini genaplah 11 tahun saya bersama UiTM. Perjuangan belum selesai, agenda untuk memartabatkan bangsa perlu diteruskan. UiTM berkembangan begitu pesat. Terbaru UiTM telah melahirkan 18 orang graduan Bachelor of Medicine dan Bachelor of Surgery yang pertama daripada Fakulti Perubatan pada konvoksyen yang lepas. Saya terlibat secara terus merangka halatuju ICT Fakulti Perubatan bersama Professor Dato' Dr Khalid Yusoff dan pasukan beliau daripada Fakulti Perubatan.

Professor Dato' Dr Khalid Yusoff, Dekan Fakulti Perubatan menulis email yang berbunyi.......


Sdra Rais,


Terima kasih diatas segala kerjasama dan sumbangan yang diberikan. Seperti yang sdra dapat lihat, kita berusaha utk membangun sesuatu yang akan menjadi kebanggaan bukan sahaja kepada UiTM tetapi bangsa Melayu untuk sekurang-kurangnya seratus tahun lagi, insya Allah. Kita perlu bekerja keras, dan terus mengejar kehadapan.


Olives are PRESSED to get their oil, fruits are SQUEEZED for their juice, flowers are CRUSHED for their perfume; so if you feel PRESSURED by me, it is just me trying to get the BEST out of you.


Khalid


kepada saya. Kata-kata beliau memberikan motivasi kepada saya berkerja lebih smart untuk merealisasikan misi dan visi Fakulti Perubatan menjadi realiti. Beliau juga membuka minda saya melihat sesuatu isu dalam perspektif yang berbeza-beza dan beralternatif. Ada banyak jalan untuk menuju ke satu destinasi, kita kena pilih jalan paling dekat, cepat dan tepat, jalan yang paling praktikal, jangan menyusahkan keadaan, jangan menambah birokrasi kerana masa terlalu berharga buat kita. Jangan buang masa, Kita perlu berkerja 3 kali ganda lebih kuat untuk mengejar impian, ujarnya lagi.

Sunday, June 22, 2008

UiTM Dihatiku....Fasa Dua

Saya mula berkhidmat di ITM pada Jun 1997 di Pejabat Penyelenggaraan sebagai Pembantu Teknik Sistem Telekomunikasi dan Siaraya, sesuai dengan nama jawatan tersebut maka saya bertanggungjawab untuk memastikan semua sistem telekomunikasi ITM berfungsi dengan baik dan dapat digunakan untuk memantapkan sistem penyampaian institut.

Saya bertanggungjawab terhadap sistem siaraya, sistem telefon dan PABX di Kampus Induk Shah Alam dan kampus cawangan seluruh negara. Sepanjang saya bekerja di sana banyak pengalaman pahit dan manis yang saya lalui sehinggakan adakalanya saya hampir hilang motivasi kerja melalui saat-saat tersebut. Bila saya renungi semula objektif utama saya berkhidmat di UiTM, saya memujuk diri saya dengan berkata aku berkerja hanya untuk nusa, bangsa, agama dan tentu sekali untuk UiTM. Yang penting sekali saya masih ada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya. Terima kasih semua.

Banyak kenangan manis yang saya lalui di sana di antaranya seperti projek 'call billing system' yang digunapakai sehingga hari ini, dimana melalui sistem ini, setiap panggilan telefon boleh dipantau dan ITM boleh mengutip semula kos penggunaan bil telefon panggilan peribadi. Semasa projek ini ingin dibangunkan banyak kisah suka duka yang saya lalui. Namun, segala teguran dan kritikan terhadap saya ini menjadikan saya bertambah bersemangat dan lebih berusaha untuk membangunkan projek ini dan tidak sekali-kali melemahkan semangat saya.

Pada Oktober 2003 saya dipindahkan ke Institut Kepimpinan Pengurusan Kualiti (ILQAM). ILQAM diketuai oleh Penolong Naib Canselor, iaitu, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustaffa Mohd. Ghazali (kini Professor) pada ketika itu. Sebagai pembantu teknik audio visual saya bertanggungjawab terhadap sistem video, sistem audio, studio TV dan menjadi ahli Jawatankuasa Alat Pandang Dengar UiTM. Saya dan En. Rahman Salleh, Penolong Pendaftar ILQAM ketika itu dan semua warga ILQAM adalah pengerak utama semasa perlaksanaan PTK pertama untuk kakitangan akademik pada 2004.

Sepanjang berkhidmat di ILQAM saya terlibat secara terus terhadap projek Technology Enabled Classroom (TEC) . Lebih 100 unit classroom UiTM diseluruh negara dinaiktaraf kepada Technology Enabled Classroom (TEC). TEC ialah bilik kuliah yang dilengkapi internet, peralatan AV seperti LCD, DVD player, Visualizer, sistem audio, sistem video dan sebagainya. Saya juga meninggalkan buku "panduan pembelian alat pandang dengar 2004" yang digunapakai sehingga hari ini sebagai panduan untuk memudahkan pengguna yang terdiri daripada semua fakulti, jabatan, unit dan sebagainya untuk memudahkan mereka berurusan dengan Jawatankuasa Alat Pendang Dengar untuk membeli peralatan audio visual.

Pada November 2004, saya berpindah ke Pusat Sistem Maklumat Bersepadu (PSMB) dan bertugas di Unit Rangkaian sehingga kini. Diantara projek yang saya terlibat secara terus sepanjang berkhidmat di PSMB ialah menjadi penyelaras teknikal Program Pentauliahan Profesional (3P) iaitu program industry based certification seperti CCNA, MCSA, MCSE, ITIL,BEC, MCAD, Comtia A+,IWD, ACP dan sebagainya yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Akademik (HEA) dan Pusat Sistem Maklumat Bersepadu(PSMB) untuk pelajar tahun akhir daripada F. Kej. Elektrik, F. Teknologi Maklumat dan Sains Kuantitatif, F. Pengajian Maklumat, F. Pengurusan Perniagaan dan F. Pngurusan dan Teknologi Pejabat. Saya masih lagi menjadi penyelaras teknikal Program Pentauliahan Profesional (3P) sehingga kini. Projek pemasangan sistem rangkaian secara wireless di semua fakulti di Shah Alam, projek pemasangan CCTV secara wireless di sekitar kawasan UiTM dan projek membina Data Center di UiTM Shah Alam.

Ramai rakan-rakan di UiTM pelik bagaimana saya boleh melompat dari Pejabat Pengurusan Fasiliti ke Institut Pengurusan Kualiti (ILQAM) kemudian ke Pusat Sistem Maklumat Bersepadu(PSMB) bukan kerana kenaikan pangkat. Lazimnya orang berpindah dari satu bahagian ke satu bahagian yang lain kerana kenaikan pangkat. Apabila saya renung dan hayati terhadap semua yang berlaku pada saya ini, maka saya pasrah, bahawa ini adalah kehendak Ilahi. Saya reda dengan apa yang telah berlaku. Mungkin ini yang terbaik untuk saya.

Pengalaman yang saya perolehi dari ketiga-tiga jabatan ini membolehkan saya bercakap melalui pengalaman mengenai voice, video dan data diUiTM. Baru saya sedari bahawa UiTM mengamalkan cara pengurusan ICT cara traditional. Ini adalah faktor utama menyebabkan ICT di UiTM agak keterbelakang berbanding dengan kedudukan 100 universiti yang disenaraikan oleh The Times Higher Education Supplement. Namun saya tidak akan berputus asa. Saya berazam memastikan kedudukan tersebut akan berubah bagi menjadikan UiTM sebagai salah sebuah universiti yang terkedepan sekali di dalam pengurusan ICT nya. Itulah azam saya.

Friday, June 20, 2008

UiTM Dihati Ku..Fasa Satu

Sebaik sahaja saya menamatkan pengajian di ITM(kini UiTM) mengikuti kursus Diploma Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) pada 1994 saya berkerja di Motorola, P.Pinang sebagai juruteknik, skop tugas saya ialah memastikan semua mesin yang terdapat didalam line production diselenggara secara berkesan untuk mengurangkan down time production. Setiap hari semasa berkerja saya hanya berurusan dengan mesin.

6 bulan kemudian saya bertukar kerja sebagai production supervisor di Seagate Bayan Baru P.Pinang. Skop tugas saya sebagai production supervisor ialah memastikan target production output tercapai dan memastikan semua output production yang dihasilkan daripada line production saya memenuhi tahap kualiti yang ditetapkan. Setiap hari semasa berkerja saya hanya berurusan dengan manusia iaitu operator pengeluaran.

Setahun kemudian saya bertukar kerja sebagai technical supervisor di Hewlett Parkard. Skop tugas saya di Hewlett Parkard ialah memastikan juruteknik saya menyelenggara mesin secara berkesan dan membuat preventive maintenance mengikut jadual yang ditetapkan. Setiap hari semasa berkerja saya berurusan dengan manusia dan mesin sehinggalah saya berkhidmat di ITM (kini UiTM) pada Jun 1997.

Faktor utama yang menyebabkan saya melompat kerja dari satu kilang ke kilang yang lain semasa di P.Pinang ialah faktor tawaran gaji yang lebih lumayan. Manakala faktor utama yang menggerakan saya untuk berkhidmat di UiTM adalah kerana pada tahun 1996 ITM telah dinaiktaraf sebagai universiti tetapi masih mengekalkan nama dan ciri-ciri sebagai ITM.

Ia mengenangkan saya kembali kepada nostalgia lama semasa saya menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) sesi 1990/91 semasa belajar di ITM Kampus Induk, Shah Alam dulu. Pada Jan 1991, kami menganjurkan Konvensyen Mahasiswa ITM Seluruh Malaysia. Objektif utama konvensyen ini ialah mengenalpasti permasalahan utama semua mahasiswa ITM diseluruh negara dan mencadangkan penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh pengurusan ITM. Konvensyen ini mengumpulkan seluruh pimpinan pelajar ITM iaitu JPP ITM cawangan di semenanjung termasuk di Sabah dan Sarawak, saudara Mazidul Akmal Sidik (sekarang wartawan TV3 yang terkenal dengan program 999 dan 360) mewakili JPP ITM cawangan Pahang adalah di antara peserta yang menghadiri konvensyen tersebut.

21 resolusi telah diputuskan melalui konvensyen ini, diantara resolusi tersebut ialah menuntut supaya ITM dinaikan taraf sebagai universiti dengan mengekalkan ciri-ciri ITM sediada. Menteri Pelajaran pada ketika itu ialah Dato' Seri Sulaiman Daud. Pengerusi ITM pada ketika itu ialah Tan Sri Ani Arobe manakala Pengarah ITM pula ialah Dato' Dr. Mansur Salleh dan Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEP) pada ketika itu ialah Tuan Shaikh Ibrahim. Resolusi konvensyen tersebut diserahkan terus kepada Tan Sri Ani Arobe semasa beliau merasmikan majlis penutup Konvensyen Mahasiswa ITM Seluruh Malaysia.

Malangnya semasa perjumpaan dengan Menteri Pelajaran ketika menyerahkan resolusi tersebut...jawaban Menteri Pelajaran "... selagi saya menjadi Menteri Pelajaran jangan mimpi ITM akan menjadi universiti kerana jika ITM jadi universiti saya terpaksa membenarkan kaum bukan bumiputera menjadi pelajar ITM....". Saya bertegang leher dan berhujah dengan Menteri Pelajaran mempertahankan resolusi yang telah diputuskan oleh kami barisan pimpinan mahasiawa ITM sehingga terpaksa dileraikan oleh Dato' Dr. Mansur Salleh. Hanya selepas 5 tahun selepas konvensyen tersebut baru lah ITM dinaiktaraf sebagai universiti dengan mengekalkan ciri-ciri ITM.

Kenangan itu menjadi motivasi kepada saya untuk berkhidmat dengan ITM walaupun gaji yang ditawarkan oleh ITM adalah lebih rendah daripada gaji saya di HP P.Pinang. Saya berkorban dan berazam untuk memberikan perkhidmatan terbaik sebaik sahaja di terima menjadi kakitangan ITM pada Jun 2007 demi nusa, agama dan bangsa. Pada saya ini adalah perjuangan untuk mengangkat martabat bangsa.